Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi GambarKoleksi Gambar Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

08 OKTOBER  2003 

ASSALAMUALAIKUM...

Saya bercuti hari ni... Selalunya saya bercuti hari Selasa tetapi atas sebab tertentu saya ambil cuti hari Rabu.

Segalanya bermula dari hati. Hati yang tenang dan bersih akan memancarkan sinar dan tingkahlaku yang disenangi ramai. Kesucian hati adalah penentu utama kepada tingkahlaku seseorang. Sejauh mana dia dapat mengawal perasaannya.

Alhamdulillah saya semakin kuat. Semakin bermotivasi. Saya semakin yakin mengharungi hidup ini. Lupakan saja kesedihan silam. Biarkan ia berlalu. Ada dimensi baru di hadapan. Ada cabaran baru yang lebih dahsyat. Hidup memerlukan kita kuat. Sekali kita mengalah, pasti kita akan tewas. Kita perlu yakin. Setiap sesuatu yang terjadi ada hikmahnya. Renungilah ia sebagai satu pengajaran yang amat berguna.

Sudah menjadi adat kehidupan, apabila kita memilih sesuatu pasti kita akan terlepas sesuatu. Kita tidak akan dapat kecapi kesemuanya. Itulah hakikat yang harus kita terima.

Seorang yang kaya, akan ada kekurangan di bahagian yang lain. Saya pernah bertemu dengan seorang jutawan yang cukup kaya. Dia ada segalanya. Keretanya sahaja berharga lebih RM 1 juta! Tetapi dia tak ada seorang pun anak! Seorang petani yang hanya berpendapatan rendah pulak mempunyai lebih dari 10 orang anak dan anaknya semua berjaya.

Itulah kehidupan, ada kurang di sini pasti ada kelebihan di sana. Ibarat jari di tangan kita. Kenapa semuanya tak sama panjang? Mengapa? Kerana apa? Kerana ia akan membantu kita melakukan tugas tertentu. Misalnya jari telunjuk untuk menunjuk. Kalau semua jari sama panjang, bayangkan bagaimana kita nak menggenggam sesuatu?

Allah sudah menjadikan segalanya dengan penuh hikmah. Cuma kita manusia yang sentiasa mempertikaikannya. Sebab itu saya lebih senang redha sahaja dengan apa jua yang berlaku. Mudah sebab kita akan sentiasa terasa lemah di sisi Allah.

Ujian itu satu peringatan dari Allah. Sewaktu senang kita ingat Allah kah? Kita selalu leka. Cuai dan alpa. Kita hanyut dalam kesedapan nikmat dunia. Kita hanya memandang ke arah duniawi hinggakan kita tinggalkan urusan ukhrawi.

Saya teringat kata-kata Datuk Dr. Mohamad Fadzillah Kamsah “Kalau kita kejar dunia, akhirat akan jauh dari kita, jika kita kejar akhirat dunia akan menurut kita”.

Jadi apa lagi yang ingin kita lakukan. Hidup kita ssingkat. Entah bila kita akan pergi. Mungkin sesaat lagi. Mungkin sejam lagi. Kita tidak tahu. Apakah bekalan kita untuk semua itu? Orang alim pun bila dibangkitkan di kubur merasa menyesal kerana ingin beribadat lebih banyak, inikan kita yang sering bergelumang dengan noda dan dosa.

Sebab itu dalam hidup saya, saya sentiasa memberi peluang kepada orang memperbetulkan kesilapan. Sedangkan Allah memaafkan Hamba-Nya, inikan pula kita. Ada banyak benda yang sedang saya lakukan kini, InsyaAllah kalau Allah bantu dan redha saya cukup bahagia. Antara impian hidup saya.

Saya selalu termenung apabila menyaksikan kehijauan sawah. Saya terfikir tentang hidup kita di dunia. Masalah, persengketaan yang tak pernah putus. Lama berfikir, saya terus menetapkan impian hidup saya. Biarlah saya tak  terkenal, jauh dari pandangan orang tetapi dekat pada pandangan Allah. Mudah-mudahan saya berjaya, InsyaAllah...

Yang penting kini, saya semakin matang menilai setiap sesuatu. Biarlah saya dengan cara saya. Biarlah hanya Allah sahaja yang tahu kerana saya pasti Allah tidak pernah bersikap tidak adil terhadap hamba-Nya.

Jadi hari ni saya pulang ke kampung (di Pendang) untuk tenangkan sikit fikiran saya yang agak berserabut. Kampung adalah tempat yang cukup membahagiakan saya. Di sana saya cukup tenang, damai dan permai. Entah mengapa... Mungkin sebab saya dilahirkan di sini. Di rumah ini. Hmmm...

Elok sampai di kampung, saya terkejut. Ingat kot nak tidur atas buaian di bangsal tu tapi dah tenggelam! Banjir. Saya kena parking motor di rumah saudara saya. Seronoknya main banjir... Hehehe... Rugi saya cuma balik sehelai sepinggang. Kalau bawak baju salin boleh main banjir. Hehehe... Macam budak-budak...

Kena randuk air sampai atas lutut dalamnya. Mujurlah tak masuk dalam rumah. Kemudian saya keluar pulak layan sepupu saya main banjir dengan pelampung yang depa ambil dari Pak Su saya. Seronoknya...

Bila tengok air, hati semakin tenang. Saya teringat kata kawan saya yang menceritakan kenapa Rasulullah suruh berenang. Selain dari kekuatan badan ia juga kerana air boleh memberi ketenangan pada manusia. Itu yang dia baca. Tapi saya merasakannya. Walaupun air ni berwarna cokelat tak macam air laut yang kebiruan atau air terjun yang jernih tetapi ia cukup menenangkan...

Di dasar anda akan rasa sejuk tetapi di bahagian atas, anda akan rasa panas. Saya pun ke sana sini dalam air bah sambil menyaksikan haiwan-haiwan lain. Nampak ulat bulu pun berenang dalam air! Hehehe... Lepas tu nampak lintah yang sedang mencari mangsa. Dah lama kaki saya tak kena “ketit” lintah dan pacat walaupun saya lalu kawasan yang ada lintah dan pacat selalu.

Kemudian waktu petang, saya bawak Tok Wan saya meronda lihat kawasan banjir. Seronok tengok Tok Wan saya. Hehehe... Dia cakap ni lah banjir yang terburuk. Tok Wan saya dah umur lebih 80 tahun tapi masih kuat. Sekali-sekala saya bali, Tok Wan memang akan makan banyak. May be Tok Wan rasa seronok.

Saya seronok tengok orang bahagia sampaikan saya boleh lupa maslaah saya. Kalau saya tengah seronok sekalipun, bila saya tengok orang kecewa, saya akan rasa tak seronok jugak. Saya tak boleh tengok orang lain kecewa walaupun saya tak kenal siapa orang itu. Saya akan cuba bantu setakat yang saya mampu.

Kalau saya berjaya bantu, saya rasa ia adalah satu kepuasan yang amat sangat. Alhamdulillah dah banyak saya lakukan. Melalut pulak saya ni... Lepas tu, saya hanya balik pada waktu malam selepas Solat Maghrib. Cahaya bulan pun agak terang. Ya lah dah nak masuk pertengahan Bulan Syaaban. Tak lama Ramadhan akan datang menjenguk...Moga dipanjangkan umur.

Bila balik saya hanya menonton TV sambil mendengar ulasan langsung radio Malaysia lawan Myanmar. Lepas tu saya tonton Siaran langsung tertunda Malaysia lawan Myanmar dan kemudian tonton Liputan kemuncak Piala Malaysia sebelum saya cuba install beberapa benda dalam komputer saya.

Saya tidur kira-kira jam 3.30 pagi.

WASSALAM...

07 OKTOBER  2003 

ASSALAMUALAIKUM...

Ya Allah apakah yang telah terjadi pada diriku ini. Aku tak dapat tidur lena walaupun aku paksa diri untuk tidur.

Entahlah... Saya pun tak tahu kenapa. Saya tak dapat lelapkan mata. Sepatutnya sewaktu hujan turun, memang sedap tidur tetapi saya asyik terfikirkan benda lain. Ya Allah tenangkan hati hamba-Mu ini.

Sampai pagi saya langsung tak rasa mengantuk. Nak makan pun tak berapa lalu. Entahlah... Berat rasanya. Saya nak ringankannya... Ya Allah berikanlah aku kekuatan...

Saya turun main badminton macam biasa. Ada semacam satu tekanan dalam diri. Saya berusaha nak hilangkannya segera tetapi masih belum mampu. Apalah yang dapat saya lakukan.

Saya tewas hari ni. 16-17, 15-10 dan 9-15. Bila balik saya langsung tak fikirkan keletihan. Yang saya fikir ialah ketenangan hati. Saya nak kan hati yang tenang. Saya ambil naskhah Al-Quran dan saya baca sambil saya fikirkan masalah saya. Alangkah indahnya satu ketenangan. Satu keberkatan Al-Quran. Penenang jiwa yang bergelora.

Saya tak pernah sangsi dengan kemampuan diri saya. Biarpun saya rebah saya tetap akan bangkit berjuang dan terus berjuang. Manusia yang berjaya adalah masnusia yang pernah gagal. Semakin teruk kegagalan seseorang itu bermakna akan semakin manislah kejayaannnya nanti.

Saya tetap akan berjuang. Yang saya harap hanyalah keredhaan Allah. Dunia ni hanya pinjaman dan ia tidak akan kekal. Cuma saya pinta dari Allah kuatkan semangat saya dan berilah kekuatan hati untuk beristiqamah di jalan yang benar.

Tak guna mengingat apa yang telah berlaku. Biarlah ia menjadi sejarah. Sejarah yang akan mematangkan jiwa saya. Saya dah lalui bermacam pengalaman. Tak kan saya nak menyerah hanya kerana ini! Tidak... Saya tak akan menyerah. Saya serahkan segala urusan hidup saya kepada Allah.

Saya hanya akan berusaha dan mencuba. Allah jualah yang menentukan segalanya. Biarpun ia tak seperti yang saya harapkan, saya redha. Alhamdulillah saya semakin tenang tapi saya sukar untuk melupakan peristiwa itu. Yang pasti khidmat saya masih diperlukan oleh ramai orang. Saya akan cuba sedaya upaya saya membantu. Saya akan kembalikan semangat orang lain biarpun diri saya terpaksa berkorban.

Saya dah berjaya dalam beberapa kes. Tapi bila ia menimpa diri, sukar untuk diperkatakan. Biarlah Allah yang menentukan segalanya. Buat diri saya, sepahit mana pun saya akan telan.

Bila direnung masa depan, ia masih jauh. Saya tak pernah menyesal dengan jalan yang saya pilih. Saya lain dari orang lain. Biarlah saya pilih haluan sendiri. Kadangkala saya rasa saya terlalu lurus bendul, tetapi bagi saya saya tak akan sesekali menentang aturan. Saya terima walaupun ia bukan kehendak saya. Kalau hendak diikutkan kehendak manusia kita tak akan puas.

Sebab itu saya sentiasa berusaha memujuk diri. Saya sentiasa memberi semnagat pada diri sendiri. Saya sentiasa mahukan hati yang waja. Jatidirir yang ampuh. Sebuah perjuangan dalam menempuh kehidupan yang penuh mencabar. Biasalah jika terluka dan sedalam mana pun luka itu, perjalanan dan perjuangan harus kita teruskan.

Sebelum saya tidur saya teringat kata Luqmanul Hakim... “ Jika engkau meragui akan sebuah kematian ia samalah dengan engkau tidak mempercayainya tidur kerana lambat laun engkau pasti akan mengantuk dan tertidur jua dan sekiranya engkau meragui akan hari kebangkitan selepas mati ia samalah dengan engkau tidak mempercayai bangunnya dari tidur kerana pasti anda akan terjaga dari tidur itu.”

Dalam keadaan sekarang, saya memang dalam situasi yang agak sukar. Tapi bila saya tanya seorang kawan saya dan minta dia jawab secara jujur, “Adakah wajah saya menunjukkan saya bermasalah?”

Dia menjawab sambil tergelak,” Saiful bermasalah? Tak pernah saya nampak wajah awak muram, asyik tersenyum sepanjang masa. Langsung tak nampak ada masalah!”.

Mungkin itulah kekuatan saya. Sampaikan di kampung saya, ada orang  tua memanggil saya “Budak yang tak pernah bermuka masam”. Alhamdulillah... Allah sahaja yang tahu segalanya...

Kata-kata yang membuatkan diri saya semakin kuat menghadapi cabaran kehidupan. Ya Allah andai ada lagi ujian buat diriku, aku akan terimanya dengan penuh redha. Aku pasti Engkau akan tetap membalasnya nanti. Hanya sesungguhnya Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa...

WASSALAM...

06 OKTOBER  2003 

ASSALAMUALAIKUM...

Ya Allah Engkau berikanlah aku ketabahan hati mengahdapi semua ini. Aku tak pernah mempertikaikan segala ketentuan Engkau. Aku sentiasa melihat diri ini yang penuh kekurangan yang maha daif dan selalu ingkar atas segala suruhan Engkau. Aku terima segalanya. Aku redha YA Allah.

Kalau pun Engkau inginkan aku merana aku terima Ya Allah asalkan cintaMu padaku tidak hilang. Hanya Engkau tempat aku mengadu dan meminta. Berikanlah aku ketenangan yang hakiki. Jauhkanlah dasar hatiku dari kekecewaan. Jadikanlah aku seorang hamba yang sentiasa redha dengan ketentuanMu Ya Allah.

Hmmmm... Terasa berat untuk jari ini menaip segala rasa dalam jiwa. Sukar nak digambarkan perasaan saya ketika ini. Ada gembira, sedih, kecewa dan macam-macam. Inilah lumrah dunia. Kita tak akan dapat segala yang kita impikan. Pasti akan ada yang akan kita tidak dapat kecapi.

Sekarang musim hujan. Hujan yang amat lebat. Seolah macam diri ini menangis atau apa? Yang pasti saya suka kan saat hujan. Semakin lebat semakin saya suka perhati dan halusi. Ketika hujan lebat, saat itulah saya berdoa meminta segala hajat saya kepada Allah. Saya rasa tak ada orang tahu salah satu amalan harian saya ialah setiap hari sejak bulan Ogos 2001, saya tak pernah lupa Solat Sunat Hajat. Saya meminta apa yang saya ingin.

Saya sentiasa berdoa sewaktu hujan turun kerana waktu itulah antara waktu yang mustajab untuk berdoa kerana waktu itulah Rahmat Allah turun. Tapi saya mengerti benar kenapa doa saya ditolak. Ada 10 sebab mengapa doa ditolak dan saya mengerti dan redha...

Tanggal semalam, barulah saya tahu ia dah tinggal kenangan. Bagi saya ia terlalu indah. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau meminjamkan aku perasaan itu. Alam ini memang singkat. Sekelumit pun sudah memuaskan hati saya.

Saya kini umpama seorang yang dirempuh badai yang cukup pedih. Tatkala saya menerimanya, perasaan saya seakan goyah tetapi Alhamdulillah Allah anugerahkan sekeping hati yang cukup kuat. Biarpun dalam tekanan saya mampu hadapi kerenah pelanggan yang cukup banyak. Ya Allah aku bersyukur atas apa yang berlaku.

Aku tahu aku bukannya layak. Tapi aku tahu Engkau sudah menetapkan segalanya dan keputusan Engkau yang terbaik buat diriku. Yang pasti hari ni saya bergelut dengan perasaan. Bila balik kerja, saya sengaja biarkan diri saya di tengah hujan. Saya rasa tenang.

Saya buka Al-Quran dan saya baca sambil menangis sepuas hati saya. Alangkah indahnya saat itu. Terima kasih Ya Allah kerana berikan aku kekuatan untuk menghadapi segalanya. Yang pasti saya akan terus berjuang. Berjuang mencapai destinasi yang abadi. Biar pun saya dihujani dengan pelbagai cabaran, saya tak akan berhenti. Saya serahkan hidup saya pada Allah. Apa jua yang Allah ingin perlakukan atas saya, saya redha...

Menelusuri liku-liku kehidupan ia bukanlah semudah yang disangka. Ia menuntut kita sentiasa memahami setiap kejadian dengan mata hati. Kalau hati kita bersih, InsyaAllah kita akan dapat beristiqamah di landasan yang benar. Begitulah jua sebaliknya.

Saya akan jadikan pengalaman hari ini dan semalam sebagai satu titik tolak ke arah pembangunan diri saya yang lebih baik dan saya yakin kepada Allah. Saya tak pernah ragu kepada Allah. Biarpun ketika ini bisikan iblis mengatakan itu dan ini tetapi Alhamdulillah saya adalah jenis yang redha dengan setiap ketetapan Allah.

Saya masih teringat saat kematian ayah Zam, tatkala itu hujan cukup lebat, saya rasa cukup syahdu. Saya terkenangkan bacaan talkin. Ya memang hidup di dunia ini amat singkat. Jadi peluang yang kita ada manfaatkanlah sebaik mungkin.

Pasti ramai yang tak tahu kenapa saya tulis sebegini pada hari ini. Yang pasti saya akan terus merahsiakannya. Biarlah ia menjadi sebahagian dari lipatan sejarah hidup. Hidup ini terlalu indah sebenarnya. Di sebalik setiap ujian ada kemanisan. Jika ia mendekatkan diri saya kepada Allah saya terima. Dan saya yakin kepada setiap keputusan-Nya. Apalah daya seorang insan, hatta untuk menahan sehelai rambut dari berubah warna pun tak termampu. Sebab itu saya sentiasa tanamkan dalam hati saya keredhaan atas segala sesuatu.

Mulai saat ini, saya mulakan langkah baru. Impian asal (Kerdehaan Allah) saya tidak berubah cuma saya kena ubah sedikit haluan saya. Ya Allah saya pasrah dengan segalanya... Sesungguhnya aku amat sayangkan Engkau Ya Allah. Itu pasti walaupun tindakan aku kadang kala tidak melambangkannya.

Warna sabar dan warna solat dalam lukisan kehidupan.

Dalam sebuah hadith sahih:

Sungguh mengagumkan bagi seorang mukmin, (kerana) tiada berlaku suatu taqdir Allah pun padanya melainkan menjadi suatu kebaikan padanya. Apabila dia mendapat nikmat, (lalu) dia bersyukur, maka itu menjadi kebaikan padanya. Dan apabila dia ditimpa bencana, (lalu) dia bersabar, maka itu juga menjadi kebaikan padanya. 

Maha Suci Allah... Tuhan Sekalian Alam...

Salam keinsafan penuh kesyahduan dari seorang Hamba yang cuma menumpang dan berkelana di bumi Allah...

WASSALAM...

05 OKTOBER  2003 

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ni saya memang kelam kabut. Saya ada banyak sangat kerja. Saya terikat dengan itu dan ini. Cukup sibuk. Bilalah kesibukan ini akan lepas dari jiwa saya? Banyak sangat orang cari saya hari ni. Saya terpaksa membahagikan masa saya untuk orang dan kerja. Sesibuk mana pun saya akan cuba penuhi permintaan orang. Ramai yang memerlukan bantuan saya.

Hari ni saya sepatutnya masuk kerja jam 12 tetapi oleh kerana banyak benda yang perlu saya bereskan saya masuk kerja jam 1. Lewat sejam. Tapi tak apa saya akan cover balik dan hari ni saya kerja sampai jam 9 malam.

Cuma dalam hati saya ada satu perasaan yang tak sedap. Saya cuba tolak dari fikir yang tak elok. Alhamdulilah saya berjaya. Tapi apa pun, Allah tetap di hati saya. Saya tak akan salahkan Allah andai saya gagal. Saya akan salahkan diri sendiri.

Saya balik dalam hujan kira-kira jam 10 malam. Kemudian saya repair sikit lagi komputer saya sebelum saya masuk tidur kira-kira jam 2 pagi.

WASSALAM...

04 OKTOBER 2003

ASSALAMUALAIKUM...

Tahniah buat MPPJ yang menjadi juara Piala Malaysia. Saya jangkakan Sabah tapi MPPJ. Persembahan yang hebat. Sejarah tercipta buat pertama kalinya pasukan berstatus Kelab menjadi juara Piala Malaysia dan pasukan dari Perdana Dua menjuarai piala berprsetij ini. Tahniah!!!

Hari ni mcam biasa. Waktu pagi saya banyak habiskan masa saya di rumah melakukan banyak kerja peribadi. Saya kena improve diri saya. Saya tak boleh di takuk lama. Saya kena sentiasa memperbaiki diri.

Kemudian saya masuk kerja kira-kira jam 4 petang hingga 12 tengah malam. Tak banyak yang nak saya saya cerita hari ni. Cuma hari biasa sambil menanti debaran yang semakin memuncak... Hehehe...

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini--- [Arkib 2002][89][90][91][92][93][94][95][96][97][98][99][100][101][102][103][104][105][106][107][108][109][110][111][112][113][114][115][116][117][118][119][120][121][122][123][124][125][126][127][128][129][130][131][132][133][134][135][136][137][138][139][140][141][142][143][144][145][146][147][148][149][150][151][152][153][154][155][156]


(Sejak 06 April 2003)

Selected Geng Jurnal’s Site
(To add your site please email me and make sure you are the member of Gengjurnal)

[Rudy bluehikari][Shaukhi][Blueshades]]Tok Rimau] [Wanzu][Fajar] [Mie] [Angah][Immhezlin][Rizal][Bandar Sepi][Pak Di] [Pujangga] [Bintang Sepi] [Cipong][Anna Abadi][Jasnita][Idzwan Firdaus][Tat-Teluq][Muring][Basrie][Hijau Kuning]

Baca Diari Sebelum Ini

Saifulazrul Collection 1999-2003
Provided by Saiful Azrul Che Lah