Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

26 OKTOBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

Kedah VS Selangor (Separuh Akhir kedua)
(Stadium Darulaman)

Tugas berat bagi Kedah untuk mengatasi defisit dua gol. Namun bola itu bulat segalanya boleh terjadi. Selagi wisel penamat belum dibunyikan selagi itulah kita tidak tahu siapa pemenang perlawanan.

Adat perlawanan ada memang adan ada kalah. Tetapi saya yakin Kedah akan menang. Skuad muda Kedah ada potensi untuk berjaya. Buat Ariep! Saya rasa Kedah menang 3-0!

Kedah tidak pernah kecundang digelanggang sendiri tahun ini. Perak pun tewas dengan Kedah di Darulaman. Terengganu pun tewas. Pahang pernah dibelasah 7-0 di sini awal tahun ini. Pendek kata Stadium Darulaman merupakan tempat keramat bagi Kedah.

Sedikit sahaja silap, Selangor pasti akan dihukum. Apa tah lagi jentera serangan Selangor terencat akibat tiada Mass Sarr yang cukup bahaya. Saya dah gelarkan dia sebagai pemian import terbaik pada pandangan mata saya.

Kedah pula kalau main di Stadium Darulaman memang cukup bertenaga. Nampak gayanya saya kena cari tiket awal hari ni sebab rasa macam nak penuh sahaja. Dengar cerita supporter Selangor akan datang lebih kurang 2000 orang. Apa pun saya tetap akan ke Stadium Darulaman malam ni.

Saya memang cukup yakin Kedah boleh atasi Selangor. Apa pun malam ni kita tunggu dan lihat...

Seperti biasa pada waktu pagi saya turun berjogging. Dalam jam 12 tengah hari saya dah ke Stadium untuk membeli Tiket bola. Kena beratur sampai dekat setengah jam! Ramai betul orang. Rasanya memang ramai malam ni. Nampak gaya macam nak habis tiket je.

Lepas tu pergi ambil gambar konvo saya di Jalan Sultanah. Baru dapat tengok. Tengoklah nanti kalau ada masa saya akan masukkan dalam diari saya. InsyaAllah...

Bila saya balik rumah Abang Midi dengan Zam pun minta tolong beli tiket. Amboi Zam dekat Langkawi pun sanggup balik! Terpaksa la ke stadium sekali lagi. Terpaksalah beratur sekali lagi. Ramai betul orang.

Waktu balik terpijak paku. Aduh sakitnya. Ujian...Tapi tetap turun main badminton. dan kali ni Abang Midi kalah lagi. Hehehe... Stamina saya dah cukup mantap sekarang ni. Hehehe... Jogging tiap-tiap hari dan jaga pemakanan memang rasa cukup selesa. Macam nak mengamuk je Abang Midi bila kalah.

Malam ke Stadium naik kereta Abang Midi. Nak parking pun jauh betul. Ada yang terpaksa parking 2-3  kilometer sebelum stadium. Memang sesak. Orang memang ramai. Bila masuk stadium. Suasana cukup bingit. Scoreboard pun dah siap! Siap warna warni lagi. Minggu lepas kosong je. Amboi dah banyak duit KFA ni.

Saya rasa dalam 45 000 hingga 50 000 orang datang tengok bola hari tu. Tiket habis dijual. Memang meriah. Dah lama tak rasa suasana macam ni. Teringat balik kenangan tahun-tahun 80-an dan awal 90-an. Memang peminat dah kembali ke stadium.

Stadium Darulaman merupakan antara venue yang sentiasa menyaksikan penonton teramai dalam liga tahun ni. Kurang-kurang pun 5 000 orang akan datang tengok. Satu stadium lagi ialah Stadium Perak.

Tapi Kedah cuma seri 1-1. Kalah dari segi agregat 4-2. Esoklah saya ulas. Malas nak ulas malam ni. 

WASSALAM...

25 OKTOBER 2002 [JUMAAT]

ASSALAMUALAIKUM...

Kasih sayang seorang hamba kepada pencipta merupakan kemuncak cinta dalam diri seseorang insan. Kasih kepada Allah memberikan ketenangan yang hakiki. Ketenangan yang tidak akan dapat dijual beli di mana-mana. Hati yang hidup akan menjana hidup yang sejahtera. Itulah manfaat Kasih Kepada Allah.

Banyak cara untuk kita melahirkan kasih kepada Allah. Salah satunya adalah dengan mentaati Allah. Melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Itu adalah antara inti pati khutbah Jumaat yang saya hadiri di Masjid Alor Semela hari ini. Renungkanlah bersama...

Seperti biasa saya turun berjogging. Hari ni keras sikit latihan. Stamina kena maintain. Amalkan cara hidup sihat. Jangan merokok dan makan hanya benda-benda yang berkhasiat. Barulah stamina terjamin. Susah nak penat dan akhirnya senang nak menang. Hehehe... Apa pun Alhamdulillah saya rasa semakin bertenaga walaupun mengalami penurunan berat badan.

Saya cuma berehat di rumah. Sebelum Solat Jumaat, lazimnya saya tidur sekejap sebab tak mahu tertidur waktu khutbah. Tapi hari ni terlewat sikit. Selalunya sempat dapat saf depan. Tapi hari ni lewat sikit. Nasib baik tak azan lagi.

Selepas solat Jumaat saya cuma berehat dan waktu petang ingat nak main badminton tetapi dewan berkunci pulak. Terus balik dan tonton Al-Kuliyah. Tajuk Bina Masjid. Kemudian saya cuma buat apa yang patut.

Selepas Maghrib saya ke Pasar Malam dan beli sedikit barang. Kemudian saya cuma tonton perasmian tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan. Last sekali saya tonton cerita Api Cemburu di TV1. Cerita tahun 80-an. Memang saya minta cerita tahun 1980-an. Tapi bila bukak TV tak ada pun. Kenapa pulak. entahlah...

Kemudian guna Internet sekejap untuk semak dan balas email dan terus tidur.

WASSALAM...

24 OKTOBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

Rezeki itu di tangan Allah. Alhamdulillah hari ini saya terima cek bernilai RM 200 atas kemenangan saya dalam satu peraduan. Waktu sesak-sesak macam ni RM 1 pun nampak macam RM 10. Apa tah lagi RM 200. Dapatlah tampung sedikit sebanyak keperluan dan kehendak saya. Alhamdulillah...

Saya memulakan pagi saya dengan bersahur. Kemudian saya terus sambung tidur. Jam 10 pagi saya ke Alor Setar. Kemudian saya tengok cerita Miss Penang. Semalam pun saya tengok. Hari ni siri last. Bukannya apa. Saya memang minat dengan cerita yang berloghat utara ni. Saya suka dengar orang utara bercakap.

Memang saya akui saya tak berapa pekat sangat cakap utara. Tapi saya suka dengar. Kawan saya cakap bahasa utara ni kasar. Tapi bagi saya taklah. Sebab itu kalau orang itu boleh cakap utara saya memang suka sembang dengan dia. Hehehe...

Lupa pulak nak cakap yang Pak Njang saya dari langkawi ada di rumah saya sebab terpaksa bertugas di Alor Setar. Nampaknya pengarah tu dah sukakan Pak Njang. Hehehe... Pak Njang saya balik Pulak ke Pendang selepas Solat Zohor.

Petang saya tak turun main badminton sebab ankle kaki saya injured sikit. Saya tak mahu ambil risiko. Biarlah ia pulih dulu. Bukannya lama sangat. Esok legalah. InsyaAllah.

Malam, selepas baca Yassin bersama keluarga saya cuma berehat sambil menonton TV di rumah dan saya tidur agak awal. Kira hari ni rekod lebih 24 jam saya tak akses Internet. Hehehe...

WASSALAM...

23 OKTOBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

Saya terfikir sejenak sewaktu saya terima panggilan dari Mak Long saya tentang kematian seorang saudara saya yang sakit kencing manis. Untuk apa kita mencapai apa sahaja yang kita ingin dalam dunia ini kalau akhirnya kita akan mati. Mungkin kita boleh dapat rumah yang besar. Harta yang banyak dan lain-lain tapi akhirnya kematian menjemput kita.

Tapi bila difikirkan balik semuanya adalah bergantung kepada niat kita. Sama ada kita hanya berkiblatkan dunia atau kedua-duanya sekali. Bagi saya biarlah kita dapat kedua-duanya dengan memberatkan sedikit soal akhirat kerana di sanalah destinasi abadi kita.

Sebab itu dunia dikatakan sebagai tempat untuk kita mencari bekalan untuk akhirat. Tidak boleh tidak kita akan berhadapan dengan kematian. Kadang-kadang saya terfikir saat-saat kematian. Cukup menakutkan. Apa tah lagi dengan keadaan kita yang sering melakukan kemaksiatan kepada Allah.

Sebab itu mengingati mati adalah salah satu cara mendidik hati. Ingatlah sekali kita menarik nafas kita sebenarnya semakin dekat dengan kematian.

Berbalik kepada diari saya hari ini. Alhamdulillah hari ini saya kembali turun berjogging selepas berpuasa selama dua hari. Kemudian selepas baca paper saya berehat dan ketika itulah saya terima panggilan tentang kematian saudara saya di Batu Menunggul Pendang.

Arwah meninggal di Perlis dan dibawa pulang ke rumahnya pada waktu petang. Jadi saya pun bawa emak saya ke sana. Sengaja saya pilih jalan yang banyak sawah di sekelilingnya. Mendamaikan hati pemandangan sawah. Hijau yang menenangkan. Sebab itu saya amat sukakan Negeri Kedah. Saya sukakan lautan sawah yang terbentang luas. Cukup indah.

Dalam banyak-banyak daerah di Kedah saya pilih Daerah Yan sebagai tempat yang paling permai bagi saya. Cantik! Anda boleh saksikan lautan sawah padi yang menghijau dan diakhirnya adalah Gunung Jerai yang tinggi membiru diselimuti keputihan awan. Di sebelah sana ada lautan laut. Kalau anda teringin nak mandi air terjun anda boleh pergi ke beberapa lokasi yang cukup menyeronokkan seperti Batu Hampar dan Seri Perigi.

Pantai pun ada jugak tapi tak boleh mandi (Pantai Murni). Memang mendamaikan. Kalau anda seorang penulis, memang banyak ilham yang akan terbit dari hati anda denga kedamaian ini. Percayalah...

Novelis Azizi Haji Abdullah pun dari Yan. Sasterawan Negara Abdullah Hussain pun dari Yan. Ada lagi nama-nama besar dalam penulisan seperti Tan Sri Ismail Hussein juga dari Yan. Memang daerah Yan cukup cantik bagi saya. Lain orang lain pandangannya.

Saya sampai di rumah jenazah dah ramai yang ada di sana. Teringat pula itulah rumah yang Tok Wan saya ajak dulu. Suaminya yang sakit beberapa tahun masih bernafas. Itulah kuasa Allah. Ajal maut itu ditangan Allah.

Alhamdulillah jenazah selamat dikebumikan selepas Solat Asar. Selepas itu saya terus bawa mak saya ke Tokai untuk membeli sedikit barang keperluan dapur dan terus saya bergegas pulang.

Sempat jugak saya main badminton. Hehehe... Hari ni cukup manis sebab dapat juga tewaskan Abang Midi. Seronoknyyyyyaaaa. Saya dah atur taktik yang memerangkap Abang Midi. Nampaknya ranking saya dah naik la. Hehehe... Adik saya still ranking no 3.

Malam saya cuma berehat di rumah dan kemudian saya pergi ke sekolah adik saya untuk hantar dia ikut rombongan ke KL. Waktu sebelum bertolak. Sempat jugak saya jumpa seorang guru saya waktu saya sekolah rendah dahulu. Cikgu Siti Rokiah Khimis.

Itulah cikgu yang banyak membangunkan diri saya sewaktu sekolah rendah dahulu. Selalu belanja saya makan. Beri dorongan untuk berjaya. Beri semangat dan tips. Memang saya cukup terhutang budi kepadanya. Itulah guru yang telah membangkitkan minat saya dalam bidang penulisan. Memang seronok dapat jumpa semula. Tapi tak sempat nak berbual lama.

Cuma malam tu ada benda yang cukup melucukan. Bayangkan rombongan terpaksa ditunda selama hampir sejam sebab salah seorang anggota rombongan sedang tidur di rumah. Ingat rombongan bertolak esok pagi. Silap jadual. Hehehe...

Selepas itu saya Abang Midi dan adik saya (Shaukhi) ke Star Walk dan saja minum di situ. Minum Milo segelas pun kena RM2! nasib baik Abang Midi belanja. Hehehe... Abang Midi cakap Star Walk sebiji macam Bangsar. Tapi saya rasa tak seronok sebab corak berpakaian remaja di situ cukup menjijikan. Saya pulak siap dengan berkopiah, Berbaju Melayu dan berkain pelikat nampak macam bertentangan dengan arus. Abang Midi dengan adik saya pun pakai biasa sahaja. Tapi itulah hakikat zaman sekarang. Kalau kita bijak menepis dugaan, InsyaAllah kita akan berjaya.

Selepas beli Char Kotiaw terus kami pulang. Malam tu Abang Midi bertolak ke KL jam 3.30 pagi dari rumah saya. Dan saya pun terus lelap.

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59][60][61]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah