Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

27 OGOS 2002

Saya cukup percaya yang industri sukan di negara kita boleh menjadi lebih maju malah jauh labih maju daripada sekarang jika tidak ada campur tangan politik dalam pentadbiran sukan. Memang malang. Kita ada pelbagai kemudahan bertaraf dunia tetapi kita masih gagal mencapai kelas dunia. Menghairankan!

Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Kita boleh tengok Vietnam dengan kemudahan yang tak seberapa, mereka boleh maju dan semakin maju dalam bidang sukan. Jika dulu mereka datang untuk lawan acara sukan di negara kita dengan terpaksa meminjam jersi daripada kita, kini mereka berjaya lebih daripada kita.

Takraw umpamanya. Dulu kita sebaris dengan Thailand. Kini dengan Singapore dan Myanmar pun kita tewas. Apa dah jadi? Olahraga lebih teruk. Bola sepak juga begitu. Semuanya berpunca daripada politik sehingga kita kehilangan banyak tokoh seperti Datuk Paduka Ahmad Basri Akil dalam bolasepak. Kenapa jadi begini.

BAM sewaktu pimpinan Tan Sri Elyas, berjaya membawa pulang Piala Thomas yang sudah 25 tahun tidak digapai. Tapi Datuk Abdullah Fadzil Che Wan membuatkan BAM kembali lemah. Mujurlah kini ia dipimpin oleh Datuk Nadzmi yang berjaya mengurus BAM secara korporat dan hasilnya, sukan badminton di negara kita semakin gemilang.

Pasukan Kedah juga begitu. Alhamdulillah kini semuanya dah semakin reda. Pasukan Kedah semakin cemerlang dalam setiap perlawanan masa kini. Saya rasa tak elok nak dedahkan semua plot-plot yang berlaku dalam KFA. Cukuplah kita buatnya sebagai iktibar.

Kalau kita nak maju. Kita kena profesional. Ketepikan bab politik. Bagi saya kalau kita terlalu berpolitik. Apa pun tak akan menjadi.

Hari ni saya tak dapat turun jogging disebabkan hujan pada waktu pagi. Jadi saya cuma melakukan beberapa aktiviti lain bagi mengisi masa lapang. Selepas hujan reda saya terus beli akhbar Berita Harian dan The Star. Puas baca dua-dua paper ni. Lepas tu waktu tengah hari sambung baca NST pulak. Hehehe...

Tak puas lagi baca saya keluar pergi beli majalah MASSA. Susahnya nak dapatkan! Puas saya pusing kawasan Alor Setar (Tak masuk pekan). Semuanya cakap dah habis (Dah habis ke tak jual? Hehehe). Terpaksalah saya masuk ke Bandar Alor Setar (Tahun depan Bandaraya) dan beli di Kedai kawan saya. Barulah ada.

Lepas tu sempatlah baca sikit-sikit dan kemudian selepas solat Asar saya tonton Kiranya Aku tahu. Kemudian saya semak email sekejap dan terus ke pasar malam dekat Taman saya.

Malam saya ke Stadium Darulaman tonton Kedah lawan NS Chempaka. Penonton taklah banyak sangat malam ni. Mungkin sebab tadi hujan kot. Orang yang jauh (Sungai Petani, Kulim, Baling dll) tak datang. Tapi adalah dalam 10 000 orang. Kira banyaklah tu.

Ulasan bola esok saya ulas. Hari ni penat. Nak upload pun ada masalah sikit. Lepas tengok bola saya terus balik rumah dan kemudian tonton English Premier Leegue pulak. Hehehe... Minat betul dengan bola. Lepas tu saya balas email yang saya dapat dan terus tidur.

WASSALAM...

26 OGOS 2002

Satu kisah lucu buat tatapan semua pembaca diari ni. Harap terhibur.

Kacang di rumah nenek

Pada hari minggu yang lepas Ali pergi bertandang ke rumah nenek tunang Ali. Sampai je kat rumah nenek tunangnya, biasala orang perempuan, terus je peluk dan nangis sikit-sikit. Lepas tu tunang Ali mintak izin utk ke dapur buat air ngan nenek dia. Ali pun duduk kat kusyen ruang tamu sambil belek-belek majalah.

Lama betul buat air... Ali pun tak tau le air apa yang diaorang buat. Yang Ali dengar sekejap-sekejap diaorang ketawa. Ali ternampak kacang Almond kat atas meja. Ali pun kunyah le sebab dah boring sangat.

Tak sedar dah sampai habis Ali makan. Tak lama lepas tu tunangnya dan nenek pun sampai bawa air. Ali pun dengan perasaan malu terus minta maaf kat nenek dia sebab dah habiskan kacang tu. Lepas tu nenek dia pun cerita la yang cucu-cucu dia selalu bawakkan coklat untuk nenek.

Nenek dah larang tapi diaorang tetap bawa jugak...habis tu nenek kena la makan. Nenek hisap je coklatnya dan kacangnya nenek kumpul sebab tak de gigi nak kunyah...

Ali terus rasa nak termuntah tapi ditahannnya...Hehehe..Biasalah kena Control Macho.

Saya harap anda dapat memahami cerita lucu di atas.

Saya bangun pukul 5.30 pagi hari ni untuk bersahur. Kemudian saya buat sedikit kerja dan tidur kembali pada pukul 7 pagi. Saya bangun semula pada pukul 9 pagi dan terus semak email dan beberapa proses pengemaskinian Laman Web saya. Kemudian waktu tengah hari saya habiskan dengan menonton TV. Kemudian waktu petang cuma berbual-bual bersama kawan di tepi rumah saya dan ke rumah Pak Long saya. Saja ziarah Pak Long saya yang baru menjalani pembedahan mata. Kemudian repair sikit-sikit komputer Pak Long saya. Lepas tu bergegas balik nak bukak puasa.

Alahmdulillah, mak saya buat nasi ayam. Sedap.....Selepas berbuka dan Solat Maghrib saya tonton Buletin Utama dan kemudian saya sambung melakukan kerja-kerja peribadi serta membalas email yang saya terima. Kemudian saya tidur dalam jam 1 pagi.

Tak banyak yang dapat saya cerita untuk hari ni. Esok saya akan ulas banyak pasal Piala Malaysia terutamanya pasukan Kedah sebab saya, InsyaAllah akan ke Stadium Darulaman menonton perlawanan Kedah Lawan NS Chempaka.

WASSALAM...

25 OGOS 2002

Satu peringatan tentang kematian.

Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya (Surah al-Araf, ayat 34)

Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila tiba ajalnya), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh (Surah an-Nisa, ayat 78)

Kematian sesungguhnya merupakan sesuatu yang pasti bagi kita. Cuma kita tidak tahu bila dan di mana. Justeru setiap hari kita sebenarnya semakin menghampiri kematian. Setiap detik berlalu mendekatkan lagi kita dengan kematian. Apakah kita selalu lupa tentang hakikat ini.

Untuk sebenarnya hidup ini cuma merupakan satu persinggahan dan dunia ini adalah tempat untuk kita mencari bekalan. Justeru kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri agar bekalan yang kita bawa nanti akan membantu kita di 'negeri akhirat'.

Kita tidak boleh menghalang kematian datang menjemput kita (rujuk petikan ayat Surah an-Nisa di atas). Kita terlalu lemah dan Allah yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa. Kematian hendaklah diinsafi dan diingati. Sesungguhnya dengan mengingati mati adalah antara amalan yang terbaik untuk menginsafi diri.

Abu Daud meriwayatkan satu hadis yang bermaksud" orang yang paling bijaksana ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang paling lemah ialah orang yang terikut-ikut pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah." Jelaslah di sini bahawa dengan mengingati mati kita sebenarnya merupakan termasuk dalam golongan orang yang bijak.

Firaun juga mati walaupun mendakwa dirinya tuhan. Sebanyak mana pun harta kita seperti Qarun, kematian tetap datang menjemput kita. Sebanyak mana kuasa seperti Firaun pun dan kekayaan seperti Qarun pun tiada gunanya. Yang penting adalah amalan-amalan soleh kita. tidak kita terfikir akan semua ini atau kita terlalu leka dengan arus dan gelombang dunia yang terlalu mementingkan kebendaan. Marilah kita sama-sama fikir dan renungkan.

Saya nak akhiri coretan saya hari ni dengan satu ungkapan " Takutkan harimau, kita lari dari harimau tersebut. Takutkan Allah, kita dekatkan diri dengan Allah".

Wallahu'alam

Berbalik kepada diari saya hari ni, macam biasa sahaja. Pagi saya turun jogging. Pagi saya habiskan banyak masa dengan membaca akhbar dan layari internet. Kemudian tengah hari saya tonton cerita Tamil di TV2. Kemudian petang saya buat sedikit kerja menggunakan komputer.

Petang saya semak email dan malam saya tonton berita, Talking Telephone Number dan under One Roof (rancangan kegemaran saya). Kemudian saya sambung buat sedikit kerja dan kemudian saya tonton Liputan Bolasepak Liga Piala Malaysia. Selepas itu saya kembali menyambung kerja-kerja saya dan membalas email kawan-kawan. Hari ni ada beberapa email yang panjang. Jenuh saya nak balas. Kemudian saya terus tidur dalam pukul 3.30 pagi.

Saya nak ambil sedikit kesempatan di sini untuk menjawab pertanyaan tentang gelaran 'Cikgu' atau 'Cekgu' yang diberikan kepada saya. Sebenarnya gelaran itu mula saya dapat pada tahun 1998 sewaktu saya menuntut di Pusat Matrikulasi UUM (PMUUM), Sintok. Tenaga pengajar di PMUUM dipanggil cikgu. Bila orang tengok penampilan saya, ramai yang tersalah anggap saya sebagai cikgu.

Di PMUUM, ada diterapkan budaya memberi salam kepada cikgu dan saya selalulah diberi ucapan "Assalamualaikum Cikgu". Terutama di kalangan pelajar perempuan yang tidak mengenali saya. Hehehe... Akhir sekali bila saya lalu di depan kelas 16 ada sekumpulan pelajar perempuan beri ucapan salam kepada saya. Lalu student kelas tu terus gelar saya cikgu. Dan gelaran itu terus melekat sampai sekarang. Saya lebih dikenali dengan ucapan cikgu. Hehehe...

Sebenarnya saya paling suka dipanggil dengan nama  saiful (not saipol). Tapi kalau orang nak panggil Cikgu saya tak kisah sangat. Banyak juga cerita yang lucu dengan gelaran cikgu ni.

1. Orang selalu ingat saya merupakan jurusan pendidikan.

2. Orang ingat saya adalah bekas guru yang sedang melanjutkan pelajaran.

3. Kadang-kadang ada orang buat lawak bila tanya "nampak cikgu tak?" "Nampak!"

    "Di mana?" "Di bilik guru". Bengang orang yang bertanya tu. Hehehe...

Banyak lagi yang berlaku di sebalik gelaran cikgu ni. Waktu di MRSM PDRM Kulim saya lebih dikenali dengan gelaran Ustaz. Adik saya tak tahu sangat pasal gelaran-gelaran ni. sampai satu hari seorang sahabat saya telefon rumah saya dan tanya "Ustaz ada ke tak?" Adik saya terus jawab silap nombor. Tergelak saya bila orang tu berkali-kali telefon dan barulah dia cakap Saiful Azrul.

Kalau di kalangan kawan-kawan dekat Taman saya ni ramai yang panggil saya Abang pon. Kalangan kawan waktu kecil-kecil depa panggil Bang On @ Boon. Ada juga yang panggil saya sheikh, Peter Gade, Figo, Shearer, Mat Komando (Ni Abang Midi punya kerja nasib baik dia dah stop panggil dah kalau tidak pecah rahsia. Hehehe...), Azrul, Dato', dan beberapa gelaran lain tetapi yang paling meluas ialah Saiful dan Cikgu @ Cekgu.

Saya pun tak tahu kenapa orang selalu keliru dengan identiti saya. Kalau saya di bangunan akademik orang bagi salam "Assalamualaikum Encik". Macam pensyarah. Pensyarah sendiri panggil saya Encik lagi pening. Bila tahu saya student nampak depa macam malu sikit. Pihak UK (Unit Keselamatan) panggil saya tuan. Pening betul... Entahlah. Nampak tua sangat ke saya ni. Bila saya libatkan diri dengan projek ramai yang panggil saya Abang walaupun pada hakikatnya mereka jauh lebih tua daripada saya. Entahlah. Kena buat sesuatu bagi nampak muda. Hehehe...

Kalau ikut saya, saya mahu orang panggil saya Saiful. Tapi saya tak kisah sangat kalau nak panggil saya dengan nama lain asalkan tidak membawa pengertian yang buruk sudahlah. Rasanya soalan tu dah terjawab...

Sikap: Gunung Yang Tinggi Tidak Boleh Menakung Air, Tetapi Lembah Yang Rendah Boleh Menjadi Tasik Yang Saujana Luasnya. Orang Yang Meninggi Diri Tidak Jatuh Orang Kepadanya, Sebaliknya Orang Yang Merendah Diri, Dapat Meminta Hati Orang Tanpa Susah Payah Lagi.

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah