Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

05 SEPTEMBER 2002

Sekiranya anda ingin melihat teks penuh esei yang saya karang anda cuma perlu klik sini.Ia adalah dalam bentuk Adobe Acrobat.

Saya bangun agak awal hari ni. Yalah seba nak bersahur. Kemudian selepas solat saya berehat sebentar di luar rumah saya. Tapi kemudian hujan lebat. Jadi terus saya tidur balik. Biasalah kenikmatan yang hanya dinikmati oleh seorang penanam anggur. Hehehe..

Saya tak berapa ada 'angin' nak tulis topik hari ni. Rutin saya seperti biasa. Cuma saya kena prepare sikit sebab saya dijemput memberi ceramah kepada student IT yang buat praktikum pada bulan 10 ni di UUM pada hari Sabtu ni. Hehehe..Kena bagi ceramah! Jenuh nak prepare isi kandungan nasib baiklah saya dah biasa.

Tengoklah. Entah apa yang nak saya cakap pun tak tahu lagi. Hehehe.. Apa pun saya akan ke UUM pada Sabtu ni dan tidur di sana. Saya cuma akan pulang pada pagi Ahad. Atas permintaan kawan-kawan. Terpaksalah. Hari Khamis depan saya juga akan ke UUM. Tidur di sana jugak...

Petang saya keluar sekejap beli nasi ayam untuk makanan berbuka puasa dan malam saya cuma tonton Berita dan kemudian buat sedikit maintainance web dan semak email sebelum tidur.

Tak banyak yang dapat saya ceritakan hari ni. Esok mungkin saya ada idea nak tulis apa.

WASSALAM...

04 SEPTEMBER 2002

Perspektif Generasi Merdeka: Menelusuri Kemerdekaan, Merenung Kembali Pengisiannya
(Siri Akhir)

Kita tidak menafikan banyak kejayaan yang telah kita kecapi namun setiap kejayaan yang dikecapi harus ada kesinambungannya. Ia tidak harus terhenti di situ sahaja kerana masa akan terus berputar dan segala isinya akan turut berubah. Kita mesti lebih peka dengan keadaan semasa. Masih banyak perangkap yang harus dibuang dan masih ada banyak aspek yang perlu kita terokai. Jika dulu zaman industri, kini ia sudah beralih kepada zaman teknologi maklumat. Justeru kita seharusnya cuba terus mengisi kemerdekaan ini dengan acuan kita sendiri. Tanpa penguasaan dalam bidang-bidang teknologi maklumat kita akan kembali dijajah walaupun ia tidak dalam bentuk fizikal.

Kita generasi pasca-merdeka. Itu yang sering kita laungkan, sering kita war-warkan dan sering kita banggakan. Apakah itu hanya semata-mata sebagai satu slogan? Tidakkah patut kita merasa malu kerana kita diberi ruang yang cukup luas untuk mengisi kemerdekaan yang dikecapi agar apa yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu boleh dibanggakan. Kemanakah hilangnya identiti kendiri kita? Jati diri yang hilang ini tidakkah mampu kita cari kembali?

Banyak lagi persoalan yang timbul dan kita perlu persoalkan agar kita benar-benar menginsafi diri kita dalam mengisi kemerdekaan ini. Ruang dan peluang terbuka luas untuk kita. Kita hanya perlu mengisi kemerdekaan bukannya mencari kemerdekaan kerana ia telah ditemui. Ingatlah mengisi kemerdekaan sama pentingnya dengan mencari kemerdekaan dan ia menuntut kita berfikir secara matang dan rasional. Fikirlah untuk  diri kita. Fikirlah untuk bangsa kita. Fikirlah untuk negara kita. Fikirlah untuk agama kita!

Usah bermimpi lagi. Demi negara marilah kita lakukannya. KERANAMU MALAYSIA!

Waktu bangun pagi hari ni rasa agak tak bersemangat pulak. Tapi pujuk jugak untuk bangun. Entahlah sebab apa rasa mengantuk sangat. Lepas tu semua OK bila fikir balik matlamat. Semangat balik. Tengah-tengah bersemangat nak jogging hujan pulak. Jadi terpaksalah batalkan hasrat berjogging. Petang ni pulaklah kot.

Lepas tu bila hujan reda sikit terus pergi beli akhbar dan buat pembacaan sepintas lalu dan kemudian sambung buat beberapa kerja peribadi dan kemudian semak email.

Tengah hari saya ke pejabat pos bayar bil Internet. Kemudian bila petang saya cuma berehat sambil tonton Kiranya Aku Tahu dan Roda Impian separuh akhir ketiga.

Malam saya cuma tonton Berita dan cerita cina di NTV7. Kemudian terus saya tidur. Tak sempat nak saya semak email dan bukak Internet. Tak banyak yang dapat saya ceritakan hari ni.

WASSALAM...

03 SEPTEMBER 2002

Perspektif Generasi Merdeka: Menelusuri Kemerdekaan, Merenung Kembali Pengisiannya
(Siri 3)

Golongan terpelajar dari Timur Tengah pula mengilhamkan apa yang mereka saksikan di sana. Penerbitan akhbar dan makalah mula bersemi. Perjuangan menuntut kemerdekaan semakin rancak. Penggunaan sastera untuk menyuntik semangat kebangsaan dan patriotis mula berkembang. Pak Sako dan beberapa nama besar dalam perjuangan melalui sastera telah kembali merangsang gelombang kebangkitan ini.

Kewujudan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan beberapa pertubuhan lain turut memangkin kepada kekuatan ini. Akhirnya selepas melalui zaman perit peralihan tampuk penjajahan kepada Jepun, keganasan Komunis dan kembali kepada British, kita akhirnya tersedar dari lamunan. Nenek moyang kita kembali bersemangat bermandi keringat melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Perjuangan kali ini lebih menyeluruh.

Dato’ Onn Jaafar telah memainkan peranan besar menghadapi Malayan Union ilham British. Dato’ Onn menyemarakkan perjuangan menuntut kemerdekaan secara lebih menyeluruh dengan menjadikan perjuangan tokoh-tokoh sebelum ini sebagai inspirasi untuk mencapai kemerdekaan dan akhirnya selepas semua penat lelah, negara berjaya melepaskan diri dari belenggu penjajahan.

Tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merayakan detik gemilang. Detik yang dinanti sejak sekian lama oleh sekelian penghuni bumi bertuah ini. Air mata kegembiraan mengalir di mana-mana. Anak-anak merdeka girang merayakan kemerdekaan negara. Ibarat suatu pesta semuanya merasa cukup bahagia. Ketika itu dirasakan betapa besarnya nikmat kemerdekaan.

Kini setelah 45 tahun merdeka, pengisian kemerdekaan itu boleh kita persoalkan. Timbulnya pelbagai macam masalah, jenayah dan lain-lain membuatkan kita tersentak. Apakah ini pengisian yang dapat kita beri kepada negara kita? Kalaulah masih ada pejuang kemerdekaan yang masih hidup, nescaya mereka akan menitiskan air mata kerana perjuangan yang mereka asaskan dahulu seolah tidak disambung oleh generasi kini.

Saya meneruskan program biasa pada waktu pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan lamcar dan semuanya terkawal. Bila saya baca akhbar hari ni banyak jugak isu yang timbul dan menarik minat saya tetapi malas saya nak tulis dalam diari ni. Kalau boleh guna Voice Recognition kan mudah. Hehehe...Kita cuma perlu cakap dan komputer akan tulis sendiri. Mudah kerja.

Tengah hari saya cuma berehat dan melakukan kerja-kerja saya yang sepatutnya. Kemudian saya tidur. Hehehe...Mana tahan malam tadi tidur pukul 4pagi. Sementara nak tidur dah pukul 4.30. Pukul 6.30 dah bangun dah lepas tu pergi jogging pulak. Lepas tu sambung buat kerja pulak.  Jadi saya terus masuk tidur.

Petang saya tonton Kiranya Aku Tahu dan Roda Impian. Lepas tu berehat di tepi tumah sambil tengok padang bola tepi rumah saya. Gian betul nak main bola. Rasanya hari Jumaat ni boleh main dah kot. Padang mungkin dah kering. Sekarang masih becak lagi. Geramnyaaaa nak main bola.

Minggu depan saya dah plan ke UUM dan main bola di sana. Lagi menarik! Hehehe...Dah janji dengan beberapa orang kawan dah. Saya akan tidur kat sana dan maaflah waktu tu mungkin saya akan lewat balas email. Kalau sempat saya akan balas secepat mungkin. Lepas tu saya ke pasar malam dekat taman saya dan beli sedikit makanan untuk makan malam.

Malam saya cuma tonton berita dan sambung buat kerja-kerja sendiri. Kemudian saya tonton English Premier League Highlight. Selepas tu saya sambung buat kerja sikit lagi dan kemudian terus tidur dalam pukul 3 pagi.

WASSALAM...

02 SEPTEMBER 2002

Perspektif Generasi Merdeka: Menelusuri Kemerdekaan, Merenung Kembali Pengisiannya
(Siri 2)

Masa terus berlalu. Kesedaran tentang kemerdekaan sebenarnya sudah semakin tinggi. Masyarakat Melayu kita tidak terkecuali dan setelah hampir lima abad dijajah, kita mula menyedari betapa pentingnya untuk mengecap erti kemerdekaan. Masyarakat kita pun turut mula menampilkan diri satu per satu dan mula bangkit memperjuangkan soal kemerdekaan negara. Tok Gajah, Dol Said, Mat Salleh, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong (sekadar menyatakan sebahagian) telah mula bersuara dan mengatur gerak untuk membebaskan tanah air tercinta dari genggaman bangsa asing dan turut sama mengejutkan minda pemikiran orang melayu yang selama ini lena dibuai mimpi ilham penjajah.

Waktu itu orang Melayu mula menyedari bahawa diri mereka dipermainkan. Doktorin barat yang meresap dalam tubuh mereka mula dikeluarkan. Penjajah cukup risau kepada senario yang berlaku lantas menjunamkan pelbagai tipu muslihat semata-mata untuk meencatkan arus kebangkitan ini. Namun mereka bernasib baik kerana dalam kebangkitan itu ia nyata secara berkelompok-kelompok. Tidak bersepadu dan sekata di seluruh negara. Ia hanya berdasarkan beberapa tempat dan tidak menyeluruh. Tok Gajah di Pantai Timur, Dol Said di Selatan, masanya tidaklah serentak dan itulah yang berlaku. Jadi penjajah mempunyai mekanisme yang cukup kuat untuk menepis perjuangan ini walaupun gagal menyekat semarak perjuangan ini daripada berterusan.

Berbalik kepada diari saya hari ini. Hasrat di hati nak bangun sahur tapi terlewat jadi tak jadilah berpuasa sebab perut rasa terlalu lapar. Nak buat macam mana. Kena makanlah jugak.

Kemudian saya semak email dan balas email yang saya dapat. Baca online journal dan beberapa berita semasa. Kemudian saya baca majalah MASSA minggu ini dan buat bacaan sepintas lalu.

Waktu tengah hari saya cuma awasi rumah sebab ada orang datang repair siling rumah saya yang terbakar lama dulu (tahun 1995 kalau tak salah saya). Lepas tu saya tonton Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kemudian saya buat sedikit kerja menggunakan komputer dan Men datang ke rumah dalam pukul 3 petang. Nak bertanya pasal konvo dan beberapa benda lain.

Kemudian saya terus sambung buat kerja. Pukul 5 tonton Kiranya Aku Tahu. Kemudian saya gunting rambut dan malam saya tonton Berita. Waktu malam Abang Midi datang tunjuk kereta baru dia. Kenari KBF 8955. Hehehe..Habislah Abang Midi...Nanti saya kacau dialah nampaknya. dia nak bertolak ke KL pukul 2 pagi ni bersama ahli kumpulan Firdaus untuk Show dan rakaman Cover album terbaru mereka.

Kemudian saya bantu ayah saya buat pengiraan sampai pukul 1 pagi. Bergeliga otak jadinya. Hehehe...Ingat nak tidur pukul 1 pagi bila semak email, mak ooii Banyaknya email hari ni. Jenuh saya nak balas. Banyak benda pulak nak kena settle. Banyaknya kerja Jadi saya tidur pukul 4 pagi. Alahai lewatnya!

WASSALAM...

01 SEPTEMBER 2002

Perspektif Generasi Merdeka: Menelusuri Kemerdekaan, Merenung Kembali Pengisiannya
(Siri 1)

Sekiranya anda menakrifkan kejayaan bagi sesebuah kemerdekaan hanya pada struktur ekonomi dan pembangunan sesebuah negara sahaja. Anda sebenarnya silap! Saban tahun kita menyaksi pelbagai takrifan dan juga isu dikait dengan pengisian kemerdekaan tetapi apakah bentuk pengisian yang sebenarnya? Satu persoalan yang perlu kita sama-sama fikir dan kupas.

Merdeka sememangnya bermaksud bebas, lepas dan berdiri sendiri. Namun apakah dengan hanya bebas dari segi lahiriah sahaja yang dikatakan sebagai merdeka? Merdekanya sesuatu bangsa adalah bererti  merdeka bukan sahaja dari segi lahiriah semata-mata tetapi juga dari segi pemikiran, mental dan spiritual. Ini kerana tanpa tiga aspek ini kita masih lagi dianggap belum merdeka walaupun pada zahirnya kelihatan sudah merdeka.

Jika ditinjau dan diimbas kembali zaman lampau anda akan mengerti apa yang cuba saya ketengahkan ini. Pada zaman dahulu pemikiran manusia tidak begitu berkembang. Kalau ada pun yang berkembang adalah dari golongan elit, ahli falsafah, saintis, pemikir dan golongan cendekiawan. Masyarakat marhaen langsung tidak mempamerkan peningkatan dan perkembangan minda yang memberangsangkan oleh kerana pelbagai faktor persekitaran yang tidak merangsang. Ini disebabkan oleh kongkongan dan hambatan oleh golongan pemerintah pada ketika itu kerana golongan pemerintah pada ketika itu mahu apa yang mereka atur dan rancang berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Masa merubah segalanya dan budaya pun turut tidak terkecuali. Perubahan budaya ini telah mencetus sedikit sebanyak perubahan dari segi pemikiran dan lantaran itu berlakunya beberapa peristiwa besar dalam sejarah dunia seperti Revolusi Perancis antaranya. Fenomena ini telah banyak mengubah minda masyarakat dunia tentang banyak perkara dan antaranya termasuklah soal kemerdekaan. Mereka mula berfikir dan cuba mencari jawapan. Semakin banyak yang difikirkan semakin banyak yang dapat dirongkai.

Itu adalah siri pertama artikel yang saya tulis sempena kemerdekaan negara. Ikutilah siri kedua esok, ketiga pada 3 September 2002 dan yang terakhir pada 04 September 2002.

Berbalik kepada diari saya hari ni. Seperti biasa saya turun jogging pada hari ni dan kemudian baca akhbar. Puas baca akhbar sampai tiga jam untuk baca Mingguan dan Berita Minggu. Macam-macam benda!

Tengah hari saya cuma menonton cerita Tamil di TV2. Lepas tu dapat surat mengenai konvo terus hilang minat nak tengok TV. Belek dan teliti keperluan untuk konvo. Semangatnya. Hehehe...

Lepas tu terus saya semak dan balas beberapa email. Kemudian saya tonton Kaho Na Pyar Hai (Lagi!) Balas dendam sebab semalam saya tak tengok. Rumah depan saya ada majlis pertunangan. Anak dara dia bertunang dengan orang Sarawak kot. Jiran saya tu kerja pelakon. Famous jugak tapi saya tak berapa cam sangat sebab jarang nampak. Kalau saya pergi nanti orang tanya saya pulak. Sudah....

Semalam pun orang asyik tanya. Boringnya! Kenapa soalan tu je yang selalu disoal? Entahlah. Kerja pun tak lagi. Lepas tu saya makan nasi goreng dan tonton berita pada waktu malam. Selepas tonton Under One Roof terus saya tolong ayah saya buat sedikit kerja. Kemudian saya tonton Badminton Terbuka Indonesia dan kemudian saya terus update laman saya.

Saya tidur agak lewat malam ni dekat pukul 2 pagi.

Hiburan Itu Tidak Mesti Membahagiakan Tetapi Kebahagiaan Itu Sudah Pasti Menghiburkan

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah