Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

28 SEPTEMBER 2002

Satu kisah lucu yang saya dapat dari seorang kawan saya. Ia tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup, atau telah meninggal dunia atau pun yang sedang pengsan.

Alkisah diceritakan dalam hikayat satu hari satu malam maka tersebutlah kisah seorang pencari kayu.Adapun si pencari kayu ini terkenal dengan sifat jujurnya lagi ikhlas.Beliau tinggal dipinggir hutan bersama isteri tersayang,hidup bahagia walaupun tiada cahayamata.

Suatu hari,ketika pencari kayu sedang menebang sebatang pokok di tepi sungai dengan tak semena-mena terlepaslah kapak besinya ke dalam sungai.Si pencari kayu berasa sedih kerana satu-satunya kapak yang merupakan hartanya telah hilang dalam sungai yang dalam itu.

Tiba-tiba muncul menjelma seorang pari-pari dan bertanya pada si pencari kayu,"Mengapa bermuram durja wahai tuan hamba?".Si pencari kayu pun memberitahu keadaan hal yang berlaku.Pari-pari tadi turun ke dalam sungai dan muncul dengan membawa kehadapan pencari kayu sebilah kapak emas.

"Adakah ini kapak milik tuan hamba?",tanya pari-pari.
"Bukan...",jawab si pencari kayu ringkas.
Pari-pari turun semula ke dalam sungai dan kembali
dengan membawa kapak dari perak.
"Yang ini tuan hamba punya?",tanya pari-pari lagi.


"Bukan yang ini",jawab si pencari kayu. Sekali lagi pari-pari turun ke dalam sungai kali ini membawa kapak dari gangsa. "Err..mungkin yang ini?,duga pari-pari. "Pacal yang hina ini tidak mempunyai kapak yang bernilai ini",jawab si pencari kayu jujur.

Akhirnya pari-pari turun ke dalam sungai dan naik memegang kapak besi milik si pencari kayu."Ya,inilah kapak hamba yang terjatuh ke dalam sungai tadi". Gembira dengan sifat kejujuran si pencari kayu,maka pari-pari memberi kesemua ke empat-empat kapak kepada si pencari kayu. Si pencari kayu pulang ke rumah begitu gembira sekali.

*******************************************************

Selang beberapa tahun,si pencari kayu dan isteri berjalan di tepi sungai menuju ke pekan.Si isteri tersadung kaki pada batu lalu terjatuh ke dalam sungai tidak timbul-timbul.Maka meratap menangis si
pencari kayu atas kehilangan isteri tercinta. Pari-pari muncul lagi lalu bertanya akan hal keadaan yang menimpa si pencari kayu.Dengan nada sedih beliau berkata,"Isteri hamba jatuh ke dalam sungai tidak timbul-timbul...".

Dengan segera pari-pari turun ke dalam sungai kembali bersam-samanya Siti Nurhaliza.


"Ini isteri tuan hamba?,"tanya pari-pari menduga. "Yes..yes",jawab si pencari kayu. Pari-pari begitu marah",Penipu,pembohonggg....,nah terima baaa...",belum sempat pari-pari habis menyumpah,si pencari kayu berkata,"Maafkan hamba!Bukan niat hamba berbuat demikian.Ini hanya salah faham".

"Jikalau hamba berkata 'TIDAK',tentu tuan hamba akan muncul dengan Maya Karin dan selepas itu Normala Shamsuddin.Akhirnya jikalau tuan hamba muncul bersama isteri hamba dan hamba kata 'YA" tentu tuan hamba akan memberi ke empat-empat mereka kepada hamba sedangkan hamba Cuma seorang pencari kayu yang miskin.Sebab itulah hamba kata 'YA'!!!".terang si pencari kayu ikhlas.

Betul jugak apa yang dikatakan oleh pencari kayu tu kan? Hehehe...Cuma satu kisah. Tapi ada juga iktibarnya.

Hari ni saya rasa kepala berdenyut-denyut. Rasa demam. Jadi saya cuma tidur sampai tengah hari. Selepas makan Panadol Soluble. Alhamdulillah saya rasa semakin kuat. Kemudian dapat berita gembira dari Hospital Manjung. Saya dapat sepupu baru! Pak Cik saya dapat anak sulung lelaki. Alhamdulillah...

Amboi jenuhlah saya nak ke Manjung. Mungkin Pak Cik akan bawak Mak Cik balik ke Pendang. Bolehlah saya ziarah nanti. Tak sabar nak tengok ahli baru. Lepas ni Pak Su saya pulak kot nak kahwin. Harap-harapnya begitulah. Tapi lepas tu jangan serang saya pulak. Tapi kalau kena serang, saya tahu siapa mangsa saya. Hehehe... Abang Long sayalah (anak Pak Long) sebab dia yang paling tua dalam hirarki cucu sebelah mak saya. Saya second.

Kalau sebelah ayah saya. Memangkira antara yang termuda. Bayangkan waktu Tok Wan saya hidup lagi. Dia dah ada piut! Maknanya cicit dia tua lagi dari cucu dia (saya).Oklah ubah topik pulak...

Petang saya cuma tonton cerita hindustan di TV3. (Biasa la memang minat cerita hindustan). Lepas tu saya ke kedai komputer kawan saya untuk bertanyakan pasal printer. Kemudian turun training badminton. Hehehe..Seronok dapat belasah adik saya. 6 Set! Menang semua! Semua OK. Stamina OK. Tak sia-sia berpantang itu dan ini. Tak boleh minum air manis-manis, asyik air suam sahaja. Makan itu dan ini. Kena jogging waktu pagi. Alahamdulillah on the right track untuk hari Jumaat ni.

Peluang tengok Roslin main hari tu banyak membantu. Saya dah dapat idea macam mana nak menang. Cuma dari segi kepantasan dan ketangkasan serta stamina kena pertingkatkan.

Dapat jugak baju Adidas free hari ni. Alhamdulillah. Adik saya yang bagi sebab saiz L tak muat dengan dia. Dengan saya muat. Dulu saya tak muat saiz L tapi sekarang dah semakin 'kecik' muat pulak sebab saiz saya selalunya XL atau XXL. Tapi terpaksa pakai baju yang lama-lama jugaklah sebab tak kan nak beli baru kot. Saya memang jenis yang tak beli baju sangat. Selalunya emak saya yang belikan. Kalau nak ikut perangai saya selagi boleh pakai saya akan pakai sampai rosak. Kalau koyak sikit-sikit tu tak kisah sangat.

Baju-baju saya kalau anda tengok banyak yang free. Sebab saya selalu masuk kejohanan-kejohanan sukan atau pun kegiatan-kegiatan yang kadang kala bagi baju free. Waktu kat LADA dulu dapat sponsor sampai 7 pasang baju! Tak masuk menang peraduan itu dan ini lagi. Hehehe... Alahmdulillah...

Malam cuma seperti biasa di rumah. Tengok TV. Paling best Kak Yus belanja KFC. Alahmdulillah. Sebab tolong dia buat assignment hari tu. Tapi nak makan banyak tak boleh. Sebab waktu malam dah, KFC tu banyak lemak. Nanti cepat penat pulak. Macam-macam saya sekarang ni bila masuk bab makanan. Hehehe...

Kak Yus tu kira saudara dekat jugaklah. Adik dia kawan dengan saya. Paling saya simpati ialah kawan saya tu kehilangan mak bapak waktu sekolah lagi. Dah takdir. Sebab tu mak saya memang banyak tolong. Sekarang ni Alhamdulillah semuanya OK.

Bukak Internet. Newcastle Menang 2-0. Baru rasa lega sikit. Mana taknya ranking fantasyfootball saya rasanya akan melonjak ke tangga 30 lebih. Sekarang dapat 56 mata. Semuanya jadi 240. Silap-silap dapat manager of the month. Point saya maintain pulak tu. Tiap-tiap minggu. Kurang-kurang 40 mata. Saya main ni untuk seronok-seronok sahaja. Walaupun dah menang beberapa hadiah tapi saya memang tak target langsung pasal hadiah ni. Yang penting seronok. Hadiah tu belakang kira.

Oklah setakat ini sahaja dahulu buat hari ni. Jumpa lagi esok. InsyaAllah...

WASSALAM...

27 SEPTEMBER 2002 [JUMAAT]

Ramai orang di dunia ini yang menyangkakan bahawa kebahagiaan itu hanya berpunca dari harta dan kekayaan. Sebenarnya mereka silap. Kebahagiaan yang hakiki datangnya dari jiwa yang sepenuh hati tunduk kepada pencipta. Ketika itu, walau setiap apa pun dugaan yang melanda dapat diharungi dengan penuh keyakinan kerana adanya kebahagiaan.

Itu adalah antara intipati khutbah Jumaat yang saya hadiri sewaktu solat Jumaat di Masjid Alor Semela bertajuk Kebahagiaan dalam Islam.

Sebenarnya saya nak kupas satu cerita tentang seorang kawan saya hari ni tapi saya masih belum bersedia lagi. Tengoklah dalam beberapa hari lagi. InsyaAllah.

Semalam saya cerita yang saya ke menziarahi seorang saudara saya di Pendang. Hari ni ada berita mengenainya dalam Akhbar Berita Harian halaman 6 bahagian 1. Kisah seorang ahli perniagaan pengiklanan di Bukit Mertajam mati diserang seorang pemilik anjing. Saya malas nak ulas cerita sebenar sebab saya pun masih kabur dengan apa yang diceritakan oleh saudara-saudara yang lain. Apa pun Al-Fatihah.

Hari ini sewaktu pagi saya ke Karnival IT di Institut Pengurusan Kedah (KIM) tapi dimaklumkan petang baru rasmi, jadi saya tunda ke sana selepas solat Jumaat. Alhamdulillah banyak input baru yang dapat saya perolehi. Saya lebih suka buat-buat tidak kenal langsung pasal IT ni. Konon-konon buta IT lah. Seba kalau buat macam-tu mudah nak tanya. Penerangan pun lebih lengkap. Lagi pun kita semua masih belajar. Jadi kena ada taktik. Hehehe...

Saya puji usaha adakan karnival IT ni sebab di area Utara ni khususnya Kedah memang jarang ada acara-acara seperti ini. Asyik-asyik di Penang. Di Alor Setar payah nak jumpa. Kalau di sebelah KL. Fuh..Meriah Cemburu jugak bila saya baca iklan itu dan ini.

Kemudian saya ke Komplek Belia dan Sukan Kedah untuk menyaksikan Klinik Badminton oleh Han Jian (bekas pemain China). Banyak jugak yang dapat dipelajari walaupun apa yang diajarnya itu terlalu asas. Jumpa pulak dengan beberapa orang kuat badminton Melayu Kedah. Bincanglah sikit pasal badminton ni dan kejohanan di Sungai Petani minggu depan. Alhammdulillah jadual saya mula hari Jumaat 04 Oktober 2002. Mudah sikit. Cuma sekarang kena fikir pengangkutan. Kalau Abang Midi ada bolehlah pau Kenari baru dia tu. Hehehe...

Petang saya dan adik saya di Taman Rimba Alor Setar untuk berjogging. Alhamdulillah dapat buat lima pusingan tanpa henti. Kebiasaannya saya cuma buat tiga pusingan padang golf sahaja. Entahlah sejak dua menjak ni. Rasa stamina semakin Ok pulak.

Malam saya dijemput untuk ke kem training badminton di Kompleks Belia dan Sukan Kedah. Ada seorang yang jemput saya. Saya dan adik saya pun cuba-cubalah. Suasana latihan kira OKlah tapi banyak ditumpukan kepada budak-budak bawah 15 tahun. Jadi saya dan adik saya berlatih sendirilah sebab ramai yang tak turun disebabkan oleh hujan lebat.

Waktu nak balik. Kereta ada problem sikit. Habis saya terpaksa bermandi hujan lebat. Alhamdulillah akhirnya berjaya dihidupkan. Terpaksa pasang air cond pulak. Rasa macam nak demam jadinya. Bila balik rumah rasa pening-pening. Terus tidur.

Pasal kekalahan Malaysia kepada Oman (bola). Saya malas nak komen.

WASSALAM...

26 SEPTEMBER 2002

Satu cerita buat penyegar minda hari ini. Enjoy it...

Pada satu ketika, ada satu pertandingan untuk orang ramai menunjukkan kehebatan masing masing menggunakan senjata. Ada 2 peserta yang dapat masuk akhir, Zorro ngan Robin Hood.

Pada satu ketika, ada satu pertandingan untuk orang ramai menunjukkan kehebatan masing masing menggunakan senjata. Ada 2 peserta yang dapat masuk akhir, Zorro ngan Robin Hood.

Mereka berdua pun masuk dalam hutan untuk berjalan jalan sambil mencari idea untuk pertandingan mereka. Sedang berjalan jalan, mereka terjumpa seorang perempuan dari kaum orang asli yang sungguh cantik. Mereka berdua sepakat untuk bertarung dan siapa yang menang akan dapat perempuan tersebut.

Mereka pun memanggil perempuan tersebut dan meletakkan sebiji epal diatas kepala perempuan itu. Memula Zorro nak mulakan pertandingan. Dia pun bergerak sejauh 50 meter dari perempuan itu dan membaling PEDANG nya kearah epal diatas kepala perempuan tu. Zuuupppp, terbelah dua epal tu.

Perhgggg, dengan bangganye, si Zorro jerit... "I AM ZORRO....."

Kemudian giliran Robin Hood plak. Dia mengambil jarak 100 meter.
Kemudian menggunakan ANAK PANAH nye. Zuuupppp, terbelah dua epal yg baru diletak atas kepala perempuan asli tu. Dengan jobonye jugak.... si Robin Hood kata.... " I AM ROBIN HOOD............"


Sedang mereka bertarung, lalu lah seorang penduduk lelaki orang asli
disitu. Dia merasa tercabar kerana dengan senang lenang nye pompuan kaum dia nak kena kawin ngan orang luar. So, atas rasa tanggungjawab, dia pun masuk pertandingan tu jugak. Dengan menggunakan sumpit dan jarak 150 meter, kini giliran orang asli tu plak. ZZZZUUUUUPPPPP.............!!!!

PPRRAAPP. Kena kepala pompuan tu dan mati. Dengan selamba orang asli tu kata....... "I AM SORRY....!!"

Hehehe...Naya je kan? Kalau jadi macam tu. Cuma cerita. InsyaAllah esok saya akan bawakan satu cerita benar (Nama akan dirahsiakan). Saya akan kupas tajuk tu kalau saya berkesempatan dan tiada aral melintang. Kalau tak sempat saya akan bawakan dalam diari ni pada minggu depan. InsyaAllah

Alhamdulillah, dapat sekali lagi berpuasa dalam Bulan Allah ni. Cuma ada satu benda yang saya masih gagal lakukan. InsyaAllah saya akan cuba jugak sekali. Bulan Syaaban dah dekat. Bulan Ramadhan pun semakin hampir. Harapnya dapatlah kita sama-sama dapat mengecapi keindahan Ramadhan sekali lagi. Mudah-mudahan.

Waktu pagi banyak saya habiskan dengan membaca majalah MASSA minggu ni, kemudian Harian Metro dan berita Harian. Waktu tengah hari saya bercadang nak training badminton tapi ada kematian di kampung saya. Jadi saya tukar plan dan ke kampung saya. Bukannya apa. Satu untuk eratkan tali persaudaraan dan paling utama ialah kita belajar menginsafi diri dan mengingati kematian.

Suatu hari nanti kita pasti akan mati. Jadi dengan mengingati mati. Kita tidak akan lalai dan sentiasa beringat dalam hidup. Kalau sekarang kita miliki rumah besar, lautan harta, suami/isteri/anak, semuanya akan ditinggalkan. Jadi kita akan selalu beringat sambil menambahkan ketakwaan kita kepada Allah.

Saya sengaja memilih jalan yang jauh sikit untuk ke kampung saya di Pendang. Jalan yang saya pilih ni memang menjadi pilihan saya sebab amat damai. Melalui jalan ini saya akan merentas lautan sawah padi dan memang cukup mengasyikkan pandangannya. Di hadapan sana ialah tertancap gagah Gunung Jerai dan di sebelah kanan seiring dengan jalan yang saya lalui adalah Lebuhraya Utara Selatan. dan di sebelah kiri saya adalah lautan sawah yang terbentang luas. Damai kan?

Kalau waktu petang, saya akan berhenti sekejap sambil menikmati keindahan alam. Saya ada impian nak mendaki gunung tinggi dan menghayati keputihan salju yang mendamaikan mata memandang tetapi bagi saya, pemandangan yang paling mendamaikan hati saya adalah lautan sawah padi yang menghijau.

Entahlah nanti kalau saya terpaksa bekerja di KL atau luar dari Kedah, bagaimana nak saya cari kehidupan sebegini? Melalui gambar? Mungkin...

Lupakan bab tu.

Sebelum ke rumah si mati saya singgah terlebih dahulu di rumah Mak Teh saya. Alhamdulillah semuanya sihat. Paling seronok ialah dukung sepupu saya yang paling kecik, Ruzaimi. Cuma di situ ada orang yang kurang siuman lalu lalang. Itu yang agak merisaukan Mak Teh saya. Kalau saya, saya tak kisah sangat sebab saya berani lawan. Tapi kalau Mak Teh saya dengan anak-anak dia yang kecik-kecik tu macam mana?

Susah kan. Waktu saya dukung Ruzaimi, orang tu lari. Dengar cerita dia takut kat Orang lelaki. Orang tu jenis gila seks ceritanya. Risau pulak saya dengan Raihanah nanti. Kalau jadi apa-apa jenuh. Kalau saya ada, tak kisah sangat. Biarlah dia bawak parang (selalunya) pun, InsyaAllah saya boleh lawan. Tapi kalau budak-budak ni... Takut jadi macam kes budak kecik kena sembelih hari tu. Minta simpang...

Saya pun tak tahu nak buat apa lagi. Kemudian saya ke rumah Tok Wan saya. Alhamdulillah dalam usia lebih 80 tahun Tok Wan masih lagi gagah dan kuat. Masih boleh ke bendang buat sawah. Cool je Tok Wan saya ni. Terlalu simple. Baju dia saya rasa ada berapa helai sangat. Dengan rokok daunnya serta celepa yang selalu dibawanya, memang nampak simple. Tapi kalau orang tak kenal, memang nampak dia macam tak ada duit tapi kalau tahu memang terkejut.

Saya memang agak rapat dengan Tok Wan saya. Banyak yang saya belajar darinya. Saya tak tahulah betapa sabarnya Tok Wan saya ni. Kalau orang lain tanahnya diambil, mungkin dah bergolok dan berparang. Tapi Tok Wan saya cuma rileks sambil cakap, "Biarlah, bukannya banyak sangat".

Dulu antara rutin hariannya mengembala kerbau, lembu, kambing. Kerbau, Tok Wan saya tak harap saya jaga. Kalau lembu bolehlah. Tapi sekarang Tok Wan saya cuma mengembala lembu je lah sebab faktor usia.

Tapi memang banyak saya belajar darinya. Kalau Tok Wan ajak saya ke mana-mana, InsyaAllah saya akan bawak Tok Wan sebab bila jumpa dengan kawan-kawan yang sebaya dengannya memang kita akan rasa betapa bezanya pemikiran depa. Kadang-kala, ayat-ayat tu penuh dengan makna yang tersirat. Rasa macam terlalu mentah. Alahmdulillah, banyak yang saya belajar...

Macam mana boleh melalut pulak ni... Ok sambung cerita balik. Waktu kat rumah Tok Wan. hujan pulak lebat. Saya masih tak ke rumah si mati sebab jenazah dijangka sampai kira-kira jam 9 malam dari KL.  Jadi saya berehat di rumah Tok Wan dulu.

Sesekali tengok hujan memang nampak menggerunkan dengan kilat dan petir. Dulu saya selalu mengeluh waktu hujan. Rasa macam terbatas tetapi kini dah berubah bila Ustazah saya cakap, waktu hujan itu turunnya rahmat Allah. Jadi bila hujan turun sahaja saya akan berdoa. Kata Ustazah saya, waktu hujanlah anatar waktu yang elok untuk kita berdoa terutamanya sewaktu hujan lebat sebab waktu itulah turunnya rahmat Allah.

Semalam waktu sebelum tidur, saya buat permintaan kepada emak saya supaya buat kacang lendir (bendi) rebus buat ulam waktu saya nak berbuka puasa. Tapi terpaksa berbuka di kampung. Rupanya Mak Cik saya pun nak buat ulam kacang bendi jugak. Alhamdulillah syukur. Rasa cukup seronok saya. Puas makan Nasi berlaukkan Ikan Keli dan Haruan Goreng + ikan masin + gulai keli + ulam kacang bendi + tomato + lala + sambal belacan. Fuh... Memang saya langgar pantang sikit. Sejak beberapa bulan yang lepas, saya cuma makan sepinggan sahaja. Malam ni lebih sikit. Selera terbuka. Maklumlah puasa. Time bukak puasa pulak hujan lebat. Makanan tengah panas. Apa lagi? Hehehe...

Malam baru saya ke rumah si mati tapi elok sampai jenazah dah dibawa ke kubur. Saya tak ke kubur sebab dengan keadaan hujan dan jarak yang agak jauh susahlah sikit. Kemudian bila balik saya terus berehat dan sempat semak email tapi tak sempat nak balas lagi. Maaflah sebab sekarang tak berapa ada privacy sikit. Rumah saya tengah sesak ni. Semua adik-adik saya ada termasuk Abang Midi.

Tengoklah mungkin kalau saya bangun tengah malam saya akan balas.

Saya nak sentuh bab bola sikit... Nampak macam agak suram kempen Kedah kali ni dalam Piala Malaysia. Akmal cedera sebulan...Cik Hishamuddin kena rehat sampai tahun depan...Rafdi cedera agak teruk. Siapa yang nak main striker? Yang lain tak perform OK... Apa pun Pulun Kedah Pulun....

Newcastle pulak, asyik kalah dalam Champion league. Mak ooii susahlah macam ni. Nasib baik ada empat game lagi. Kena menang semualah nampak gayanya. Lepas ni lawan Juventus pulak. Jenuh la.

WASSALAM...

25 SEPTEMBER 2002

Mungkin dalam beberapa hari ini saya agak lewat sikit mengemaskinikan laman web saya. Harap maaf kerana ada beberapa masalah yang perlu saya atasi. Saya tak tahu berapa lama tapi rasanya taklah lama sangat. Saya akan cuba sedaya upaya mengemaskinikan laman saya sentiasa. Harap maklum...

Saidina. Abu Bakar r.a. Berkata:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, yaitu:
· Ia akan mati and hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya
· Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
· Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat and akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
· Adakalanya harta itu akan dicuri and dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna .

Marilah kita bersama-sama mengambil intipati dan pengajaran yang ada dalam pesanan Saidina Abu Bakar r.a di atas.

Memang bosan jugak jadi seorang penganggur. Hehehe... Income tiada... Itu yang menjadi masalah besar. Banyak aktiviti yang saya nak lakukan memerlukan income. Alhamdulillah saya boleh klasifikasikan pengurusan kewangan saya sebagai cemerlang. Baru dua interview yang saya dapat. Kerja satu pun tak dapat lagi. Bila? Entahlah...

Harapnya cepat... Sebab banyak komitmen lagi yang perlu saya berikan. Setakat ni kena pandai-pandai cari duit untuk tampung kehidupan. Bukan senang. Nak mula kerja nanti pun banyak yang diperlukan. Kena ketabahan. Tetapi itulah cabaran.

Dalam konteks ni, saya cukup tabik kepada pendatang-pendatang tanpa izin yang masuk bekerja di negara kita. Mereka sanggup lakukan apa saja dan akhirnya lebih berjaya dari kita. Saya kena ambil beberapa perkara yang baik dari mereka. Paling penting kita tidak berputus asa apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang masih lagi lembab ditambah pula dengan suasana tegang politik dunia, memang tekanan dirasakan.

Reaksi tindak balas terhadap bajet 2003 juga agak membimbangkan. Indeks Kewangan jatuh sampai lebih 200 mata dalam masa dua hari! Saham pasaran mewah seperti Maybank jatuh sampai 55 sen dalam masa dua hari! Saya bukan pakar ekonomi. Saya tak pasti sama ada sentimen ini hanya bersifat sementara atau sebaliknya dan apa impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Saya sentiasa berharap agar ekonomi kita bertambah kukuh. Barulah semua dapat merasai kemakmuran negara. Kepada kawan-kawan yang dah dapat kerja, tahniah! Saya mungkin akan berhijrah ke Penang atau KL sebab di Alor Setar ni tak banyak peluang yang ada. Tapi semua itu terserah kepada Allah. Kita cuma boleh berusaha dan meminta tetapi Allah yang akan menentukannya.

Oklah, tukar topik pulak. Alhamdulillah malam semalam dapat jugak saya call mak angkat saya di NS. Gembira rasanya dengar semua sihat. cuma kat sana terputus bekalan air selama tiga hari. Memang agak menyusahkan. Adik-adik angkat saya sekarang tengah final exam. All the best buat Dillah dan Aidah. Mamat pulak rajin-rajin sikit. Bagi jadi macam kakak! Jangan malas belajar.

Saya dah anggap keluarga angkat saya macam keluarga saya sendiri. Cuma agak risau sikit sebab pendapatan keluarga angkat saya sedikit terjejas. Dulu menoreh di kebun sendiri (Felda). Sekarang sedang ubah tanaman kepada kelapa sawit. Tiga tahun lagi barulah mengeluarkan hasil. Sementara tu kenalah buat banyak kerja sampingan. InsyaAllah kalau saya dah dapat kerja yang baik nanti saya tolong.

Tukar topik lagi... Alhamdulillah, sejak saya kembali menumpukan kepada aspek permainan badminton, semakin yakin pulak rasanya. Semakin baik pulak dan semakin menjadi. Fitness dah ada. Cuma silap hari tu tak tumpu kepada aspek permainan sampai drop asyik out, bola membunuh selalu keluar dan smash pun tak tepat. Sekarang dah semakin improve. Insyaallah minggu depan di sungai Petani, saya akan beri yang terbaik. Banyak team jugak yang dikhabarkan ambil bahagian. Dari LADA pun ada kalau tak salah. Bolehlah berjumpa kembali team badminton LADA macam Encik Ziadi, Bang Din, Bakri, Zul, Nazri, Bang Li, Pak Ya, Kak Zura, Ani dan Dayana. Mungkin prestasi dah meningkat dah kot.

Cukuplah setakat ini buat hari ni. Saya pun dah tiada idea nak tulis apa lagi...

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah