Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

21 NOVEMBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

Berikut adalah sedikit petikan mengenai Nisfu Syaaban...

Ø      Dan ada malam yang sangat istimewa pada bulan ini, iaitu malam Nisfu Sya'ban, 15 Sya'ban, yang jatuh pada tanggal 21 Oktober malam 22 Oktober hari Isnin Malam Selasa.

Ø      Aisyah r.a menceritakan,

Ø      Rasulullah saw bersabda, "Malam pertengahan Sya'ban. Pada saat ini, amal-amal dunia dan amal-amal manusia diangkat. Dan pada saat ini pula Alloh memberikan perlindungan dari api neraka"

Ø      Rasulullah juga bersabda,

Ø      "Sesungguhnya Alloh turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan sya'ban, lalu memberikan ampunan kepada orang yang jumlahnya lebih banyak dari jumlah bulu biri-biri"

Ø      Pada malam Nisfu Syaaban pula, ada pihak yang menggalakkan kita membaca surah Yasin dengan memohon kepada Allah sebanyak tiga perkara, iaitu menetapkan iman kepada Allah, memanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah dan mengurniakan rezeki yang halal.

Ini kerana mengikut sesetengah pendapat ulama, pada malam itulah ditukar atau ditentukan umur dan rezeki bani Adam. Itulah sebabnya diadakan malam Nisfu Syaaban semoga dengan doa kita itu, Allah mengurniakan apa yang kita pohon.

Bagaimanapun, janganlah kita keliru mengenai cara berdoa kepada Allah. Sebenarnya berdoa dan membaca surah Yasin itu tidak semestinya ditentukan pada malam Nisfu Syaaban saja, malah hendaklah terus membaca ayat al-Quran pada bila-bila masa serta dalam mana tempat sekalipun selagi tidak membawa penderhakaan kepada Allah.

Selain itu, janganlah memohon hanya kepada tiga perkara, malah pohonlah apa saja asalkan perkara yang diharuskan. Jangan pula hanya berdoa ditetapkan iman kerana belum tentu iman di dada sudah memadai untuk memandu kita ke syurga.

Sebaiknya, pohonlah ditambahkan keimanan dan kecintaan kepada Allah. Hanya iman yang bertambah akan terus subur dan membawa kita ke arah kebenaran. Jangan kita berani melakukan maksiat dan dosa sepanjang tahun kerana menyangka apabila tiba bulan Syaaban boleh bertaubat disebabkan pada malam itu akan ditukarkan buku baru.

Demikian jugalah jangan hanya pada malam Nisfu Syaaban ramai yang datang ke masjid atau surau, kemudian tidak lagi kerana kononnya cukup dengan satu malam saja untuk menutup selama tiga ratus lima puluh empat hari yang lalu (setahun).

Sesungguhnya hidup kita dalam alam ini adalah membawa satu risalah yang dipertanggungjawabkan ke atas semua umat Islam sebagai percubaan bersyukur kepada Allah yang maha pencipta, maka tidak sepatutnya dilakukan sebarang penderhakaan terhadapnya.

Kalau terlanjur melakukan perbuatan itu, maka cepatlah kembali mengaku kesalahan serta bertaubat kepada-Nya kerana Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya sesuai dengan sifatnya yang maha pengampun sebagaimana firman-Nya dalam surah Hud ayat 61 maksudnya:

"Maka pintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah (dengan kembali mentaati-Nya). Sesungguhnya tuhan kekal mendengar dan memperkenankan segala permohonan dan bersedia menerima taubat hamba-Nya".

Maka umat Islam sewajarnya sentiasa memohon ampun dan bertaubat, dan tidak menunggu malam Nisfu Syaaban saja.

Sesuatu yang tidak mendatangkan faedah ialah apabila kita memohon kepada Allah menetapkan iman serta memanjangkan umur pada satu malam yang tertentu, kemudian sepanjang tahun kita lakukan maksiat.

Jadi malam ini kita habiskanlah masa kita untuk beribadat. Bacalah Yasin 3 kali dan setiap kali selesai bacaan mintalah agar kita dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dimatikan dalam iman serta apa-apa sahaja.

Dan esoknya disunatkan kita berpuasa. Semoga kita sama-sama mendapat keberkatan Allah...

Berbalik kepada diari saya hari ni. Saya bangun jam 5.30 pagi untuk bersahur. Kemudian selepas hantar adik ke sekolah saya sambung tidur sampai jam 11 pagi. Kemudian berehat sebentar dan habiskan apa yang masih belum saya baca dalam majalah MASSA. Tengah hari saya jemput adik saya balik sekolah.

Petang saya tolong bayar bil air dan elektrik. Banyak juga! Hehehe... Kemudian saya ke kedai gambar untuk tangkap gambar. Bila masuk studio dia tengok ada gambar Dato' Basri, Sanusi dengan Tan Sri Osman Aroff. Rasanya macam tangkap gambar dalam studio tu. Kira dahsyat la studio tu. Hehehe... Entah-entah umpan sahaja kot.

Bila saya tangkap gambar kat situ. Dia provide macam-macam. Kot dengan neck tie sekali! Layanan memang first class dan fotographer tu dah tua (lingkungan 50-an) tapi cara dia ambil gambar memang professional. Memang pro! Sekejap sahaja. Selalunya saya tangkap gambar ambil masa lama sebab nak adjust itu dan ini tapi kat kedai ni sekejap sahaja. Hehehe...

Nilah first time saya tengok cara tangkap gambar passport macam tu. Orang lain akan sangkut kamera dekat satu batang tu tapi dia free sahaja. Mudah sangat. Bila ingat balik gambar yang ada kat studio tu saya rasa dia memang pro. Dengan layanan yang cukup mesra memang menarik lelaki cina tu. Hehehe... Patutlah VVIP datang kedai tu.

OK, kemudian saya ke kedai sekolah memandu untuk buat urusan pembayaran dan kemudian saya terus pulang ke rumah. Selepas Solat Asar saya terus training badminton. Kalah lagi dengan Abang Midi! Macam badi pulak. Tak keterlaluan kalau saya cakap setakat yang pernah saya main, Abang Midilah yang drop paling tajam, cantik dan kemas. Memang sakit urat nak ambil bola-bola macam tu.

Kalau dari segi lain saya rasa boleh fight tapi bola drop tu memang menyakitkan badan! Susah... Dahlah puasa kena lari seluruh gelanggang pulak tu. Memang penat terlalu penat! Lepas tu main double dengan team Polis Kedah. Walaupun dah separuh nyawa still menang. Hehehe... Saya partner dengan Abang Midi. Bola drop Abang Midi banyak mematikan langkah Abang Manan dengan Abang Asri. Hehehe... Hari last day Polis Kedah training sebab esok depa dah nak ke KL untuk kejohanan lusa. All The best!

Selepas berbuka. Rasa amat bersyukur sebab sempat saya bertemu dengan Nisfu Syaaban. Selepas baca Yassin 3 kali dan buat apa yang sepatutnya untuk malam ni saya ke rumah jiran saya untuk majlis tahlil walaupun saya rasa terlalu penat. Memang terlalu penat. Selepas tahlil saya tengok TV sekejap sebelum tidur. Kira-kira jam1 pagi saya bangun balik untuk buat beberapa kerja dan tidur balik jam 4 pagi.

Setakat ini dahulu buat hari ini. InsyaAllah bertemu lagi esok...

WASSALAM...

20 NOVEMBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

::: SAYA DAN KEPIMPINAN: SUATU BINGKISAN:::
Siri 2

Sebolehnya saya cuba mengelak. Begitu juga dengan projek-projek seperti Projek Risalah Al-Misbah, Ekspedisi Menjelajah Gua Wang Burma, Bengkel-bengkel IT dan beberapa projek sukan kolej saya dilantik menjadi pengarah. Memang saya dah menolak tetapi saya tetap dipilih.

Jauh di sudut hati saya berfikir, mungkin orang lain mahu menjadi ketua, mendapat pelbagai keistimewaan dan pengaruh tetapi bagi saya ia suatu amanah yang cukup berat untuk saya pikul. Saya memang tak suka tetapi mahu tidak mahu saya perlu meneruskannya.

Memang banyak ragam yang dapat saya pelajari. Begitu juga pengalaman. Saya dapat mempelajari bagaimana sesuatu organisasi berfungsi dan bagaimana untuk mencipta kejayaa. Tidak kurang juga menempuhi kelemahan-kelemahan tertentu sepeti kerenah birokrasi dan juga kegagalan.

Semuanya ibarat satu rencah yang cukup untuk mengajar saya erti kehidupan. Alhamdulillah. Semua itu mengajar saya agar lebih memahami keadaan dan bertindak dengan sebaik mungkin. Saya harus akui terlalu banyak kelemahan yang harus saya perbaiki untuk menjadi pemimpin yang cemerlang. Tapi saya secara jujur memang tidak berminat menjadi pemimpin kepada sesuatu organisasi.

Saya harus terima hakikat yang saya merupakan seorang pemimpin diri sendiri. Suatu masa nanti apabila berumahtangga saya akan menjadi pemimpin keluarga dan mungkin juga apabila bekerja nanti saya aka menjadi ketua kumpulan tetapi saya rasa, saya tidak bersedia menjadi ketua dalam masyarakat. Cukuplah setakat yang pernah saya lalui.

Masih ramai yang ada bakat kepimpinan dan perlukan ia digilap agar bakat mereka tidak terbiar begitu sahaja. Bagi saya, saya mahu menumpukan kepada kepimpinan diri dan keluarga sahaja. Itu perancangan saya. Segalanya bergantung kepada Allah. 

Buat masa sekarang saya tak mahu menyertai mana-mana pertubuhan politik lagi. Biarlah saya menjadi seorang yang berdiri di tengah-tengah dan membuat penilaian secara adil. Itu hasrat saya walaupun ada yang mendakwa saya mempunyai bakat berpolitik. Tapi bagi saya biarlah saya begini. Semuanya bergantung kepada Allah.

Apa pun menjadi seorang pemimpin bukannya mudah. Di akhirat nanti, pasti ditanya tentang tanggungjawab itu. Akhir sekali saya meminta maaf atas segala kelemahan saya menjadi pemimpin sebelum ini. Sesungguhnya setiap yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri. Wallahua’lam.

Seperti biasa saya membuat larian di Taman Rimba selepas menghantar adik saya ke sekolah. Selepas membaca Paper dan Majalah MASSA saya terus tidur sebab terlalu mengantuk tidur lewat semalam. Waktu tidur pun dah dekat pukul 10 pagi.

Waktu tengah tidur saya terdengar bunyi banyak kereta (sebab rumah saya di lot paling hujung). Saya pun buat tak tahu. Mak saya pulak hari ni balik awal dari jual nasi lemak. Mak saya cakap jiran saya meninggal. Hah! Al-Fatihah... Tergamam saya.

Saya terus mandi dan bersiap. Saya ke rumah jiran saya dan apabila masuk ke dalam rumah saya nampak jenazah jiran saya itu di ruang tamu. Selepas sedekahkan Al-Fatihah saya baca sedikit doa. Saya tengok isteri dia tenang sahaja menerima dugaan ini. Cuma saya tak sanggup nak tengok muka anak dia (Afirul) yang merah menyala matanya. Sayu...

Afirul ni adalah anak buah saya. Memang saya cukup kenal dia. Bayangkan ketika dia terima berita kematian ayahnya dia sedang tekun mengulangkaji di sekolah untuk hadapi peperiksaan SPM tahun ni. Alhamdulillah saya masih ada mak dan abah. Masih hidup.

Arwah sebenarnya baru pulang dari Sarawak malam tadi dan kemudian bila sampai di rumah dia terus bahagikan hadiah yang dia belikan kepada anak dan isterinya. Arwah tak terus tidur. Selepas tidur dia, dia bangun pagi untuk mandi dan tiba-tiba menghadapi kesukaran bernafas. Terpaksa diminta jiran yang lain untuk menghantarnya ke hospital. Dimaklumkan sebelum sempat dihantar arwah dah meninggal.

Saya menghabiskan masa kira-kira dua jam di rumah arwah. Memang ramai anggota polis lain yang datang menziarah. Kemudian saya pulang untuk mengambil adik saya dari sekolah. Jenazah arwah disolatkan selepas Asar sebab menanti anak sulungnya yang berada di KL untuk pulang.

Kalau diikutkan hati saya nak turun training main badminton hari ni. Tetapi sebab ada kematian, rasanya lebih baik saya rehat sahaja. Malam selepas Isyak saya hadiri kenduri tahlil di rumah arwah. Dan kemudian saya tonton TV dan sambung buat kerja biasa saya sehingga jam 3 pagi.

Sebelum saya tutup diari saya hari ni. Saya nak kita sama-sama merenungi akan hakikat kematian. Dari Allah kita datang dan Kepada Allah kita kembali. Kita hidup cuma sekali dan mati juga cuma sekali. Sejauh mana telah kita manfaatkan hidup kita? Itu satu persoalan.

Saya akui, saya bukanlah pandai sangat dalam bab-bab agama malah saya bukan dari aliran agama atau sekolah agama tapi saya rasa kalau kita sentiasa komited dengan apa yang kita pelajari, InsyaAllah kita akan menjadi lebih baik. Kalau kita ada ilmu tetapi tidak mengamalkannya ia ibarat sebatang pokok yang rendang tetapi tiada berbuah.

Memang saya ada banyak kelemahan. Saya akui dan saya bersedia ditegur. Memang kematian itu benar-benar menyedarkan kita betapa pentingnya kita menghargai kehidupan yang ada ini. Marilah kita sama-sama menginsafi apa yang telah kita lakukan selama ini.

Kalau ada yang memperingati kita. Hargailah ia. Kalau kita ditegur, terimalah kerana kebenaran itu kadangkala amat pahit. Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki diri sendiri. Allah akan membantu sesiapa yang berusaha.

Sekian sahaja dari insan yang naif ini. Ada kesempatan, InsyaAllah kita bertemu lagi esok. Mudah-mudahan...

WASSALAM...

19 NOVEMBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

::: SAYA DAN KEPIMPINAN: SUATU BINGKISAN:::

Kepimpinan merupakan suatu elemen yang paling penting dalam menentukan kejayaan sesuatu badan atau organisasi. Lazimnya apabila kejayaan dicapai, faktor kepimpinan akan diberi pujian atas kejayaan tersebut. Kepimpinan merupakan asas kepada kejayaan sesebuah organisasi sebenarnya.

Tidak semua orang lahir sebagai pemimpin. Tidak semua orang lahir dengan bakat kepimpinan. Bakat kepimpinan kadang-kadang diwarisi oleh generasi sebelumnya. Ada juga yang diasuh dengan kepimpinan yang tersendiri. Begitulah lahirnya pemimpin.

Seorang pemimpin yang baik akan dapat memahami organisasi yang dipimpinnya dan mengatur segala macam strategi yang bersesuaian dengan kehendak organisasi. Pemimpin yang baik akan dapat mengatasi sebarang masalah dengan bijaksana dan sentiasa mengambil berat kebajikan setiap pengikutnya.

Apabila pengikut sudah amat menghormati pemimpin, maka apa jua matlamat organisasi akan dapat dicapai dengan mudah. Apa tah lagi sekiranya hubungan setiap ahli organisasi tersebut sudah akrab bagaikan sekeluarga, maka akan lebih mudahlah mereka menempa kejayaan.

Bagi saya, lebih selesa menjadi pengikut dari pemimpin. Atas sebab itu saya amat tidak suka menjadi seorang pemimpin. Seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Tapi entahlah selalu saya diangkat menjadi ketua. Kalau diturut dari darjah 3,4,5,6, Tingkatan 1,2,3,4,5, Matrikulasi dan sesetengah kuliah sewaktu pengajian ijazah pertama saya dilantik menjadi ketua kelas. Kalau ada kumpulan perbincangan dan kerja kursus, saya lazimnya menjadi ketua.

Bersambung esok...

Kalau dikutkan hati saya tak mahu berjogging pada hari ini. Bayangkan semalam tidur jam 4 pagi bangun jam 6.30 terus nak turun berlari kira-kira 4 km! Tapi saya pujuk hati supaya jangan manjakan diri dan akhirnya saya keluar berjogging.

Selepas sarapan dan membaca akhbar saya terus tidur sebab jam 11 pagi saya kena hadiri kursus Teori dan praktikal untuk mendapatkan lesen kereta. Saya bangun balik jam 10.20 pagi. Mandi sekali lagi dan kemudian bergegas pergi.

Mulanya saya tak mahu pergi awal sebab tak yakin orang lain akan ke sana jam 11 tepat. Tapi saya ingatkan diri saya tentang displin terus saya usaha dan sampai sebelum jam 11 pagi. Alhamdulillah instructor memang punctual. Sesiapa yang lewat terpaksa datang lain kali dengan bayaran tambahan RM 10. Alhamdulillah.

Sebelum itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan saya Nazura Mohd Noh dan Musa kerana selamat diijabkabulkan di Titi Gajah Alor Setar. Maaflah saya tak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri kursus ini dari jam 11 pagi hingga jam 6 petang. Terlepas!

Nazura adalah PA pengurus kewangan di LADA di mana saya dan Nazura merupakan satu bahagian. Musa pula adalah kelasi di LADA dan juga seorang pemain bola sepak LADA. Memang saya kenal kedua-duanya. Alhamdulillah sebab perhubungan mereka akhirnya diikat dengan ikatan perkahwinan. Tahniah semoga berkekalan selama-lamanya.

Ok, berbalik kepada kursus yang saya hadiri. Semuanya berjalan lancar dan saya cuma boleh memandu kereta sikit-sikit sahaja. Alhamdulillah bila buat ujian parking, tiga segi dan mendaki bukit saya berjaya lakukan tanpa sebarang kesilapan. Alhamdulillah...

Lepas ni cuma perlukan saya biasa sahaja. Nak harap kereta ayah saya dah tak boleh jalan dah. Mujurlah ada kereta Pak Njang saya. Bolehlah biasakan diri. Kemudian saya selepas pulang saya tonton perlawan Bolasepak Piala YB Kuala Kedah yang diadakan di Taman saya.

Malam saya menonton perlawanan Piala Malaysia di antara Perak dan Penang. Perak menang 2-0 dan agregat 4-1. Kedah pulak menang 2-1 dan agregat 7-2. Kedah selepas ini akan bertemu Selangor dan saya yakin dengan kemampuan pasukan Kedah.

Kalau dilihat prstasi pasukan Kedah sekarang memang cukup baik. Saya tak yakin corak Selangor dapat menewaskan Kedah. Hehehe... Apa pun semuanya bergantung kepada hari pertandingan Selasa ini.

Kemudian saya menolong ayah saya melakukan sedikit pengiraan sampai jam 2 pagi dan kemudian saya semak dan balas email dan tidur lebih kurang jam 3.30 pagi.

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah