Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

27 JUN 2002

BALASUNGKAWA

Keliru! Dalam tempoh tidak sampai 24 Jam kita sudah kehilangan dua orang pemimpin. Memang amat amat mengejutkan. Langsung tidak disangka-sangka. Tetapi itulah adat dunia. Kalau ada yang baru ia pasti akan menjadi lama. Kalau ada pertemuan pasti ada perpisahan dan kalau yang hidup. Maut pastinya menjelma. Cuma bila dan di mana sahaja yang menjadi tanda tanya. Selari dengan usia yang semakin meningkat setiap detik kita sebenarnya semakin menghampiri kematian.

Pemergian Datuk Haji Fadzil Noor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) baru-baru ini yang saya lebih mengenali almarhum dengan gelaran Ustaz Fadzil nyata amat mengejutkan saya. Pada hari itu saya sebenarnya agak kurang sihat. Selepas kira-kira setengah jam almarhum meninggal dunia saya dimaklumkan oleh PRO LADA Encik Ramizi akan berita sedih ini.

Saya amat terkejut dan terasa agak lemah. Saya langsung tak bersemangat melakukan kerja. Sungguhpun saya selalu mengatakan yang saya merupakan golongan atas pagar tetapi saya secara terus terang saya lebih cenderung kepada apa yang diperjuangkan oleh almarhum. Bagi saya gerakan Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia akan terasa kehilangan almarhum.

Almarhum merupakan ahli parlimen bagi kawasan saya di Pendang dan sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan saya di Bukit Raya. Arwah amat mudah didekati dan amat kerap menjenguk masalah rakyat dan memang terbukti arwah amat disayangi apabila Arwah telah disembahyangkan sekurang-kurangya 8 kali di Sebuah surau di Kuala Lumpur yang diimami antaranya oleh, Datuk Hashim yahya (Mufti Wilayah), Ustaz Ghani, Ustaz Nasharuddin, Ustaz Harun Din, Mohd Aiman (anak Arwah) dan beberapa orang lagi. Di Kedah pula dimaklumkan bahawa ratusan ribu rakyat berkumpul bagi memberikan penghormatan terakhir buat Almarhum.

Ada yang menganggarkan kira-kira 200 000 hingga 500 000 orang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir. Jalan di situ dilaporkan mengalami kerosakan teruk hingga mereka terpaksa berjalan kira-kira 10 kilometer untuk ke Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena. Bayangkan! Ada pelajar yang pulang dari sekolah pada pukul 1.30 petang hanya sampai di rumah pada pukul 10 malam!

Seorang hamba Allah melaporkan bahawa sehingga jam 12.30 malam solat Jenazah masih lagi dilakukan di depan kubur arwah dan ketika itu masih terlalu ramai yang ingin menunaikan solat jenazah dan mungkin berlarutan sehingga pagi. Begitulah tanda rahmat Allah. Kata ulama kalau kematian seseorang itu dikunjungi oleh ramai orang maka itulah tanda-tanda si mati itu seorang yang dirahmati Allah.

Saya sememangnya cukup sedih tetapi beginilah kehidupan. Hakikat yang sebenarnya mengajar kita agar lebih bersedia menghadapi saat kematian. Setiap orang pasti akan mati. Saya sebenarnya ingin mengulas panjang tetapi maaf saya terlalu sibuk pada ketika ini.

Al-Fatihah.............

Sesungguhnya kematian itu sebenarnya merupakan iktibar kepada kita. Marilah sama-sama kita bermuhasabah agar diri kita sentiasa diredhai Allah... Sebelum saya mengakhiri Diari hari ini marilah kita sama-sama menghayati petikan maksud ayat suci Al-Quran di bawah.

Tiap-Tiap Diri Akan Merasai Mati Dan Kami Menguji Kamu Dengan Kesusahan Dan Kesenangan Sebagai Cubaan; Dan Kepada Kamilah Kamu Semua Akan Dikembalikan -Surah Al-Anbiya (Ayat 35)-

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah