Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

24 & 25 & 26 JUN 2002

Dari Allah Kita Datang

Kepada Allah Kita Kembali

Al-Fatihah

Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah Buat Datuk Fadzil Noor Yang telah pulang ke Rahmatullah pada 23 Jun 2002

Saya akan merehatkan diari saya selama  3 hari sebagai tanda berkabung. Saya akan beri ulasan pada Khamis ini 27 Jun...

WASSALAM...

23 JUN 2002

Kata orang hidup ini ada pasang surutnya. Kadang-kadang gembira dan kadang-kadang berduka (Kabhi Gushi Kabhi Gham). Kalau ia sentiasa sama mungkin hidup ini tak begitu indah. Hadirnya kejutan kadangkala menyedarkan kita dari mimpi. Mimpi yang cukup indah. Begitu juga apa yang terjadi semalam apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan. Ramai yang tergamam. Saya cukup terkejut! Benar-benar terkejut. Saya sebenarnya tidak mahu memasukkan soal politik dalam diari saya tetapi saya rasa saya patut memberi ulasan.

Saya memang berminat dengan politik tetapi saya bertekad untuk tidak aktif dalam berpolitik atau menyertai mana-mana parti politik. Biarlah saya menjadi orang yang meneliti segala sepak terajang politik tanah air. Saya akan bertindak jika sesuatu itu menguntungkan semua. Sejak dari kecil saya sering diperingatkan oleh ayah saya supaya kalau boleh tidak melangkah ke alam politik. Saya sememangnya berhasrat demikian. Saya lebih senang menjadi pemerhati.

Saya cukup berminat mengulas apa yang berlaku semalam. Pada mulanya saya merancang untuk ke Dataran Lang pada waktu petang untuk mengambil angin. Selepas pasukan Korea yang saya sokong berjaya menewaskan Sepanyol saya mengalih perhatian saya kepada ucapan penutup oleh Dr M. Saya selalu mengkaji ucapan dan mendengar apa yang diperkatakan oleh Dr. M. Sememangnya banyak yang boleh dipelajari dan diambil iktibar.

Namun gaya ucapannnya semalam agak berlainan. Saya sudah merasakan sesuatu. Dr. m seakan-akan sudah merajuk. Perwakilan seolah-olah tidak serius (Pada pandangan saya). Apa yang diucapkan oleh Dr. M seolah-olah tidak begitu diberi perhatian. Mungkin tanggapan saya salah tetapi itulah yang dapat saya lihat. Apa lagi pemimpin UMNO sendiri tidak begitu memberi perhatian. Datuk Ghani Othman seperti sedang tidur di belakang Dr. M. Datuk Zaharah jugak seperti tidak begitu mengikuti ucapan Dr. M. Apabila TV memfokuskan ke arah perwakilan ada yang nyenyak tidur.

PM sempat berjenakan dan saya rasa agak pelik dengan gaya ucapan PM semalam. Saya terus berbincang dengan Din dan Zam apa akan jadi apabila PM tiada. Kami berbincang dan kami sepakat mengatakan bahawa tiada siapa yang benar-benar layak menggantikannya. Saya secara terus terang saya tetap menghormati PM walaupun saya tak begitu bersetuju dengan tindakannya dalam beberapa perkara terutamanya aspek agama dan sosial. Tetapi dalam bab ekonomi, pembangunan dan semangat melayu saya cukup tabik kepada PM.

Apabila PM menyatakan beliau ingin meletakkan jawatan saya amat-amat terkejut dan langsung tak menjangkakan. Saya terkedu dan sedikit sebak. Saya tak dapat bayangkan Malaysia tanpa PM. Di Amerika beberapa tahun lepas pernah diadakan diskusi Malaysia selepas Mahathir membayangkan kepada kita bahawa betapa pentingnya PM.

Meneliti respon PM terhadap MT yang cuba memujuknya saya lihat, PM seolah-olah 'merajuk'. Merajuk dengan Bangsanya dan mungkin juga UMNO itu sendiri. Jika dahulu UMNO dianggap sebagai wadah tunggal orang Melayu tetapi kini akibat orang dalam UMNO sendiri, UMNO kelihatan goyah. Kuasa lebih dipentingkan. Bagi saya 'gertakan' PM ini bolehlah dianggap sebagai amaran kepada sesetengah pihak dalam UMNO agar sedar tentang tanggungjawab sebenar mereka. Begitu juga kepada bangsa Melayu. Kita perlu merubah pemikiran kita.

Kita masih lagi diselaputi dengan corak pemikiran tradisional. Bukan kita mahu mengecam budaya Melayu tetapi kita perlu mengambil sesuatu yang baik untuk dipraktikkan. Kita perlu berubah jika mahukan kejayaan. PM sudah banyak kali menyeru kita supaya menjadi bangsa yang berdaya saing. Dasar pandang ke timur diperkenalkan dan pelbagai lagi tindakan yang sepatutnya diambil serius oleh orang Melayu. Apatah lagi kita seperti 'pandai' melenting apabila diusik sedikit. Isu 10% kuota ke MRSM. Isu IPTS. Kita memberi reaksi seolah-olah kita masih kebudak-budakan. Kita masih lena dalam buaian. Sampai bila kita mahu hidup dengan subsidi? Sampai bila kita mahu hidup tanpa persaingan? Sampai bila?

Dunia sekarang semakin kompetitif. Kita seharusnya cuba berdikari. Tetapi inilah masalah Melayu. Hasad Dengki, iri hati tak pernah pudar. Pantang dilihat lebih sedikit, adalah yang meracau. Empayar Melaka dahulu jatuh disebabkan oleh Perasaan hasad dengki inilah. Sampai bila kita hendak berpecah? PM mempunyai satu pemikiran yang jauh ke depan. Beliau adalah contoh Melayu yang mahu melihat bangsanya berjaya. Secara jujur apabila saya mengetahui bahawa PM menarik semula keputusannya saya tetap kecewa. Kecewa dengan tingkahlaku beberapa pemimpin UMNO yang saya rasa mereka tidak sedar dan masih bermimpi. Saya tak berminat nak mengulas bab ini. Biarlah masa menentukan masa depan mereka. Sama ada rakyat masih menerima mereka atau pun tidak.

Saya banyak membuat kajian tentang PM. Membaca buku-buku yang berkaitan dengan PM. Antaranya PM di Sebalik Tabir karya Datuk Zainudin Maidin (Datuk Zam) dan kisah-kisah mengenainya. Zaman muda PM apatah lagi sekarang saya sedang praktikum di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di mana peranan PM jelas membantu Langkawi sebagai destinasi pelancongan. Terlalu banyak kalau nak dihitung. Justeru saya merasakan Malaysia masih lagi memerlukan PM.

Ayah saya juga selalu escort PM dan banyak cerita yang saya dapat. Menurut ayah saya PM sekarag kalau hendak diikutkan keadaan fizikalnya beliau sudah terlalu penat dan seolah-olah tak larat tetapi apabila berucap beliau kelihatan seperti orang muda. Kenapa? Kerana semangatnya yang amat amat kuat. Inilah yang perlu kita contohi. Pada usia 77 tahun (bagi saya sudah 77 sebab walaupun tarikh lahirnya 20 Disember 1925 tetapi PM mendakwa beliau lahir enam bulan lebih awal kerana ayahnya lewat mendaftarkan kelahirannya) PM masih lagi kuat bekerja. Contohnya selepas pulang dari Vatican City baru-baru ini PM sampai ke Malaysia pada waktu pagi dan terus masuk bekerja pada waktu petangnya.

Beliau bekerja dan bekerja sehinggakan orang bertanya apa rahsianya beliau kuat bekerja. Apa jawab PM? Kata PM kalau kita belajar mencintai apa yang kita lakukan kita akan sentiasa melakukannya tanpa rasa jemu. Banyak yang boleh dipelajari oleh kita daripada PM. Walaupun PM juga ada kelemahannya tetapi kita perlu lihat yang baik dan menirunya dan yang tak baik jadikan sempadan. Maaf, Saya tak berminat menyentuh kelemahan orang walaupun saya ada banyak benda yang saya tak bersetuju dengan PM tetapi saya tetap menghormati beliau kerana karisma yang dipamerkan tidak kiralah di peringkat Malaysia, ASEAN atau pun antarabangasa.

Semalam harus membuatkan kita lebih berfikir tentang masa depan kita. Sedar atau pun tidak bergantung kepada kita. Marilah kita sama-sama bangkit dari mimpi. Sebenarnya banyak yang ingin saya bicarakan tetapi saya rasa peluang agak terbatas. Ada satu perkara yang bermain di fikiran saya ketika ini mengenai PM tetapi saya rasa biarlah ia menjadi rahsia dan saya percaya PM pun tahu. Hanya masa yang bakal membongkar apa yang saya fikirkan ketika ini. Maaf saya rasa tak sesuai untuk mendedahkannya.

Saya boleh mengulas secara kritis peristiwa semalam tetapi Islam mengajar kita berbaik sangka dan saya rasa saya tak akan mengulas dari perspektif berlawanan. Cuma kita harus sedar dari mimpi.... Cuma peringatan saya kepada pembangkang cepatlah rangka program terbaru jika mahu terus menyaingi BN pada pilihanraya yang akan datang.

Masuk kepada topik Piala Dunia.

Berjuanglah Korea! Ungkapan rakyat Korea yang akhirnya membantu mereka mencipta sejarah layak ke Semi final buat pertama kali. Semangat bangsa Korea yang tak pernah berputus asa sepatutnya kita contohi. Mereka tidak mengenal putus asa dan sentiasa berusaha. Hasilnya seperti yang kita saksikan semalam. Sepanyol ditundukkan. Cuma Senegal yang saya teka tewas kepada Turki yang nyata lebih berhak menang.

Saya memilih Korea, Brazil dan Ireland (seperti yang dinyatakan dalam diari-diari yang lepas) dan sehingga kini cuma Ireland yang sudah tersingkir. Brazil dan Korea masih dalam cabaran. Tetapi hati saya berat mengatakan final kali ini adalah antara Brazil dan Jerman dan pemenangnya ialah Brazil. Itu kata hati saya. Hakikatnya, masa akan menentukannya.

Rasanya tamat topik bola.

Satu lagi saya ingin maklumkan bahawa bahagian kewangan akan berpindah dari tingkat 7 ke tingkat 4 pada 27 Jun ini. Kalau sesiapa yang dapat no telefon saya tu (di LADA) no tu cuma valid sampai 27 Jun ni sahaja. nanti tak tahulah sama ada, ada ext. untuk saya atau tidak. Apa pun saya akan masukkan dalam diari ni.

Terlalu banyak yang saya ulas hari ni. Rasanya hari ni paling banyak yang saya ulas dalam sejarah kewujudan diari ni. Cuma sekali lagi saya tegaskan di sini yang saya lebih gemar menjadi orang tengah dalam bab politik. Saya memuji PM bukan bermakna saya sokong UMNO dan BN tetapi itu pendapat saya.Memang saya suka menganalisis persekitaran. Pembangkang pun ada kekuatan dan kelemahan. Secara jujur saya nampak pembangkang lebih telus tetapi mereka kekurangan kuasa. Jadi itu sedikit sebanyak merencat matlamat mereka. Bagi saya kalau kita nak berpolitik biarlah secara matang dan tidak mengikut perasaan.

Kita sudah dewasa dan kita seharusnya bertindak seperti orang dewasa. Cukuplah setakat ini diari saya hari ini. Aktiviti saya hari ni mungkin macam biasa sahaja. Saya tak mahu menyentuh banyak soal itu hari ni. Esok mungkin saya akan kembali seperti biasa. Semoga berjumpa lagi jika diizinkan Allah....

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah