Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

30 SEPTEMBER 2002

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ni saya nak membawakan satu kisah tentang seorang kawan saya. Memang agak mengejutkan. Bagaimanapun saya tak begitu pasti sama ada betul atau tidak. Apa yang saya nak sampaikan adalah iktibar dan pengajarannya.

Sebenarnya ringkas sahaja. Seorang kawan saya ni bercinta dengan seorang perempuan. Pada mulanya semuanya berjalan lancar. Tetapi akibat beberapa perselisihan faham, mereka pun berpisah.

Oleh kerana perpisahan itu cukup mengguris perasaannya, dia nekad hendak membunuh diri. Pada suatu petang dia dengan nekad hendak terjun dari sebuah bangunan di Alor Setar ini dalam keadaan separuh sedar. Memang ia amat mengejutkan kawan-kawan yang lain. Mujurlah sempat dihalang oleh seorang tua di situ.

Alhamdulillah kerana dia masih lagi hidup ketika ini. Kita kadang-kadang keliru dengan kehidupan ini. Memang setiap orang perlukan cinta. Memang menjadi fitrah manusia hidup berpasang-pasangan. Cinta itu sesuatu yang suci. Sesuatu yang tulus, indah dan ikhlas. Namun cinta kepada Allah seharusnya menjadi cinta teragung setiap insan. Cinta Allah penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan.

Kita harus percaya bahawa setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Jika anda bercinta dengan seseorang kemudian terpaksa berpisah, yakinlah ada kebaikan yang menyusul. Mana tahu jika anda terus bersama, akan ada masalah yang lebih besar.

Jika anda menyayangi seseorang tetapi tidak mendapat balasan. Usah kecewa. Teruslah menyayangi orang itu dengan setulus hati anda. Kita tidak berhak memaksa orang mencintai kita tetapi kita boleh membuatkan diri kita dicintai. Jangan ditekad dengan dendam. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Kita tidak mampu mentafsir apa yang Allah takdirkan hanya dengan menggunakan logik akal. Kadang-kadang masa akan mengubah bermacam perkara. Yang penting adalah usaha dan selanjutnya serahkanlah kepada Allah.

Sebaliknya mengapa kita tidak mengangungkan cinta kita kepada kekasih Agung kita iaitu Allah? Sepatutnya kita harus lebih kecewa jika cinta kita ditolak oleh Allah dan bukannya kecewa apabila ditolak oleh makhluk Allah. Terimalah hakikat.

Cintailah Allah dengan sepenuh jiwa. Apabila kita menjadi kekasih-Nya, apa sahaja yang kita pinta pasti akan ditunaikan. Saya tertarik dengan seorang pecinta Allah yang terkenal iaitu Rabiatul Adawiyah. Lihatlah bagaimana suci dan agungnya cinta Rabiah dan ia dilahirkan dalam bentuk pengucapan yang cukup menyentuh perasaan. Antaranya ialah:-

1. “Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

2. “Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

3. “Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

4. “Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

5. “Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

6. “Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Itu adalah antara kata-kata yang lahir dari jiwa Rabiatul. Kalau kita menghayatinya, InsyaAllah kita akan dapat merasakan ketenangan yang abadi. Jadi kenapa perlu kita kecewa dengan cinta sesama manusia sedangkan cinta kepada Allah itu lebih bermakna?

Fikirlah...(Juga buat diri saya yang lemah ini)

Oklah berbalik kepada diari saya hari ini. Bangun seawal jam 5 pagi untuk bersahur dan tidur semula kemudian (Penganggur bolehlah). Kemudian saya melakukan sedikit kerja dan permohonan mintak kerja. Kemudian saya menonton liputan sukan Asia. Masalah sikit sebab TV saya rosak sistem bunyi. Tak dengar langsung. Terus dapat idea ambil speaker komputer untuk dengar bunyi. Alhamdulillah OK.

Nanti bila adik saya bawak balik TV card, saya akan hantar TV tu untuk diperbaiki. Dah lama dah usia TV tu. Dari tahun 1982 lagi! Kira barang antiklah jugak. Hehehe... Sengaja ayah saya tak mahu beli baru. Tak mahu nanti terlalu lalai dengan pelajaran. Saya sokong! Tapi adik saya yang bongsu langsung tak sokong. Hehehe...

Petang saya turun training badminton. Alhamdulillah sejak dua menjak ni, saya rasa prestasi semakin memuncak. Fitness semakin cemerlang. Memang lambat penat. Tapi yang sakitnya..Banyak sangat pantang larang. Macam Maggi tak boleh makan dah. Dah lebih dua bulan tak makan maggi. Macam-macam... Tapi yang penting prestasi naik. Mana tahu kalau boleh menang dapatlah tampung budget sikit (Hehehe..Perasan boleh menanglah tu!)

Selepas berbuka saya cuma tonton Buletin utama dan kemudian ke kedai kawan saya untuk ambil printer yang dibaiki. Kemudian buat sedikit kerja dan semak email dan check ranking fantasyfootball.com.my. Alhamdulillah dah naik sampai nombor 17! Tak sangka betul! Saya main just suka-suka sahaja. Sikit lagi nak dapat manager Of The Month Kurang 7 point sahaja. Tapi malam ni ada satu game lagi. apa-apa pun boleh berlaku kan?

Oklah setakat ini sahaja kot buat hari ini. Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri...

WASSALAM...

29 SEPTEMBER 2002

SELAMAT HARI LAHIR KE -23 SAIFUL!!!

Eh! Bukankah 06 Jun lepas baru sambut hari lahir ke 22. Dalam masa tiga bulan dah masuk 23? Pelikkan... Hehehe....

Sebenarnya hari lahir kali ini adalah mengikut kalendar Islam. Saya dilahirkan pada 22 Rejab 1420 Hijrah. Itulah sebabnya.

Alhamdulillah masih dapat bernyawa lagi atas bumimu ini Ya Allah. Aku seorang hamba-Mu yang terlalu lemah. Tiada langsung terdaya. Aku bersyukur kerana walaupun dengan lautan kemaksiatan yang telah kulakukan, Engkau masih lagi memberi rahmat-Mu ini. Betapa hinanya Hamba-Mu ini Ya Allah. Moga-moga Engkau akan sentiasa memberkati, merestui, merahmati dan memeliharaku. Amin.

Itu adalah antara pengharapan saya. Sesungguhnya kalau direnung kembali apa yang telah kita lakukan atas muka bumi ini, sememangnya kita sudah jauh terpesong dan lari dari matlamat kita. Marilah kita sama-sama menginsafi dan menghayati kembali tujuan hidup kita.

Saya akui memang sukar untuk mengharungi kehidupan yang terlalu mencabar hari ini. Apatah lagi kita masih perlu banyak belajar. Mungkin setiap kali kita dapat bangun kita jatuh kembali sehingga kadang kala kita menangis mencari hikmah yang tersembunyi. Yakinlah di sebalik setiap sesuatu ada hikmah yang tersembunyi. Percayalah sepenuh hati kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Allah sudah mengatur hidup kita dengan sebaik mungkin. Terpulang kepada kita sama ada untuk terus mengabdikan diri kepada-Nya atau tidak. Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Baiklah, berbalik kepada diari saya hari ini. Saya tak turun jogging hari ni sebab saya rasa telalu penat pulak. Waktu main tak penat sangat. Bila bangun tidur tu rasa sakit sangat urat-urat badan. Lemah...

Waktu pagi saya cuma habiskan dengan membaca Berita Minggu dan majalah MASSA terbaru. Kemudian semak email sekejap dan waktu tengah hari saya ke Alor Setar untuk sedikit urusan.

Selepas makan tengah hari saya ke Alor Setar kembali menghantar adik saya ke PErpustakaan Alor Setar untuk menghadiri Seminar Pembangunan Laman Web. Kemudian saya terus ke Institut Pengurusan Kedah untuk ke karnival IT. Memang tabiat saya suka membaca walaupun duit sekarang tengah 'kempis' tapi kalau bab buku saya memang murah hati. Bayangkan dengan RM 10 saya dapat 11 buah buku! 8 Majalah PC dan 3 Majalah LIBUR keluaran karangkraf.

::MEMBACA::

Salah satu minat utama saya ialah membaca selain bersukan.Alahmdulillah sejak berumur 4 tahun lagi saya sudah boleh membaca. Ketika itu apa yang ada memang akan saya baca dan sampai sekarang saya masih ingat banyak benda waktu kecik-kecik disebabkan saya boleh membaca awal.

Ditambah pula dengan galakan mak dan abah yang memberikan saya macam-macam buku untuk dibaca. Sekejap sahaja saya akan habiskan buku yang dibeli itu. Kemudian bila masuk tadika, sayalah yang akan mendapat nombor satu setiap penggal sebab saya boleh membaca dan memang pantas saya menjawab soalan berbanding yang lain yang masih belajar mengeja. Hasilnya saya dapat banyak hadiah. Hehehe...

Kemudian bila masuk ke tahun 1, saya akan disuruh oleh cikgu saya untuk membacakan cerita kepada kawan-kawan yang masih belum boleh membaca. Memang kawan-kawan rasa cukup seronok bila dengar cerita yang saya bacakan.

Waktu itu banyak hadiah buku yang saya dapat. Yang pertama sekali ialah "Seorang tukang Jahit Yang Pandai" (kalau tak salah saya). Ia merupakan terjemahan cerita-cerita klasik Inggeris. Cinta saya pada membaca diteruskan apabila seorang guru matematik (Cikgu Jamil) menghadiahkan saya sebuah buku penyiasatan yang bertajuk Di Pulau Pusakan iaitu dalam siri 5 sekawan karangan penulis terkenal Enid Byton.

Bertolak dari itu, terus saya mengumpulkan hampir kesemua siri buku penyiasatan tersebuat dan buku-buku lain. Alhamdulillah memang banyak yang dapat dikumpulkan dan bilangan buku-buku lain yang saya beli menjangkau beratus-ratus. Waktu saya darjah dua, saya dah desak mak saya membeli buku-buku yang lazimnya dibaca oleh orang dewasa sampaikan mak saya kena beli jugak. Waktu saya kecil dulu kawan-kawan saya cakap otak saya 'otak dewasa'. Entahlah...

Bila melihatkan banyak buku di rumah, saya dan adik-adik saya mewujudkan sebuah mini perpustakaan iaitu Perpustakaan Anak Melayu Sendirian Berhad. Saya dan adik saya akan menjaga semua itu dengan sebaik mungkin. Cuma apabila saya ke sekolah berasrama penuh, saya terpaksa meninggalkannya dan adik saya pun tidak meneruskannya.

Di rumah pula, akhbar merupakan sesuatu yang wajib. Saya memang tak boleh duduk diam tanpa akhbar. Sejak dari dulu lagi saya membeli akhbar pada setiap hari. Waktu saya di asrama dulu. Saya sanggup tidak makan waktu pagi (Rehat 10.30 pagi) semata-mata hendak ke perpustakaan untuk membaca akhbar. Saya akan berasa kecewa yang teramat sekiranya perpustakaan ditutup untuk majlis lain.

Sememangnya itu tabiat saya. Kalau anda bertemu saya ketika saya membaca, jangan risau teruslah bebual dengan saya, saya akan dengar sambil membaca. Tetapi seboleh-bolehnya biarkan saya membaca sebab sukar untuk saya memberi respon. Sehingga kini saya masih lagi tetap dengan tabiat tersebut. Cuma untuk memperbaiki Bahasa Inggeris saya, saya banyak membaca akhbar Inggeris.

Dari segi novel saya memang banyak membaca. Sejak saya di sekolah rendah lagi saya sudah membaca Hikayat Hang Tuah yang digunakan oleh pelajar-pelajar STPM. Dalam banyak-banyak novel yang saya baca saya paling berminat terhadap novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah. Saya pernah ke rumahnya sewaktu di Kulim dulu untuk menjadikannnya tokoh sejarah bagi subjek Sejarah PMR dulu. Memang bahasanya menarik.

Hasilnya saya akan selalu berangan-angan menjadi seperti mereka. Sewaktu saya di tingkatan tiga, saya dah menghasilkan sebuah Novel yang bertajuk Derita Semalam. Novel ni ada dalam laman web saya cuma saya belum taip habis disebabkan kesuntukan masa. Manuskrip asal masih dalam simpanan saya. Alhamdulilah ada beberapa orang yang dah baca dan memberikan komen yang positif. Cuma saya tak tahu bila saya akan habis taip semua itu.

Saya banyak menyertai pertandingan mengarang dari sekolah rendah dan sekolah menengah. Seingat saya yang terbaik ialah tempat ketiga pertandingan mengarang esei MRSM seluruh Malaysia 1995. Dalam akhbar Minda pelajar, nama saya selalu menghiasi ruangan isu sampaikan terlalu banyak surat yang sampai ke rumah saya. Jenuh saya nak balas.

Ada dua kali artikel saya pernah tersiar dalam akhbar Utusan Melayu. Yang ini memang saya tidak sangka terpilih kerana yang menyertainya adalah termasuk pensyarah-pensyarah sedangkan saya ketika itu bari di sekolah menengah. Saya pernah mengarang tentang Tan Sri Mubin Sheppard Abdullah sebanyak 20 000 patah perkataan untuk pertandingan menulis sejarah Malaysia.

Oleh kerana saya memang banyak benda yang bermain dalam otak saya, saya menulis dalam diari ini buat sesiapa yang sudi membacanya. Sebenarnya tujuan saya membaca adalah untuk melancarkan pemikiran saya. Apabila kita membaca kita akan melibatkan penggunaan otak. Otak kita akan sentiasa berjalan. Apabila otak sentiasa berfungsi, kita akan menjadi lebih cerdas. Bersukan pula adalah untuk kesihatan sebab kesihatan yang baik akan melancarkan peredaran darah ke otak yang selanjutnya membantu kepada fungsi otak. Apabila otak berfungsi dengan baik, maka pemikiran kita akan turut sama. Jadi kita akan dapat berfikir dengan lebih baik. Itu matlamat saya.

Balik kepada tabiat membaca. Sebab itu saya cukup seronok apabila dapat hadiah buku. Harapan saya apabila saya dapat beli rumah sendiri, saya nak buat satu ruang untuk simpanan buku. dan di ruang tamu rumah saya, saya akan letakkan buku-buku bukannya gelas-gelas dan pinggan mangkuk. Saya nak create environment membaca kepada anak-anak saya, InsyaAllah.

Memang banyak matlamat saya tetapi saya perlu hadapi cabaran semasa terlebih dahulu sebelum merealisasikan matlamat tersebut. Masih banyak yang perlu  dilakukan. InsyaAllah saya akan cuba.

kalau tak salah saya sekarang bulan membaca kebangsaan. Cuma yang malang bagi masyarakat kita ialah kita terlalu banyak membaca bahan-bahan bacaan yang berentuk hiburan dan picisan bukannya ilmiah. Itu hakikatnya. Justeru marilah kita sama-sama menghayati kempen membaca...

Apa pun saya cukup berharap minat membaca saya ini terus 'hidup' dan 'subur' dalam jiwa saya. Cukuplah buat hari ini. Tangan saya pun dah letih menaip. InsyaAllah esok saya akan menulis lagi.

WASSALAM...

Diari Sebelum Ini---[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][1][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52]

Baca Diari Sebelum ni

Saifulazrul Collection 1999-2002
Provided by Saiful Azrul Che Lah