Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL
Ketenangan Hati & Keredhaan Ilahi : Impian Abadi

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

08 FEBRUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ni ada saya nak tunjukkan foto seseorang yang istimewa bagi saya. Saya tak mau cerita lanjut tanpa kebenaran dari yang empunya diri. Tapi inilah pengakuan terbuka saya yang dia adalah cukup istimewa bagi saya. Cukuplah saya cakap namanya Huda sahaja buat masa ni.

Doakan agar perjalanan kami dipermudahkan dan dirahmati serta diberkati-Nya, InsyaAllah...

Oklah...

Agak lewat saya ke pejabat hari ni. Bukan agak, memang lewat pun. Mood nak buat kerja pun kurang tapi kena buat jugak. Maklumlah nak cuti esok.  Banyak betul kerja hari ni. Preparation untuk meeting esok pun kena settlekan jugak.

InsyaAllah malam ni saya akan bertolak ke Alor Setar naik bas Jelita jam 10 malam di Puduraya.

Jadi untuk hari ni, saya uploadkan awal sikit diari saya hari ni. Tak ada apa sangat untuk ditulis. InsyaAllah esok saya akan masukkan doa awal dan akhir tahun.

WASSALAM... 

07 FEBRUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Lewat saya sampai ke pejabat hari ni. 8.02 minit baru log in. Ni gara-gara tidoq balik lepas Solat Subuh la. Ingat kot nak bangun balik jam 7 tapi terlajak. Hehehe... Kemudian settlekan beberapa kerja. Sarapan dengan Azhar kat warung di Taman Mulia. Lepas tu waktu tengahari balik rumah sat sebelum kembali ke pejabat.

Lepas tu masuk meeting dengan boss sebelum saya balik dari pejabat kira-kira jam 5.30 petang. Lepas tu turun jogging sebelum kembali ke pejabat. Sambil buat kerja, sambil chat dengan yang tersayang. Lepas tu ada sedikit perbincangan dengan boss.

Saya stay di pejabat sampai jam 3 pagi berseorangan sambil bersms. Seksanya di pejabat sebab line maxis nyawa-nyawa ikan. Hehehe...

WASSALAM...

06 FEBRUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Jangan jual akhirat untuk beli dunia’

LUQMAN Al-Hakim sentiasa memberikan kata-kata berguna kepada anaknya supaya dia berfikir dan mendalami maksud nasihat itu. Contohnya, beliau mahu anaknya tidak terlalu menerima bulat-bulat kebaikan seseorang kepadanya. Mungkin, bimbang ada undang di sebalik batu di atas kebaikan itu.

Katanya: “Hai anakku! Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada segala kejahatan manusia dan berhati-hatilah engkau daripada segala kebaikan mereka.

“Jauhilah diri daripada musuhmu serta berhati-hati dengan kawanmu dan janganlah engkau menghalang sesuatu yang tidak berkaitan denganmu.”

Pada maksud yang hampir sama, katanya: “Dan janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang akan memperdayakanmu dan orang yang keji perangainya kerana jika dia membalas permintaanmu itu, balasannya berupa keaiban buatmu. Dan sekiranya dia menunaikan hajatmu itu, ia hanya untuk kebanggaan (dirinya).

“Janganlah engkau meminta maaf kepada orang yang tidak suka melihat engkau memperoleh kemaafan. Janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang tidak suka melihat engkau mencapai kemahuanmu.”

Kebijaksanaan Luqman dalam memberikan nasihat turut dilihat apabila berkata: “Barang siapa yang bercerita kepada orang yang tidak mendengar akan percakapannya, ia seumpama orang yang membawa harta bendanya kepada ahli kubur.

“Hai anakku! Utuslah seorang yang bijaksana dan berwasiat padanya. Utuslah seorang yang bijaksana dan jangan pula engkau berwasiat (lagi) padanya.”

Kita hendaklah berhati-hati ketika memberi nasihat atau meluahkan sesuatu perkara kepada seseorang. Biarlah nasihat itu didengar dan diikuti oleh orang itu. Jika memberi nasihat kepada mereka yang enggan mendengarnya, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Luqman ketika menasihatkan anaknya supaya tidak terlalu mementingkan dunia berkata: “Jual duniamu untuk membeli akhiratmu, nescaya engkau akan untung kedua-duanya sekali. Jangan sesekali engkau menjual akhiratmu semata-mata untuk membeli duniamu kerana itu menjadikanmu rugi kedua-duanya.”

Diriwayatkan, bahawa beliau berkata kepada anaknya: “Hai anakku! Aku akan memberikan rahsia padamu dengan dua perkara, apabila engkau berpegang dengan kedua-duanya engkau akan sentiasa dalam kebaikan: Setiap dirhammu (hartamu) untuk kehidupanmu (di atas dunia) dan agamamu untuk (bekalanmu) di hari akhirat.”

Luqman berkata lagi kepada anaknya: “Jangan engkau condong kepada dunia serta jangan hatimu (memikirkan) mengenainya.

“Engkau tidak diciptakan untuk memikirkan hal keduniaan, sedangkan tidak ada ciptaan Allah yang lebih hina daripadanya.

“Sesungguhnya, Allah tidak menjadikan segala nikmat di atasnya sebagai pahala bagi orang yang taat dan tidak juga segala bala bencananya balasan bagi orang yang derhaka.”

Mengenai hubungan dengan pemimpin pula, Luqman berkata kepada anaknya: “Sekiranya engkau berhajatkan kepada pemerintah, maka jangan engkau menyindirkannya serta jangan engkau meminta hajatmu itu kecuali (dia) dalam keadaan reda dan berjiwa tenang.”

Ditanya apakah nilai sabar ketika menghadapi atau menangguh sesuatu kerenah, katanya: “Barang siapa yang bersabar menanggung kerenah dia akan memimpin mereka.”

Apa yang beliau maksudkan adalah hanya orang yang sabar dalam menghadapi sesuatu kesusahan boleh menjadi seorang pemimpin yang baik.

Luqman juga pernah berkata: “Manusia yang paling baik maruah dan adabnya ialah orang yang apabila dia memerlukan (sesuatu), dia akan menjauhkan dirinya (daripada manusia) dan apabila dia diperlukan, dia akan mendekati (mereka).”
 

Mudah-mudahan sama-sama dapat mengambil iktibar darinya, InsyaAllah...

Oklah...

Bangun jam 6 pagi. Selepas solat, menulis sekejap dan kemudian menonton motivasi pagi. Lepas tu jogging dan terlentang atas tilam lepas tu. Hehehe... Letihnya. Kemudian ke pejabat sekejap sebelum ke kedai repair motor. Lepas tu tumpang Dean dan Ila ke kenduri Halim. Semoga bahagia selamanya buat Abdul Halim Dato’ Abdul Aziz dan Siti Salbiyah Haji Shaari. Depa ni memang member saya kat UUM dulu. Lepas tu jumpalah ramai member ex-UUM dulu. Hehehe...

Kemudian saya bergegas ke rumah Erniza Erika kat Taman Jaya. Saya agak lewat sampai. Member lain dah sudah makan. Jadi Ika pun ajak makan dengan dia. Alamak! Tak kan nak makan dengan pengantin kot. Seganlah saya! Biarlah pengantin makan beradab saya seganlah. Sorry lah Ika. Lagipun Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho pun ada sekali. Bertambah seganlah saya.

Kemudian jam 6 ke Stadium Selayang untuk tengok bola Kedah vs MK Land. Sambut dan join player masuk Stadium. Saya duduk dengan Dato’ Ahmad Basri Akil berbual panjang. Lepas solat Maghrib sempat bertemu dengan wartawan Berita Harian, Bashah Zainol Abidin, pengulas RTM, Jasni Shafie, pelakon dan ramai lagi. Seri 0-0. Ulasan saya dalam www.hijaukuning.com.

Kemudian balik rumah sampai jam 12.15 malam. Selepas solat, bersms sambil menulis sampailah tertidur.

WASSALAM... 

05 FEBRUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Hukum, hikmat potong kuku

KUKU yang diciptakan Allah mempunyai peranan dan kepentingannya kepada manusia. Dalam Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan umat Islam. Walaupun dilihat seolah-olah perkara kecil, kadang-kadang ia menjadi perkara besar. Contohnya, ketika seseorang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kuku. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Hukum dan hikmat memotong kuku.

Memotong kuku termasuk amalan sunat. Hal ini disebutkan dalam hadis daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.” (Hadis riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan boleh menghalang air ketika bersuci.

Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat padanya, nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Cara dan benda untuk memotong kuku

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri daripada jari kelingking hingga ibu jari.

Sementara, kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.

Harus seseorang memotong kuku menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jari.

Selesai memotong kuku, segera membasuh tangan (tempat kuku yang dipotong) dengan air.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.

Waktu memotong kuku

Islam juga mengambil kira waktu memotong kuku yang tidak tertakluk pada panjang kuku.

Kuku harus dipotong pada bila-bila masa. Bagaimanapun, jangan membiarkan kuku tidak dipotong melebihi 40 hari. Hal ini diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya: “Sudah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam Al-Syafie dan ulama Al-Syafi‘eyah, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah, katanya, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang yang sudah bersaf, kemudian mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata hingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah, katanya bermaksud: “Nabi Muhammad memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Sementara, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Menanam potongan kuku

Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuk anggota badannya. Kuku yang potong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda menghormatinya kerana ia anggota manusia. Hal ini disebut dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu ‘Umar menanam potongan kuku’.

Memotong kuku ketika haid, nifas dan junub

Menurut kitab Al-Ihya, jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Hal ini kerana segala potongan itu pada akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Memanjangkan kuku

Tabiat memanjangkan kuku bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad yang menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku panjang, nescaya banyak perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya.

Selain itu, antara perkara sunat yang dilakukan bagi orang sakit atau hampir nazak adalah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari, bersugi, mandi, berwangian dan memakai pakaian yang bersih.

Imam Al-Syafie tidak menyatakan dalam kitabnya sunat memotong kuku mayat, tetapi beliau menyatakan perselisihan pendapat antara gurunya dalam menggalak dan meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Beliau memilih dan mentarjih pendapat untuk meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat.

Pendapat yang betul adalah membiarkan kuku mayat kerana segala anggota mayat itu dimuliakan dan tidak ada hadis sahih yang menggalakkan memotong kuku mayat. Malah, makruh hukumnya jika berbuat demikian. Demikian juga menurut Imam Ibnu Hajar, pendapat yang azhar adalah makruh memotong kuku mayat.

Adapun orang yang meninggal ketika dalam ihram haji atau umrah, haram dipotong kuku mayat itu, seperti haram mewangikan tubuh badan dan memotong rambutnya. Ini diibaratkan keadaannya ketika masih hidup, dengan haram ke atasnya memotong kuku ketika ihram. Namun, jika kuku mayat itu menyukarkan tukang mandi untuk membersihkannya, tidak mengapa jika dipotong dan tidak juga dikenakan dam ke atas orang yang memotong kuku itu.

Oklah...

Agak lewat saya ke pejabat hari ni. Bangun dah awal tapi entahlah sebab apa gerak lewat ke pejabat. Hadiri sesi talk dengan Abang Sharul. Banyak ilmu baru yang dipelajari. Thanks... Kemudian masuk meeting sebelum sambung kerja sampai jam 2 petang.

Sampai kat rumah terus tidur. Letihnya. Petang turun jogging di Tasik Permaisuri kemudian ke pejabat siapkan sedikit kerja sambil chat dengan Huda. Balik sambung sms sekejap sebelum tertidur. Tak ingat pukul berapa sebab tertidur

WASSALAM... 

04 FEBRUARI  2005 [JUMAAT]

ASSALAMUALAIKUM...

Hadis: Malapetaka tak kira amalan

DARIPADA Zainab binti Jahsy (isteri Nabi Muhammad saw), beliau berkata, (pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke rumah dengan cemas sambil bersabda bermaksud: “La ilaaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka.


“Pada hari ini terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.

“Saya (Zainab Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang yang soleh?” Lalu Nabi bersabda: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.”

Apabila di suatu tempat atau negeri terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu.

Bencana dan kebinasaan tidak hanya ditimpakan orang jahat, malah orang salih turut dibinasakan, meskipun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan mereka.

Oleh itu, segala kemungkaran dan kefasikan perlu segera dibasmi. Segala maksiat perlu dimusnahkan supaya tidak terjadi malapetaka yang menimpa penduduk di tempat itu.

Dalam hal ini, umat Islam sangat digalak mengamalkan sifat amal makruf, nahi mungkar dalam memastikan kita semua terselamat daripada bencana yang bakal ditimpakan Allah.

Jangan bersikap mementingkan diri sendiri atau mengamalkan prinsip ‘kubur engkau, engkau yang jaga dan kubur aku, aku yang jaga.’ Menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menegur dan memberi nasihat berguna jika menyaksikan atau mengetahui berlaku kemungkaran di kawasan mereka.

Oklah...

Hari ini macam biasa. Keadaan tak sekelam kabut sebelum ni. Tapi usaha programming masih lagi rancak, dan saya akan cuba bantu programmer. Keluar minum pagi dengan Rahman, Azhar dan Khairill. Tengahari saya balik rumah sekejap sebelum solat Jumaat di Masjid Zubbair Ibnul Awwam.

Khutbah berkisar soal penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Lepas solat, terus ke pejabat tapi terkena lah sikit hujan lebat. Bayangkan hujan lebat di waktu yang terik! Sambung buat kerja sikit sebelum turun jogging macam biasa. Malam kembali ke pejabat settlekan sedikit sebanyak kerja sambil chat dengan Huda. Kemudian saya keluar minum dengan Sufri yang kehilangan helmet malam ni. Bukan rezekinya.

Kemudian saya bersms dengan Huda sebelum tidur kira-kira jam 3 pagi.

WASSALAM...     

03 FEBRUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Hospital

Setelah mendapat khabar kemalangan jalanraya yang menimpa suaminya, Tipah terus berkejar ke Hospital.

Tipah : Doktor, bagaimana keadaan suami saya?

Doktor : Siapa nama suami Puan?

Tipah : Err...Jiman Bin Seman, Doktor...

Doktor : Sebentar ye. Saya periksa fail pesakit nie. Hmmm, lukanya tak parah. Cuma calar-balar sikit di tubuhnya.

Tipah : Syukurlah...lukanya tak parah. Saya risau betul. Err...di mana suami saya, Doktor?

Doktor : Ada di bilik Mayat!

Tipah terus pengsan...

 

Dah lama saya tak masukkan kisah lucu dalam ni. Hehehe... Just sebagai penceria hari anda. Oklah...

Tersedar jam 7.15 pagi! Nasib baik syuruk lewat la ni, dekat 7.30. Kelam kabut saya jadinya. Sejak dua menjak ni memang tidur pun lewat dan tak teratur. Kalau dulu jam 11 dah lelap tapi sekarang masa tak mengizinkan. Pagi suasana di pejabat memang kelam kabut. Presentation jam 9 pagi dan Alhamdulillah boss dalam mood yang baik.

Semuanya berjalan lancar, next presentation ialah pada 16 Feb ni. Kemudian semua terus rileks. Hehehe... Maklumlah semua berjaga sampai lewat pagi. Hehehe... Saya pulak memang cukup perit menahan lapar. Banyak sebabnya. Petang main badminton di Dewan DBKL Bandar Tasik Selatan. Saya masih lagi terasa sakit di kaki tapi saya yakin kalau Rahman main macam hari ni, InsyaAllah kami boleh pergi lebih jauh dalam kejohanan nanti.

Lepas solat Maghrib, saya, Rahman, Saidi dan Abang Shahrul ambil sedikit masa berbual sambil makan mi sup di Sungai Besi. Kemudian bila balik rumah, saya sms tapi tak berbalas. Apa pun saya memang terlalu letih dan aawal saya tertidur iaitu jam 11 malam. Antara terawal dalam beberapa waktu kebelakangan ni. Nyenyaknya...

WASSALAM...     

Diari Sebelum Ini--- [Arkib 2002][Arkib 2003][Arkib 2004][266][267][268][269][270][271][272]


((Sejak 06 April 2003)

Selected Geng Jurnal’s Site
(Gengjurnal)

[Rudy bluehikari][Blueshades]]Tok Rimau] [Wanzu][Fajar] [Mie] [Angah][Immhezlin][Rizal][Bandar Sepi][Pak Di] [Pujangga] [Bintang Sepi] [Cipong][Anna Abadi][Jasnita][Idzwan Firdaus][Tat-Teluq][Muring][Basrie][Crimsonsky][Nana][Megat][Wawa Online][Islam selamanya][Airpool][Lalili][Ariep]

LAMAN HIJAUKUNING
Baca Diari Sebelum Ini

Saifulazrul Collection 1999-2005
Provided by
Saiful Azrul Che Lah