Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
DIARI SAIFUL
Ketenangan Hati & Keredhaan Ilahi : Impian Abadi

[Biodata][Pendidikan][Keluarga][Pengalaman][Koleksi Gambar][ Kejayaan][Lihat Buku Pelawat][Tandatangan Buku Pelawat]

  

16 JANUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Akhlak gambaran iman mukmin
(Siri Akhir)

Antara nilai akhlak yang mesti ada ialah adil, jujur, perasaan ukhuwah, musyuwarah, tolong-menolong, kenal-mengenal dan faham-memahami.

Sementara akhlak terhadap bukan manusia seperti menjauhi perbuatan hasad dengki, sentiasa berprasangka baik serta ramah tamah dan adil dalam segala perlakuan dan perkataan seharian.

Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat kelak.

Sabda Baginda bermaksud: “Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat selain akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Menurut al-Quran, akhlak mencerminkan kebersihan hati. Akhlak yang baik menunjukkan hati luhur lagi bersih. Akhlak buruk menunjukkan jiwa yang kotor. Firman Allah dalam Surah al-Syamsu, ayat 9-10, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan sangat malang orang yang mengotori jiwanya.”

Rasulullah pernah ditanya seorang lelaki mengenai semalang-malang nasib? Jawab Baginda: “Akhlak yang buruk.”

Baginda juga pernah ditanya seorang lelaki, siapakah mukmin yang lebih baik keimanannya? Baginda menjawab: “Yang paling baik adalah akhlaknya.”

Ibadat akan membentuk akhlak seseorang. Akhlak pula asas pembentukan peribadi Muslim. Jika akhlaknya baik, maka personalitinya menarik dan begitulah sebaliknya.

Contohnya, sembahyang dapat membentuk peribadi Muslim yang syumul. Apabila masuk waktu solat, azan akan berkumandang dan menandakan tiba kewajipan umat Islam mengabdikan diri. Waktu mesti dihargai dan ditepati.

Sebelum mengerjakan solat, umat Islam dibimbing supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Sebab itu disyaratkan kita berwuduk dengan membersihkan muka, tangan dan tapak kaki daripada segala najis dan kekotoran.

Ibadat sembahyang dapat memelihara diri manusia daripada melakukan kemungkaran. Diri akan terkawal daripada kemaksiatan seperti jaminan Allah dalam firman-Nya dalam Surah al-Ankabut, ayat 45 bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu di jadikan bertabiat resah gelisah, apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut, kecuali orang yang mengerjakan sembahyang iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang.”

Ibadat puasa juga mempunyai hikmah tersendiri. Selain menandakan kesyukuran terhadap nikmat Allah, puasa melatih kita bersih daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba, sombong dan takabur. Dengan berpuasa, manusia bukan saja menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah melatih diri melakukan sifat terpuji seperti tolong-menolong, bersedekah dan merendah diri di samping mengerjakan ibadat sunat seperti solat tarawih, tahajud dan bertadarus al-Quran.

Zakat pula selain membersihkan diri daripada sifat bakhil dan kedekut, dapat membentuk insan pemurah, rajin berusaha dan suka menolong orang yang susah.

Firman Allah bermaksud: “Pungutlah zakat daripada harta mereka supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa itu menjadi ketenteraman bagi mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Ibadat haji dapat mendisiplinkan diri seseorang mukmin daripada perkara fasik. Sebaliknya, mereka didorong melakukan perkara kebaikan dan kebajikan.

Firman Allah bermaksud: “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka dia tidak boleh bercakap kotor (atau bersetubuh) berbuat fasik dan bantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Bekalkanlah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang berakal.” (Surah al-Baqarah, ayat 197).

Tamat...

Oklah...

Bangun untuk solat Subuh dan kemudian sambung balik tidur. Jam 8 bangun dan mandi bersarapan sebelum ke pejabat. Di Pejabat siapkan beberapa kerja sambil membaca akhbar. Alhamdulillah banyak yang dapat saya siapkan.

Jam 4 petang baru beransur pulang dan kemudian berehat di rumah sambil membaca dan kemudian tertidur. Hampir Maghrib baru tersedar dan kemudian mengadap Laptop untuk sambung kerja.

Selepas Maghrib, saya mula mengemas bilik, basuh baju, masak. Hehehe... Just masak Mi segera. Kemudian menonton Final Indonesia lawan Singapura sambil mengadap laptop. Kemudian tonton The Apprentice season baru. Memang cukup mengejutkan malam ni apabila Brenford disingkirkan atas tindakan bodohnya. Memang Trump cukup tegas dan kritis. Banyak benda yang dapat saya belajar. Jam 1 pagi baru lelapkan mata

WASSALAM...

15 JANUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Akhlak gambaran iman mukmin
(Siri 1)

 IBADAT membentuk akhlak dan melembutkan budi pekerti. Orang yang beribadat sentiasa melatih diri untuk taat kepada perintah Allah serta mencari keredaan-Nya dalam semua bidang kehidupan.

Amalan yang ikhlas dinilai sebagai ibadat sama ada ibadat khusus yang menghubungkan secara langsung antara hamba dengan pencipta seperti solat, zakat dan puasa atau ibadat umum yang menghubungkan antara hamba seperti berniaga, bertani dan berkahwin.

Allah mencipta manusia supaya mereka beribadah kepada-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri kepada-Ku.”(Surah al-Zariat, ayat 56)

Persoalan akhlak juga amat dititikberatkan oleh Islam terhadap penganutnya. Ia menjadi tujuan utama utusan Allah seperti sabda Nabi Muhammad saw bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Akhlak umpama buah bagi pokok yang hidup subur, tanpa pokok tiadalah buah. Begitu juga dengan ibadat yang tanpanya tiadalah akhlak. Buah yang baik, tentu memerlukan pokok yang subur. Begitu juga dengan akhlak yang luhur memerlukan ibadat yang bermutu dan dikerjakan secara berterusan. Jika ibadat seseorang teguh, akhlaknya juga teguh dan begitu pula sebaliknya.

Akhlak dalam Islam bertitik tolak daripada pengabdian seseorang kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Baginda ialah contoh peribadi terbaik. Semua perangai bertentangan dengan akhlak Rasulullah dikira tidak berakhlak.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia.” (Surah al-Rum, ayat 4)

Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah berkata: “Adalah akhlak Baginda ialah al-Quran.”

Oleh itu, pengukur untuk menilai akhlak seseorang sama ada baik atau buruk perlu dilihat kepada penghayatan seseorang terhadap kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Persoalan akhlak dalam Islam merangkumi akhlak terhadap al-khaliq (pencipta) dan akhlak terhadap makhluk. Akhlak terhadap khaliq adalah seperti cinta, taat atau patuh yang tidak berbelah bahagi, ikhlas, sabar, reda, syukur, takwa, warak dan zuhud.

Akhlak terhadap makhluk pula merangkumi akhlak sesama manusia dan bukan manusia. Akhlak sesama manusia termasuk kepada diri sendiri, keluarga, jiran dan masyarakat.

Bersambung esok...

Oklah...

Pagi macam biasa di pejabat. Hehehe... Semua berbaju batik hari ni. Lepas hadiri sessi talk, sambung kerja macam biasa. Hari Sabtu, mood kerja kurang sikit. Habis waktu pejabat terus main ping Pong dan jam 2 baru balik rumah. Bersiap dan kemudian makan tengahari dan terus pecut ke Bukit Jalil. On the way terserempak Din dan adik, Nurul yang baru sampai ke KL di LRT Bukit Jalil. Saya pulak ke Sport Village, main futsal bersama jabatan saya.

Kemudian ingat nak ke UIA sambung lawan bola pulak antara ANSARA saya dan ANSARA Taiping tapi last minute dibatalkan. Taklah penat sangat.

Malam just menonton Liverpool vs MU lepas tengok Malaysia vs Myanmar. Kemudian ke rumah Din menonton Newcastle Vs Southampton. Kembali Shearer menyaksikan Magpies menang 2-1. Cumanya player yang paling saya kurang gemar, Bramble score the goal. Tak pa lah asalkan menang. Kemudian tengok Arsenal vs Bolton dan beransur pulang dari rumah Din jam 2 pagi.

Sampai kat rumah terus tidur.

WASSALAM...

14 JANUARI  2005 [JUMAAT]

ASSALAMUALAIKUM...

JANGAN TUNGGU LAGI. AJAL DATANG SEKELIP MATA.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)". (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak"
(Hadis riwayat Thabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda:

"Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi"
(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun
kepada mereka, iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3. Zakat dijadikan hutang
4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
5. Anak derhaka terhadap ibunya
6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.
7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Arak sudah diminum secara berleluasa.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain"

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Oklah...

Penatnya rasa. Kena kerja lagi hari ni. Hmm... Rasa letih betul. Kalau ambil cuti lagi susah. Pagi ni ada presentation dan Alhamdulillah habis sebelum solat Jumaat. Dijangkakan habis jam 6 petang.

Kemudian solat di Masjid Zubbair dan khutbah berkisar tentang amaran Allah di akhir Zaman. Kemudian saya berehat di rumah sebelum kembali sambung kerja. Saya stay di pejabat sampai jam 10-15 malam siapkan pelbagai kerja. Balik rumah terkejut dapat kad jemputan kahwin dari seorang kawan. Dulu beria-ia kata tak mau kawin dalam masa terdekat. Hehehe... Dah sampai seru. Tahniah Anjang. Semoga bahagia selamanya... Saya memang cukup terkejut!

Jam 12 terus saya masuk tidur. Ada beberapa perkara yang saya fikir sebelum lelapkan mata. Perkara yang serius...

WASSALAM...

13 JANUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ni memang cukup sibuk. Saya bangun pun agak lewat. Letih badan rasanya. Banyak benda nak diselesaikan hari ni. Esok ada presentation. Pagi meeting sampai jam 12 lebih. Meeting habis pun sebab blackout rupanya hampir satu negara alami power failure.

Kemudian makan dengan Azhar dan Kak Zett sebelum kembali ke pejabat. Sambung discussion sampai habis office hour. Main Ping Pong sekejap sebelum ke Pasar malam dengan Sufri. Beli radio dan kemudian sambung buat kerja. Lepas tu ada satu sessi yang membuatkan saya cukup gembira. Hehehe... Rahsia...

Malam test radio... Alhamdulillah ok. Awal pagi baru sedar dah rosak. Alamak kabel dia over limit. Pakai bateri lah nampaknya... Nasib baik radio murah ja.

WASSALAM...

12 JANUARI  2005

ASSALAMUALAIKUM...

Sifat bakhil sempitkan pintu rezeki

BALASAN Allah terhadap umat yang ingkar perintah-Nya dan melakukan kemungkaran di dunia, tidak perlu menunggu hingga hari pembalasan. Balasan boleh dilihat dan diterima ketika hayat manusia di dunia ini sama ada secara sedar atau tidak. Begitu juga dengan orang yang kedekut terhadap kurniaan Allah kerana enggan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Hal itu berlaku kepada Muda (bukan nama sebenar) yang terkenal dengan kedekutnya. Sifat ini tidak juga berubah ketika berada di tanah suci.

Muda kurang senang melihat pengemis sebaik saja keluar dari Masjidil Haram. Benci sungguh beliau melihat wajah sayu itu merayu meminta belas ihsan daripada jemaah. “Menyampah betul. Di tanah suci Makkah pun banyak pengemis. Menyibuk saja, kita nak beribadat pun tidak senang,” rungut Muda setiap kali ada fakir miskin menghulur tangan kepadanya. “Beri sajalah bang. Satu atau dua riyal tidak akan luak duit abang. Lagi pun baik kalau kita banyak bersedekah di sini dan satu daripada ibadat juga,” pujuk isterinya setiap kali melihat muka Muda mencuka.

Muda memarahinya. Si isteri hanya berdiam diri dan malas melayan suaminya yang memang terkenal dengan sifat kedekut. Selama ini, beliau amat berkira dengan duit dan jika anak atau isteri meminta, pelbagai alasan diberi sebelum memberinya. Itu pun ada kalanya kena tahan telinga mendengar marah dan caci makinya.

Beliau ke Makkah selepas puas dipujuk isterinya. Diukur dari segi kemampuan, mereka sudah lama mampu, namun Muda sentiasa cuba bertangguh. Sayang rasanya hendak mengeluarkan wang simpanannya.
Ketika tiba di tanah suci, sifat kedekut beliau masih tidak berubah. Isterinya berdoa supaya sifat buruk suaminya dapat dihilangkan, namun belum berhasil.

Muda benci dengan fakir miskin sekitar Masjidil Haram. Baginya, mereka penipu kerana bukan benar-benar susah, sebaliknya ingin mengaut duit jemaah. Jika terpaksa, dia bersedekah dengan tidak ikhlas dan sentiasa diselangi rungutan. Suatu hari ketika pulang dari masjid, Muda yang kebetulan keseorangan didatangi seorang lelaki berkulit gelap dan bertubuh besar. Melihat mukanya yang comot, beliau mengagak pasti lelaki itu pengemis.

“Tolong saya encik. Saya, isteri dan anak datang dari Maghribi untuk menunaikan haji tetapi malangnya baju dan wang kami hilang di perjalanan. Kami terpaksa tidur dan makan dengan belas kasihan orang,” katanya.

Muda melihat isteri dan anak lelaki itu. Wajah mereka yang tidak terurus dan kotor itu tidak menimbulkan perasaan kasihan padanya, sebaliknya, dia meluat kerana berasakan diperbodohkan mereka. Beberapa hari kemudian, ketika melontar Jamrah, tiba-tiba sebiji batu besar terkena dahi Muda hingga berdarah. Sambil mengelap darah yang mengalir pada dahi, Muda yang kesakitan hairan kenapa tiada seorang pun mempedulikannya. Mereka seolah-olah tidak belas melihat keadaannya dan tidak mahu membantunya, biarpun benar-benar memerlukan bantuan ketika itu. Tiba-tiba fikirannya melayang kepada peristiwa beberapa hari lalu mengenai keluarga dari Maghribi yang merayu bantuannya, tetapi tidak diendahkan.

“Apakah ini balasan Allah pada sifat kedekut yang berlebihan?” bisik hatinya. Ketika itu baru disedari, bukan sekali dua dia bersikap demikian, malah berpuluh-puluh kali dia mengecewakan insan yang benar-benar mengharapkan bantuannya. Pada saat itu, dia benar-benar insaf dan bertaubat. Mulai hari itu, dia mahu bersedekah dan membantu sesiapa saja dengan ikhlas tanpa rasa curiga atau kedekut.

“Eh! Bang. Kenapa dahi itu,” tanya isterinya.
“Tidak ada apa-apa. Saya dihukum oleh orang miskin,” katanya tersenyum sambil mengajak isterinya pulang.
Muda gembira kerana apa yang dialaminya menyedarkan dia kesilapan yang dilakukan selama ini.

Jika kita mempunyai sifat kedekut, pasti Allah akan mahal rezeki. Jadi, ambillah cerita ini sebagai peringatan supaya kita tergolong dalam orang yang sentiasa bersyukur.

Petikan daripada buku Seruan dari Kaabah, Himpunan Kisah Benar oleh Md Daud Che Ngah, terbitan Karya Bistari Sdn Bhd

Oklah...

Alamak bila baca paper, saya dah tersilap perhitungan. Saya ingat semalam 01 Zulhijah. Silap rupanya... Hmm... Tak palah... Hari ni banyak benda yang perlu diselesaikan. Kerja rasmi dan juga tak rasmi. Tak habis-habis dengan kerja. Sibuknya...

Ingat kot habis waktu pejabat nak turun jogging, tapi hujan pulak terpaksalah main Ping Pong sahaja. Stay kat pejabat sampai jam 11 malam. Letihnya hidup...

WASSALAM...     

Diari Sebelum Ini--- [Arkib 2002][Arkib 2003][Arkib 2004][266][267]


((Sejak 06 April 2003)

Selected Geng Jurnal’s Site
(Gengjurnal)

[Rudy bluehikari][Blueshades]]Tok Rimau] [Wanzu][Fajar] [Mie] [Angah][Immhezlin][Rizal][Bandar Sepi][Pak Di] [Pujangga] [Bintang Sepi] [Cipong][Anna Abadi][Jasnita][Idzwan Firdaus][Tat-Teluq][Muring][Basrie][Crimsonsky][Nana][Megat][Wawa Online][Islam selamanya][Airpool][Lalili][Ariep]

LAMAN HIJAUKUNING
Baca Diari Sebelum Ini

Saifulazrul Collection 1999-2005
Provided by
Saiful Azrul Che Lah