Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Pilih warna latar:

 
 
TEKNIK MENULIS PERENGGAN PENGENALAN ...Sambungan..

PERHATIAN

Semua contoh yang diberikan merupakan garis panduan sahaja bagi pelajar-pelajar. Anda tidak semestinya menulis baris demi baris mengikut garis panduan tersebut. Namun begitu, secara dasarnya, perenggan pengenalan itu memang ditulis mengikut 3 teknik yang popular seperti yang dibincangkan tadi. Walau bagaimanapun anda tidak perlu menulis dalam lima ayat seperti yang dihuraikan tadi. Misalnya anda juga boleh menulis seperti berikut:

Tajuk : Sampah sarap
Skop: Cara mengatasi
Tugasan : memberi komen
Jenis    : Perbincangan

1. TEKNIK MEMBERI DEFINISI

Sampah sarap merupakan bahan terbuang yang tidak digunakan lagi. Ia mungkin terdiri daripada sisa yang dibuang oleh manusia atau yang berlaku secara proses semula jadi. Memandangkan gejala ini sudah mula mengancam kestabilan kesihatan dan keselamatan manusia dan negara, saya bersetuju sekiranya tindakan  undang-undang dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati melakukannya.

2.  TEKNIK MEMBERI SENARIO/GAMBARAN
 Dunia semakin hari semakin sarat dengan masalah. Bermula dengan masalah kepincangan manusia sehinggalah kepada masalah pencemaran alam sekitar. Sekiranya manusia semakin kekurangan akal budi, maka alam juga akan turut mengalami masalah persekitaran yang tidak sihat. Udaranya kotor, sampah sarap bertaburan, dan air menjadi berkeladak dan memerlukan tindakan serta langkah penyelesaian yang segera. Oleh itu, saya bersetuju sekiranya tindakan undang-undang yang tegas dikenakan bagi sesiapa yang ditangkap kerana mencemarkan alam sekitar.
 

Tajuk : Banyak tempat rekreasi di negara ini tidak dijaga dengan rapi oleh para pengunjungnya. Berikan  cadangan yang dapat dijalankan untuk mengekalkan keaslian tempat-tempat tersebut. Huraikan cadangan anda itu.

Contoh perenggan pengenalan bagi tajuk diatas:

Malaysia merupakan negara yang indah dengan bentuk lanskapnya. Bentuk topografinya yang terdiri daripada gunung ganang, bukit-bukau, dan laut pantainya menyajikan tempat-tempat yang menarik untuk dijadikan tempat perkelahan dan bersantai. Namun, kini tempat-tempat rekreasi telah mula dicemari dan dinodai keindahan dan ketulenannya oleh para pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Demi kebaikan generasi yang akan datang, beberapa langkah mengawal tempat-tempat tersebut perlulah dilakukan segera.

LATIHAN

Tulis perenggan pengenalan daripada tajuk-tajuk umum yang berikut, pengenalan anda hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 5 ayat:

1, Masalah penagihan dadah dan cara mengatasinya
2. Keburukan tabiat merokok dan cara mengatasinya
3. Masalah tabiat makan makanan yang tidak seimbang di kalangan masyarakat kita - kesannya.
4. Masalah banjir kilat di negara ini , punca dan cara mengatasinya.
5. Masalah melepak di kalangan remaja, punca dan cara mengatasinya.

Contoh Jawapan

1. Masalah penagihan dadah dan cara mengatasinya

Dadah merupakan sejenis bahan rangsangan yang boleh mengubah keadaan fizikal, mental, serta emosi seseorang yang mengambilnya. Sejak akhir-akhir ini, masalah penagihan dadah telah ditimbulkan semula kerana keadaannya dikatakan telah meruncing sehingga sukar untuk dikawal. Masalah ini telah menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, para pendidik, serta pemimpin negara. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, pihak kerajaan telah menjalankan pelbagai program dan kini sedang merangka satu program yang dijangka akan dapat menurunkan kadar masalah ini sehingga ke paras yang paling minima. Saya berkeyakinan masalah ini akan dapat diatasi sekiranya program-program yang dijalankan oleh pihak kerajaan itu mendapat kerjasama daripada masyarakat tempatan.

2. Keburukan Tabiat Merokok dan cara mengatasinya

Tabiat merokok didapati telah lama menular di kalangan pelajar. Sejak akhir-akhir ini masalah ini sering hangat dibincangkan oleh para pendidik dan pihak PIBG. Namun begitu perbincangan semata-mata didapati tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Dalam hal ini, Menteri Kesihatan Malaysia pernah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihak kerajaan sedang merangka satu program khas yang akan dijalankan dengan segera pada awal tahun ini untuk mengawal keadaan. Di samping itu peranan masyarakat terutamanya ibu bapa adalah penting untuk memastikan masalah ini dapat diatasi dengan kadar segera.

3. Masalah tabiat makan makanan yang tidak seimbang di kalangan masyarakat kita - kesannya.

Semua manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan untuk terus hidup. sejak belakangan ini masyarakat tempatan didapati tidak mengambil berat tentang tabiat pemakanan. Mereka mengambil makanan mengikut selera masing-masing tanpa mengambil kira kesan buruk akibat perbuatan mereka itu. Keadaan ini telah menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan wujudnya pelbagai jenama makanan segera di pasaran. Masyarakat harus diberikan kesedaran bahawa perbuatan seperti ini akan mendatangkan kesan negatif ke atas mereka sekiranya tidak dikawal dengan segera.

4. . Masalah banjir kilat di negara ini , punca dan cara mengatasinya.

Hujan boleh mendatangkan rahmat atau kebaikan kerana kita memerlukan air dalam kehidupan kita. Namun begitu hujan yang lebat juga boleh mendatangkan kesan buruk sekiranya tidak bersedia untuk menerima kedatangannya. Banjir kilat yang sering melanda beberapa kawasan di negara kita telah menjadi isu yang panas juga sejak belakangan ini sehingga tidak putus-putus disiarkan melalui media cetak dan media elektronik. Beberapa langkah yang berkesan harus dilakukan dengan kadar segera untuk mengelakkan kemalangan jiwa dan harta yang tidak ternilai jumlahnya.

5. Masalah melepak di kalangan remaja, punca dan cara mengatasinya.

Melepak merupakan perbuatan yang menghabiskan masa tanpa tujuan yang berfaedah. Masalah ini didapati semakin menular terutamanya di kalangan remaja. Menurut Perdana Menteri, masalah seperti ini boleh menjejaskan imej negara sekiranya tidak diatasi segera. Di samping itu pihak kerajaan telah menyiasat punca masalah ini dan sedang menjalankan beberapa langkah berkesan untuk mengatasi masalah ini. Para pendidik dan pihak polis telah berganding bahu dan memerah otak untuk memastikan masalah ini tidak terus merebak sehingga ke paras yang sukar dikawal.
 

2. PERENGGAN ISI

 
 

PRG.ISI PRG.KESIMPULAN KRG.CONTOH SOALAN


GAMBARAN WAWANCARA PENDAPAT PERBAHASAN


Muka Depan Kefahaman Merumus Tatabahasa Karangan