Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

sebarang masalah sila hubungi
gurubm@hotmail.com
 

Pilih warna latar:

 
 
TEKNIK MENULIS PERENGGAN PENGENALAN
Teknik ini khusus untuk karangan jenis pendapat.

a. Ayat Pertama
Ayat pertama dalam perenggan pengenalan hendaklah mengandungi takrif atau maksud atau sesuatu yang umum tentang tajuk karangan itu.  Misalnya:

Tajuk : Kemalangan jalan raya

Contoh 1
Kemalangan jalan raya biasanya melibatkan pengguna jalan raya dan sering mengakibatkan kecederaan yang parah atau kematian bagi pihak yang terbabit terutamanya pejalan kaki, penunggang motosikal, atau pemandu kereta.

Contoh 2
Walaupun tidak ada sesiapa yang ingin terbabit dalam kemalangan jalan raya, namun perkara yang tidak diingini itu sering berlaku juga tanpa diduga.

b. Ayat Kedua
Ayat kedua dalam perenggan pengenalan menyentuh isu semasa yang berkaitan dengan tajuk.

Contoh 1
Sejak akhir-akhir ini, kita dapati jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

Contoh 2
Sejak belakangan ini masalah kemalangan jalan raya sering dipaparkan melalui media-media massa di negara kita.

b2. Ayat ketiga
Ayat ke tiga  dalam perenggan pengenalan merupakan huraian isu semasa dalam ayat ke 2.
Contoh:

Pada bulan Januari yang lalu, Jabatan Polis Trafik Wilayah Persekutuan telah mengesahkan bahawa tidak kurang daripada 350 kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku di Wilayah Persekutuan sejak bulan Oktober hingga bulan Disember tahun 1995.

c. Ayat Keempat
Ayat keempat dalam perenggan pengenalan mengandungi pendapat tokoh seperti pendapat menteri, pengarah, ketua polis, dan sebagainya.

Contoh 1
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, kebanyakan mangsa kemalangan jalan raya ialah penonggang motosikal dan pejalan kaki.

Contoh 2
Menteri Pengangkutan Jalan Raya baru-baru ini telah menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya terutamanya sewaktu musim perayaan dan sewaktu cuaca buruk.

d. Ayat Kelima
Ayat kelima dalam perenggan pengenalan merupakan pendapat penulis. Dalam ayat ini juga calon hendaklah cuba memberikan bayangan berkaitan dengan skop atau isi yang akan ditulis. Namun begitu calon tidak seharusnya menulis isi karangan dalam perenggan pengenalan ini.

Contoh 1
Walaupun kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa namun kita dapat berusaha untuk mengelakkan kemalangan sekiranya kita lebih berhati-hati ketika berada dijalan raya.

Contoh 2
Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan, kemalangan jalan raya akan terus meningkat sekiranya tidak ada kesedaran serta kerjasama di kalangan pengguna jalan raya sendiri bagi mengatasi masalah tersebut.

Contoh 3
Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu juga memahami punca-punca kemalangan jalan raya itu sendiri.
 

CONTOH PENGENALAN KARANGAN

1.Penderaan Kanak-kanak
(A1) Penderaan kanak-kanak dapat ditakrifkan sebagai suatu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap kanak-kanak sama ada secara fizikal, mental atau seksual.
(A2) Sejak akhir-akhir ini, masalah penderaan kanak-kanak didapati semakin menjadi-jadi.
(A3) Masalah yang menular di kalangan masyarakat kita yang serius ini telah membimbangkan semua pihak.
(A4) Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis, sebanyak 130 kes penderaan telah dilaporkan sejak bulan Januari tahun ini.
(A5) Pada hemat saya masalah ini perlu ditangani segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

2.Pencemaran
(A!) Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai kesan buruk sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh manusia yang mengakibatkan berlakunya kerosakan alam sekitar termasuk udara, air, dan bunyi.(A 2) Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan penemuan sisa toksik di sekitar Pulau Pangkor, Perak yang mengakibatkan seluruh alam sekitarnya turut tercemar..(A3) Kawasan lain yang turut terjejas ialah Pulau pinang dan jugak negeri Johor. (A4) Menteri Sains dan Alam Sekitar menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar.(A5) Pada fikiran saya kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam usaha menangani masalah pencemaran yang semakin meruncing di negara ini.

3. Masalah Remaja
(A1)Masalah remaja boleh dikaitkan dengan masalah-masalah yang sering melanda remaja pada masa sekarang seperti kurang mendapat perhatian keluarga, kekurangan didikan agama, pengaruh rakan sebaya, kekecewaan dalam percintaan, kesempitan hidup kerana kemiskinan serta mudah terpengaruh dengan budaya barat yang negatif.(A2) Dewasa ini masalah remaja kian membimbangkan dan telah menular hampir di setiap sanubari remaja. (A3)Akibatnya, wujud gejala-gejala sosial yang tidak sihat seperti  tabiat melepak, dan bohsia.(A4) Oleh itu, pihak kerajaan telah mengadakan beberapa program dan aktiviti untuk membanteras gejala sosial ini seperti Program Rakan Muda dan ceramah motivasi.(A5) Pada hemat saya, langkah-langkah yang berkesan perlu dijalankan dari peringkat awal lagi seperti kata pepatah “ Kalau hendak melentur buluh biarlah masa rebungnya”.

Seterusnya...


GAMBARAN WAWANCARA PENDAPAT PERBAHASAN