Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Pilih warna latar:

 
3. MENULIS KESIMPULAN KARANGAN

Keseluruhan bahagian kesimpulan dapat ditulis dengan menggunakan 4 ayat sahaja seperti berikut:

A1  Rumusan/ kesimpulan
A2  Cadangan
A3  Seruan atau harapan
A4  Pendirian penulis

Contoh 1

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa amalan merokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan, malah amalan ini dapat mencemarkan alam sekitar. Oleh itu amalan merokok harus dihentikan, dan tidak diamalkan oleh generasi muda. Kita berharap agar generasi muda dapat menjauhi tabiat buruk ini supaya kita dapat membina generasi yang sihat dan alam sekitar kita akan menjadi lebih bersih. Oleh itu, saya menyokong langkah kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini.
 

Contoh 2

Daripada perbincangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa amalan merokok bukan sahaja membazirkan wang, malah amalan ini membahayakan kesihatan menusia. Oleh itu saya mencadangkan supaya kempen anti merokok diperluaskan kepada semua anggota masyarakat. Saya juga menyeru supaya belia atau remaja yang masih di bangku sekolah supaya tidak mengamalkan tabiat merokok. Akhirnya saya menegaskan bahawa amalan merokok perlu dibanteras di negara ini supaya negara kita mempunyai warganegara yang sihat dan tidak mengamalkan tabiat merokok, terutamanya di kalangan generasi muda.

Contoh 3 ( Jenis ceramah )

Sebelum mengakhiri ceramah ini, saya menyimpulkan bahawa kita perlu berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri kita iaitu “ Jangan boros ketika keadaan mewah” yang bermaksud kita dikehendaki berjimat cermat kerana sikap boros akan menyebabkan pengguna dibelenggu oleh harga barang yang tinggi  iaitu inflasi. Dengan itu saya mencadangkan kepada ibu bapa supaya menjadi teladan kepada anak-anak mereka seperti kata pepatah “ Bapa borek anak rintik.” Oleh itu marilah kita sama-sama mendidik anak-anak kita supaya mengamalkan langkah-langkah seperti yang telah disarankan itu. Akhirnya kita juga perlu berpegang kepada pepatah Melayu yang berbunyi “ Sedikit sedikit lama lama jadi bukit”, dan “ Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”. Sekian.

Contoh 4 (Jenis Perbahasan)

Kesimpulannya , saya bagi pihak pencadang merumuskan bahawa bekerja dengan pihak swasta lebih menguntungkan dari segi peluang kenaikan pangkat, peluang memperoleh pendapatan yang lebih, peluang mengikuti kursus di luar negara, keselesaan tempat kerja, dan kepuasan pada diri sendiri. Dengan itu saya berharap agar generasi muda tidak terlalu mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan sahaja, tetapi sedia berkhidmat dengan pihak swasta. Pihak kerajaan sendiri berharap agar pelajar-pelajar yang tamat persekolahan atau institusi pengajian tinggi supaya tidak terlalu memilih pekerjaan. Akhirnya saya sekali lagi mengatakan bahawa bekerja dengan pihak swasta lebih baik daripada bekerja dengan kerajaan.

PRG.ISI SOALAN KRG.CONTOH PENGENALAN


GAMBARAN WAWANCARA PENDAPAT PERBAHASAN