Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
KARANGAN JENIS GAMBARAN ATAU KEPERIHALAN
 

1. Karangan jenis ini merupakan suatu bentuk penulisan yang memerihalkan atau menggambarkan apa-apa yang dilihat, didengar, atau dirasakan.

2. Biasanya karangan jenis ini menghendaki anda memerihalkan seseorang, sesuatu pengalaman, sesuatu keadaan, sesuatu tempat atau pemandangan, sesuatu peristiwa atau acara, sesuatu benda, dan sebagainya.

3. Perkara-perkara yang anda perlu perihalkan itu mungkin terdiri daripada sesuatu yang berbentuk kenyataan atau khayalan.

4. Perkara-perkara yang hendak anda gambarkan itu mestilah jelas, menarik, mempunyai perbandingan yang sesuai, dan dapat memberikan kesan yang mendalam.

5. Misalnya, apabila anda memerihalkan sesuatu tempat, selain anda memerihalkan apa-apa yang dapat anda lihat, anda boleh juga memerihalkan apa-apa yang anda dengar dan anda rasakan, serta suasana ketika itu.

6. Daya pemikiran yang kuat, imaginasi yang mantap, dan pemilihan kata yang tepat diperlukan apabila menulis kerangan jenis ini.

7. Pengetahuan yang luas tentang apa-apa yang anda gambarkan akan membantu anda menghasilkan karangan yang baik.

KELEMAHAN CALON

1 Gambaran yang dituliskan dalam karangan tidak menyeluruh atau kurang mendalam.

2. Calon juga menulis gambaran yang tidak logik.

3. Gaya bahasa yang digunakan bernada serius, kurang menarik, atau mendatar sahaja. Seharusnya gaya bahasa kreatif (sastera) digunakan.

4. Susunan isi penting tidak teratur dan menyebabkan penyampaiannya tidak lancar.

5. Persembahan dalam karangan calon lebih mirip kepada persembahan untuk karangan jenis cereka atau imaginasi.

6. Calon tidak menghabiskan keperihalan atau jalan cerita mengikut kehendak soalan.

CONTOH SOALAN KARANGAN JENIS GAMBARAN DAN KEPERIHALAN

1. Sempena musim perayaan, kebanyakan pasar raya mengadakan jualan murah secara besar-besaran. Anda telah pergi untuk membeli belah di sebuah pasar raya yang terkemuka di tempat anda. Gambarkan keadaan dan suasana ketika anda berada di pasar raya tersebut.

2. Setelah bercuti selama seminggu di rumah rakan, tibalah masanya untuk anda pulang ke Kuala Lumpur. Anda menaiki bas dari stesen bas Alor Setar, iaitu bandar tempat rakan anda tinggal. Perihalkan pengalaman yang anda tempuhi sepanjang perjalanan itu.

3.Andaikan anda dan lima orang rakan telah mengikuti suatu ekspedisi ke suatu kawasan hutan. Oleh sebab tidak berhati-hati dan tidak mengikut arahan, anda terpisah daripada rakan-rakan yang lain lalu tersesat. Ceritakan pengalaman anda sehinggalah anda diselamatkan.

4. Buat kali pertama dalam hidup anda, anda berpeluang mengambil bahagian dalam acara sambutan Hari Kebangsaan di peringkat negeri. Anda dan rakan-rakan sekolah anda terpilih untuk acara persembahan senaman beramai-ramai. Nyatakan perasaan anda dan gambarkan suasana pada hari perayaan tersebut. (SPM 1994)

5. Cuti penggal kedua telah bermula. Anda akan pulang ke kampung anda di Ipoh dengan menaiki kereta api. Gambarkan suasana di stesen kereta api pada masa itu.

6. Anda tentu pernah mengalami suatu peristiwa sedih yang tidak dapat anda lupakan. Ceritakan peristiwa tersebut.

7. Sebuah bas terbabas ketika dalam perjalanan menuju ke sebuah bandar. Anda adalah salah seorang penumpang bas tersebut. Ceritakan pengalaman anda dalam kemalangan itu.

8. Pada cuti sekolah yang lalu, anda mengikut rakan karib anda pulang ke kampungnya. Anda diundang menghadiri majlis kenduri kahwin kakaknya. Perihalkan apa-apa yang anda saksikan semasa berada di majlis itu.

9. Anda dan keluarga anda dalam perjalanan ke kampung untuk menyambut hari raya. Jalan yang anda lalui itu penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Gambarkan suasana sepanjang perjalanan itu.

10.Anda telah memenangi peraduan silang kata anjuran sebuah majalah tempatan. Anda ditawarkan hadiah melancong secara percuma ke suatu destinasi peranginan pilihan anda selama seminggu. Nyatakan perasaan anda apabila mendapat tawaran tersebut serta nyatakan mengapa anda memilih tempat percutian itu. (1998)
 
11. Anda sedang menyaksikan pertandingan akhir bola sepak di stadium. Setelah setengah jam perlawanan berlangsung, kekecohan berlaku apabila pengadil dikatakan membuat keputusan yang tidak adil. Beberapa orang penonton masuk ke padang dan menyerang pengadil. Gambarkan suasana perlawanan itu.

12. Pada masa cuti penggal persekolahan yang lalu, anda bersama-sama dengan rakan telah menyertai program kembara berbasikal. Pada hari kelima perjalanan tersebut, beberapa orang rakan anda telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Nyatakan perasaan dan tindakan anda ketika itu. (SPM 1995)

13.Baru-baru ini sekolah anda telah mengadakan program Hari Keluarga. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Pelbagai acara telah dijalankan bagi memeriahkan lagi suasana Hari Keluarga tersebut. Anda dan keluarga anda tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut. Ceritakan pengalaman anda itu dan nyatakan kebaikan yang anda dapati daripada program tersebut. (SPM 1996)



KARANGAN CONTOH

Soalan:
Baru-baru ini sekolah anda telah menganjurkan “Hari Kecemerlangan Pelajar”. Pada hari itu, pihak sekolah telah mengadakan pameran dan persembahan pentas untuk orang ramai yang hadir. Gambarkan suasana tersebut.



30 Julai 1999 merupakan tarikh yang tidak mudah dilupakan oleh semua warga SMSM. Ini kerana pada hari tersebut telah diadakan Hari Kecemerlangan Pelajar. Hari itu memang dinanti-nantikan oleh semua pelajar dan ibu bapa terutamanya yang terlibat dengan upacara penerimaan sijil penghargaan. Lagipun, para guru dan pelajar sudah menghabiskan kira-kira 2 minggu untuk persediaan dan latihan.

Pada pagi itu para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar pesanan dan arahan terakhir daipada pengetua dan guru-guru yang menjadi ketua dalam bahagian-bahagian tertentu seperti bahagian persembahan, penganugerahan hadiah  dan cendera hati, keselamatan, pameran, dan sebagainya. Sesuatu yang menarik pada hari itu ialah semua guru lelaki memakai baju Melayu yang lengkap dengan songkok dan sampin termasuk guru-guru bukan Melayu. Sementara itu guru-guru perempuan kelihatan segak dengan pakaian baju kurung dan ada juga yang berkebaya labuh

Kira-kira pada pukul 8.30  pagi, para tetamu kelihatan mula masuk ke kawasan sekolah dan mereka disambut dengan mesra oleh barisan pengawas yang sedia menunggu di pintu utama sekolah dan para pelawat diberikan sebuah buku program untuk acara pada hari itu. Terdapat juga para penyambut tetamu yang kelihatan mengiringi pelawat sehingga ke pintu masuk dewan tempat majlis gemilang itu diadakan. Pada tahun ini sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan sehingga dewan yang seluas empat ukuran kelas itu kelihatan penuh. Antara tetamu yang diundang pada hari tersebut termasuklah Pengarah Pendidikan Negeri, Pengarah Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua, dan beberapa orang wakil PIBG. Ketibaan Pengarah Pendidikan itu telah disambut oleh pasukan kompang sekolah dan beliau juga diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan hormat oleh pasukan kadet tentera sekolah  yang kelihatan kemas dengan uniform mereka yang serba hijau dan memakai topi hitam berjambul merah. Upacara itu tamat dengan nyanyian lagu Negaraku dan selepas itu beliau diiringi oleh Pengetua masuk ke dalam dewan.

Pengetua telah menyampaikan ucapan dan memberikan laporan yang berupa kemajuan akademik dan kokurikulum di sekolah itu diikuti dengan ucapan daripada wakil PIBG dan akhir sekali ucapan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Seterusnya dewan menjadi lebih meriah dengan tepukan yang diberikan kepada para pelajar yang mendapat anugerah cemerlang pada hari itu. Tepukan yang kuat diberikan kepada pelajar yang diumumkan sebagai tokoh pelajar pada tahun ini kerana berjaya memperoleh keputusan akademik yang baik dan aktif pula dalam bidang sukan serta badan beruniform serta kelab.

Ketika pelawat serta tetamu berpindah ke dewan makan, pelajar-pelajar yang mengambil bahagian untuk acara persembahan sudahpun bersedia di atas pentas. Para tetamu kelihatan kagum dan terpukau oleh persembahan lagu-lagu yang disampaikan kumpulan koir sekolah dan diiringi pula dengan permainan muzik olehanggota-anggota band SMSM yang kelihatan segak bergaya dengan uniform mereka yang berwarna merah dan putih. Mereka telah mempersembahkan lagu-lagu yang segar dan telah berjaya menceriakan majlis makan tersebut. Para tetamu juga kelihatan tidak kering gusi apabila menonton sketsa komedi yang dipersembahkan oleh Pasukan Pengakap Sekolah. Kemuncak acara persembahan itu ialah nyanyian solo daripada pemenang Juara Bakat Seni Suara SMSM 1999 yang memiliki suara seakan-akan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Para tetamu kelihatan tidak bergerak daripada tempat duduk masing-masing sehingga acara persembahan diumumkan tamat dan mereka dijemput untuk pergi ke ruangan pameran yang diadakan dimakmal sains.

Para tetamu kelihatan kagum dengan pameran sains yang diadakan pada hari itu. Kebanyakan pelawat ingin mencuba sendiri beberapa alat dan radas sains yang dipamerkan itu dan hampir semua tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan kamera yang dibuat sendiri oleh beberapa orang pelajar daripada Persatuan Sains dan Matematik SMSM.

Apabila semua tetamu pulang, keadaan kembali tenang dan para guru mengadakan sesi bergambar untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Hari Anugerah Kecemerlangan pada tahun ini merupakan hari yang paling gemilang dalam sejarah SMSM.



GAMBARAN WAWANCARA PENDAPAT PERBAHASAN

Muka Depan Kefahaman Merumus Tatabahasa Karangan