Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
PANDUAN MENULIS ISI KARANGAN – JENIS PENDAPAT

1. Isi karangan anda mesti mempunyai FAKTA atau buah fikiran utama. Biasanya ayat yang menunjukkan fakta ini diletakkan pada ayat yang pertama.

2. Ayat yang mengandungi fakta itu perlu dihuraikan supaya karangan tersebut berkembang. Untuk menghuraikan fakta tersebut anda mungkin perlu bertanya kepada diri sendiri soalan-soalan seperti  mengapa, di mana, apakah puncanya, bagaimana, dan sebagainya. Apabila anda menjawab soalan-soalan ini dalam ayat-ayat yang seterusnya, anda dianggap sudah menghuraikan fakta tersebut.

3. Masukkan juga contoh-contoh yang sesuai. Contoh-contoh ini mungkin ditandai dengan perkataan seperti, misalnya, seperti, contohnya, dan sebagainya.

4. Tulis beberapa pernyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana jabatan, kementerian, dan tokoh-tokoh penting mengenai tajuk utama atau fakta yang telah dinyatakan itu.

5. Sekali sekala selitkan dengan simpulan bahasa yang sesuai dengan tajuk karangan anda.

6. Elakkan kesalahan bahasa yang serius dan sekiranya anda mampu, tulislah ayat yang pelbagai. Ini bermakna karangan anda mengandungi beberapa ayat yang pendek dan beberapa ayat yang panjang dengan menggunakan kata hubung yang sesuai.

7. Tulis dengan tulisan yang mudah dibaca oleh pemeriksa. Tidak berfaedah anda menulis karangan yang panjang sekiranya tulisan anda tidak dapat dibaca.

8. Sekali sekala anda bolehlah mencantumkan dua isi pendek dalam satu perenggan tetapi biasakan menulis satu perenggan satu isi.

9. Susunan isi tidak perlu ditulis dalam satu cara sahaja. Ini bermakna anda perlu menulisnya dengan pelbagai cara.

10. Pada ayat yang terakhir dalam perenggan isi, anda bolehlah menulis pendapat anda sendiri, atau huraian yang berkaitan dengan ayat-ayat yang sebelumnya atau anda boleh memberikan bayangan bagi fakta anda yang seterusnya.
 

MENULIS ISI YANG BAIK.

Soalan : Kegiatan kokurikulum di sekolah  didapati kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar. Kemukakan pendapat anda mengenai punca dan cara mengatasinya.

ISI 1

Punca utama kegiatan kokurikulum kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar ialah sikap pelajar yang menganggap kegiatan tersebut tidak mempunyai nilai bagi menentukan kejayaan mereka untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Tanggapan tersebut telah menyebabkan mereka mengambil sikap dingin terhadap kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan di sekolah. Malahan, terdapat juga pelajar yang tidak pernah datang untuk latihan sukan yang diadakan di sekolah menjelang Hari Sukan Sekolah. Sikap ini timbul kerana mereka pernah melihat pelajar-pelajar sebelum mereka yang tinggi pencapaiannya dari segi akademik sahaja yang diterima masuk ke universiti- universiti. Anggapan seperti itu pada masa ini sudah tidak boleh diterima lagi.  Hal ini demikian kerana pihak Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa kecemerlangan pelajar dalam kegiatan kokurikulum akan diambil kira untuk memasuki institusi pengajian tinggi mulai tahun 2000 selain pencapaian dari segi akademik. Untuk tujuan ini, pihak sekolah telah menyediakan buku rekod kedatangan pelajar dan buku penilaian kegiatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di sekolah.

ISI 2

Kegiatan ini juga kurang mendapat sambutan kerana terdapat pelajar yang memenuhi masa mereka di luar sekolah dengan kegiatan-kegiatan yang lain seperti menolong ibu bapa mereka berniaga atau menghadiri kelas-kelas tusyen. Pelajar-pelajar yang terlibat berasa mereka akan menghabiskan masa mereka dengan sia-sia sekiranya mengikuti kegiatan di sekolah memandangkan kegiatan itu tidak membantu menambah pendapatan ibu bapa mereka dan tidak membantu meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran. Dalam hal ini Menteri Pendidikan pernah mengeluarkan pernyataan bahawa negara Malaysia berhasrat untuk memiliki golongan pelajar yang bukan sahaja baik dari segi akademik malah aktif dan mempunyai disiplin diri yang baik. Menurut beliau lagi, hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan ini hanya akan tercapai sekiranya pelajar bergiat aktif dalam kedua-dua bidang tersebut. Pada hemat saya, seseorang pelajar itu perlu aktif dalam kedua-dua bidang tersebut demi memenuhi wawasan negara yang ingin melihat rakyatnya seimbang dari segi mental, fizikal, dan rohani.
 

CONTOH KARANGAN YANG LEMAH DARI SEGI PENYAMPAIAN ISI
(Bagi soalan yang sama seperti di atas)

Contoh 1
Pelajar kebanyakannya malas datang ke sekolah pada waktu petang untuk bermain bola atau sebagainya. Mereka lebih suka tinggal di rumah atau melepak di pusat-pusat membeli-belah dan pasar raya. Mereka juga selalu memberi alasan tidak suka kokurikulum kerana tidak ada faedah kepada mereka. Selain itu, mereka juga mungkin tidak dapat datang ke sekolah kerana rumah mereka terlalu jauh. Misalnya bagi pelajar yang tinggal di Kampung Jawa. Oleh itu saya berseru kepada pelajar-pelajar yang berkenaan supaya datanglah ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum ini kerana baik untuk kita jugak.

Penilaian: sangat lemah dari segi penguasaan bahasa dan tidak menampakkan kematangan fikiran.

Contoh 2
Salah satu punca yang menyebabkan pelajar kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum ialah kerana kegiatan tersebut diadakan pada waktu petang. Pelajar juga kurang berminat dengan kegiatan kokurikulum kerana mereka tinggal jauh dari sekolah. Selain itu ibu bapa juga tidak memberi kerjasama kepada pihak sekolah kerana mereka juga menganggap kegiatan itu sia-sia sahaja. Terdapat juga pelajar yang memberikan alasan bahawa mereka sudah kehabisan tenaga untuk datang semula ke sekolah kerana sudah terlalu letih ketika belajar pada waktu pagi. Pelajar juga tidak mahu datang pada hari Sabtu kerana mereka perlu ke pusat tusyen dan sebagainya. Pelajar yang tingal jauh dari sekolah juga tidak mahu menunggu di sekolah sehingga waktu petang dengan alasan mereka berasa terlalu letih dan lapar.

Penilaian : Penguasaan bahasa agak baik tetapi olahan isi adalah salah dari segi teknik kerana memasukkan lebih daripada satu isi dalam satu perenggan. Calon ini juga tidak menghuraikan isi penting yang dinyatakannya. Besar kemungkinan pelajar ini tidak dapat menulis dalam banyak perenggan kerana kehabisan idea. Mungkin juga pelajar ini akan menulis beberapa perenggan lagi tetapi isinya berulang-ulang.

TIPS
Guru anda hanya dapat membantu anda dari segi kaedah dan teknik menulis karangan tetapi mereka tidak dapat membantu anda mendapatkan pengetahuan tentang semua isu semasa. Oleh itu anda perlu membaca sendiri rencana dan berita-berita semasa yang berkaitan dengan isu-isu penting seperti yang terdapat dalam tajuk-tajuk Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM. Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai tajuk yang dibincangkan itu, karangan yang akan dihasilkan tidak menunjukkan anda seorang pelajar yang matang dan markah yang anda peroleh juga akan mengecewakan anda. Misalnya, anda mungkin ingin menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan teknologi maklumat atau internet tetapi sekiranya anda tidak tahu tentang telesidang, email, capaian (links), virus, laman web, dan sebagainya, anda mungkin mempunyai masalah untuk mengarang tajuk tersebut. Begitu juga dengan tajuk-tajuk yang lain misalnya mengenai sukan Komenwel, masalah jerebu, kejadian tanah runtuh, dan sebagainya.
 
 

LATIHAN
Tuliskan perenggan isi bagi soalan yang berikut.

Arus pemodenan sesebuah bandar bukan saja mendatangkan kemajuan kepada corak kehidupan masyarakat malah mewujudkan gejala yang buruk seperti kawasan setinggan. Bincangkan masalah-masalah yang wujud di kawasan ini. Selain itu, berikan pendapat anda untuk mengurangkan masalah ini.



Contoh jawapan:

Kehidupan di kawasan setinggan penuh dengan masalah. Yang paling utama ialah ketiadaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, tandas, sistem perparitan atau longkang yang sempurna, tempat pembuangan sampah, dan sebagainya. Sebagai akibatnya, mereka terpaksa berkongsi bekalan air paip yang terhad atau menggunakan air perigi yang digali untuk urusan sehari-hari serta menggunakan generator atau lampu gasolin sebagai ganti elektrik. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mudah terdedah kepada bahaya penyakit yang berjangkit. Ketiadaan tempat pembuangan sampah yang sempurna menyebabkan kawasan setinggan ini terkenal sebagai suatu kawasan perumahan yang kotor. Gejala ini merupakan salah satu punca tersebarnya penyakit yang berbahaya. Selain itu, kedudukan rumah-rumah setinggan yang agak rapat di anrtara satu dengan yang lain itu bukan saja membahayakan kesihatan para penghuninya malah memudahkan api merebak jika berlaku sesuatu kebakaran. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa keadaan di kawasan setinggan ini mengancam kesihatan dan nyawa penduduk-penduduknya.

Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak yang terlibat perlu mengambil tindakan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setinggan yang menghuni pinggir kota ini. Sebagai langkah permulaan, keadaan persekitaran kawasan setinggan perlulah diperbaiki. Hal ini termasuklah memberikan bekalan air bersih, bekalan elektrik, tandas, serta sistem perparitan yang lebih sempurna. Kemudahan-kemudahan lain yang perlu disediakan ialah seperti kemudahan jalan dan jambatan, lampu jalan, dan pusat-pusat kesihatan. Perhatian yang serius perlu diberikan terhadap pelajar yang tinggal di kawasan seperti ini. Kelas-kelas bimbingan agama dan kelas-kelas bimbingan pelajaran harus ditubuhkan juga. Sementara itu, ibu bapa perlu diberi kesedaran tentang kepentingan pelajaran anak-anak mereka. Untuk itu pihak kerajaan tempatan perlu menganjurkan ceramah-ceramah motivasi untuk mnyedarkan masyarakat di kawasan ini agar berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka untuk kepentingan keluarga mereka sendiri. Melalui tunjuk ajar dan nasihat ini, diharapkan agar masyarakat setinggan akan dapat hidup dengan lebih sempurna.

(Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlulah membina lebih banyak rumah kos rendah bagi menampung bilangan penduduk setinggan yang besar jumlahnya. Namun demikian, pihak kerajaan harus juga memastikan bahawa rumah-rumah kos rendah yang dibina itu diuntukkan bagi masyarakat di kawasan tersebut dan bukan untuk individu-individu yang hanya mementingkan keuntungan. Rumah-rumah yang dibina itu mestilah juga sesuai dengan taraf pendapatan mereka. Dengan itu, kehidupan masyarakat setinggan akan dapat ditingkatkan selaras dengan kemajuan yang dinikmati oleh rakyat lain di negara ini.)



 
GAMBARAN WAWANCARA PENDAPAT PERBAHASAN

Muka Depan Kefahaman Merumus Tatabahasa Karangan