Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

 

                     Sekolah Lima Bintang?

"The quality of a leader is reflected in the standards they set for themselves"

 ~ Ray Kroc, Founder of McDonald's                           

 

 

Umumnya sekolah-sekolah yang cemerlang, berjaya, berkesan, berwatak, malah apa saja nama yang diberikan adalah bagi menggambarkan dan mengiktiraf keunggulan dan kegemilangan sesebuah sekolah itu dari pelbagai sudut dan segi terutama sekali aspek pencapaian akademiknya dan keberkesanan pengurusannya. Sekolah-sekolah seperti ini sering kita istilahkan sebagai five-star school atau sekolah lima  bintang. Namun begitu bagi saya gelaran lima bintang dalam pengertian yang di sebaliknya sesuai diberikan kepada sekolah ini (SK Paya Pulai) waktu itu berdasarkan cukup banyak perkara yang tidak beres dan merupakan masalah-masalah berlarutan yang kebetulan saya pula yang bertungkus-lumus bagi menyelesaikannya. Sebahagian besarnya telah saya ceritakan di bab sebelum ini. 

Pada suatu pagi awal tahun 1994 sewaktu saya datang ke Pejabat Pendidikan Temerloh kerana urusan menghantar Penyata Perubahan (Kew.8) bagi pergerakan gaji tahun itu, saya telah ditempelak oleh seorang Ketua Kerani daripada Jabatan Pendidikan Pahang, Kuantan yang bertugas meluluskan semua penyata perubahan bagi sekolah-sekolah di dalam daerah Temerloh. Sewaktu saya melangkah masuk ke dalam Bilik Gerakan PPD Temerloh, Puan Mah Embong bertanyakan saya dari sekolah mana. Saya jawab,"Sekolah Paya Pulai". Sebaik sahaja saya menjawab terus beliau berkata,"Hah...sekolah problem!" Saya terdengar bunyi ketawa-ketawa kecil daripada semua Pembantu Tadbir JPNP yang berada di situ. Saya terasa "terhina" dengan komen spontan yang amat "jujur" itu. Saya terus tidak berkata-kata lagi, dan barangkali Puan Mah Embong menyedari kesan daripada kata-katanya itu tadi lantas bertanyakan perkara  lain, tetapi saya jawab secara ala-kadar sahaja. Telinga saya rasa panas. Saya sedikit pun tidak ambil hati ke atas apa yang diucapkan oleh beliau, tetapi yang saya rasa dukacita inilah "puncanya" mengapa pengurusan dan prestasi SK Paya Pulai berada di dalam status "problem" sebagaimana dakwaan Puan Mah Embong ini. Tentulah sebagai Ketua Kerani di jabatan pendidikan negeri, beliau amat tahu dan amat maklum betapa begitu banyak urusan-urusan berhubung dengan perkhidmatan dan perjawatan yang tidak dibereskan oleh pengurusan-pengurusan SK Paya Pulai sebelum ini. Apakah saya tidak berhak sedikit pun meluahkan perkara ini kerana begitu ramai orang yang sudah menjawat jawatan Guru Besar di sekolah ini tetapi mengapa hal-hal yang menjadi tanggungjawab dan tugas utama ini tidak disempurnakan?

Sekolah "problem" adalah 'bintang pertama' yang saya terima daripada persepsi dan penilaian pihak pegawai di jabatan pendidikan negeri. Sewaktu mula-mula saya datang ke SK Paya Pulai ini saya sudah mengatur strategi saya sendiri bagi memperbaiki semua kemunduran dan kebobrokan yang memang saya sudah tahu kerana adik perempuan saya pernah bertugas di sekolah ini (seperti yang saya ceritakan dulu). Saya menumpukan kepada tiga aspek penting dan utama yang saya hendak tangani di sekolah ini iaitu; i) disiplin guru (khasnya), ii) sikap guru-guru dan iii) budaya sekolah yang murni dan unggul (yang juga meliputi budaya belajar dan budaya kerja). Bagi saya sikap dan disiplin guru-guru adalah segala-galanya. Kerana kedua-dua sapek ini saling berkait rapat di antara satu dengan yang lain maka ianya amatlah perlu ditangani sebaik mungkin. Saya amat percaya dengan disiplin yang baik akan melahirkan sikap dan perlakuan yang positif dan baik; begitu juga seterusnya dengan sikap yang positif dan baik akan melahirkan disiplin kerja dan disiplin pekerja yang baik dan cemerlang. Inilah kepercayaan dan keyakinan saya ke mana jua sekolah yang saya diarahkan bertugas dan berkhidmat.

Saya mendapat banyak maklumbalas daripada guru-guru mengenai perkara-perkara yang saya cuba perbaiki dan perbetulkan. Ada masanya saya ditemui dan dimaklumkan secara berdepan oleh guru-guru yang mungkin betul-betul ingin menyampaikan pandangan dia atau pun mengandungi niat yang lain. Seorang guru bernama Abdul Rahim Tahir pernah mengemukakan beberapa soalan kepada saya sewaktu baru-baru saya berpindah ke sekolah ini berkaitan i) hari menghantar Buku Rekod Mengajar ii) pemakaian tanda nama iii) larangan memakai baju lepas keluar dan memakai baju batik iv) guru-guru tidak boleh mengajar sambil duduk dan v) waktu datang dan balik dari bertugas. Secara yang amat berterus-terang guru ini berkata, "Cikgu strict. Guru-Guru Besar sebelum ini tidak strict dan relax sahaja." Saya seorang yang memandang berat perkara-perkara yang kecil katanya lagi. Saya jelaskan dengan baik semua pertanyaan guru ini hari itu. Kepadanya saya tegaskan  mengapa saya mengambil berat perkara-perkara yang kecil kerana perkara-perkara yang kecillah boleh menjadi besar dan seterusnya menjadi wabak yang sukar lagi untuk dipulihkan. Saya berikan contoh-contoh apa yang sedang berlaku dan telah berlaku di sekolah ini sendiri. Saya sedar guru seperti ini mungkin dilihat baik kerana berani menyuarakan pandangannya (mungkin juga pandangan orang lain?) dengan jujur tetapi harus awas kerana dia juga boleh jadi alat kepada "orang-orang" yang tidak berani menyuarakannya sendiri. Pada suatu waktu yang lain pula guru ini memberitahu saya bahawa dia akui dahulu guru-guru lambat masuk kelas dan keluar cepat; belum pukul 10.00 sudah berada di kantin. Sudah jauh berubah sekarang, katanya. Seorang guru lain cikgu Mohd Ripin Nan pula pernah memberitahu saya senario mula-mula dia datang dulu katanya guru-guru asyik "berlonggok" di Bilik Guru, beberapa orang keluar masuk sekolah dengan bebas; malah katanya dia pernah diberitahu oleh salah seorang guru ini,"Jadilah cikgu..." Ertinya tak payah mengajar bersungguh-sungguh, mari berlonggok macam mereka. "Sekolah macam khenduri sentiasa! Sekarang amat berubah", sambung cikgu Ripin Nan. Bahkan Pembantu Am Rendah sekolah ini iaitu Encik Abdul Wahab bin Tan pernah berkata kepada saya bahawa suasana sekarang sudah jauh berubah, "ibarat bumi dengan langit" katanya. Kalau dulu setiap kali lepas ujian atau peperiksaan "murid-murid beronggeng" tambahnya. Pada kesempatan yang lain pula Encik Abdul Wahab Tan (PAR) ada mengatakan sekarang sekolah amat berbeza dari dahulu; guru-guru sekarang jalankan kerja dengan baik; semuanya dipenuhi dengan kerja; GB buat sangat baik berdasarkan "yang benar" dan "yang betul". Seterusnya dia mengatakan bahawa dia mendapat maklumat daripada Abdul Karim dan Shamsuddin Joned (masing-masing PAR SM Kg. Awah dan SRK Jalan Bahagia) ada berkata," Jaga kerja dengan betul jika bekerja dengan cikgu Hamzah."

Daripada sikap dan perlakuan dua orang penolong kanan Kokurikulum yang tidak mahu menulis rekod mengajarnya, daripada melayani kerenah dan gelagat kebudak-budakan pekerja rendah awam yang lebih daripada culas dan malas, sampailah kepada menyelia dan menguruskan segelintir guru yang tidak komited dan tidak dedikasi kepada tugas mengajar dan mendidik di sekolah ini. Pada suatu hari saya melihat sendiri dengan mata kepala saya bagaimana tergamak seorang guru sedang berdengkur di atas settee di Bilik Guru. Waktu itu baharu pukul 9.00 pagi. Masya Allah kata hati saya. Saya minta Pembantu Am Rendah memanggil guru ini berjumpa saya beberapa minit kemudian. Saya tanya apa halnya dan tidak patut sama sekali dia berkelakuan demikian rupa. Sebenanya sudah beberapa kali saya melihat guru ini tidur semasa bertugas, malah pernah pada suatu ketika semasa kedatangan pensyarah Maktab Perguruan kerana urusan penyeliaan guru-guru praktikum, guru ini tak segan-segan terlentok tidur di hadapan pensyarah-pensyarah ini di Bilik Guru!. Selain menjejaskan nama baik dia sendiri perbuatan ini akan turut menjejaskan dan mencemarkan nama baik semua orang di sekolah ini. Guru muda ini mengaku dia mengantuk kerana semalamnya lewat pulang kerana mengikuti "ceramah politik". Saya nasihatkan dia supaya tidak ulangi lagi perbuatan ini di samping meminta dia belajarlah menjadi seorang guru yang betul-betul baik terhadap anak didik dan tugas serta amanah yang dipikul.

Pada suatu hari Haji Abdul Jabbar Kassim (Penyelia di PPD) telah datang melawat sekolah ini. Dalam perbincangan dengan beliau hari itu saya banyak "menimbulkan" perkara-perkara yang sepatutnya tidak berlaku dan berlarutan sampai sekarang; saya sebutkan betapa begitu ramai guru-guru yang tidak diperakukan pengesahan dalam jawatan mereka, saya juga yang melaksanakannya; betapa sekolah ini sudah terkenal sebagai "sekolah tempat buangan" di mana guru-guru atau kakitangan yang bermasalah di pindahkan ke sekolah ini; dan betapa wujudnya senario dan budaya mediocrity yang amat tidak menggalakkan; pencapaian sekolah dalam UPSR tidak menyerlah kerana kelemahan kepemimpinan di tambah dengan masalah kekurangan tenaga guru dan sebagainya. Pencapaian UPSR 1993 sekolah ini hanya 3 orang sahaja murid mendapat 4A ( 9 lagi 3A1B dan 3 orang 3A1C) manakala peratus kelulusan 45.2% (berbanding 40.0% Tahun 1992). Cikgu Osman Said menelefon saya memaklumkan keputusan UPSR SRK Jalan Bahagia pula tahun itu seramai 22 orang murid mendapat 4A dan kelulusan keseluruhan 59.37%, dan ini dapat buktikan peningkatan kepada pihak-pihak yang tertentu. Saya juga memaklumkan pencapaian UPSR SK Paya Pulai kepada beliau. Kemudian cikgu Mohd Malik pula bercakap (menerusi telefon) menyatakan kejayaan apa yang telah dibuat untuk UPSR tahun itu. Saya tidak tahu sejauh mana keihklasan beliau menyebut perkara itu. Apa yang penting dan jelas hari itu, Haji Jabbar telah mengakui bahawa mereka (di Jabatan) amat sedar perkara-perkara yang saya timbulkan itu, malah beliau sendiri mengatakan bahawa sekolah ini sebenarnya "terbiar" selama ini. Nah...kata saya, sebagai Penyelia di PPD Tuan Haji sepatutnya tidak membiarkan lagi perkara-perkara merosakkan ini berterusan. Saya sangat-sangat berharap beliau dapat membantu terutamanya dari segi penempatan guru-guru yang berdedikasi dan bertanggungjawab. "Sekolah terbiar" adalah bintang kedua yang saya terima bagi sekolah ini.

Dalam rangka Kementerian Pendidikan membekalkan kemudahan komputer di bawah program pembelajaran berbantukan komputer di sekolah-sekolah seluruh negara, sekolah ini turut dicalonkan oleh pihak PPD. Pada suatu hari datanglah dua orang pegawai daripada Kementerian Pendidikan dari Kuala Lumpur bagi meninjau sejauh mana keadaan prasarana dan kesesuaian bilik darjah yang akan dijadikan bilik komputer ini. Malangnya saya tidak berada di sekolah hari itu kerana menghadiri suatu mesyuarat. Jadinya segala maklumat atau latar belakang sekolah terserah kepada penolong kanan cikgu Zabedah Hj. Alias. Saya dimaklumkan keesokan harinya akan kedatangan dua orang pegawai tersebut, dan cikgu Zabedah tidak banyak memberikan maklumat berhubung perkara-perkara yang dibincangkan dengan kedua-dua orang pegawai tersebut. Apa yang jelas kemudiannya, saya dimaklumkan oleh seorang guru agama bernama Ustazah Hasnah Mohamad (sama-sama mengajar di SM Kg. Awah dulu) bahawa pada hari itu dia ada berselisih dengan kedua-dua orang pegawai tersebut ketika mereka berjalan hendak ke bangunan baharu di mana letaknya bilik komputer yang dicadangkan itu. Cikgu Hasnah mengatakan bahawa dia jelas benar terdengar kata-kata dari salah seorang pegawai tersebut sebagai berkata, " Sekolah berpenyakit..." Apa penyakitnya cikgu Hasnah tidak tahu katanya. Bagi saya "penyakitnya" ialah betapa seorang penolong kanan sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi pembantu kanan kepada Guru Besar telah dilihat sebagai tidak membantu malah cuba "memburuk-burukkan" saya pula. Inilah sebenarnya "penyakit" yang dimaksudkan oleh pegawai tersebut. Cuba fikirkan bagaimana seorang pegawai Kementerian Pendidikan yang tidak pernah menjengah sekolah ini, tidak tahu-menahu senario dan latar-belakang sekolah tiba-tiba mampu "menilai" dan "melabel" sekolah ini sebagai sebuah sekolah yang berpenyakit, kalau tidak kerana gelagat, percakapan dan tingkah-laku seorang penolong kanan yang tidak berwibawa? Inilah bintang ketiga yang saya terima terhadap imej dan prestasi sekolah ini di mata pegawai-pegawai atasan yang datang berkunjung.

Apakah alasannya maka saya berkata begitu? Pada suatu hari Jumaat 22 April 1994 cikgu Zabedah (GPK1) menceritakan mengenai kursus yang baru selesai dihadirinya di IAB. Cikgu Zabedah beritahu saya kebanyakan GPK-GPK yang hadir bersamanya berkelulusan Diploma ini diam sahaja, setengahnya baharu sangat dilantik, dan dia sendiri dapat pujian daripada pensyarah, katanya. Blue Print Sekolah (BPS) katanya menjadi rebutan disalin oleh peserta-peserta kursus. Ramai GPK-GPK ini burukkan Guru Besar-Guru Besar mereka dari segi kewibawaan memimpin, kata cikgu Zabedah. Hati saya berdetik mengatakan tidakkah dia juga turut sama 'memburuk-burukkan' saya? 

Pada suatu hari saya menerima panggilan telefon daripada Ispektor Jamil daripada Balai Polis Temerloh memberitahu saya kes seorang guru saya telah ditangkap polis kerana kesalahan mengedar risalah-risalah pergerakan Al-Arqam (yang telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia). Beliau hendakkan pengesahan saya bahawa guru ini bertugas di sekolah ini dan akan lihat perkembangannya sebelum didakwa katanya. Menurut Inspektor Jamil lagi guru ini meminta supaya beliau jangan memberitahu saya hal ini. Seingat saya guru ini (Ahmad Hafizi Ismail), bersama seorang lagi guru wanita cikgu Nawal Omar) pernah saya panggil pada suatu hari Isnin (29 September 1994) berkaitan isu pergerakan Al-Arqam di samping saya ingin sebenarnya mengetahui secara lanjut penglibatannya serta ingin menasihatinya selaku seorang ketua jabatan. Dalam pertemuan hari itu guru ini ada memberi pengakuan kepada saya bahawa dia 'terjebak' menyertai pergerakan Al-Arqam katanya kerana dia "kosong" dari segi pengetahuan agama dan dia mula berjinak-jinak dengan Al-Arqam sewaktu mengajar di Sarawak lagi. Saya agak hairan juga mendengar dakwaannya bahawa dia merasa "kosong" itu kerana saya dapat tahu guru ini anak kepada seorang imam di kampungnya. Pada hari itu kedua-dua orang guru ini mengisytiharkan kepada saya bahawa mereka bukan lagi ahli pergerakan Al-Arqam tetapi seperti 'sistem pondok' sahaja dan lagi memakai 'pakaian Islam', kata mereka. Sayang, kira-kira empat hari sahaja selepas saya 'menasihati' guru ini, dia telah diberitakan ditangkap polis sewaktu mengedar risalah Al-Arqam di perkarangan Masjid Abu Bakar Temerloh. Saya kemudiannya menerima sepucuk surat daripada pihak polis berhubung penangkapan guru ini dan pemakluman  bahawa dia telah dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM10,000.00!

Selain itu prestasi guru ini sederhana sahaja dan saya sering mendapat aduan daripada penjaga mengenai kerja-kerjanya yang kurang memuaskan, dan apabila saya sendiri siasat dan selidik serta saksikan menerusi semakan buku-buku latihan murid-murid yang diajarnya jelas dakwaan penjaga berkenaan adalah berasas. Jadinya seringlah pula saya berinteraksi dengan guru ini berhubung aspek penyempurnaan kerja sebagai seorang pendidik. Saya pernah bercakap dengan cikgu Hafizi Ismail mengenai pemeriksaan buku-buku Karangan kelas 4D  yang dilapor oleh penjaga murid sebagai lama tidak diperiksa olehnya. Guru ini mengaku dia baharu buat semalam. Saya beri dia nasihat supaya buat kerja sehabis baik; tugas guru bukan mudah, kata saya. Murid mesti diajar; kesalahan-kesalahan murid mesti dibetulkan, dan lagi latihlah diri menjadi guru yang positif dan jangan dengar cakap-cakap orang, tambah saya. Guru ini sebenarnya pernah beberapa kali datang ke rumah saya bersama seorang lagi rakannya cikgu Nordin iaitu suami kepada cikgu Nawal Omar semata-mata ingin 'bermuzakarah' dengan saya. Pernah di dalam salah satu pertemuan ini kedua-dua mereka ini mengakui bahawa apa yang saya sentuh dan bawa ke dalam pengurusan dan pentadbiran saya di SK Paya Pulai ini amatlah 'benar' dan 'tepatnya'. Malah mereka menyatakan bahawa mereka sangatlah fahamnya. Tinggal lagi mereka belum dapat memenuhi semua aspek yang saya sentuh dan cuba perbetulkan itu.

Gelagat dan tingkah-laku seorang lagi guru "Al-Arqam" (cikgu Nawal) lagilah peliknya. Guru perempuan ini sentiasa mengajar dengan menutup pintu dan tingkap bilik darjah. Pendeknya murid-murid tahun satu yang "tidak mengerti apa-apa" ini menjadi mangsa kepada konsep, pemikiran dan amalan hidup peribadi guru ini yang tidak sesuai dengan etika dan profesion seorang guru. Saya juga berinteraksi beberapa kali dengan guru ini berhubung masalah yang menjadi "penyakit" di sekolah ini. Walau pun begitu saya amat berhati-hati supaya tidak menyentuh "kebebasan individu" di dalam mengamalkan kepercayaan agamanya. Saya tidak pernah menyentuh isu 'tutup mukanya' sewaktu bertugas di sekolah. Saya cuba mengajak guru muda ini 'berfikir' secara lebih rasional dan praktikal sebagai seorang guru yang  mendapat latihan maktab di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya cuba jelaskan kepadanya adakah tidak dia "berdosa" atau sekurang-kurangnya "bersubahat" dengan sebarang "kecacatan" yang terjadi kepada anak didik di bawah jagaannya jika ada di antara murid-murid ini, kata saya mengalami rosak penglihatan kerana kekurangan cahaya yang masuk ke dalam bilik darjah kerana semua pintu dan tingkap ditutup? Bagaimana pula kata saya lagi jika berlaku jangkitan penyakit berjangkit dengan lebih cepat dan mudah kerana kurangnya peredaran udara yang bersih di dalam bilik darjah - juga kerana semua pintu dan tingkap ditutup? Jadi pada penghujung tahun 1993 itu saya telah memberi "notis" secara lisan supaya cikgu Nawal membuka pintu dan tingkap apabila sekolah dibuka pada awal tahun 1993/1994 nanti.

Namun demikian guru ini tetap dengan sikapnya, masih menutup pintu dan tingkap bilik darjah semasa dia mengajar. Aduan daripada guru-guru lain yang turut mengajar di kelasnya mengatakan bahawa murid-murid kelasnya agak tidak terkawal, yakni tidak boleh melihat pintu dan tingkap berbuka--lantas meluru keluar ke kawasan berumput di hadapan kelas. Keadaan ini kata guru-guru ini adalah akibat daripada cikgu Nawal yang "mengurung" murid-murid tersebut. Pada suatu hari kira-kira jam 11.00 pagi saya sendiri ketika meronda kelas-kelas telah membukakan pintu kelas 5M. Saya hendak buktikan bahawa apa yang saya minta adalah serius dan bukan sekadar meminta begitu sahaja. Tak berapa lama kemudian guru ini akhirnya akur dengan arahan saya.

Dalam pada itu saya sering pula menerima maklumbalas daripada bekas guru-guru saya terutama yang mengajar bersama-sama di SM Jengka 18 dulu. Seorang daripadanya cikgu Hussein Mat yang saya temui semasa pekan sehari  di Temerloh. Katanya  sekarang sudah tidak seronok lagi bekerja di SMJ 18; ada unsur pilih kasih; megahkan ijazah; dan tidak ada sokongan daripada Pengetua. Selanjutnya dia menyatakan dia mohon bertukar balik ke Terengganu tahun itu. Barangkali secara kebetulan atau tidak, saya tidak pasti tetapi pada suatu hari agak ramai bekas guru-guru saya di SMJ 18 datang berziarah ke rumah saya pada 26 Mac 1994. Mula-mula cikgu Kadmi, isterinya cikgu Normah serta Norlela (Pembantu Makmal SMJ 18) datang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang. Kemudiannya pada sebelah malam kira-kira jam 8.45 tiba pula cikgu Zaberi Hamid, cikgu Sadun Selam dan cikgu Mohd Izani bersama-sama isteri masing-masing dengan dua orang lagi guru perempuan pula datang berziarah. Banyaklah cerita dari cikgu Zaberi berhubung budaya sekolah rendah yang sama gayanya di kebanyakan sekolah rendah di negara ini. Katanya soal pokok ialah masalah disiplin guru dan taraf ilmu Guru Besar dan guru-guru yang kebanyakannya "hanyut" dalam budaya "asal ada" sahaja, kata cikgu Zaberi. Lantas saya teringat akan maklumbalas yang saya terima daripada cikgu Mansor Ibrahim di SK Paya Pulai kepada saya bahawa ketika dia mula-mula berpindah ke SK Paya Pulai dahulu sampai dua bulan dia tidak diberi Buku Rekod Mengajar, dan oleh kerana itu selama dua bulanlah dia "tidak mengajar"; betapa lemahnya pengurusan Guru Besar ketika itu, kata cikgu Mansor. Tanda nama tidak pakai macam sekarang; dan kebanyakannya "buat asal ada sahaja" jelas cikgu Mansor lagi. Betapa tepatnya ulasan cikgu Zaberi tersebut kerana inilah antara kelemahan-kelemahan ketara dan kritikal yang sering saya temui dan berlaku berlarutan di sekolah-sekolah. Satu hal yang penting ialah saya tidak keseorangan yang berpendapat sedemikian dalam menilai prestasi, senario dan budaya sekolah-sekolah seperti ini terutama sekolah-sekolah kebangsaan kita. Alangkah baiknya jika seluruh tonggak pengurusan di sekolah-sekolah kebangsaan kita dapat menyedari hakikat ini dan seterusnya bertindak dengan gigih dan secara all-out bagi membanteras kebejatan profesionalisme ini dan seterusnya membina sekolah-sekolah yang benar-benar unggul dan murni sebagai institusi pendidikan kebangsaan yang dipandang tinggi oleh seluruh masyarakat. 

 

 

                    

 

                                           Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed