Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

 

                      Lawatan Ke Negara Thai

                   " Discovery consists of seeing what everybody has seen

                           and thinking what nobody has thought."

                                     ~ Albert Gyorgyi

 

Satu program "Belajar Sambil Melawat Ke Bangkok dan Pattaya Thailand" telah diaturkan oleh Majlis Guru Besar Pahang pada penghujung tahun 1994. Saya anggap bernasib baik juga kerana telah sama-sama dapat menyertai lawatan tersebut yang diadakan  mulai 15 hingga 23 November 1994. Program tersebut disertai kira-kira empat puluh orang Guru-Guru Besar yang mewakili semua sebelas daerah Negeri Pahang, turut disertai beberapa orang pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri, Kuantan.

Pada jam 4.30 petang 15.11.1994 saya menunggu bas berdekatan stesen Petronas dihadapan rumah saya di Batu 6, Jalan Maran untuk ke Kuantan dan seterusnya ke Thailand melalui Kota Bharu dan Sungai Golok. Bas yang ditunggu sangat lewat tiba, hampir satu jam kemudian baru sampai. Keadaan bas saya dapati kurang memuaskan, air-condnya tidak berfungsi seperti sepatutnya menyebabkan penumpang-penumpang merasa agak rimas. Hujan renyai-renyai di merata tempat sepanjang perjalanan, dan kami tiba di Kuantan kira-kira jam 7.05 malam. Kumpulan kamilah yang mula-mula sampai di Jabatan Pendidikan Pahang malam itu. Bas sewa khas yang akan membawa kami ke Thailand tiba jam 10.30 malam dan sepuluh minit kemudian baharulah memulakan perjalanan. Bas yang membawa kami itu daripada Syarikat Bumi Ekspres dan nombor pletnya ialah DY 151. 

Kira-kira jam 1.00 pagi (Rabu 16.11.1994) kami tiba di Dungun, Terengganu. Di sini kami berhenti dan minum kira-kira selama 20 minit. Perjalanan diteruskan jam 1.30 pagi dan kami tiba di Rantau Panjang, Kelantan pada jam 5.30 pagi. Pada mulanya kami telah tersalah singgah di SRK Rantau Panjang; kemudian bergegas semula berpindah ke SK Rantau Panjang. Tak tahulah saya macam mana boleh berlaku salah maklumat seperti itu. Di SK Rantau Panjang ini kami mandi dan mengerjakan solat subuh di sekolah ini. Jam 7.20 pagi kami keluar ke kedai untuk minum dan sarapan di samping meninjau-ninjau keadaan pekan Rantau Panjang. Kemudian sementara menunggu masa untuk bertolak ke Golok, kami semua berehat di PKG Rantau Panjang.

Jam 12.15 tengah hari itu kami menyeberang Sungai Golok setelah melalui Imigresen dengan menaiki beca dan berehat di Hotel Lilla. Saya berdua sebilik dengan Guru Besar SK Pulau Rusa. Selepas solat fardhu dzuhur, kami makan roti nan di kedai orang Islam di Sungai Golok ini. Tepat jam 4.00 petang (3.00 petang waktu Thailand) keretapi mula bergerak menuju Bangkok. 4.12 petang keretapi singgah sebentar di Sungai Padi. Apa yang saya lihat pemandangan di kiri kanan jalan keretapi ini tidak banyak bezanya dengan keadaan di Malaysia, dan jelas kepada saya keadaan taraf hidup penduduk-penduduk di sini agak rendah berdasarkan keadaan rumah-rumah mereka.

Begitu juga halnya ketika sampai di Tan Yong Mat (Tanjong Mat?) pemandangan sejauh ini sama sahaja iaitu rumah-rumah kepunyaan orang Melayu Siam masih ada yang diperbuat daripada pelupuh buluh walaupun terdapat juga beberapa buah rumah papan dan daripada batu bata tanpa diplaster. Kelihatan murid-murid sekolah pulang dari sekolah dan semuanya memakai tudung seperti di Malaysia. Jadi mereka ini tidak bercuti macam kita, kata hati saya. Setesen berikutnya ialah Ma Ru Bo, keretapi singgah 5 minit sahaja; di Ruso juga berhenti sekejap juga. Jam 5.34 petang keretapi melalui Raman tanpa berhenti. Keretapi berhenti apabila tiba di Yala, kemudian meneruskan perjalanan melalui Na Pradu tanpa henti. Jam 6.20 petang tiba pula di Khok Pho dan berhenti mengambil penumpang. Di simpang Hatyai keretapi berhenti selama 20 minit. Kemudian daripada itu saya tidak dapat lagi mencatat nama-nama setesen yang dilalui kerana hari sudah gelap didakap malam. Jam 8.45 (7.45 waktu Thai) saya cuba tidur...namun beberapa kali terjaga malam itu.

Jam 6.00 pagi (Khamis 17.11.1994) saya sudah terjaga dari tidur ...saya lihat masing-masing ahli rombongan dengan halnya (ada yang mandi ada yang kata akan mandi di hotel nanti). Saya membasuh muka dan menggosok gigi sahaja. Saya mengambil kesempatan mengambil beberapa shot gambar di dalam keretapi dan kebanyakan tempat tidur belum lagi dikemaskan oleh petugas keretapi). Perjalanan masuk hari kedua. Jam 7.33 berhenti di Hua Hin. Di sini kelihatan banyak rumah macam rumah-rumah setinggan sahaja layaknya yang dibina di kiri kanan jalan keretapi; dan keadaan rumah-rumah itu kurang baik kerana setengahnya ada yang ditampal-tampal dengan papan dan zink. Saya dapati tempat ini merupakan sebuah bandar yang besar juga kerana banyak bangunan-bangunan kedai yang baharu sedang dibina. Saya lihat juga semua arial TV dipasang tinggi-tinggi di sini. Selain itu aspek kebersihan kurang diberi perhatian oleh penduduk tempatan kerana saya dapati sangat banyak longgokan sampah-sarap di merata kawasan.

Setesen berikutnya ialah Ratchaburi, sebuah bandar yang agak besar juga, keretapi singgah kira-kira 3 minit sahaja. Kemudian singgah di Ban Pong juga selama 2 minit. Jam 10.10 pagi keretapi singgah di Nakhon Pathon sebentar sahaja. Setesen berikutnya Bang Bamru barulah keretapi berhenti agak lama sedikit kira-kira 10 minit. Setelah meneruskan perjalanan, setesen berikutnya ialah Bang Sue. Jam 11.37 sampai di Sam Sen iaitu setesen keretapi terakhir sebelum sampai ke kota Bangkok.

Tepat jam 12.00 tengah hari, keretapi yang kami naiki pun tiba di setesen Bangkok. Kami terus menaiki bas pelancongan yang sudah sedia menunggu, dan membawa kami ke Hotel Alexander. Perjalanan dari setesen keretapi Bangkok ke hotel ini memakan masa hampir satu jam. Kami tiba di hotel ini jam 12.50 (11.50 waktu Thai), kemudian terus makan tengah hari. Sesudah itu kami menuju bilik masing-masing. Saya bersama-sama cikgu Osman Said menginap di bilik No. 645. Keadaan hotel amat baik dan cukup memuaskan. Hotel Alexander ini terletak di 3303 Ramkhamhaeng Road, Huamark, Bangkapi BKK 10240.

Semasa dalam perjalanan dengan bas tadi, pemandu pelancong kami yang lebih gemar dipanggil Mr. Eka sahaja (maknanya "satu") menerangkan jalan yang dilalui itu ialah Jalan Rama IV. Raja Thai sekarang ialah Rama IX katanya.  Menurutnya lagi tulisan Thai adalah hasil ciptaan Raja Thai yang bernama Ramkhamhaeng kira-kira 700 tahun yang lalu. Di sini juga Mr. Eka menyatakan terdapatnya sebuah universiti terbuka yang besar dengan jumlah pelajar seramai 100,000 orang. Universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Ramkhamhaeng, mengambil sempena nama Raja Ramkhamhaeng. Masa di negara Thai "cepat satu jam" daripada waktu di Malaysia, jelas Mr. Eka lagi, dan beliau meminta kami "membetulkan" jam masing-masing. Menurut Mr.Eka lagi, rakyat Thai khususnya yang mendiami Kota Bangkok terpaksa "mengejar" masa kerana perjalanan dengan bas biasanya mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke tempat kerja -- begitu juga waktu pulang katanya. Sebagai contoh, jika waktu pejabat jam 8.00 pagi, mereka terpaksa bangun sekitar jam 5.00 atau 6.00 pagi. Waktu tidur mereka juga pendek, katanya.

Masa yang diambil (dengan perjalanan keretapi) untuk sampai ke Bangkok dari Golok ialah selama 20 jam! Sambil berehat-rehat menghilangkan letih dan lenguh selepas perjalanan yang panjang, saya melihat-melihat sebuah buku panduan pelancong yang disediakan di dalam bilik hotel tempat kami menginap. Banyak maklumat mengenai  Thailand membantu kita memahami sejarah, budaya dan adat resam negara Gajah Putih ini. Beberapa nama buah-buahan di dalam bahasa Thai menarik perhatian saya lalu saya catatkan; antaranya:

   Bahasa Melayu                                      Bahasa Thai 

  1. Jambu batu                                        Farang

  2. Nangka                                               Khanun

  3. Pisang                                                 Kluai

  4. Longan                                                Lamyai

  5. Tembikai                                            Taengmo

  6. Betik                                                   Malako

  7. Mangga                                               Mamuang

  8. Manggis                                              Mangkhut

  9. Rambutan                                           Ngo

10. Nanas                                                 Sapparot

11. Langsat                                               Langsat    

12. Durian                                                Thurian

 

 

Makan malam secara buffet malam itu yang kebetulan masyarakat Thai merayakan sambutan Loy Kratong yang menjadi sebahagian daripada pakej pelancongan negara ini. Tetamu hotel selain kami yang menginap di situ semuanya sibuk dengan "kratong" iaitu sejenis perahu kecil berbentuk bunga teratai dan diisi dengan lilin, colok dan sedikit wang. Perahu kecil "kratong" ini kemudiannya dihanyutkan ke sungai serta diiringi "hajat" daripada mereka yang melakukannya. Selepas makan malam itu kami berjalan-jalan menyusur sepanjang jalan Ramkhamhaeng. Ketika balik ke hotel kira-kira jam 10.30 malam itu saya menelefon ke rumah bertanyakan khabar anak isteri di rumah...alhamdulillah semuanya baik.

Jumaat (18.11.1994): acara hari ini dimulai dengan lawatan ke pasar terapung yang terkenal ke seluruh dunia itu. Kami mula bergerak dari hotel jam 7.15 pagi dan menaiki bot lalu menyusuri sungai Chao Praya. Di kiri kanan tebing sungai ini dipenuhi dengan rumah dan bangunan, dan sungai ini dipenuhi dengan perahu-perahu yang menjual pelbagai barang dagangan. Saya dapati air sungai Chao Praya ini berwarna gelap kehitam-hitaman; barangkali akibat pencemaran alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan lagi. Lantas saya terkenangkan betapa nasib dan keadaan sungai-sungai kita di Malaysia sendiri suatu masa nanti jika langkah-langkah tepat dan tegas tidak diambil dari sekarang. Tidak mustahil sungai-sungai besar di Semenanjung seperti sungai Pahang, sungai Perak dan sebagainya akan bertukar warna menjadi seperti sungai Chao Praya di Thailand ini. Rasanya tidak tergamak langsung kita untuk meminum airnya.

Menurut pemandu pelancong kami, di Bangkok sahaja terdapat kira-kira 400 buah wat (rumah ibadat penganut agama Buddha), dan di seluruh negeri Thai terdapat kira-kira 25,000 buah wat semuanya. Wat yang terbesar ialah Wat Arun. Wat Arun atau digelar juga sebagai "Temple of The Dawn" terletak di tebing barat sungai Chao Praya. Struktur paling menarik Wat ini ialah pagoda utamanya atau "Phra Prang" setinggi 79 meter. Zaman Thonburi, Wat Arun telah dijadikan "royal chapel" bagi Raja Taksin.

Penduduk Bangkok lebih daripada 7 juta orang. Perayaan memperingati pembentukan Kota Bangkok pada 6.4.1992 merupakan ulangtahun ke-210, juga merupakan hari pertabalan rasmi Disnasti Chakri, keturunan raja-raja Thai yang memerintah sekarang. Penduduk tetap Bangkok  sahaja berjumlah 5 juta orang, sementara yang lainnya datang dari wilayah utara, selatan, timur dan barat Thailand. Terdapat lebih daripada 500 buah hotel berbagai jenis di kota Bangkok.

Balik dari lawatan ke Wat Arun ini kira-kira jam 11.00 kami singgah makan tengah hari di Baan Khun Mang, sebuah restoran terapung di tebing sungai Chao Praya. Selepas itu kami bertolak pula ke sebuah sekolah swasta bernama Bangkok Christian College. Sewaktu kami memasuki perkarangan sekolah ini kami dapati seorang guru sedang memberi arahan kepada murid-murid pengakapnya di tengah-tengah panas terik sinar matahari hari itu. Kemudian sekumpulan murid-murid lain pula sedang bermain bola keranjang di gelanggang berhampiran bangunan sekolah. Keadaan yang kami lihat ini amat berbeza sekali dengan senario sistem persekolahan di negara kita. Kita tidak akan jumpa sekolah di Malaysia menjalankan mata pelajaran Pendidikan Jasmani misalnya, aktiviti kokurikulum atau aktiviti sukan dan permainan di waktu tengah hari seperti di sekolah ini. Pada hemat saya inilah satu lagi faktor mengapa "ketahanan diri" anak didik dan seterusnya apabila dewasa nanti mereka mampu menjadi warganegara yang baik dan berdisiplin kerana dari peringkat persekolahan lagi murid-murid ini sudah biasa diasuh dengan lasak dan tidak 'memanjakan diri' secara berlebihan.

Kami kemudian mendengar taklimat yang disampaikan oleh naib pengetua sekolah ini. Antara lain beliau memberitahu kami bahawa jumlah pelajar ada seramai 4,500 orang yang terdiri daripada pelajar Darjah Satu hingga Tingkatan Lima ( di sini dipanggil Gred 1 hingga Gred 12). Sesi persekolahan bermula seawal jam 7.30 pagi dan tamat pada jam 3.00 petang. Satu waktu mata pelajaran selama 50 minit. Mata-mata Pelajaran Sejarah, Geografi dan Pendidikan Seni dipanggil mata pelajaran "Pengalaman". Bilangan murid dalam satu kelas seramai 60 orang. Kami sempat membuat pencerapan pengajaran seorang guru Bahasa Inggeris mengajar di sebuah kelas peringkat rendah. Satu lagi perkara yang saya lihat di sekolah ini ialah pengagihan minuman dan makanan (seperti RMT di Malaysia) dilakukan oleh pembantu khas yang bergerak dengan troli dari kelas ke kelas. Selain itu setiap tingkat bangunan sekolah ini mempunyai Bilik Gurunya sendiri, ertinya guru-guru yang mengajar di satu-satu tingkat tertentu tidak perlu turun-naik untuk ke kelas atau ke Bilik Guru kerana Bilik Guru telah disediakan di semua tingkat bangunan sekolah. Ini amatlah menarik perhatian saya kerana ianya merupakan satu perkara penting dalam pengurusan sumber manusia dari aspek mengurus masa dan keselesaan tenaga pengajar yang bertugas di sini.

Kami beredar dari sekolah ini pada jam 3.00 petang, dan kemudian singgah di sebuah kilang D.S. iaitu sebuah kilang pembuat barangan kulit. Kami berada selama kira-kira setengah jam melihat pelbagai barangan diperbuat daripada kulit di kilang ini. Dari kilang tersebut kami singgah untuk makan malam di sebuah restoran terbuka tetapi saya dapati ramai rakan-rakan yang bersungut dan berungut kerana tidak gembira dengan pemilihan tempat makan yang dibuat oleh pihak penganjur pelancongan, dan ramai pula yang saya lihat tidak berselera makan di situ. Selepas makan malam kami singgah pula di gedung Robinson yang termasyhur itu, sambil melihat-lihat pelbagai barangan yang menarik. Saya membeli sedikit cenderamata untuk di bawa pulang.

Jam 8.30 malam kami balik ke hotel, dan dengan tidak berlengah-lengah kami  bersiap-siap pula untuk keluar melihat kehidupan malam di kota Bangkok. Sampai semula di hotel jam 11.30 malam. Sewaktu bersembang-sembang di bilik, cikgu Rahmad ada bertanyakan saya mengenai Borang JPA 4/93 berkaitan dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan. Saya sempat memberikan serba sedikit penerangan mengenainya terutama setiap aspek bahagian-bahagian borang tersebut. Selain itu beliau menceritakan keadaan sekolahnya dan juga menyatakan hasratnya untuk menjemput saya menyampaikan satu ceramah motivasi kepada guru-gurunya sekembali dari lawatan ini nanti. Namun beliau tidak memenuhi hasrat dan janjinya itu.

Hari Sabtu berikutnya (19.11.1994) kira-kira pada jam 11.00 pagi kami bertolak ke Pattaya yang jauh perjalananya dikatakan 3 jam. Selepas dua jam perjalanan kami tiba di Chonburi iaitu sebuah bandar yang besar juga. Sesampai di Pattaya kami singgah sebentar di gedung Han Suen untuk membeli air minuman. Jam 2.00 petang barulah tiba di restoran di tepi pantai untuk makan tengah hari. Selepas makan tengah hari kami bergerak pula untuk  pergi ke Nong Nooch Tropical Garden. Di taman ini kami menyaksikan pertunjukan kebudayaan dan juga persembahan aksi pasukan gajah. Kedua-dua pertunjukan ini amat baik dan menghiburkan para pengunjung. Saya dapati bahawa rakyat Thailand amat mengambil berat dalam mengekalkan dan menghidupkan seni dan budaya mereka. Ini jelas dilihat daripada pertunjukan-pertunjukan pada hari itu dan mendapat sambutan daripada para pelancong luar negeri. Saya mendapat maklumat bahawa pada petang itu sahaja ada dua pertunjukan diadakan di taman tersebut.

Selepas pertunjukan kebudayaan dan persembahan gajah jam 4.15 kami bertolak balik ke Hotel Royal Palace, Pattaya. Seperti biasa selepas makan malam, kami shopping di Mike Shopping Mall, serta menyusur kaki lima kedai di bandar Pattaya ini. Ada satu kumpulan pula pergi menonton pertunjukan Timpani, kami tidak ikut serta.

Jadual pagi hari Ahad (20.11.1994) ialah untuk melawat pulau Coral, sebuah lagi pulau peranginan di Pattaya. Kami menaiki sebuah bot besar jam 9.15 pagi menuju pulau Coral, malangnya di pertengahan jalan bot yang kami naiki tiba-tiba rosak. Jadi bot kami terpaksalah ditarik oleh sebuah lagi bot lain tetapi daripada syarikat yang sama iaitu Siam Local Pattaya Co. Ltd. Menurut Mr. Eka jarak dari Pattaya ke Pulau Coral ialah 15 km. dan mengambil masa perjalanan dengan bot selama 45 minit. Manakala jarak kota Bangkok dengan Pattaya pula sejauh 150km. Laut di sini dalamnya kira-kira 50meter. Jam 10.00 pagi kami tiba di pelantar main payung terjun yang ditarik dengan bot laju. Hanya dua orang sahaja daripada kumpulan kami yang menyertai acara payung terjun ini. Oleh kerana ramai yang tidak mahu naik ke darat maka semuanya bersetuju balik sahaja. Khabarnya di darat pulau Coral ini ada satu acara yang sangat digemari oleh para pengunjung iaitu acara menembak rifle dengan peluru hidup, dan khabarnya juga ianya merupakan salah satu acara berunsurkan perjudian. Perjalanan balik ke pantai ini kami menaiki sebuah bot laju, dan kami terpaksa pula menambah tambangnya sebanyak 100 Baht seorang. Lima belas minit kemudian kami sudah sampai semula ke darat, dan terus balik ke hotel. Saya sempat memasuki sebuah kedai buku tetapi sayang tidak dapat memilih buku yang sesuai kerana kesuntukan masa kerana kami dijadualkan balik semula ke Bangkok tengah hari itu.

Bas mula bergerak jam 2.08 petang. Sebelum sampai ke hotel, kami singgah di sebuah gedung batu permata iaitu Gems Collection International Ltd. Gedung ini merupakan sebuah gedung terbesar yang menjual batu-batu permata, emas dan barang-barang perhiasan dan serba jenis pakaian. Saya membeli sebuah dompet duit yang diperbuat daripada kulit kambing biri-biri untuk isteri saya. Dari gedung ini kami bergerak semula  jam 5.38 menuju hotel Alexandra dan sampai jam 8.20 malam. Sebenarnya selepas kunjungan ke gedung batu permata tadi, kami singgah makan malam di sebuah restoran orang Islam. Oleh kerana restoran ini agak kecil (sama saiz dengan kedai biasa kita di Malaysia) jadi kami terpaksa "menunggu giliran" untuk menikmati hidangan. Selain itu restoran orang Islam ini juga letaknya agak tersorok melalui lorong belakang yang kecil berhampiran dengan Hotel White Palace.  

Hari Isnin 21.11.1994 merupakan hari terakhir kami berada di Thailand, jam 6.30 pagi (5.30 waktu Thai) saya sudah bangun, mandi dan solat subuh serta bersarapan. Selepas bersarapan kami bersiar-siar di kawasan berhampiran sambil menunggu Shopping Plaza dibuka jam 11.30 pagi kerana ingin membeli sedikit cenderamata untuk di bawa pulang. Di sebuah kedai buku kecil di tengah-tengah kota Bangkok ini kami bertemu dengan ibu kepada pekedai majalah ini yang boleh bertutur bahasa Melayu loghat Kelantan, katanya dia berasal dari Golok dan sudah lama berniaga di Bangkok. Kemudian apabila plaza dibuka saya bersama-sama cikgu Osman Said  masuk dan membeli sehelai bush jacket, itu pun secara tergesa-gesa kerana kesuntukan masa.

Sesampai di hotel, kami dapati sudah ramai rakan-rakan yang lain sudah berada di lobi. Apa lagi kami pun tidak membuang masa lagi bersegera berkemas dan turun ke lobi. Jam 12.30 kami pun bertolak dari hotel dan tiba di setesyen keretapi Bangkok jam 1.40 (12.40 waktu Thai). Keretapi mula bergerak jam 3.35 (2.35 waktu Thai) menuju Golok dan dijangka tiba esok jam 9.50 pagi. Seperti biasa saya membuat catatan lagi sepanjang perjalanan balik ini terutama setesyen-setesyen yang tidak sempat saya catat  (semasa perjalanan datang dulu) kerana kegelapan malam.

Pada 4.10 petang (3.10 waktu Thai) keretapi berhenti di Bang Bamru. Sampai di sini saya sudah nampak jelas perubahan kemajuan dan pembangunan yang agak berbeza. Kawasan di sini agak 'berhutan' dan semak, banyak pokok kelapa dan pinang sepanjang perjalanan. Pemandangan di Tang Ling Chan Junction sama sahaja..ada rumah-rumah di kiri-kanan jalan. Selepas kira-kira satu jam perjalanan, pemandangan sewaktu melintasi sebuah setesyen (tanpa singgah) mulai kelihatan batas-batas sayur dan sawah padi yang luas terbentang. Jam 4.46 (waktu Thai 3.46) singgah lima minit di Tan Song Rong. Selepas itu melalui Nakhon Pathon, Na Pladuk Junction, Ban Pong dan Nakhon Chum. Jam 5.48 petang itu sampai di Ratchaburi, khabarnya ada orang muslim berjual nasi selepas ini. Setelah melepasi Pak Tho, Nong Chok. Di setesyen Patcha Buri kami membeli nasi daripada penjaja-penjaja orang Islam dengan harga 15 bhat. Kawasan ini merupakan sawah padi yang sedang menghijau saujana mata memandang luasnya. Pemandangnnya sangat cantik diserikan lagi dengan pokok-pokok serdang yang tumbuh berkelompok-kelompok. Hari semakin malam, dan pemandangan pun semakin beransur-ansur kelam....

Selepas melewati setesyen Prachuap Kiri Khan, jam 9.00 (8.00 waktu Thai) malam itu, para petugas keretapi Thailand menyediakan tempat tidur. Jam 9.15 malam saya mulai tidur, sambil menulis catatan ini sebelum mata terlelap. Semasa tidur kerap kali saya tersedar.

22.11.1994 (Selasa) jam 6.05 pagi lagi saya sudah bangun dari tidur, terus mandi dan 7.40 sudah siap berpakaian kemas. Setesyen yang mula-mula saya catat pagi itu pada jam 7.15 (waktu Thai 6.15) ialah Bang Klam. Saya nampak beberapa orang murid sekolah menunggu kenderaan untuk ke sekolah dengan pakaian sekolah yang terdiri daripada blaus dan skirt berwarna biru tua. Antara yang murid-murid ini bawa ialah 'pedang' yang diperbuat daripada rotan. Mungkin untuk kegiatan kokurikulum agaknya, kata hati saya. Pakaian murid lelaki pula berkemeja putih dan berseluar pendek berwarna biru tua dengan kasut berwarna hitam. Hari ini pula hujan turun sederhana lebat sedangkan selama lima hari di Bangkok tidak jumpa hujan malah cuacanya amat baik.

Jam 7.35 (6.35 waktu Thai) keretapi tiba di Hatyai. Hatyai merupakan sebuah bandar besar dengan hotel-hotel bertaraf antarabangsa. Di tepi jalan keretapi banyak sekali rumah-rumah setinggan yang didirikan di dalam air (yang sangat kotor lagi berwarna hitam). Kelihatan juga sebuah masjid dengan kubah berwarna biru dengan dua menara tersergam indah di bandar ini. Selepas meninggalkan Hatyai dan beberapa setesyen kecil, keretapi melalui Ta Mang Lak jam 8.30 (7.30 waktu Thai). Di sini saya nampak murid-murid sekolah berjalan kaki dan ada yang berbasikal menuju sekolah mereka yang saya lihat agak buruk dan kecil sahaja. Sewaktu berhenti di Khok Pho saya dapati rumah-rumah penduduk kawasan ini serupa dengan rumah-rumah kampung orang-orang Melayu kita di Malaysia. Kelihatan sebuah sekolah luar bandar di sini murid-muridnya sedang bermain gasing. Seluar murid-murid lelakinya berwarna cokelat muda pula. Sekolahnya terdiri daripada satu bangunan sahaja dan tidak berapa cantik. Kira-kira jam 9.10 (8.10 waktu Thai) melewati Na Pradu, saya melihat di sebuah sekolah murid-muridnya kelihatan masih berkeliaran di luar sekolah. Cuaca mendung dan di beberapa kawasan ditenggelami air kerana hujan.

Di Ba Lo saya lihat kehidupan penduduknya bergantung kepada sawah, getah dan dusun. Rumah-rumah mereka masih rumah kayu yang amat sederhana sifatnya. Kelihatan dua buah masjid yang masih belum siap dibina sepenuhnya. Di sebuah tanah perkuburan orang-orang Islam, saya lihat semua kubur di situ ditandai dengan batu-batu bulat sahaja sebagai batu nesan! Di pekan Ruso juga terdapat sebuah masjid. Setesyen seterusnya ialah Lalo, Tan Yong Mat sebelum berhenti sekejap di Cho-Airong jam 10.48 (9.48 waktu Thai). Dari pemerhatian saya setiap kali keretapi berhenti di setesyen-setesyen ini ianya mengambil masa hanya kira-kira tiga minit sahaja. Di Cho-Airong saya dapati ada sebuah sekolah yang kelihatannya amat sederhana; tiada bunga-bunga seperti sekolah-sekolah di Malaysia, bangunannya juga tidak bercat, dan nampak suram sahaja. Jalan-jalan utama dan jalan kampung pula jalan tanah merah sahaja tidak bertar, dan pada pandangan saya nampak sangat kerajaan negara ini tidak membangunkan bahagian selatan Thailand ini.

Jam 11.00 tepat kami melewati Ai-Satia, kemudian To Deng (11.06) dan menyusul kemudian setesyen Sungai Padi jam 11.09. Jam 11.23 pagi baharulah kami selamat sampai di Sungai Kolok (Sungai Golok). Tepat jam 12.00 tengah hari kami keluar dari Imigresen dan Kastam. Alhamdulillah  kami tidak mengalami sebarang masalah sewaktu melalui pemeriksaan  kastam terhadap barang-barang kami kecuali Cikgu Rahmad dengar ceritanya kena buka semua apa-apa yang ada dalam beg.

Selepas makan tengah hari dan membeli sedikit cenderamata di pekan Rantau Panjang ini, pada jam 2.00 petang kami bertolak balik dan tiba di Kota Bharu jam 3.00 petang. Perjalanan diteruskan ke Kuantan, dan singgah di pertengahan jalan untuk makan jam 6.10 petang. Kami selamat sampai di Kuantan jam 9.05 malam. Sebelum bertolak balik ke Temerloh, saya dan cikgu Osman Said mengikut cikgu Termizi ke rumah mertuanya dulu untuk berhenti rehat barang seketika. Saya selamat sampai di rumah jam 12.15 malam itu. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Jauh perjalanan luas pemandangan, dan lama hidup banyak pengalaman. Benarlah seperti kata perumpamaan Melayu itu kerana menerusi lawatan sambil belajar yang saya sertai ke negara Thailand itu memberikan saya banyak pengalaman dan juga paling penting betapa saya dapat membedakan mana-mana aspek yang baik atau buruk berbanding apa yang terdapat di negara kita sendiri. Untuk itu saya ingin menyimpulkan serba sedikit pengamatan dan pemikiran saya  selama berada di negara jiran kita itu.

Perjalanan dengan keretapi Thailand dari Sungai Golok sampai ke Bangkok amat berguna dalam memberikan pengalaman dan iktibar berhubung aspek-aspek tertentu mengenai negara asing baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Dari aspek sosial saya ingin menyentuh:

1. Pendidikan. Dari apa yang telah dilihat dan dari taklimat yang diberi (misalnya Bangkok Christian College yang ditubuhkan sejak 1852), bahawa bahasa pengantar sistem pendidikan di negara ini hanya menggunakan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Thai. Empat puluh tahun lalu kerajaan Thai telah mengharamkan pengajaran bahasa Cina di sekolah-sekolah (khususnya sekolah Cina) dengan tujuan hendak mencegah ancaman fahaman komunis ketika itu. Bahasa Ibunda diajar setakat Darjah Empat sekolah rendah sahaja. Dengan langkah ini Kerajaan Thai berjaya mewujudkan dasar satu bahasa dan semangat kebangsaan yang kental-- yang dapat dilihat dari semua papan tanda dan papan-papan iklan semuanya menggunakan bahasa Thai sahaja. Waktu belajar mulai jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari. Menurut Naib Pengetua BCC mereka mulakan sesi pada jam 7.30 pagi dengan menyanyikan lagu kebangsaan, dan kemudian mulai belajar jam 8.00 pagi. Setiap mata pelajaran diajar selama 50 minit. Mata-mata pelajaran yang diajar ialah; Matematik, Sains, bahasa Inggeris, bagi mata-mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Pendidikan Seni pula dikelompokkan dan dinamakan sebagai Mata Pelajaran Pengalaman, di samping Pendidikan Jasmani dan Pengakap. Dari segi disiplin saya dapati sekolah-sekolah di Thailand sangat baik, contohnya semua rambut murid lelaki dipotong pendek ala tentera, berseluar pendek warna biru tua, hitam dan cokelat muda, dengan kasut warna hitam.

2. Sosial: satu perkara yang menarik ialah mengenai belia-belia Thai tidak ditemui berlaku sindrom lepak. Pekerja-pekerja binaan misalnya terdiri daripada pemuda-pemuda Thai, malah yang jadi operator mesin dan jentera binaan baik untuk pembinaan bangunan tinggi atau pembinaan lebuhraya adalah terdiri daripada orang-orang muda belaka. Suasana kenderaan di jalan-jalan raya kota Bangkok amat berdisiplin. Selama lima hari berada di Bangkok misalnya tidak kedengaran hon kereta dibunyikan. Mereka amat tertib dan bertimbang rasa, mudah memberi laluan kepada kenderaan lain (terutama kenderaan kecil seperti motosikal dan tuk-tuk (sejenis kenderaan beroda tiga). Cukai jalan bagi motosikal hanya perlu dibayar sekali sahaja sewaktu mula-mula membelinya. Pemuda-pemuda yang mempunyai motosikal dibenarkan mengambil penumpang... dan mudah dikenali kerana mereka ini memakai jeket khas dan bernombor. Dengan demikian kerajaan Thai dapat mengelakkan belia-belianya membuang masa dengan mewujudkan "pekerjaan" dan sekaligus dapat mencegah perbuatan "melepak" atau lumba motor haram!

3.  Ekonomi: Kilang-kilang sangat banyak didirikan di Thailand sehingga bandar-bandar seperti Pattaya, Chon Buri dan lain-lain lagi banyak terdapat pelbagai kilang dan ini tentunya dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Thai. Gedung-gedung perniagaan pula banyak terdapat di kota-kota besar Thailand juga dapat memainkan peranan ini. Industri pelancongan merupakan salah satu indusri yang membawa tukaran wang asing kepada negara ini. Dengan itu beberapa perkhidmatan yang berkaitan wujud dengan banyaknya seperti hotel-hotel bertaraf antarabangsa, ejen-ejen pelancongan, industri kraftangan, seni dan kebudayaan semuanya mendapat faedah daripada bidang pelancongan ini. Pulau Coral di Pattaya misalnya sebenarnya bukanlah ada apa-apa  keistimewaan yang luar biasa kecuali terdapatnya  satu pelantar main payung terjun yang ditarik dengan bot laju dengan bayaran sebanyak 300 Baht. Juga permainan skuter air dan acara menembak senjata api dengan peluru hidup. Aktiviti-aktiviti ini mewujudkan pula perkhidmatan perahu bermotor dan bot besar serta bot laju membawa para pelancong dari pantai ke Pulau Coral yang kira-kira hanya 15 km. sahaja jauhnya itu. Semua pemandu bot laju dan skuter air ini terdiri daripada belia-belia Thai manakala syarikat Siam Local Pattaya Co. Ltd memonopoli semua perkhidmatan bot ini.

 

 

                      

 

                                              Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed