Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.   

 

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

      

         Kertas Ceramah             

                     (Sebahagian hands-out semasa siri ceramah)

 

Saya mula terlibat dengan menyampaikan "ceramah" ini apabila Majlis Guru Besar Temerloh (MGB) meminta saya memberikan satu ceramah motivasi sewaktu mesyuarat/taklimat yang diadakan di Bukit Fraser dalam tahun 1992. Saya tidak tahu apa kriterianya maka saya diminta menyampaikan satu slot ceramah tersebut, cuma Pengerusi MGB Temerloh, cikgu Abdul Razak Mahmud ketika itu telah menyatakan bahawa PPD (Hj. Zakaria Puteh) telah pun memberikan "green light" kepada cadangan itu. Saya menganggap "cabaran" ini sebagai sesuatu yang positif dan walau apa pun tujuannya saya sedia menerima "tugas" ini kerana bagi saya ianya mengandungi matlamat tersirat iaitu sama ada sengaja hendak "menguji" saya atau pun hendak "merasakan" saya. Dalam satu pertemuan di PKG SK Bandar Mentakab, saya pernah berkata kepada cikgu Abdul Razak bahawa "ceramah motivasi" ini biasanya akan tidak dapat tidak menyentuh serba-sedikit keadaan dan hal setiap orang daripada kita, kata saya. Beliau pula menegaskan, " tak apalah....kita ingat-mengingat, apa salahnya," katanya. Haji Zakaria Puteh yang ada sama tidak memberi sebarang ulasan kepada percakapan saya dengan cikgu Abdul Razak itu.

 

Bermula dari situlah kemudiannya saya sering pula dijemput oleh Guru Besar-Guru Besar dan juga oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah memberikan ceramah-ceramah. Ceramah pertama saya selepas di Bukit Fraser itu ialah di SK Paya Luas, Kuala Krau apabila Guru Besarnya Hj. Abdul Samad menghubungi saya dan meminta saya memberikan satu ceramah motivasi kepada guru-gurunya. Beliau menyatakan amat tertarik dengan isu-isu yang saya sentuh di dalam ceramah saya sewaktu di Bukit Fraser dulu katanya.  Saya kemudian dijemput oleh PPD Temerloh menyampaikan satu slot ceramah kepada peserta-peserta Kursus Kejurulatihan Program Motivasi Pelajar 1995 berlangsung di Hotel Centrepoint Temerloh pada 14 Jun 1995 yang bertajuk Proaktif Paradigma Watak dan Kepimpinan Personel. Ceramah ketiga saya Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan Kecemerlangan Prestasi Organisasi disampaikan di SK Tanjong Lalang pada 16 September 1995. Ceramah saya yang terakhir sebelum saya berpindah ke Keratong ialah ceramah yang juga atas permintaan pihak PPD Temerloh untuk Kursus Pengurusan Pendidikan Sekolah Rendah bagi Guru Besar dan Penolong Kanan (Kurikulum) 1995 yang berlangsung di Institut Latihan Risda Kg. Awah, Temerloh pada 26 - 29 Disember 1995, bertajuk Peranan Guru Besar dan Penolong Kanan Dalam Meningkatkan Kualiti Staf.

 

Apabila saya berpindah semula ke Daerah Maran (1997 - 2002), saya masih diberi kesempatan menyampaikan beberapa siri ceramah sama ada di peringkat PPD, Pusat Kegiatan Guru, Kelompok dan juga sekolah-sekolah. Sekolah Kebangsaan Jengka Batu 13, Chenor adalah sekolah yang pertama menjemput saya dalam sesi Perkembangan Staf sekolah itu yang diadakan pada 18 September 1997. Tajuk ceramah saya hari itu adalah Kepastian Kualiti Proses bagi Output Yang Cemerlang. Dalam tahun 1999 saya diminta oleh MGB Maran membuat satu 'road show' ceramah bagi semua zon PKG Maran khusus untuk golongan guru yang dibahagikan kepada dua kelompok iaitu kelompok penolong-penolong kanan dan kelompok guru-guru mengajar Tahun Enam. Ceramah Siri 1 bertajuk Ciri-Ciri dan Potensi Diri Guru Berkesan dalam Merealisasikan Pendidikan Cemerlang, dan Siri 2 bertajuk Kepemimpinan dan Ketrampilan Penolong-Penolong Kanan Dalam Mewujudkan Pengurusan Sekolah Yang Berkesan

 

Walaupun saya bertugas di dalam daerah Maran, namun ada juga sekolah-sekolah di daerah Temerloh yang sudi menjemput saya dalam memberikan ceramah-ceramah motivasi khususnya kepada program perkembangan staf sekolah-sekolah mereka. Ceramah saya bertajuk Anjakan Paradigma Dalam Memartabatkan Profesion Keguruan Status Kini dan Cabaran Masa Depan telah disampaikan dalam sesi perkembangan Staf SK Charuk Puting Temerloh pada 14 Julai 2001.Kemudian pada 23 Mac 2002 pula di SK Telok Sentang dengan tajuk Memperkasa Guru Sebenar Guru dalam Membangun Diri & Menunaikan Amanah Guru Mengajar Murid Belajar. Pada 20 September 2002 saya dijemput pula menyampaikan ceramah (dengan tajuk yang sama ) dalam program Perkembangan Staf SK Kampong Tengah, Temerloh. Pada 25.01.2003 saya dijemput dalam Sesi Perkembangan Staf SK (LKTP) Jenderak Selatan, Kuala Krau, dengan tajuk (dan dengan sedikit tambahan kandungan) Memperkasa Guru Sebenar Guru: Antara Profesionalisme dan Profesionaliti  Membina Ketrampilan Diri Menjulang Kecemerlangan Institusi.

 

Di peringkat kelompok juga saya memainkan peranan utama bagi menggerakkan dan memotivasi rakan-rakan Guru Besar  (termasuk seluruh guru-guru dan staf sokongan ) yang menjadi ahli kepada Kelompok Jengka B khasnya dan bagi seluruh sekolah dalam daerah Maran amnya. Antara ceramah saya di peringkat kelompok ini ialah Pengurusan Berkualiti Menyeluruh Hal Ehwal Murid Di Peringkat Sekolah Peranan dan Ketrampilan Kerja, khusus untuk kumpulan sasaran terdiri daripada guru-guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid seluruh Daerah Maran pada 14 Mac 2000 bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Maran. Pada 25 Mac 2000 pula ceramah bertajuk Pembangunan Sekolah Berkesan Dalam Konteks Sekolah Berwatak Konsep dan Komitmen disampaikan di dalam program In-House Sekolah Kelompok Bandar Jengka B. Beberapa siri ceramah lagi telah juga disampaikan dalam program-program motivasi di peringkat Kelompok Bandar Jengka B sendiri. Dalam Kursus Motivasi Kendiri Pekerja Rendah Awam Sekolah-sekolah Kelompok Jengka B saya telah sampaikan ceramah bertajuk Cabaran Tugas Membina Diri dan Organisasi Berkualiti pada 22 April 2000 bertempat di Pusat Kegiatan Guru Bandar Jengka. Ada antara ceramah-ceramah ini saya tidak menyediakan hand-out tetapi menyediakan persembahan powerpoint. Satu daripada ceramah terakhir saya bagi aktiviti peringkat Kelompok Bandar Jengka B ini bertajuk Memperkasa Guru Sebenar Guru Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu yang disampaikan dalam Program Motivasi Kelompok Bandar Jengka B bertempat di SMK Jengka 16 pada 27 Oktober 2001.

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun selepas lebih-kurang enam tahun bersara saya masih juga dijemput menyampaikan ceramah (motivasi) di peringkat sekolah dan peringkat daerah. Sekolah Kebangsaan Jengka 24 telah menjemput saya menyampaikan satu slot ceramah dalam program Latihan Dalam Perkhidmatan peringkat sekolah pada 26 April 2008 dengan tajuk Memperkasa Sekolah Kebangsaan dengan Pengajaran Dan Pembelajaran Berkesan Menjana Insan Gemilang Menjadi Guru Sebenar Guru. Paling saya tidak jangka sama sekali apabila saya dijemput oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Maran bagi menyampaikan satu ceramah motivasi bertajuk Peningkatan Motivasi Kerja Kakitangan Pendidikan, sempena sambutan Hari Guru Daerah Maran 2008 bertempat di Dewan SMK Desa Jaya, Bandar Jengka Pahang Darul Makmur pada 19 Julai 2008.

 

Kemudian pada 8 November 2008 pula, SMK Jengka 18 (bekas sekolah saya dari tahun 1984-1991) menjemput saya menyampaikan ceramah dalam sesi Latihan Dalam Perkhidmatan peringkat sekolah yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Saya menyediakan persembahan powerpoint bertajuk Budaya Kerja Antara Jatidiri dan Ketrampilan Diri Membina dan Membentuk Budaya Organisasi Berkualiti.*

 

Pada 12 Disember 2009 saya dijemput pula oleh pihak Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang untuk menyampaikan satu ceramah motivasi dalam Seminar Meneraju Kecemerlangan kepada kumpulan pensyarah di kolej ini. Saya diminta menyampaikan tiga slot ceramah pada hari tersebut, dan ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan menerimanya dengan senang hati. Tajuk umum hari itu ialah Personaliti dan Organisasi Memimpin Diri dan Memimpin Organisasi.*

 

 

 

 

 

 

  *Untuk melihat persembahan powerpoint, sila klik butang Scribd di sebelah     

 

 

      | Home Page | Ceramah 1 | Ceramah 2 | Ceramah 3 | Ceramah 4 | Ceramah 5 |

                              | Ceramah 6 | Ceramah 7 | Ceramah 8 | Ceramah 9

 

                               Copyright 2002-2003 Hamzah Mohamed