Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

             Pesan Bistari                                          

                                   "Jauhari jua yang mengenal manikam." 

                                               ~ Perumpamaan Melayu    

                                                                                                      

 

   Manusia adalah makhluk Tuhan yang paling mulia, indah dan sesempurna-sempurna

   kejadiannya (Quran 95:4). Menerusi akal manusia dapat menguasai alam dan segala

   kandungannya sehingga manusia dapat membina tamadun yang agung sejak dari zaman

   berzaman. Sebaik manusia menjadi 'dewasa' dan kemudiannya bergelut dengan segala

   macam cabaran, penderitaan dan bencana dan malapetaka sama ada dari perbuatan manusia

   sendiri atau pun dari kejadian semulajadi alam, manusia telah melakukan berbagai persepsi,

   pemikiran, pemerhatian, pencerapan, pengamatan, penaakulan, teori dan hypothesis, konsep

   dan rumusan serta kesimpulan yang akhirnya dijelmakan menerusi susunan kata-kata yang

   bukan sahaja indah tetapi mengandungi maksud tersurat dan tersirat yang amat padat, tepat

   dan bernas lagi mendalam sifatnya mencakupi seluruh kehidupan manusia. Dari sepanjang

   perjalanan hidup manusia ini melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis itulah sampai

   kepada kita kini bermacam bentuk dan pokok persoalan yang menggambarkan betapa

   kebijaksanaan dan tajamnya pemerhatian mata hati, betapa halusnya perasaan, betapa kudus

   dan mulusnya kalbu manusia-manusia bijak bistari ini telah meninggalkan begitu banyak

   madah, ungkapan, pepatah dan petitih, bidalan dan kiasan, tamsil dan ibarat, kata-kata dan

   pengucapan yang saya rangkumkan di dalam "Pesan Bistari" ini.

 

   Kutipan dan petikan "Pesan Bistari" ini tidak sahaja saya ambil daripada tokoh-tokon

   terbilang, terkenal atau pun yang memang sedia tersohor di dunia tetapi juga saya kutip

   daripada mereka yang tidak terkenal, yang tidak mempunyai pengaruh atau kedudukan

   malah yang tidak memiliki ijazah sekalipun, namun kata-kata mereka itu amatlah bermakna

   dan bernas dengan nasihat, panduan dan pedoman kita terutama bagi mereka yang sedia

   melakukan renungan dan tafakkur dengan lebih mendalam.

   Cerita Tiga Buah Kolam

   Andaikan anda melakukan satu perjalanan yang agak jauh dan menempuh pelbagai rintangan

   dan kesulitan. Setelah beberapa hari, bekalan makanan dan air yang anda bawa sudah

   kehabisan. Anda berasa amat tertekan, keletihan dan kelaparan serta kehausan yang amat

   sangat. Namun destinasi anda masih jauh. Dalam keadaan yang semakin mencabar itu, anda

   tiba ke suatu tempat di mana terdapat tiga buah kolam. Dengan tidak sabar-sabar lagi anda

   meluru ke salah satu kolam tersebut dengan tujuan hendak meminum airnya kerana kehausan

   yang tidak tertahankan lagi. Alangkah terkejutnya anda apabila anda menundukkan kepala

   untuk mencecah permukaan air kolam yang jernih itu, selera anda tiba-tiba tertutup. Anda

   tidak tergamak untuk meneruskan hasrat anda kerana anda melihat bertimbun-timbun tulang-

   temulang memenuhi kolam itu walaupun airnya begitu jernih. Anda beredar menuju ke kolam

   yang kedua. Sekali lagi anda terkejut apabila mendapati kolam ini pun dipenuhi dengan

   rambut manusia, sedang melintuk-liuk di dalam air kolam yang amat jernih itu. Anda berasa

   hampa kerana anda tidak sanggup menghirup air yang bercampur dengan rambut manusia.

   Anda kemudian mencuba nasib ke kolam yang ketiga. Aduhai malang sekali, anda terkejut

   lagi kerana kolam yang ketiga ini lebih meloyakan. Seluruh kolam yang ketiga ini dipenuhi

   dengan darah manusia.

 

   Anda terduduk dan termenung memikirkan bagaimana anda hendak mengatasi masalah

   kehausan yang anda sedang tanggung. Bekalan makanan sudah habis, air pula tidak ada

   kecuali air yang di dalam tiga buah kolam ini. Dan anda pada logiknya akan menemui maut

   jika anda tidak mahu meminum air dari kolam tersebut. Nah, sekarang anda terpaksa

   memilih. Manakah di antara tiga buah kolam itu yang anda sanggup meminum airnya?

 

   Jika anda memilih air kolam berisi tulang-temulang; anda adalah seorang yang keras hati,

   ertinya dalam hubungan pergaulan dengan rakan atau pun hubungan bersuami isteri anda

   seorang yang keras hati iaitu apa kata anda itulah keputusannya. Sifat ini ditamsilkan kepada

   sifat tulang yang keras dan tidak dapat dilentur lagi.

 

   Jika anda memilih  air kolam berisi rambut; anda seorang yang kelihatanya 'lemah-lembut'

   tetapi sebenarnya anda seorang yang agak licik, cerdik dan tidak mudah diputar-belit atau

   dipermainkan, malah semakin orang hendak 'membelit' anda semakin pintar anda

   mengatasinya.

   Jika anda memilih air kolam yang dipenuhi darah; ertinya anda seorang yang bersetia dalam

   persahabatan atau perkahwinan dan kekeluargaan. Anda seorang yang berhati mulia, anda

   sanggup berkorban apa sahaja (walaupun berkorban darah) terhadap orang yang anda

   sayangi.

 

   Apa gunanya cerita ini? Ia berguna jika kita ingin mengetahui serba-sedikit watak dan hati-

   perut orang yang berhubungan dengan kita sama ada rakan sekerja, kakitangan organisasi,

   pelanggan, sahabat handai atau terhadap pelajar-pelajar kita sendiri. Caranya ialah dengan

   menceritakan senario di atas kepada yang terlibat kemudian minta mereka membuat pilihan.

 

   Dari jawapan tersebut dapatlah kita ketahui sifat seseorang itu seperti tamsil yang disebutkan

   itu.         

                                                                                                   ~ (Cerita Guru Tasauf)

   

   Memilih Isteri?

   Kata hukama' bahawa tabiat perempuan itu menyerupai setengah daripada tabiat haiwan

   iaitu:

  • pertama seperti tabiat babi

  • kedua seperti tabiat kera

  • ketiga seperti tabiat anjing

  • keempat seperti tabiat ular

  • kelima seperti tabiat baghal

  • keenam seperti tabiat kala

  • ketujuh seperti tabiat tikus

  • kelapan seperti tabiat unggas

  • kesembilan seperti tabiat serigala dan

  • kesepuluh seperti tabiat kambing.

   1. Perempuan yang seperti tabiat babi itu ialah perempuan yang tiada berbuat baik melainkan

       makan minum memenuhkan perutnya dan memecahkan bejana jua, dan kemana ia pergi 

       tiada ia mencita-cita agamanya seperti sembahyang dan berpuasa dan kepada segala amal

       yang kebajikan tetapi adalah ia tekal melanggar segala isi rumahnya.

 

   2. Perempuan yang seperti tabiat kera pula ianya gemar memakai kain yang berwarna merah

       dan hijau dan kuning dan tiada ia mahu memakai emas dan perak serta bermegahkan

       dirinya dan membesar-besarkan dirinya terhadap suaminya.

 

   3. Perempuan yang seperti tabiat anjing ialah perempuan yang ketika  berkata-kata suaminya

       dipalingkan mukanya; dibantah-bantah kata-kata suaminya serta sering mengherdik

       suaminya. Apabila ada harta suaminya maka dikasihi suaminya tetapi tatkala tiada harta

       pada suaminya maka maka bencilah ia serta dicercanya dan dinyahkan dari rumahnya dan

       lagi tiadalah ia mahu diam daripada menista-nista suaminya.

 

   4. Perempuan yang seperti tabiat baghal pula ialah apabila bertemu ia dengan sesuatu yang

      ditakutinya dipalu sekalipun tiada mahu ia berjalan melainkan berkenderaan jua, dan

      adalah berbeka-beka dirinya serta mengindahkan dirinya sahaja.

 

   5. Perempuan seperti tabiat ular ialah iaitu menaruh dendam dan apabila mendengar kata-

       kata jahat orang terhadap suaminya atau dirinya  jadi berkelahilah dia dengan orang-orang

       itu.

 

   6. Perempuan seperti tabiat kala pula iaitu sentiasa berkeliling kepada rumah-rumah jiran

       sekampungnya serta mengadu-ngadu dan mengumpat-ngumpat serta berbantah-bantah ia

       dengan mereka itu seperti kelakuan kala disengatnya barang yang bertemu dengan dia dan

       tiadalah ia takut akan bahaya akhirat seperti sabda nabi s.a.w. ertinta "yang fitnah itu

       tiada masuk syurga".

 

   7. Perempuan yang sepertri tabiat tikus itu iaitu mencuri harta suaminya lagi berculas dirinya

       daripada suaminya.

 

   8. Perempuan seperti tabiat unggas itu iaitu sentiasa ia bertandang tiada sesaat pun istirehat

       dan apabila suaminya datang maka katanya darimana engkau tiada engkau kasih akan

      daku dan engkau kasih orang lain.

 

   9. Perempuan seperti tabiat serigala pula iatu apabila ada suaminya di dalam rumah maka

       pura-pura ia menidurkan dirinya apabila datang maka dimulainya perbantahan seperti

       katanya bahawaku seorang diriku dirumah serta sakitku engkau pergi bermain-main.

 

   10. Perempuan seperti tabiat kambing itu iaitu adalah kepadanya beberapa manfaat dan ialah

       perempuan yang salih lagi mengasihi akan suaminya dan anak-anaknya dan segala orang

       kampungnya dan segala keluarganya dan ialah yang berbuat kebaktian akan Allah s.w.t.

                                                                      ~  (Sedutan daripada Kitab Tajul Muluk)

  

    Cerita Hanuman

    Diriwayatkan di dalam Valmiki Ramayana, ketika laskar-laskar kera sampai ke tepi

    pantai,mereka menghadapi masalah besar bagaimana hendak menyeberangi lautan yang

    luasnya beratus-ratus yojana (ukuran jarak dalam bahasa Sanskrit) untuk mereka sampai ke

    Pulau Ceylon (sekarang Sri Lanka). Semua panglima kera kemudian berkumpul berkeliling

    Sang Hanuman dan berkata kepadanya, "Hanuman, tuan hamba seorang sahaja yang

    mampu melakukannya. Apalah sangat seratus yojana ini jika dibandingkan dengan orang

    seperti tuan  hamba? Ingatlah sewaktu tuan hamba masih kecil, tuan hamba melompat ke

    langit menuju matahari, kerana tuan hamba memikirnya sebagai sebiji buah. Tuan hamba

    hanya perlu membuat keputusan dan tuan hamba pasti akan berjaya menyeberangi jarak

    sekecil seratus yojana dan sampai ke Sri Lanka."

    Seperti yang dimaklumi, Hanuman benar-benar dapat melakukan lompatan berganda

    tersebut dan menjejakkan kakinya di Sri Lanka.

                                                                          ~ Valmiki Ramayana

  

    Merenung Batu?

    Michelangelo, seorang pelukis dan pengukir Itali yang termasyhor, pada suatu hari sedang

    duduk sambil memerhati dan merenung sebungkah batu besar yang berada di hadapannya

    dengan begitu asyik, berserta ketakjuban dan kekaguman yang dibanyangkan oleh sinar

    matanya.

    "Apa yang anda tenung ini?' tanya seorang yang berada berhampiran dengannya. " Suatu

    ukiran yang cantik." balas Michelangelo. Mendengar jawapan Michelangelo itu, orang ramai

    yang berada dikelilingnya merasa sangsi dan curiga dengan kewarasannya. Tetapi tidak

    berapa lama kemudian Michelangelo pun mulai memahat bungkah batu tersebut dan

    akhirnya terjelmalah sebuah ukiran yang sangat cantik.

  

    Mendukung Seorang Gadis

    Dua orang pendita sedang dalam pengembaraannya sampai ke sebuah sungai. Di situ  

    mereka melihat seorang gadis yang berpakaian cantik lengkap dengan segala perhiasanya,

    tidak tahu berbuat apa-apa kerana air sungai sebak dan dia tidak mahu pakaiannya menjadi

    rosak.

    Tanpa berlengah salah seorang pendita itu mendukung gadis tersebut di atas belakangnya

    lantas menyeberangi sungai itu. Sesampai di seberang gadis tersebut diletakkan di atas tanah

    yang kering. Lantas kedua-dua pendita tersebut meneruskan perjalanan mereka. Tetapi

    pendita yang seorang lagi itu mulai mempersoalkan tindakan rakannya yang mengendong

    gadis tadi: "Sesungguhnya adalah tidak betul menyentuh seseorang wanita; ianya melanggar

    rukun mengadakan hubungan intim dengan wanita-wanita; macam mana anda berani

    melanggar undang-undang yang dikenakan kepada sekalian pendita!" Pendita yang

    mengendong gadis tadi terus juga berjalan tanpa bersuara, tetapi akhirnya dia berkata: "Aku

    telah tinggalkan dia di tepi sungai itu. Tetapi kamu masih mengendongnya lagi."

 

                                                                                                   ~ (The World's Wisdom)

 

    Cerita Empat Orang Pesalah

    Alkisah ada empat orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah yang

    sama dan dibawa ke hadapan seorang raja yang bijaksana. Raja memandang kepada  

    pesalah yang pertama dan bertitah, "Gantung dia." Kemudian baginda memandang kepada

    pesalah yang kedua lalu memerintahkan pesalah tersebut dipenjarakan seumur hidup. Setelah

    memandang kepada pesalah ketiga baginda bertitah, " Dia mesti dibuang negeri." Akhir

    sekali baginda memandang kepada pesalah yang keempat sambil bertitah, "Beta  tidak

    menyangka sama sekali kamu sanggup melakukan jenayah sekeji itu."

 

    Ketiga-tiga orang pesalah pun menjalani hukuman masing-masing, tetapi pesalah yang

    keempat itu kembali ke rumahnya dan keesokan paginya dia didapati telah meninggal dunia.

    Kata-kata raja tempoh hari kepadanya adalah jauh lebih berbisa daripada dijatuhi

    hukuman mati.

                                                                                                   ~ (Hazrat Inayat Khan)

  

    Ilmu Di Dalam Kitab atau Di dalam Dada?

    Sewaktu dalam perjalanan kembali ke Thaus dari sebuah daerah bernama Jarjan, selepas

    Imam Ghazali belajar dengan Imam Abu Nasyar Al Ismaili, rombongan Imam Ghazali telah

    dirompak oleh segerombolan  perompak yang banyak berkeliaran di waktu itu. Semua

    barang mereka habis dirompak termasuklah manuskrip-manuskrip Al Ghazali yang berharga.

    Al Ghazali merasa sayang sekali pada bahan-bahan manuskripnya itu lalu beliau

     memberanikan diri menghampiri ketua prompak untuk meminta kembali bahan-bahan

     tersebut.

 

    Tatkala mendengar rayuan Al Ghazali itu maka ketua perompak itu lalu berkata, "Apa

    gunanya lagi catatan-catatan engkau itu kiranya ilmu itu sudah engkau pelajarinya?

    Bukankah ilmu itu sudah ada di dalam kepalamu (dadamu - penulis)?"

    Bagaimanapun selepas itu ketua perompak itu telah mengembalikan semula barang-barang

    yang dikehendaki oleh Al Ghazali itu.

 

   Sejak dari peristiwa itu Al Ghazali telah mengutamakan pemahaman serta penghafalan

   daripada kerja mencatat sewaktu mempelajari sebarang ilmu yang dituntutnya. Beliau sering

   menyebut, "Pelajaran-pelajaran selanjutnya akan saya faham dan hafalkan kerana

    sekiranya barang-barang itu kemudiannya dirompak orang, saya tidak akan

   kehilangan apa-apa lagi ilmu yang telah saya pelajari itu."         

                                                                                                         ~  Luqman Hakim

   

   Kisah Syeikh Abdul Kadir Jailani r.a. dengan  Seekor Kucing

   Diriwayatkan bahawa pada suatu pagi Syeikh Abdul Kadir Jailani hampir-hampir terluput

   waktu untuk solat subuh. Tiba-tiba seekor kucing datang ke sisinya yang sedang nyenyak

   tidur itu lalu menggesel-geselkan badanya sehingga Syeikh Abdul Kadir Jailani pun tersedar

   dari tidurnya. Menyedari beliau telah kesuntukan masa, bersegeralah beliau mengerjakan

   solat subuh pagi itu.

 

   Apabila selesai sahaja beliau bersolat, beliau pun memandang kepada kucing yang

   menggerakkannya daripada tidur tadi itu, dan dengan kekuatan mata batinnya, beliau dapat

   mengenali bahawa kucing itu sebenarnya syaitan. Hal ini menjadi tandatanya kepadanya

   kerana sebagai syaitan mengapa sanggup menggerakkannya untuk mengerjakan solat. Beliau

   pun bertanya, "Aku kenal kamu adalah syaitan tetapi mengapa kamu membangunkan aku

   supaya bersolat subuh?"

 

    Kucing itu menjawab, "Kamu adalah seorang yang terkenal taat dan bijak seperti mana yang

    rakan-rakan syaitanku memberitahuku. Oleh kerana engkau telah mengenali diriku, baiklah

   aku akan jelaskan kepadamu. Aku tahu jika kamu tertinggal solat fardhu keatasmu, kamu

   akan melakukan seratus raka'at solat lagi sebagai penebusan, jadi aku bangunkan kamu

   supaya kamu hanya dapat pahala daripada mengerjakan solat yang dua raka'at

   sahaja."   

                                                           ~ Shaykh Hakim Abu Abdullah Ghulam Moinuddin

   Kamu Adalah Begitu

   Sekali peristiwa ada seorang  budak, Svetaketu Aruneya namanya telah disuruh oleh

   ayahnya pergi menuntut ilmu dan menjadi seorang murid yang bijaksana. Ketika dia

   berpergian dia baru berumur dua belas tahun. Selepas dia menamatkan pengajian Kitab

   Vedas, dan ketika dia sudah berumur dua puluh empat tahun, dia kembali menemui

   bapanya, berbangga dengan ilmu pengetahuan yang sudah dipelajari serta dengan perasaan

   memandang tinggi akan dirinya sendiri.

 

   Melihatkan keadaan ini, bapanya berkata kepadanya, Svetaketu, anakku, kamu nampaknya

   memandang tinggi akan dirimu sendiri, kamu fikir kamu sudah cukup terpelajar, dan kamu

   seorang yang megah. Pernahkah kamu bertanyakan perihal ilmu yang dengannya apa yang

   tidak didengari itu didengari, apa yang tidak terfikir itu terfikir, dan apa yang

   tidak diketahui itu diketahui?"

   "Apakah ilmunya itu, wahai bapaku?" tanya Svetaketu.

   "Dengan mengetahui segumpal tanah liat, anakku, semua tanah liat boleh diketahui, kerana

    sebarang perbezaan hanyalah kata-kata dan hakikatnya adalah tanah liat; dan dengan

    mengetahui seketul emas semua emas boleh diketahui, kerana sebarang perbezaan hanyalah

    kata-kata dan hakikatnya ia hanyalah emas..."

 

    Svetaketu berkata, "Sudah pasti guru-guruku yang terhormat tidak mengetahui akan hal ini.

   Jika mereka mengetahuinya, mengapa mereka tidak mengajarkannya kepadaku?"

 

   "Jadi, biarkan ia begitu, wahai anakku. Bawa kemari sebiji buah daripada pokok banyan

    ini."

   "Nah, ini buahnya, wahai bapaku."

   "Pecahkannya."

   "Ia sudah pecah, wahai bapaku."

   "Apa yang kamu lihat di dalamnya?"

   "Biji-biji yang sangat kecil, wahai bapaku."

   "Pecahkan sebiji daripadanya, wahai anakku."

   "Ia sudah dipecahkan, wahai bapaku."

   "Apa yang kamu lihat di dalamnya?"

   "Tidak ada apa-apa, wahai bapaku."

   Kemudian bapanya pun berkata: "Wahai anakku, daripada zat di dalam biji yang kamu tidak

   dapat lihat apa-apa di dalamnya itulah datangnya (wujudnya) sebatang pokok banyan yang

   nyata ini."

   "Percayalah,wahai anakku, bahawa zat yang tidak dapat dilihat dan paling sulit untuk

   dijelaskan itu adalah roh kepada seluruh alam. Itulah kenyataan dan hakikat. Itulah Atman.

   Kamu Adalah Begitu."  

                                                                                                  ~ The World's Wisdom

   Kisah Aku dan Kepunyaanku

   Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain-main di tepi sebuah sungai. Mereka membuat

   istana-istana pasir, dan setiap orang mempertahankan 'istana' dengan berkata, "Ini istanaku." 

   Mereka mengasingkan istana-istana masing-masing dan tidak membenarkan  sebarang

   perbuatan daripada sesiapa pun menyentuh atau merosakkan istana mereka itu.

   Apabila semua istana itu telah siap, seorang budak telah menyepak sebuah daripada istana

   pasir kepunyaan seorang budak yang lain, dan memusnahkannya sama sekali. Apa lagi

   budak yang jadi pemilik istana yang dimusnahkan tersebut menjadi marah lalu menarik

   rambut dan memukul akan budak yang menyepak istananya sambil berteriak, "Dia telah

   punahkan istanaku! Marilah tolong aku menghukumnya sebagaimana dia patut terima."

   Semua budak-budak yang lain pun datang membantu. Mereka memukulnya dengan

   sebatang kayu dan memijaknya apabila dia jatuh terbaring di tanah......Dan tidak lama

   selepas itu, mereka kembali bermain dengan istana pasir masing-masing, dengan setiap orang

   berkata, " Ini istana milikku; tiada siapa yang boleh mengambilnya. Awas! Jangan

   sentuh istanaku!"

   Namun petang menjelang; hari menjadi semakin gelap dan mereka semua berfikir bahawa

   mereka patut kembali ke rumah. Tidak seorang pun kini peduli lagi apa akan jadi kepada

   istana mereka. Seorang budak memijak-mijaknya, seorang yang lain pula 'memusnahkan'

   istananya dengan tangannya. Kemudian mereka beredar pulang, masing-masing ke

   rumahnya. 

                                                                                                         ~ The World's Wisdom

    Cerita Dua Ekor Keldai

    Sekali peristiwa dua ekor keldai telah dibawa oleh tuannya mengangkat barang: seekor

    membawa garam di dalam beberapa karung diikatkan di atas belakangnya, dan seekor lagi

    membawa bunga karang (iaitu sepan) diikatkan kepada belakangnya juga. Maka tatkala

    mengharung melalui sebuah anak sungai keldai yang membawa garam itu telah tergelincir

    beberapa kali dan jatuh tergolek ke dalam air. Maka garam itu pun beransur-ansur larut;

    tiap-tiap kali ia bangkit air garam itu pun berlelehan turun dari kiri kanan rusuknya. Akhirnya

    ia pun merasa ringan,. Setelah sampai ketebing sebelah, melompat-lompatlah ia oleh kerana

    kesukaan.

 

    Apabila dilihat oleh keldai yang membawa sepan itu ia pun hairan lalu ia bertanya  kepada

    taulannya itu dengan bahasa keldai: "Hai! Apa sebabnya awak telah menjadi terlampau suka

    ini? Tadi kawan tengok awak terkial-kial di bawah beban awak itu; sekarang nampaknya

    awak sudah ringan dan boleh berlari melompat-lompat dengan riang pula!"

    Jawab taulannya itu: "Masa kawan mula-mula tergelecek dan jatuh dalam sungai itu tadi

    kawan rasa beban di atas belakang kawan hancur menjadi air serta ringan rasanya. Sebab

    itu kawan pun sengaja membuat-buat jatuh lagi beberapa kali, supaya banyak lagi beban

    kawan itu hancur. Sekarang sudah ringan betul!"

 

   Maka keldai yang membawa sepan itu pun menetapkan dalam hatinya hendak membuat-buat

   jatuh pula dalam air bila menyeberang anak sungai yang lain kelak, supaya bebannya pun

   menjadi ringan juga. Oleh itu apabila terjumpa sebuah anak sungai lagi dan ia turun

   mengharungi bersama taulannya itu hendak menyeberang, ia pun pura-pura tergelincir lalu

   rebah ke dalam air hingga bergolek-golek. Maka sengaja ia lambat bangun, kerana

   menantikan biar banyak bebannya itu hancur pula! Tetapi kasihan! Apabila ia bangun

   dirasanya jangankan bebannya itu bertambah ringan, malahan telah bertambah berat pula

   berganda-ganda daripada dahulu, sebab sepan itu semuanya telah penuh dimasuki air. Dalam

   hal yang demikian, mahu tak mahu berjalanlah juga ia naik ke tebing sambil mengerang dan

   mengeluh oleh terlalu beratnya, sepertikan hendak patah rasa belakangnya!

 

   Ketika itu tuannya, yang dari tadinya telah memerhatikan sahaja akan kelakuan keldai itu

   dengan perasaan lucu, datang hampir kepadanya lalu berkata: "Hai Si Dungu yang bebal!

   Sungguhlah engkau ini bodoh dan tongong! Tiada engkau mengerti bahawa beban engkau

   dengan beban taulan engkau itu tidak sama jenisnya! Engkau hanya meniru dan mengikut-

   ngikut dengan buta tuli, tidak dengan fikiran dan faham yang terang! Padanlah balasan yang

   engkau terima ini dengan bodoh engkau itu!! Bangsaku manusia pun banyak yang

   berbuat seperti engkau ini, mengikut-ngikut perkara yang mereka tiada tahu dan

   tiada mengerti!"

                                                                                                               ~ Pendita Za'aba

 

   Manusia dan Pengetahuan

   Ada banyak pohon: tidak semuanya menghasilkan buah.

   Ada banyak buah: tidak semuanya boleh dimakan.

   Juga banyak macam pengetahuan: meskipun demikian tidak semuanya berharga untuk  

   manusia.

                                                                   ~ Nabi Isa a.s.

 

   Empat Jenis Manusia

 

   Terdapat empat jenis manusia. Ada manusia yang mengetahui dan  tahu bahawa mereka

   mengetahui. Tanyalah (belajar) pada mereka. Ada manusia yang mengetahui dan tidak tahu

   bahawa mereka mengetahui. Mereka ini pelupa. Ingatkan mereka! Ada manusia yang tidak

   mengetahui dan tahu bahawa mereka tidak mengetahui. Mereka perlukan petunjuk. Ajarilah

   mereka. Dan ada manusia yang tidak mengetahui dan tidak tahu pula bahawa mereka tidak

   mengetahui. Mereka jahil. Hindarilah mereka!

                                                                                         ~ Imam Al-Khalil bin Ahmad

 

 

   Tiga Jenis Pemimpin

 

   Ada tiga jenis pemimpin, iaitu pemimpin yang benar-benar pemimpin, pemimpin yang

   setengah pemimpin dan pemimpin yang bukan pemimpin. Pemimpin yang benar-benar

   pemimpin ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan mahu bermusyawarah. Pemimpin

   setengah pemimpin ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan tidak suka bermusyawarah.

   Yang ketiga ialah pemimpin yang tidak mempunyai pendapat sendiri dan tidak mahu

   bermusyawarah!

                                                                                        ~ Al-Hassan ibn Ali ibn Abi Talib

 

 

 

   Hudud

 

   Rasulullah s.a.w telah bersabda: 'Hendaklah kalian sedapat mungkin menghindarkan kaum

   Muslimin dari hukuman hudud. Jika ada jalan keluar baginya, biarkanlah ia (yakni orang

   yang bersalah) bebas dari hukuman. Sebab seorang pemimpin yang berbuat kekeliruan

   kerana memberi maaf lebih baik  daripada ia keliru menjatuhkan hukuman.'

   

                                                                                                       ~ Saidatina 'Aisyah r.a.

 

 

   Apa dia Agama?

 

   Saya melihat banyak orang yang bernasib baik dapat menguasai berbagai ilmu syariat dan

   hukum fiqh. Namun hati mereka masih kosong dari perasaan lembut, dari hasrat

   merindukan martabat tinggi di sisi Allah, dan dari rasa cinta kasih kepada orang lain.

   Sebaliknya, saya melihat banyak orang yang mempunyai perasaan lembut dan menempuh

   jalan hidup yang terpuji, tetapi sayang mereka tidak berilmu dan hanya sedikit sekali yang

   memahami syariat Islam.

 

   Dua golongan tersebut di atas sama-sama mempunyai kekurangan dan keburukan. Sebab,

   seorang ahli ilmu yang tidak "berhati" sama dengan seorang penyair yang tidak

   berperasaan. Kedua-duanya merugikan Islam dan menghambat kemanfaatannya. Agama

   adalah akal dan perasaan, pengetahuan dan akhlak, pandangan yang tepat dan

   mata hati yang terang-benderang.

                                                                                                  ~ Muhammad Al-Ghazali

 

 

   Pakaian dan Agama

 

   Saya melihat bahawa di kalangan kita terdapat sementara orang yang banyak berbicara

   tentang agama, tetapi tidak memahami hakikatnya. Mereka lebih memperhatikan soal

   penampilan luar atau kulitnya sahaja. Ada seorang dengan bangga menyatakan kepada saya

   bahawa ia telah berjaya menyakinkan seorang Amerika hingga memeluk Islam dan mahu pula

   memakai jubah putih. Dengan sedih dan jengkel saya tanyakan balik mengapa ia tidak mahu

   memakai 'iqal? Rakan tersebut bertanya pula apakah maksud kata-kata saya itu.

 

   Saya katakan; "Bentuk pakaian tidak termasuk dalam agama kita, mengapa anda tidak

   membiarkannya berpakaian seperti biasanya. Biarlah orang lain mengenalinya sebagai

   Muslim dari ciri-ciri perangainya, perilakunya, kejernihan fikirannya dan dari

   akhlak serta budi pekertinya; bukan dari pakaiannya!" Ajaran Islam tidak diambil

   dari para ahli fiqh Badui, tidak juga dari kaum militeri Turki dan tidak dari kaum

   Darwisy Sufi! Kenapakah kita melupakan kewajipan-kewajipan yang diperintahkan oleh

   agama kita dan pokok-pokok keutamaannya, tetapi malah menyuruh orang supaya meniru-

   niru tradisi bangsa lain, atau mengikuti kekhasan tertentu yang sedang berlaku dalam suatu

   zaman?

                                                                                                    ~ Muhammad Al-Ghazali

 

 

 

 

 

   Permata dan Debu

 

   Jika sebutir permata jatuh ke dalam lumpur ia masih bernilai.

   Jika debu naik ke langit ia tetap tidak bernilai.

                            

                                                                ~ Sa'adi as-Syiraz

 

 

   Banyak tidak menunjuk kepada benar, sedikit tidak membuktikan salah.

                                                                                                       ~ Abdul Aziz Ismail

 

 

 

 

                      

 

    

                                     Copyright 2002-2003 Hamzah Mohamed

                                              Semua Hakcipta Terpelihara