Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

     

      Perlantikan Yang Tidak Dimimpikan

            "We must become the change we want to see."

                                       ~ Mahatma Gandhi

 

Selepas lapan tahun berkhidmat di daerah Jerantut, maka pada awal tahun 1977 permohonan bertukar saya ke daerah Temerloh pun di luluskan, dan saya ditempatkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jalan Bahagia. Guru Besarnya ketika itu ialah seorang bekas guru saya semasa di Sekolah Menengah Abu Bakar dulu yang bernama Mr. Chong Teck Yin. Penolong Kanannya pula bernama cikgu Johar b. Abdul Rahman. Di sini saya berjumpa dengan beberapa orang guru antaranya ialah cikgu Khalid Hj. Muhamad (adik Pak Sako), cikgu Zainuddin b. Tut, cikgu Abdul Rahman Sabri b. Abdul Hamid, cikgu Abu Samah b. Putih, cikgu Aminullah b. Kassim (yang sama-sama baharu bertukar ke sekolah ini). Di SM(R)JK Jalan Bahagia ini juga saya bertemu semula dengan Mrs. Cheah yang sama-sama mengajar di SMJ dulu.

 Sewaktu di SM(R)JK Jalan Bahagia ini juga saya bertemu dengan seorang guru muzik bernama Tengku Fathi (mengajar di SRK Jalan Bahagia). Oleh kerana minat yang sama saya cepat mesra dengan beliau, dan kami sering bermain muzik bersama, sama ada untuk acara Hari Guru atau pun Pesta Kebudayaan PSKPP. Beliaulah yang mendorong saya supaya mengambil peperiksaan teori muzik ABRSM (London) Gred 5 dan kemudiannya mendorong saya memohon Kursus Khas Tambahan Satu Tahun Muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.

Sewaktu menghadiri temuduga untuk kursus khas satu tahun itu, dengan tidak di sangka-sangka saya bertemu pula dengan cikgu Kamaruzaman Hassan, salah seorang rakan serumah saya semasa saya di Machang, Kelantan dulu). Rupanya beliau ketika itu sudah pun bertugas di Kementerian Pendidikan dan kedatangan beliau hari itu juga bagi tujuan untuk menemuduga calon-calon untuk kursus yang lain yang juga dijalankan proses temuduganya di MPIK pada hari itu. Saya sempat berbual dan bertanya khabar dengan beliau walau masa untuk kami berinteraksi amat terbatas.

Saya berjaya dalam temuduga tersebut dan kemudiannya saya di arah melapor diri di MPTI awal tahun 1978. Seorang lagi guru bernama cikgu Abdul Razak b. Mahmud juga telah berjaya mengikuti kursus Sains Perpustakaan di MPIK, jadi kami berdua sahajalah calon yang berjaya dari Temerloh tahun itu, dan kerana itu kami telah bersetuju untuk pergi bersama-sama termasuk persetujuan bergilir-gilir membawa kereta masing-masing ke Kuala Lumpur.

Walau pun saya 'gembira' dengan kejayaan megikuti kursus tersebut, sebenarnya di dalam hati kecil saya waktu itu berlaku satu 'pertarungan jiwa' di mana saya memikirkan antara cabaran menjadi seorang 'guru muzik' nanti dan terpaksa bertukar sekolah ke sekolah rendah dengan memikirkan masalah isteri dan anak sulung saya yang kebetulan akan memulakan persekolahannya  tahun itu, di samping keadaan isteri saya yang sedang sarat mengandung ketika itu. Hati saya kadang-kadang berbolak-balik sama ada hendak pergi berkursus atau hendak menolak saja peluang tersebut. Pada suatu malam saya bermimpi bahawa saya  bertiga (dengan dua orang lagi rakan) ditimpa satu kemalangan. Dalam mimpi tersebut saya telah dikejar oleh seekor gajah yang besar, dan kebetulan kereta yang kami naiki telah rosak dipijak gajah. Walau bagaimanapun saya dapat melarikan diri dan syukur alhamdulillah saya tidak mendapat sebarang kecederaan dalam peristiwa  di dalam mimpi tersebut. Saya tidak tahu apakah alamatnya mimpi itu.

Saya dan cikgu Razak Mahmud pun bertolak ke Kuala Lumpur, dan kami mendaftar di MPIK seperti yang dijadualkan. Selepas itu kami pergi Kompleks Belia di Cheras untuk mencari tempat penginapan kerana pihak maktab tidak menyediakan penginapan kepada calon-calon seperti kami. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, dan kami dapat pula berkenalan dengan beberapa orang lagi rakan-rakan dari seluruh negara yang sama-sama mengikuti kursus-kursus di MPIK  dan sebahagian besarnya pula menginap di kompleks itu juga.  

Di dalam kelas muzik saya itu terdapat sebilangan peserta kursus yang memiliki kelulusan Gred 8 Piano (kebanyakannya daripada keturunan Cina), dan sebahagian peserta pula mengaku tidak mempunyai pengetahuan teori yang mencukupi. Saya masih ingat salah seorang daripadanya bernama Murat b. Abdul Jalil, peserta dari Kuala Lipis, Pahang, yang sering duduk di belakang saya sambil 'meniru' jawapan latihan yang pensyarah muzik berikan terutama dalam bahagian 'aural'. Tidak malu-malu beliau nyatakan bahawa beliau tidak tahu dan ingin meniru saya. (Selepas saya 'keluar' dan meninggalkan kursus sebelum tamat tahun itu, saya tidak berjumpa lagi dengan cikgu Murat ini sehinggalah pada suatu masa saya mendengarnya sudah menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Raub, dan kemudin berpindah ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Kuantan. Dan sekarang beliau adalah Ketua Penolong Pengarah Unit Khidmat Tadbiran di Jabatan Pendidikan Negeri).

Pada suatu petang dalam minggu kedua berkursus itu, setelah habis kuliah pagi itu dan sehari sebelum kami balik ke Temerloh seperti biasa (cuti hujung minggu), entah macam mana mulanya saya dan salah seorang rakan sekursus bernama Said (budak Johor) tiba-tiba sahaja menjadi amat 'geli hati' dan kami tertawa terbahak-bahak; sampaikan ada ketikanya kami tidak boleh 'berpandangan muka' langsung lalu salah seorang daripada kami akan 'tertawa lagi'. Keadaan ini amat menghairankan beberapa orang rakan sebilik dan se dorm yang lain. Sehingga walau hendak ke bilik air pun saya tetap tertawa bagai di rasuk hantu pada petang itu. Saya ada teringat inilah barangkali yang orang tua-tua sebut sebagai 'geli hati bagai dikorek-korek'. Tapi apakah alamatnya? Saya masih tidak tahu dan memang kita tidak mampu 'membaca' segala 'tanda dan alamat' yang Allah s.w.t. berikan kepada kita manusia yang sentiasa lalai dan lemah ini. Saya tidak ingat pula bila waktunya kami berhenti daripada ketawa bagai dirasuk hantu pada hari itu. Seperti biasa saya dan cikgu Razak Mahmud pun baliklah ke Temerloh minggu itu.

Pada hari Ahad 8.1.1978 itu sepatutnya giliran cikgu Razak Mahmud yang bawa keretanya ke Kuala Lumpur, tetapi entah apa sebabnya beliau hubungi saya minta saya bawa kereta lagi minggu itu. Kebetulan pula seorang anak jiran saya di kampung Buntut Pulau bernama Norazman b. Baharom (yang bekerja di Kuala Lumpur, dan tinggal di Bangsar) meminta hendak menumpang sekali balik bersama-sama kami. Jadi kira-kira jam 4.00 atau 4.30 petang itu kami pun bertolak balik ke Kuala Lumpur. Sewaktu hendak bergerak, anak saya nombor empat bernama Azraai Fahmi yang berumur kira-kira dua tahun dan sangat 'rapat' dengan saya, tidak mahu melepaskan saya sambil memegang erat baju saya sehingga saya terpaksa membuka genggaman tangan kecilnya, sambil ia meronta-ronta menangis. Kami bertolak ke Kuala Lumpur petang itu dalam keadaan cuaca yang agak mendung seperti hendak hujan.

Malang tidak berbau, kami bertiga mendapat kemalangan petang itu. Seingat saya Terowong Genting Sempah di Bukit Tinggi baharu sahaja di buka dengan rasminya hari itu. Ketika melalui terowong buat kali pertamanya, cikgu Razak Mahmud sedikit pun tidak 'menegur' kelajuan kereta yang saya pandu. Perkara ini diberitahunya kemudian selepas kejadian hari itu. Melalui jalan yang 'asing' dan pertama kali kita lalui adalah tidak bijak memandu dengan tidak berhemat, tetapi itulah yang berlaku. Sesampai di Gombak, saya berhentikan kereta untuk buang air kecil sebentar. Ketika meneruskan perjalanan selepas itu saya meminta cikgu Razak Mahmud pula yang pandu. Tanpa banyak soal beliau akur sahaja. Walau pun  cikgu Razak Mahmud (menurut beliau sendiri) lebih biasa daripada saya memandu dalam Kuala Lumpur, tetapi di dalam hati saya berasa pelik melihatkan cara beliau memandu petang itu, tersangat 'slow' lebih kurang macam orang baru belajar memandu sahaja. Walau bagaimana pun saya tidak pula menyuarakannya kepada cikgu Razak Mahmud. Norazman duduk di tempat duduk belakang tidak banyak bercerita kecuali sekali-sekali menyampuk perbualan kami.

Sewaktu kami tiba dekat Majestic Hotel (sekarang Balai Seni Lukis Negara) kira-kira jam 7.25 malam dan sedang melalui satu korner di situ tiba-tiba saya melihat sebuah kereta yang datang dari hadapan meluru dengan lajunya terus 'menyeberangi' pembahagi jalan dan dalam sekelip mata sahaja berlakulah perlanggaran secara berdepan. Ketika itu saya sempat berkata dalam hati bahawa perlanggaran sudah pasti terjadi, diikuti dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya menoleh kesebelah kanan saya dan saya lihat cikgu Razak Mahmud 'terdiam' dan tidak bergerak atau berkata-kata, saya toleh ke belakang dan saya lihat Norazman sedang menyapu-nyapu kepalnya sambil berkata tidak apa-apa. Sewaktu saya berpaling semula ke depan tiba-tiba saya sedari darah sudah bercucuran dari bahagian atas kening saya dan kelihatan macam 'berjuntai' sahaja dan saya rasa saya sudah mendapat kecederaan yang amat besar. Bermacam-macam perkara tiba-tiba menerpa dan menerjah pemikiran dan khayalan saya ketika itu. Waktu itu juga orang ramai sudah datang menolong mengeluarkan saya dan memasukkan ke dalam sebuah teksi (yang kebetulan lalu) dan dikejarkan ke Hospital Universiti, Petaling Jaya. 

Setelah di X-Ray sebanyak lima kali di bahagian kepala dan menerima  lima jahitan  dikelopak mata sebelah kanan, saya di benarkan pulang dan diberi cuti sakit dua hari. Cikgu Razak Mahmud cedera sedikit sahaja di bahagian kakinya. Malam itu saya dan cikgu Razak Mahmud bermalam di rumah abang beliau Encik  Abu Bakar Mahmud. Semalaman saya tidak dapat tidur kerana menanggung kesakitan yang amat sangat. Esoknya adik saya cikgu Abdul Jalil b. Mohamad datang melihat saya dan membawa pulang pakaian saya yang penuh dengan darah balik ke Temerloh.

Kejadian tersebut amat memberi kesan kepada saya, sehingga saya tidak sanggup lagi meneruskan kursus muzik itu, di tambah pula dengan 'keadaan' sakit dan sifat kursus yang amat 'bertentangan' itu akhirnya membuatkan saya membuat keputusan balik sahaja dan bertugas semula di SMJK Jalan Bahagia. Surat 'menarik diri' saya tulis tangan dan serahkan kepada seorang rakan sekursus minta dia sampaikan kepada pihak Pengetua MPIK dengan kadar segera. Baharulah saya ketahui alamat mimpi saya beberapa bulan sebelum itu, rupanya 'gajah' yang besar mengejar saya itu ialah kereta "Ford 2000" yang melanggar kereta saya, 'bertiga' di dalam mimpi itu rupanya memang kami bertiga semasa kemalangan itu dan kejadian "geli hati bagai dikorek-korek" dua hari sebelum kejadian membawa maksud saya akan "mendapat duka".

Pada 16.1.1978 saya melapor diri semula di sekolah asal saya. Guru Besar masa itu kelihatan agak 'marah' dengan tindakan saya itu, tetapi saya katakan kepadanya "bahawa saya ibarat mati hidup semula", dan saya telah mengalami kerugian yang besar kerana kereta saya remuk dan rosak termasuk sebuah gitar yang dibeli khas, di samping telah kehilangan 'ketenangan hati' saya dalam hal keluarga saya. Saya katakan juga kepada beliau bahawa apa pun yang akan terjadi saya tetap hendak mengajar balik. Saya katakan juga bahawa saya satu sen pun belum menghabiskan wang Kementerian Pendidikan berhubung kursus ini, dan saya tahu Borang Perjanjian belum di angkat lagi  ke Kementerian, jadi dengan itu saya begitu yakin dengan keputusan saya itu. Dalam keadaan sebagai orang yang sudah "tunggang hatinya" saya katakan juga jika beliau atau pihak jabatan hendak mengambil tindakan tatatertib  sekali pun ke atas saya, saya tetap dengan keputusan saya, dan saya sanggup menghadapinya. Akhirnya Guru Besar saya bersimpati kepada saya dan menerima semula saya mengajar seperti biasa.

Beberapa bulan selepas itu tiba pula pilihraya umum tahun 1978. Salah seorang Guru Besar telah dilaporkan akan masuk bertanding. Jika ini benar maka sudah tentu berlaku kekosongan jawatan Guru Besar di sekolah tersebut. Maka boleh dikatakan setiap hari beberapa orang rakan-rakan guru di sekolah saya sering bergurau sesama mereka sambil meneka-neka siapa agaknya yang akan dilantik nanti mengganti cikgu Armia b. Abdullah, Guru Besar Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Kuala Krau, Mentakab yang disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional dalam piliharaya tersebut. Saya tidak pernah menyertai "lawak-jenaka" dan 'angan-angan atau cita-cita ' mereka itu kecuali mendengarnya sahaja sambil saya meneruskan kerja-kerja saya sebagai guru kelas Tingkatan 2S, apabila mereka itu menyebutnya di Bilik Guru. Dalam pada itu saya terpaksa menjawab beberapa siri surat penjelasan kepada pihak Kementerian dan Jabatan Pelajaran Pahang berhubung kes saya 'menarik diri'  daripada kursus khas muzik di MPIK itu.

Pada suatu pagi ketika saya menulis nama ke dalam rekod kehadiran bertugas di kaunter pejabat, tiba-tiba cikgu Johar hulurkan tangan sambil ucapkan tahniah kerana katanya saya telah dipilih sebagai Guru Besar SMRK Kuala Krau, Mentakab. Dia baru sahaja menerima makluman melalui telefon petang semalamnya tambahnya lagi. Saya tergamam dan tidak berkata-kata campur dengan rasa tidak percaya, tetapi takkanlah cikgu Johar bercakap bohong pula. Ini bukan perkara boleh main-main fikir saya. Berita itu tersebar kepada seluruh warga sekolah tak lama selepas itu. Saya juga di maklumkan tarikh kuatkuasa pelantikan dan pertukaran ialah pada 1.6.1978. Sukar bagi saya hendak gambarkan apa perasaan saya ketika itu.

 

                           

 

                                              Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed