Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

 

       Pengalaman Sebagai Guru Penolong

       

           " Do you know the difference between education and experience?

              Education is when you read the fine print; experience is what

                             you get when you don't."

                                                   ~ Pete Seeger

 

Begitulah seterusnya dari tahun ke tahun saya menimba pengalaman bekerja dan mengajar sebagai seorang guru penolong, yang dimulai dengan pengalaman di Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Pulau Tawar ini. Dalam tempoh tersebut  beberapa orang Guru Besar telah silih berganti mentadbir  sekolah ini. Selepas cikgu Aminuddin berpindah ke Sekolah Menengah (Rendah) Kebangsaan  Dong, Raub, kami menerima pula seorang Guru Besar baru bernama cikgu Amin Zahari b. Mahmud; dan beberapa tahun kemudian itu pula diganti oleh cikgu Ali bin Muhamad, sehinggalah saya berpindah sekolah dalam tahun 1974.

Semasa cikgu Amin Zahari menjadi Guru Besar di sekolah ini juga berlaku satu keadaan yang 'tegang' dan sukar dibayangkan apa akan berlaku jika pihak-pihak berkaitan tidak dapat berfikiran waras. Pada suatu malam seorang Penyelia Makanan Asrama sekolah ini yang kami panggil Aji sahaja, telah menunjukkan kegusaran dan 'kemarahannya' terhadap cikgu Amin Zahari kerana beliau mendapat tahu bahawa Borang Option Skim Gaji Aziz belum diproses dan belum dikemukakan kepada Jabatan Pelajaran Pahang, sedangkan tarikh tutupnya telah pun berlalu. Beliau menyalahkan cikgu Amin Zahari kerana tidak mengambil berat akan perkara ini, satu dari sebabnya mungkin kerana cikgu Amin Zahari sering tidak berada di sekolah. Dalam seminggu itu saya dapati cuma dua atau tiga hari sahaja beliau betul-betul berada di sekolah. Beberapa orang guru yang ada malam itu (saya menumpang asrama sekolah kerana isteri balik bersalin di kampung) cuba menasihatkan dan menenangkan Aji supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru dan merosakkan segala-galanya. Agak lama juga kami 'mengawasi' Aji agar dia tidak hilang pertimbangan kerana selain dia ada menyuarakan niat hatinya dan juga malam itu dia ada memegang sebatang tongkat. Akhirnya mujurlah beliau tidak meneruskan niat hatinya dan kami berasa cukup lapang kerana dapat mengelakkan terjadinya sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku. Peristiwa ini juga memberi kesan kepada saya betapa 'amanah' dan 'tanggungjawab' dalam memastikan hal-ehwal kakitangan bawahan terutama dalam soal-soal gaji, elaun dan kenaikan pangkat kita kena betul-betul mengambil berat supaya tidak timbul macam-macam prasangka dan tuduhan yang meletakkan kita sebagai seorang pengurus atau pentadbir yang tidak cekap dan tidak bertanggungjawab. Saya tidak tahu sama ada cikgu Amin Zahari tahu akan perkara ini.

Dari aspek menjalankan tugas saya di luar bilik darjah, walau pun saya berulang setiap hari dari bandar Jerantut dengan menumpang kereta Guru Besar sekolah kebangsaan berhampiran, saya tidak mengabaikan tugas menggerakkan persatuan yang saya jadi guru penasihatnya. Saya tidak balik tengah hari itu, dan saya buat aktiviti dengan murid-murid kerana murid-murid kebanyakannya tinggal di asrama sekolah. Cikgu Amin Zahari sendiri sedar dan lihat perkara ini dan beliau tidak pernah menyuarakan bantahan atau teguran kepada saya. Saya akan balik dengan bas yang paling akhir hari itu ke bandar Jerantut. Saya tidak mahu orang kaitkan kerana saya berulang setiap hari, saya tidak mampu jalankan aktiviti kokurikulum selepas waktu sekolah. Saya amat jaga perkara-perkara seperti ini. Itulah juga sebabnya saya ada alasan dan bukti kukuh apabila saya pula menjadi Pengetua dan Guru Besar, bahawa tidak ada sebab mengapa seseorang guru itu tidak dapat melaksanakan kegiatan luar bilik darjah lebih-lebih lagi dengan alasan kerana berulang.

Pengalaman pertama saya berhadapan dengan pegawai dari Jabatan Pelajaran Pahang yang datang melawat sekolah juga mematangkan pengalaman saya. Pada suatu pagi, sebaik sahaja selesai perhimpunan mingguan, tibalah seorang pegawai Jabatan Pelajaran Pahang ketika itu bernama Encik Yassan b. Awab. Kebetulan pagi itu cikgu Amin Zahari tidak hadir (kami tak tahu sebabnya), dan beberapa orang guru secara kebetulan sedang berada di kantin sekolah. Buat pertama kalinya saya melihat dan mendengar kata-kata yang agak pedas dari mulut seorang pegawai pelajaran terhadap guru-guru pada pagi itu. Antara kata-kata yang saya masih ingat ialah," Mengapa ramai-ramai masih berada di kantin? Tak ada hati perut ke?" Apa nak buat, jadi terpaksalah 'pekakkan telinga' sahaja mendengar kata-kata 'marahnya' itu. Oleh kerana saya boleh dianggap guru paling kanan di sekolah pada hari itu, maka sayalah yang terpaksa 'melayan' pegawai ini. Kemudian saya mempersilakan beliau ke bilik Guru Besar. Di situ beberapa perkara yang beliau ingin tahu sayalah yang memberikan maklumat dan jawapan termasuk pertanyaan saya berhubung permohonan pertukaran saya yang masih belum diluluskan  sebelum ini.

Permohonan saya untuk bertukar balik ke Temerloh tidak mendapat kelulusan, namun pada tahun 1974 saya dipindahkan ke Sekolah Menengah Jerantut. Guru Besarnya masa itu ialah Encik Yaakub bin Isa, penolong kanannya Encik Ibrahim bin Mat Isa. Saya ingat lagi pada suatu hari cikgu Yaakub Isa memanggil saya ke biliknya, dan perkara yang dibincangkan ialah beliau bercadang hendak melantik saya sebagai guru Biasiswa sekolah. Saya agak hairan juga kerana saya seorang guru yang 'baru' di sekolah ini sedangkan lebih ramai lagi guru-guru lama dan kanan yang sedia ada di sekolah itu. Satu lagi waktu itu sekolah baru sahaja dibuka dan senarai tugas belum lagi diumum atau dikeluarkan. Walau apa sebabnya saya melihat perbincangan dan kepercayaan cikgu Yaakub Isa kepada saya sebagai suatu penghormatan dan dengan itu saya dengan senang hati menerimanya. "Bukan apa cikgu, kalau cikgu menerima saya hendak tulis notis di papan kenyataan Bilik Guru", demikian ujar cikgu Yaakub Isa lagi. Selepas itu saya menguruskan pengedaran borang-borang permohonan dan kemudian memprosesnya untuk dikemukakan kepada pihak Guru Besar untuk tindakan selanjutnya. Mengurus biasiswa ini bukan setakat mengedar borang atau mengumpul balik tetapi termasuk mengagihkan wang tunai Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Negeri Pahang (BNP). Saya pernah diminta oleh cikgu Yaakub Isa pergi menunaikan cek biasiswa ini di bank bersama-sama pembantu tadbir ketika itu, dan kemudian menguruskan pembayaran kepada semua murid yang berkenaan.  

Selain itu saya juga terlibat dalam Jawatankuasa Jadual Waktu yang diketuai oleh Guru Penolong Kanan, Encik Ibrahim Mat Isa. Biasanya kami merangka dan menyiapkan jadual waktu ini mengambil masa sampai dua tiga minggu selepas sekolah dibuka, tidak seperti sekarang sekolah digesa bahkan diarahkan menyediakan jadual waktu dan pengajaran dan pembelajaran hendaklah berjalan seperti biasa pada hari pertama persekolahan lagi. Lagi pun  masa itu masih wujud dua aliran bahasa penghantar iaitu Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, kerja menyusun dan menyempurnakan jadual waktu ketika itu sangat 'memakan masa dan tenaga' dan ada kalanya kami terpaksa 'bertugas' pada hari cuti umum. Semuanya ini kami lakukan tanpa mengharapkan balasan.  

Pada suatu hari Pustaka Antara, dari Kuala Lumpur (salah satu toko buku yang terkenal) telah datang ke Sekolah Menengah Jerantut dalam siri lawatan mereka mempromosi buku-buku ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Malangnya hari itu berlaku satu kes kecurian buku-buku yang dipamerkan itu yang dilakukan oleh pelajar-pelajar SMJ. Semua yang terlibat dapat ditangkap dan buku-buku itu semuanya dapat dipungut kembali, namun nama baik sekolah telah 'tercemar' dengan perbuatan segelintir murid-murid yang tidak 'berdisiplin' ini. Tujuh orang guru disiplin termasuk saya telah dipanggil ke bilik Guru Besar bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap murid-murid ini. Sebelum itu sudah ada perbincangan 'pre-council' yang diambil inisiatifnya oleh seorang guru kanan iaitu Encik Shahrudin bin Shamsuddin. Saya menyuarakan bahawa kesalahan jelas dilakukan dan buktinya juga jelas, bagi saya tindakan yang setimpal ialah "public canning" selaras dengan peruntukan dan peraturan Undang-undang Sekolah sebagaimana yang telah pihak sekolah edarkan pada awal tahun lagi. Dalam perjumpaan ini pun saya suarakan pandangan saya itu.   

Akhirnya persetujuan dicapai untuk mengenakan tindakan disiplin dengan hukuman rotan dikhalayak ramai pada hari itu juga. Cikgu Yaakub Isa ada berpesan kepada kami supaya sewaktu menjalankan hukuman "rotan" nanti kami diminta supaya "jangan merotan terlalu kuat atau terlalu perlahan..." . Saya sedikit bingung, kerana pada pemikiran saya amatlah sukar untuk kita "mengukur" kekuatan atau tidak sebatan yang dikenakan oleh seseorang itu. Ini amat subjektif sifatnya pada fikiran saya, namun kami tidak memberikan apa-apa komen terhadap saranan itu. Bagi saya itu terpulang kepada "style" dan jatidiri seseorang guru. Kira-kira antara jam 11.00 hingga 12.00 tengah hari, pada hari itu juga semua murid dipanggil berhimpun di dewan besar sekolah di mana hukuman dijalankan. Haji Yaakob Isa selaku Guru Besar memulakan hukuman rotan kepada lima orang pelajar; diikuti oleh Encik Ibrahim Isa; kemudian Encik Shahrudin b. Shamsuddin, seterusnya saya dan lain-lain guru disiplin yang seramai tujuh orang itu selesai merotan sejumlah 35 orang murid yang terlibat.

Satu daripada pendekatan cikgu Yaakub Isa dalam menghargai dan membangun potensi seseorang guru waktu itu ialah dengan cara beliau akan mengucapkan 'selamat hari lahir' sambil membacakan serba ringkas 'bio-data' guru tersebut dan kemudian mempersilakan guru tersebut menyampaikan ucapan dengan tajuk-tajuk pilihan sendiri, dalam majlis perhimpunan mingguan sekolah. Apabila tiba giliran saya hari itu, selepas beliau "memperkenalkan" saya secara ringkas seperti biasa, saya pun 'berucap' dan subjek atau topik yang saya  pilih ialah berhubung 'sejarah buku'; dan tajuk ucapan saya ini juga kemudiannya saya olah semula dan saya hantar kepada akhbar Berita Harian. (Artikel saya itu terbit pada 2.12.1976). Sayang pendekatan yang cikgu Yaakub Isa lakukan ini tidak berterusan, kerana tidak lama kemudian 'acara public speaking' ini tidak lagi dibuat. Saya tidak tahu apa sebabnya. 

Saya percaya peluang yang cikgu Yaakub Isa berikan melalui acara public speaking di peringkat sekolah ini (walau pun khalayaknya hanyalah guru-guru dan murid-murid sahaja) telah memberikan satu kekuatan semangat dan menimbulkan minat serta mencungkil bakat yang ada kepada mereka yang terlibat (kerana ramai yang belum lagi sempat menyampaikan ucapan mereka dan bilangan guru waktu itu seramai 70 orang lebih) menjadi satu faktor kemudiannya di mana saya dapat dan mampu memberikan 'ceramah-ceramah motivasi' di peringkat zon PKG, kelompok, sekolah-sekolah dan Daerah, termasuk yang dianjurkan oleh Majlis Guru Besar atau Pejabat Pendidikan Daerah sendiri.

Ketika saya bertugas di SMJ ini, saya menyewa rumah di Kampung Melayu, Jerantut, dan kerana itu saya terpaksalah menumpang kenderaan orang lain untuk ke sekolah setiap hari. Saya belum memiliki sebarang kenderaan masa itu. bukan kerana apa tetapi kerana saya masih mempunyai tanggungjawab keluarga yang terpaksa saya pikul. Saya pun menumpanglah kereta cikgu Shahrudin b. Shamsuddin, salah seorang guru kanan dan paling disegani di SMJ waktu itu dengan disiplin kerja beliau yang tersohor. Saya tidak lupa pesanan beliau kepada saya sebagai prasyarat menumpang keretanya (Volkswagon Beetle), " Hamzah, kalau awak nak menumpang kereta saya pastikan awak sudah berada di simpang 'club' tepat jam 7.10 setiap pagi. Ingat, jika awak terlambat seminit sahaja, saya akan tinggalkan awak." katanya dengan gaya 'tegasnya' yang terkenal itu. Alhamdulillah saya dapat memenuhi 'prasyarat' beliau itu selama kira-kira tiga tahun saya bertugas di SMJ; dan ini juga mungkin menjadi 'latihan peribadi' saya dalam mengurus masa dan mengurus diri saya lebih-lebih lagi apabila saya sendiri menjadi Pengetua dan Guru Besar kemudiannya. Begitu juga saya tidak lupa akan budi baik dua orang Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar yang saya pernah tumpang kereta mereka  iaitu cikgu Jamaluddin dan cikgu Kholi b. Jamin semasa saya berulang ke Sekolah Menengah Pulau Tawar dulu. Saya pastikan saya tidak menyusahkan orang-orang yang 'menumpangkan' saya ini dengan cara saya mendisiplinkan diri saya agar setiap pagi saya bergegas berjalan kaki dari Kampung Melayu ke bandar Jerantut (jaraknya adalah kira-kira satu kilometer) di mana saya menunggu mereka ini. Saya cukup berterima kasih banyak-banyak kepada kedua-dua orang Guru Besar yang baik hati ini. Tepatlah sungguh seperti kata pantun Melayu; Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti; Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati.

Semasa di SMJ ini juga saya belajar 'mengenali dan memahami' perangai manusia yang bergelar guru ini melalui bebarapa watak yang kemudiannya saya jadikan iktibar dan panduan dalam mengharungi dunia pendidikan terutama dalam aspek mengurus murid-murid dan staf sekolah seluruhnya. Sebagai 'ketua' kita sering disalah anggap, di salah tafsir dan dituduh dengan pelbagai perkara yang semuanya kita kena atasi dengan bersemangat waja berdasarkan prinsip dan kebenaran. Di SMJ waktu itu (sekitar 1974 hingga 1976) ada beberapa orang guru yang cuba menunjukkan 'perhubungan' yang intim dan baik dengan pelajar sehingga perkara sebaliknya yang berlaku. Satu daripadanya bagaimana seorang guru bernama cikgu Latif sangat popular sebagai guru sukan, cukup baik dengan beberapa orang pelajar tetapi sayang sampaikan ada pelajar yang tidak mampu menjaga batas-batas pergaulan dan percakapan sehingga sanggup 'meminta rokok' daripada cikgu Latif dengan hanya memanggil nama sahaja tanpa lagi gelaran "Cikgu"...! Apakah ini dinamakan perhubungan yang ideal dan terpuji di antara seorang guru dengan seorang murid? Bagi saya ini sudah melampaui batas tatasusila dan etika kegururan, tapi inilah hakikatnya mengapa berlaku pertembungan nilai di kalangan guru-guru sendiri apatah lagi di kalangan ibu bapa dan para pelajar sekalian apabila pihak guru-guru sendiri sudah tidak jelas dan tidak mampu lagi menjaga batas-batas dan adab yang sewajarnya dalam aspek ini.

Seorang ustaz lulusan Al-Azhar pula bernama Hassan  b. Jusoh pula walau pun baharu bertugas di SMJ tetapi sudah agak terkenal di kalangan pelajar-pelajar dengan gelaran 'Ustaz bell-bottom' kerana beliau gemar memakai seluar yang bahagian kakinya besar atau kembang. Pada suatu hari beliau sendiri ada berkata bahawa pada suatu hari raya tahun itu beliau ada mempelawa murid-murid yang datang berkunjung ke rumahnya menghisap rokok. Saya agak keliru bagaimana sikap seorang bergelar ustaz pula sampai sanggup berbuat demikian (walau pun rokok tidak haram hukumnya di sisi Islam) semata-mata kerana ingin menunjukkan bahawa kita sebagai guru yang sangat 'sporting' konon sehingga tidak dapat lagi membezakan batas-batas nilai murni kalau pun tidak mahu mengaitkannya dengan peraturan dan undang-undang sekolah. Timbul di fikiran saya bagaimana 'kekeliruan nilai' ini mampu ditangani oleh para pelajar yang rata-ratanya  berada di dalam alam remaja ini jika para guru sendiri masih  tidak dapat 'melihat' secara lebih halus dan lebih mendalam kesan yang timbul daripada 'salah asuhan' seperti ini?

 

 

                          

 

                                              Copyright 2002-2003 Hamzah Mohamed