Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

                                Selamat Datang Ke Laman

                        

 

                                                        

   

  Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? 

    Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang  berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;

 

                                                                itulah punca amal  dan  bual tidak menjadi bekal.    

                              

  

Keranamu

Malaysia

 

 

(Hamzah

Mohamed)

 

Mengenai Saya

Sila ke laman

Latar Belakang Saya

 

Klik Di Sini 

 

 

 

" Tidak akan

        kamu

 berperasaan

 gundah walau sekali,

 jika kau tahu apa

 yang dicari."

 

 ~ Umar

 al-Khattab

           

 

 

 

 

                                  

               Awal Kerjaya Seorang Guru               

               " Teaching is the profession that teaches all other professions."

                                   ~ Author Unknown

Saya tidak merancang untuk menjadi seorang guru kerana pada masa itu (walau sudah ada bimbingan dan panduan kerjaya di sekolah-sekolah) saya tidaklah begitu mengetahui peluang-peluang pekerjaan sebaik saja tamat dari persekolahan peringkat menengah dalam tahun 1965. Namun begitu saya kira saya bernasib baik juga kerana tempoh menganggur saya tidak lama. Setahun selepas tamat persekolahan saya di terima mengikuti Program Latihan Guru yang dikenali sebagai Regional Training Center atau Pusat Latihan Daerah.

Maka berlepaslah saya ke Kota Bharu, Kelantan bagi mengikuti kursus perguruan saya dalam bidang Sains Pertanian dan Seni Lukis & Pekerjaan Tangan. Saya juga ditempatkan di sekolah 'base' iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Pek, Batu 30, Jambu Lawar, Machang, Kelantan. Rutin kerja dan latihan saya ialah empat hari mengajar di sekolah, satu hari "off" dan dua hari bagi mengikuti kuliah latihan perguruan yang bertempat di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

Sekolah tempat saya 'berlatih' menjadi guru pula sebenarnya tidak mempunyai bangunan sendiri tetapi menumpang di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar. Bangunannya agak usang (bukan bangunan batu) dan sesi persekolahan pula di sebelah petang. Di sekolah ini juga terdapat beberapa orang lagi 'guru-guru pelatih' seperti cikgu Kamaruzaman Hassan, cikgu Zulkifli, dan guru-guru terlatih seperti cikgu Md. Yassan, cikgu Mustafa Yunos. Guru Besarnya waktu itu cikgu Mahmood (kemudiannya pernah menjadi Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu).

Pengalaman mengajar yang tidak dapat saya lupakan ialah betapa 'sukarnya' kita hendak menyampaikan pelajaran dengan sempurna kerana ketiadaan makmal dan peralatan sains yang betul-betul cukup. Pada suatu hari saya terpaksa 'mengusung' tong gas bagi menjalankan satu ujikaji wujudnya kanji di dalam daun, dengan membawa masuk tong gas tersebut ke dalam bilik darjah. Hal ini tidak sepatutnya terjadi jika sekolah dilengkapkan dengan kemudaham yang secekupnya. Inilah kenyataannya pada masa itu, sebagai seorang guru saya terpaksa berusaha berhempas-pulas bagi melaksanakan kehendak sukatan mata pelajaran di samping memenuhi tugas dan tanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak didik di bawah jagaan kita. Selain 'kemudahan pembelajaran' yang tidak lengkap itu, satu lagi 'kemudahan asasi' yang tidak ada di sekolah ini ialah tandas. Alangkah sulit dan sukarnya apabila, kita hendak membuang air kecil atau besar, maka terpaksalah kita pergi ke dalam semak-semak kebun  getah yang berhampiran sekolah. 

Pada tahun 1967, Program Pusat Latihan Daerah ini ditamatkan dan saya di arah menyambung latihan perguruan saya di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bharu. Yang menyulitkan saya ialah tidak ada surat rasmi sama ada daripada pihak Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran Kelantan mengenai perkara ini. Saya cuma mendengar khabar dari rakan-rakan sahaja; dan sebelum saya balik ke Kelantan untuk bertugas semula selepas cuti hujung tahun, saya terpaksa menelefon Ketua Pegawai Pelajaran (Chief Education Officer) Kelantan bertanyakan kedudukan perkara sebenar. Saya diberitahu dan di arah secara lisan sahaja oleh Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan sendiri waktu itu supaya saya terus saja melaporkan diri ke Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim dengan segera.

Rakan sebilik saya (No.C21) berasal dari Bentong, Pahang bernama Halimi Kassim, dan kami memang sudah berkawan rapat sejak di Maktab Sultan Ismail , Kota Bharu, Kelantan lagi. Selain beberapa orang rakan yang sama-sama datang dari Kelantan ini, saya juga telah berkenalan dengan beberapa orang lagi rakan sekuliah seperti Muhammad Awal, Mohd. Jamri, Mohd Salleh, Asuan Kailani dan beberapa orang lagi yang saya tidak ingat lagi nama mereka. Satu keadaan (yang mungkin dikira kes terpencil) ialah wujudnya satu sikap 'anti-Melayu' di kalangan segelintir penuntut-penuntut Cina di maktab ini. Di maktab ini tedapat sebuah radiogram yang diletakan di ruang (lobby) utama maktab iaitu di sebelah bawah dewan makan. Sewaktu menunggu masa makan, seringlah pelajar-pelajar Melayu ini memutar penala ke stesyen Bahagian Melayu Radio Malaysia, apa yang kita dengar? Ada seorang pelajar yang sering menunjukkan sikap bencinya kepada orang Melayu dengan mengeluarkan kata-kata seperti "Shut up with Malay songs". Perbuatan pelajar ini amat menyinggung perasaan kami pelajar-pelajar Melayu yang bilangannya amatlah sedikit berbanding bilangan mereka waktu itu. Saya tidak senang dengan wujudnya dan 'beraninya' pelajar Cina yang terang-terang melahirkan 'kebenciannya' terhadap apa jua yang berbau Melayu. Timbul di dalam fikiran saya bagaimana nanti apabila pelajar ini keluar maktab dan menjadi seorang guru di sekolah: apa yang akan dia ajar? Tidak mungkinkah unsur-unsur benci ini juga akan dititipkan ke dalam hati dan minda pelajar-pelajarnya nanti? Bagaimana pula dia akan menjadi seorang guru yang baik jika dari sekarang dia menunjukkan sikap bencinya kepada bahasa Melayu yang jadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara kita? Walau bagaimana pun tidak pernah berlaku sebarang insiden buruk yang melibatkan sentimen perkauman di maktab ini. Alhamdulillah.

Setelah tamat kursus perguruan di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bharu dalam tahun 1968, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, dan mula melaporkan diri pada 2.1.1969. Sekolah ini pun tidak mempunyai bangunan sendiri waktu saya mula bertugas waktu itu, dan kami menumpang di Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar iaitu sebuah sekolah dengan bentuk binaan zaman pemerintahan Inggeris, dengan satu ciri yang amat tidak selesa iaitu tingkapnya dibuka secara menolak daun tingkap ke atas dan kemudian ditongkat dengan penongkat. Sudahlah begitu apabila hari redup kerana hendak hujan (biasanya sebelah petang) maka apa lagi pemandangan di dalam kelas tidak jelas lagi kerana kekurangan cahaya yang masuk. Tidakkah ini faktor menyumbang kepada 'kerosakan penglihatan' di kalangan murid-murid kerana terdedah kepada situasi seperti ini?  Guru Besarnya bernama Encik Aminuddin  bin Alias adalah seorang guru yang baik, berpengalaman dan kami tidak rasa kekok memulakan tugas di bawah penyeliaannya.

Kebetulan tahun itu ada tiga orang guru baru keluar maktab yang ditempatkan di sekolah ini; iaitu cikgu Abdul Rahman bin Samah, cikgu Norzari bin Yahya, dan saya sendiri. Cikgu Abdul Rahman Samah kini bertugas sebagai Penyelia Sekolah Rendah di Pejabat Pendidikan Jerantut, dan cikgu Norzari Yahya sekarang Pengetua Sekolah Menengah Padang Saujana, Jerantut. Dua orang guru lebih senior pula ialah cikgu Mohd Yusof bin Ibrahim dan cikgu Ismail bin Zainal. Kedua-dua orang rakan setugas saya ini iaitu cikgu Abdul Rahman Samah dan cikgu Norzari Yahya merupakan anak tempatan kampung itu sendiri. Saya pula tinggal di bandar Jerantut bersama-sama menyewa rumah dengan cikgu Ismail Zainal, jadi kami datang ke sekolah bersama-sama setiap hari.

Setahun kemudian bangunan baru sekolah ini pun siap dan kami berpindah dan dapatlah murid-murid belajar dengan lebih selesa. Masa itu saya tinggal pula di Kampung Masjid, Pulau Tawar selepas saya berkahwin pada hujung tahun 1969.  Satu peristiwa yang saya tidak lupa ialah bagaimana saya boleh 'terlupa' hari cuti pada suatu hari apabila saya seperti biasa datang ke sekolah dan dapati pintu pagar berkunci dan tak ada seorang pun murid dan guru yang hadir. Kemudian saya dimaklumkan oleh salah seorang pekerja sekolah bahawa hari itu 'sekolah cuti'! Apakah yang saya dapat dari kejadian ini? Satu daripadanya ialah betapa aspek 'maklumat' yang perlukan satu sistem 'komunikasi' yang berkesan itu ada atau tidak dipraktikkan. Mengapa saya katakan begitu kerana saya jenis guru yang datang sekolah setiap hari (walau pun selsema dan batuk-batuk) tetapi saya tidak tahu mengenainya. Itulah sebab apabila saya menjadi Pengetua dan Guru Besar kemudiannya saya mengambil iktibar dari peristiwa kecil ini menyebabkan saya sentiasa memastikan guru-guru dan staf saya semuanya 'maklum' akan sebarang aktiviti atau program yang akan di adakan di sekolah.

Pada hujung tahun 1970 berlaku satu banjir besar yang melibatkan kerosakan dan kerugian yang bukan sedikit kepada seluruh rakyat waktu itu. Sekolah kami pun tidak terkecuali; kerosakan kepada peralatan sekolah seperti tilam-tilam asrama, buku-buku SPBT dan Perpustakaan dan segala peralatan Sains Rumah Tangga, Makmal Sains dan segala peralatannya, begitu juga kerusi meja murid-murid telah menyebabkan pihak Jabatan Pelajaran Negeri mengarahkan murid-murid Tingkatan Tiga yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) tahun itu (1971) dipindahkan ke Sekolah Menengah Jerantut. Cikgu Norzari b. Yahya juga ikut serta berpindah sekolah ke Jerantut. 

 

 

 

                       

 

                                         Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed