Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

    

Internet Dan Multimedia

 
 



 
 
 

 

Wawasan

Konsep Internet

Menjelang alaf ke-21, Malaysia akan melangkah ke hadapan bagi membuka lembaran revolusi maklumat. Revolusi ini akan menjadi permulaan memasuki Era Maklumat global. Dengan menggunakan teknologi maklumat (IT) cara intensif dan berhemah, maka cabaran keenam dalam Wawasan 2020 yang menginginkan sebuah masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan sentiasa memandang ke depan akan menjadi mudah direalisasikan. Dalam cabaran keenam ini juga, masyarakat yang akan dihasilkan bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, khususnya IT, tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan

Di samping penekanan diberikan terhadap perlunya kita memahirkan diri dalam ilmu IT, sebuah masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan turut menjadi agenda utama negara. Dari sinilah Masyarakat Madani yang moden, berpengetahuan dan berilmu memenuhi segenap ruang aspek kehidupan.

Masyarakat, sama ada di bandar besar, bandar kecil, tanah rancangan atau kampung perlu mempunyai wawasan sendiri. Wawasan memupuk minat belajar terhadap teknologi komputer dan IT. Salah satu tindakan yang harus diberi perhatian serius ialah mengadakan komputer di setiap rumah. Jalinan Jaring pasti apabila persoalan ini diajukan kepada orang ramai buat masa kini, terutamanya penduduk luar bandar, sebahagian besar masih menganggap harga sebuah komputer mahal. Memang benar untuk mendapatkan sebuah komputer yang baik, bercirikan multimedia, harga yang perlu dibayar ialah sekitar RM3,000 hingga RM5,000.

Namun begitu masyarakat kita, terutamanya orang Melayu lebih pentingkan peti sejuk, sofa, set Hi-Fi, kabinet dapur dan TV jika dibandingkan dengan komputer. Barang-barang tersebut yang tergolong dalam keperluan setiap rumah kebanyakannya dibeli secara ansuran. Walhal dalam masa yang sama, sudah banyak kedapatan skim bayaran ansuran bagi sebuah komputer.

Mengapa kemudahan pembelian komputer secara ansuran dan pinjaman tidak digunakan seperti mana untuk barangan lain? Sebenarnya masyarakat Malaysia perlukan perubahan minda dalam membuat pemilihan mengenai keperluan asas sebuah rumah. Saranan Jalinan Jaring ialah supaya pemilikan komputer tidak patut dikategorikan dalam keperluan barangan mewah. Komputer merupakan barang keperluan asas seperti mana barang-barang yang disebutkan tadi.

Dalam dunia pendidikan pula, pendidik haruslah bersedia menerima perubahan. Jangan berterusan menggunakan kaedah dan peralatan lama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru sepatutnya menyediakan setiap pelajar kesediaan mental dan ilmu untuk memasuki dunia IT. Tidak dapat dinafikan bahawa pengautomatan dan penggunaan komputer dalam setiap bidang usaha manusia menjadi daya penggerak bagi perubahan ke Era Maklumat.

Pendidik di semua peringkat, dari sekolah rendah hingga ke kolej dan universiti perlu mengiktiraf kesan komputer dan IT, serta mempunyai pandangan yang jauh bukan sahaja untuk mencadang, malah dalam banyak hal menggalakkan pelajar belajar sifat dan penggunaan komputer sebagai satu bahagian yang penting dalam pendidikan formal.

| Halaman Utama | | Biodata | | E-mail |
© 2003 Bie Amierr. All rights reserved.