Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

    

Internet Dan Multimedia

 
 



 
 
 

 

Golongan Sasaran

Pengguna Internet & Multimedia

Memahami mengapa, bila dan bagaimana pengguna yang berbeza membuat pembelian merupakan langkah pertama dalam memenangi persaingan pengguna Internet. Namun untuk mengenal pasti siapakah di kalangan pengguna yang akan menjadi pembeli dalam talian adalah satu usaha yang agak sukar.

Dalam hal ini, amat penting bagi setiap usahawan dan syarikat memahami ciri-ciri teknografik pengguna Internet. Teknografik mengklasifikasikan pengguna kepada tiga faktor yang paling mempengaruhi perlakuan manusia.

Pertama, sikap kepada teknologi. Soalan pertama yang harus ditanya ialah adakah seseorang itu tergolong dalam kumpulan optimis atau pesimis teknologi. Kedua, pendapatan. Jumlah wang yang sedia dibelanjakan oleh pengguna menjadi petunjuk terhadap perlakuan pembelanjaan dalam talian. Ketiga, motivasi bagi menggunakan teknologi. Selain dari persoalan sama ada seseorang itu merasa selesa dengan teknologi dan mempunyai cukup perbelanjaan bagi menggunakannya.


Apa sebabnya pengguna bertindak positif kepada teknologi?.. Seperti mana semua sikap dan perlakuan, sikap manusia kepada teknologi terbentuk di sepanjang perkembangan kehidupan. Pengalaman golongan muda banyak dipengaruhi oleh pendidikan, keluarga dan rakan-rakan. Namun apabila semakin meningkat dewasa, iaitu pada umur lingkungan 20-an, kepercayaan dan perlakuan tidak lagi banyak bergantung kepada faktor luaran.

Sebaik sahaja sikap serta kepercayaan dibentuk, ia akan terus menjadi konstan. Begitu juga dengan sikap optimis dan pesimis terhadap teknologi. Sebab itulah bukan menjadi keganjilan sekiranya kita dapat melihat jurang generasi antara kanak-kanak dengan ibu bapa dan guru-guru mereka apabila kita merujuk kepada penggunaan komputer. Kanak-kanak membesar dengan semua elemen-elemen di sekeliling mereka.

Guru-guru berpendidikan lama sangat susah untuk menerima kaedah pengajaran baru yang didatangkan oleh komputer dan Internet. Reaksi mereka berbeza dari mencuba secara terpaksa atau terus tidak menerima langsung kedatangan kaedah terkini. Sebagai orang dewasa, guru-guru dan ibu bapa mempunyai kesukaran menerima teknologi baru.

Berlainan pula dengan anak-anak mereka. Orang-orang yang belajar berkenaan teknologi tertentu semasa mudanya mudah menerima pembaharuan yang dibawa oleh teknologi yang sama. Kalau dilihat dari segi perkembangan teknologi terdahulu, generasi nenek moyang kita menyaksikan kelahiran outomobil dan menerima pelbagai bentuk pengangkutan sepanjang kehidupan mereka. Sangat sedikit dari mereka terdedah dengan dunia komputer.

Teknografik dapat melihat bentuk generasi asas ini: orang-orang dalam lingkungan umur lebih 65 tahun sangat pesimistik terhadap teknologi komputer dan yang berkaitan. Orang-orang yang lahir di masa komputer wujud pula boleh dibahagikan kepada optimis dan pesimis teknologi. Manakala orang yang terdedah kepada komputer semasa di sekolah atau di universiti yang berumur dalam lingkungan 20-an sehingga lewat 30-an sekarang ini merupakan golongan yang paling optimis terhadap komputer dan Internet.

Jadi optimis teknologi adalah tergolong dari orang muda yang berpendidikan, manakala kalangan pesimis ialah golongan tua. Walau bagaimanapun, dua faktor yang dapat menpengaruhi perlakuan ialah pendedahan teknologi semasa kerja dan perlakuan rakan-rakan. Seseorang pesimis kepada teknologi akan terpengaruh dengan perlakuan rakan-rakan sekerja yang menggunakan e-mel, komputer, telefon bimbit dan Internet dalam melaksanakan kerja-kerja seharian.

Suasana kerja sesuatu organisasi yang banyak menggunakan komputer dan Internet dalam urusan seharian akan memberi pendedahan istimewa kepada golongan pesimis ini. Akan tiba masanya mereka akan mencuba menggunakan teknologi yang ada dengan bantuan persekitaran dan rakan sekerja.

Kesan pendapatan terhadap penerimaan teknologi Wujud salah tanggapan bahawa teknologi hanya digunakan oleh orang yang berpendapatan tinggi sahaja. Sebenarnya 40 peratus individu kaya merupakan pesimis teknologi. Dalam masa yang sama, ramai orang yang berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi, seperti pelajar kolej dan universiti, keluarga muda dan golongan yang sedang mencari pekerjaan di bandar-bandar merupakan pengguna yang optimis terhadap teknologi.

Salah tanggapan timbul kerana golongan berpendapatan tinggi membeli lebih banyak dari orang lain, termasuk produk teknologi, berbanding dengan golongan berpendapatan sederhana. Kalau boleh disimpulkan di sini, golongan berpendapatan isi rumah yang tinggi kebanyakannya berada di taman-taman perumahan di bandar-bandar besar di Malaysia, seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Ipoh, Kuching, Kota Kinabalu, Kuantan dan Kota Bahru. Golongan inilah yang bersedia membelanjakan wang mereka terhadap pembelian barangan.

Mereka boleh dipecahkan kepada optimis dan pesimis teknologi, bukan semuanya optimis. Golongan pesimis yang mempunyai wang lebih membeli komputer, telefon bimbit dan lain-lain peralatan digital terkini sebagai petunjuk paras perbelanjaan tinggi mereka. Padahal mereka tidak berapa menyukai teknologi dan malah mereka tidak menggunakannya. Pembelian dibuat kerana ada wang lebih. Kita semua tahu golongan pengguna sedemikian.

Walau bagaimanapun, kuasa membeli yang tinggi boleh mengubah sikap pesimis kepada optimis. Walaupun begitu, antara pesimis dan optimis berpendapatan tinggi, masing-masing mempunyai pendekatan berbeza terhadap Internet. Para optimis berpendapatan tinggi bersedia mengatasi kesukaran mempelajari kemahiran baru dalam perkara berkaitan Internet, tetapi golongan pesimis hanya setia dengan apa yang mereka tahu.

Seterusnya para pesimis berpendapatan tinggi bersedia membeli peralatan teknologi yang dikenali dan mudah digunakan, tetapi mengelak inovasi yang perlukan usaha untuk belajar. Contohnya mereka membeli telefon bimbit terkini dalam pasaran, kereta baru, telefon tanpa wayar, dan sistem keselamatan rumah seperti mana para optimis lain, tetapi bagi pemilikan PC serta penggunaan Internet, mereka agak terbelakang berbanding golongan optimis berpendapatan tinggi.

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah golongan berpendapatan tinggi bukannya faktor utama terhadap sikap penerimaan teknologi. Golongan pesimis ini mempunyai PC tetapi jarang menggunakannya. Berbanding dengan golongan optimis berpendapatan sederhana yang terdedah dengan teknologi sejak mulanya, mereka mungkin tidak memiliki PC, tetapi mereka mencari jalan untuk menggunakan Internet.

| Halaman Utama | | Biodata | | E-mail |
© 2003 Bie Amierr. All rights reserved.