Menurut data daripada kajiselidik yang dibuat
oleh Nua Internet Survey pada November tahun lalu menunjukkan jumlah pengguna internet
adalah 407.1 juta, berbanding 381.79 juta pada Oktober dan 377.65 juta pada September tahun
yang sama. Peningkatan jumlah pengguna internet setiap bulan ini membuktikan semakin ramai
manusia menyedari kepentingan internet dan menjadikannya semakin popular dari
hari ke hari.
Perkembangan positif ini juga sekaligus telah mewujudkan banyak
peluang perniagaan yang berasaskan teknologi komputer dan internet kepada manusia.
Antaranya perkhidmatan e-dagang, peningkatan jumlah kafe siber, multimedia dan
sebagainya.
Kewujudan serta peningkatan kafe siber yang menyediakan kemudahan melayari internet
telah memberi peluang kepada masyarakat terutamanya remaja yang tidak mempunyai kemudahan
internet di rumah, menggunakan perkhidmatan di kafe siber. Namun begitu, perkembangan yang
dilihat sebagai positif ini tidak dimanfaat sepenuhnya oleh segolongan
pengguna. Impaknya, timbul fenomena yang negatif seperti melepak. Penyalahgunaan perkhidmatan
yang diberikan oleh pemilik kafe siber dengan menjadikan kafe siber sebagai salah satu tempat
berkumpul dan melepak bagi remaja dan ini boleh menimbulkan masalah-masalah sosial
lain. Selain itu, kebanyakan remaja juga tidak memanfaatkan kafe siber ini dengan sebaiknya.
Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan bersembang kosong di internet (chit chat) ,
malayari laman-laman yang tidak sesuai dan sebagainya daripada mempelajari teknologi serta
menimba pengetahuan.