Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Novel -Empangan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM

SINOPSIS

 
BAHAGIAN 1- KEPULANGAN J
J pulang ke tanah air setelah 12 tahun merantau di Amerika. Dia tidak sesiapa tentang kepulangannya itu. Pada pukul 10 malam dia sampai di pekan Rembau.  Dia dapati tidak banyak perbezaan yang berlaku di Kampung Paya. Dengan menaiki kereta terpakai yang dibelinya ketika singgah Kuala Lumpur sebelum itu dia cuba memandu melalui jalan becak untuk ke rumahnya. Oleh sebab cuaca buruk, keretanya rosak, dan jambatan pun tidak selamat untuk diseberangi, J berjalan kaki dan singgah di sebuah masjid. Di situ dia bertemu dengan sahabat lamanya iaitu Daun Nadim. Menurut Daun Nadim, dia telah bermimpi bahawa J akan pulang hari itu dan sebab itulah dia menunggu J di masjid. Mereka berasa gembira kerana dapat bertemu semula setelah sekian lama berpisah. J memberitahu tujuan dia pulang ke kampungnya ialah untuk menulis buku bagi memenuhi syarat untuk mendapatkan ijazah kedoktorannya, dan tajuk penulisannya ialah The Malay Concept of Maya: A Philosophical enquiry. Dari masjid mereka ke rumah Daun Nadim, dan dari situ J minta diri lalu pulang ke rumah pusakanya.

Ketika sampai di rumahnya, J dapati keadaan rumah itu sangat usang. Di rumah itu J mendapat ketenangan dan dia mula ingat kembali kisah tentang datuk neneknya iaitu Tukang Daud yang telah membunuh Tukang Andam akibat tidak berpuas hati dengan keputusan dalam beberapa pertandingan bertukang. Pembunuhan itu dilakukan  di gelanggang laga ayam. Walaupun peristiwa itu terjadi pada tahun 1820, namun dia dapat mengetahuinya melalui ‘cerita warisan’ iaitu sejarah yang tidak formal atau sejarah yang disebarkan melalui lisan oleh penduduk-penduduk kampung itu.

BAHAGIAN 2 - PROJEK EMPANGAN

Nira Hitam datang ke rumah J bersama dengan Penghulu Kampung Paya dan beberapa pengikutnya. J tidak mempelawa Nira Hitam naik kerana lantai rumahnya yang telah uzur. Peristiwa ini menyebabkan Nira Hitam berasa kecil hati. Perbualan J dengan Nira Hitam dipenuhi dengan sindir-menyindir antara satu sama lain. Nira Hitam seolah-olah tidak suka melihat J pulang. Nira Hitam minta J mengalihkan keretanya kerana menghalang kenderaan yang lalu lalang di situ iaitu lori pembawa tanah. J kemudiannya diberitahu oleh Daun Nadim tentang projek membina empangan yang sedang berjalan di kampung itu iaitu di sebelah hulu sungai Titianwangsa, antara kaki Gunung Bunian dan Gunung Gajah.

J bertekad untuk menyiasat dengan lebih lanjut lagi tentang projek empangan itu. Melalui Daun Nadim juga, J dapat tahu bahawa Nira Hitam telah melarang orang ramai yang tidak berkenaan daripada menghampiri kawasan projek itu termasuklah orang suku Biduanda yang telah turun temurun tinggal di kawasan itu. Begitu juga dengan penduduk yang tinggal dekat dengan banjaran gunung itu, dan termasuk juga penduduk di lembah yang merangkumi Kampung Paya. J terkejut dan tidak berpuas hati dengan larangan-larangan itu. Orang-orang yang ditangkap kerana menceroboh akan dihukum dan nama mereka diumumkan di masjid setelah selesai kuthbah Jumaat.

Daun Nadim telah membawa J ke satu tempat untuk menyaksikan sendiri projek itu. J dapat melihat banyak kawasan hutan dan tanaman dimusnahkan. J juga melihat pengawal Nira Hitam mengikat tangan dan leher 3 orang daripada penduduk kawasan gunung termasuklah Datuk Datin Biduanda sendiri. J memarahi pengawal itu dan melepaskan ikatan.

J juga memberitahu bahawa perbuatan seperti itu tidak berperikemanusiaan. Kejadian itu telah dilaporkan kepada Nira Hitam dan 3 orang termasuk Datin Biduanda itu telah dilepaskan. Pada pendapat J, mereka merupakan penduduk di sekitar kawasan yang telah lama tinggal di situ dan penceroboh yang sebenarnya ialah pekerja-pekerja berbangsa cina dan korea yang terlibat dengan pembinaan empangan itu.

Terdapat juga peristiwa 4 orang pengawal yang mengejar orang gunung telah tersesat dan termasuk ke dalam perangkap babi hutan. Peristiwa ini menjadi buah mulut orang kampung dan memalukan Datuk Endut Bondorang dan Nira Hitam. Lanjutan peristiwa itu, peraturan melalui kawasan larangan itu telah dilonggarkan. Peristiwa ini juga menambah kemarahan Nira Hitam terhadap J.

J kerap pergi ke kawasan pembinaan empangan itu untuk mengambil gambar . Dan pada suatu hari dia terserempak dengan seorang gadis ayu yang sedang membawa kayu api. J terpikat dengan kecantikan gadis tersebut.

Pada keesokannya, J diperintahkan berjumpa dengan Nira Hitam untuk memberi penjelasan tentang tingkah lakunya yang mengancam projek empangan itu. Perjumpaan itu turut dihadiri oleh Datuk-Datuk Lembaga-wakil setiap suku kaum. J memberi penjelasan bahawa pengawal yang mengikat leher dan tangan orang yang dikatakan menceroboh itu adalah tidak perlu kerana pengawal itu memiliki senapang oleh itu, tawanan mereka pasti tidak akan melarikan diri. Perjumpaan itu dipenuhi dengan pertengkaran antara J dengan Nira Hitam dan ternyata Nira Hitam tidak dapat mengatasi kebijaksanaan J menyampaikan hujah-hujahnya. J dianggap biadap dan menderhaka. Nira Hitam tersinggung dengan apa yang telah berlaku.

Dalam perjumpaan itu juga Nira Hitam telah mengeluarkan salinan fotostat hasil penulisan J yang disiarkan dalam sebuah jurnal di Kuala Lumlpur. Rencana itu membicarakan tentang projek pembinaan empangan yang pada pendapat J mengandungi kepentingan peribadi kerana penduduk kampung tidak dibawa berbincang mengenainya. Misalnya tentang hak pampasan, kepentingan projek, peranan penduduk, dan sebagainya. Walau bagaimanapun J telah dibebaskan dengan pesanan supaya lebih berhati-hati atas tindak-tanduknya selepas itu atau menerima akibat buruk.
 

BAHAGIAN 3 - INGIN BERUMAH TANGGA

Selepas peristiwa di balairung itu, J banyak mengurungkan dirinya di rumah sambil memikirkan tindakan dan sikapnya sebelum ini, dan bertekad ingin mengubah sikap dan menjadi seorang yang lebih bersabar.

J bersembahyang sunat Dhuha dengan mengikut panduan daripada buku. Sepanjang masa dia berkurung itu, dia banyak menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran, buku tafsiran, dan banyak bersembahyang. J jugak memberitahu Daun Nadim tentang pertemuannya dengan seorang gadis cantik ketika berada di kawasan pembinaan empangan. Dan J menyatakan hasratnya ingin berumah tangga. J juga bertekad untuk menghadapi sebarang tindakan susulan Nira Hitam terhadapnya sama ada secara terbuka atau secara halus. Di samping itu, J juga kesal kerana Nira Hitam tidak mahu mengajak dia berunding sedangkan dia termasuk golongan orang yang terdidik dan dapat memahami sebarang penerangan tentang projek itu jika diberi peluang.

Dengan perkataan lain, J inginkan perspektif atau pandangan pihak yang menjalankan projek membina empangan itu. Kisah J membangkang Nira Hitam telah menjadi buah mulut orang-orang kampung di mana-mana. J mengambil kesempatan ini dengan memberikan satu persoalan kepada penduduk kampung iaitu pertengkaran antara dia dengan Nira Hitam itu tidak penting tetapi yang lebih penting ialah empang itu iaitu “…hak siapa, dan untuk siapa?”.

Bagi Nira Hitam, tidak ada sesiapa yang dapat merobohkan projek yang telah mula dibina itu dan dia juga kerap memberikan hadiah kepada beberapa orang penyokong kuatnya. Hadiah-hadiah itu berupa barang-barang dari pasar raya dan surat sokongan untuk mendapatkan pekerjaan di Rembau, motosikal, lesen teksi, dan lesen lori balak. Pada masa itu wujud dua pihak iaitu yang menyokong Nira Hitam dan satu pihak lagi yang menyokong J. Berlaku juga pergaduhan di sana sini sehingga terpaksa di letakkan ambulans sebagai langkah berjaga-jaga.

J telah menemubual beberapa orang penduduk dan didapati hanya 5 peratus penduduk yang tahu tentang projek itu. 25 peratus sahaja yang mendengar tentang projek itu setelah mendengar ada pergaduhan. 80 peratus penduduk sokong sekiranya projek itu dihentikan dan hanya 10 peratus sahaja yang mahu melihat projek itu diteruskan. J berpendapat Nira Hitam sepatutnya memberitahu sejauh manakah projek itu akan dilaksanakan. Berapa ekar tanah lagi akan diambil dan siapakah yang akan mendapat faedah hasil projek empangan ini. Bagi J, sungai Titian terus itu penting kerana penduduk kampung menggunakan airnya untuk diminum, mengairkan sawah, dan kebun. Sekiranya disekat dengan empangan itu, hasil penduduk akan terjejas.

Imam masjid kampung itu iaitu imam Kelawai juga turut mengecam J melalui khutbahnya pada hari Jumaat. Keadaan ini jelas kerana gaji imam Kelawai dibayar oleh Nira Hitam. Setelah menerima sindiran daripada seorang ahli jemaah, imam Kelawai berasa malu lalu menghentikan khutbahnya itu. Pada masa itu terjadi masalah perpecahan suku. Suku Batu Belang (J) dan suku Batu Berkembar (Daun Nadim) menyokong J. Dan orang-orang suku Batu Berhampar menyokong Nira Hitam. Didapati tidak ada lagi ciri-ciri perpaduan seperti saling membantu dan bertegur sapa. Namun, J ditegur sapa oleh ketujuh-tujuh suku itu. Sementara itu masalah kecurian juga dihadapi oleh penduduk kampung itu termasuklah Nira Hitam yang kehilangan sepasang kasut yang berharga RM 300.00. J merakamkan semua kejadian di kampung itu melalui perbualannya dengan orang-orang kampung dengan menggunakan pita rakamannya yang kecil.

Melalui perbualannya dengan orang-orang kampung juga J dapat tahu bahawa ada orang yang akan mencuri keretanya dan diberitahu  juga tarikh, hari, dan nama bakal pencuri itu iaitu Badak. Pada hari yang berkenaan J bersedia dan telah dapat melihat pencuri itu dan mengambil gambarnya sekali. Percubaan Badak gagal kerana laluan jalan telah di sekat oleh J dengan batang pisang. Dalam pergelutan itu pencuri itu talah dapat ditangkap setelah dipukul oleh J dengan sebatang kayu. Namun begitu beberapa orang lagi yang datang bersama Badak telah sempat membakar keretanya. Kejadian itu dilaporkan kepada Nira Hitam pada malam itu juga. J diminta membuat laporan itu secara bertulis.

BAHAGIAN 4 - MEMELUK ISLAM BERAMAI-RAMAI

Pada malam itu J bermimpi dia dilanda ombak besar. Dia tidak dapat menafsir mimpinya itu tetapi ada kemungkinan penunggu rumah tersebut ingin menyampaikan sesuatu mesej kepadanya. J teringat cerita warisan yang membuktikan bahawa darah keturunannya ada juga orang alim seperti uztaz Abdul Karim. J dan Daun Nadim pergi semula ke kawasan pergunungan dan dalam perjalanan itu Daun Nadim menceritakan tentang keadaan kampung Sunyian yang selalu kehilangan haiwan ternakan akibat dimakan harimau. Cerita itu dikaitkan pula dengan cerita warisan. Kononnya tindakan menyerang haiwan ternakan itu ialah akibat tindak balas harimau kepada manusia yang mungkir janji tentang siapa yang akan memiliki gua. Manusia yang bersetuju untuk berkongsi tempat itu dengan harimau telah mingkir janjinya akibat tamak.

Masyarakat gunung juga kurang bersetuju dengan perkahwinan campur antara suku. Pada pendapat mereka perkahwinan antara J dengan Melur Putih itu tidak akan kekal kerana telah banyak perkahwinan campur antara perempuan dari daerah gunung dengan lelaki dari lembah  tidak aman. Meraka juga mungkin akan melahirkan keturunan yang tamak , dengki, panas baran dan sebagainya. Namun pada hari itu Daun Nadim dan J pergi juga ke rumah Datin Biduanda untuk berbincang dengan ibu bapa Melur Putih. Melalui pantun, J memberikan bayangan tentang hajat mereka datang iaitu untuk bertanya dan merisik Melur Putih untuk dijadikan isteri J.

Datin Biduanda juga menjelaskan kepada J bahawa haiwan seperti pelanduk, rusa, dan kijang juga telah banyak berkurangan akibat pembinaan empangan itu. Datin Biduanda juga menganggap Nira Hitam menghinanya kerana sanggup meminang Melur Putih setelah pernah memperlakukan dirinya seperti binatang ketika diikat tangan dan lehernya dahulu. Badak juga pernah datang meminang Melur Putih tetapi ditolak. Dalam perbualan antara Daun Nadim dan Datin Biduanda itu, Daun Nadim dan J tidak bangkitkan soal agama walaupun mereka tahu Melur Putih bukan beragama Islam. Pada petang itu juga mereka berdua pergi ke Seremban untuk membeli cincin pertunangan.Urusan pertunangan diserahkan kepada Daun Nadim dan isterinya Latifah yang latah. Pada suatu ketika dahulu usaha untuk mengislamkan penduduk di kawasan gunung telahpun dilakukan orang tetapi semua usaha itu menemui kegagalan. J berpendapat keadaan itu kerana para mubaligh itu sendiri tidak jujur dan mereka sendiri masih belum betul-betul menunjukkan tingkah laku seperti orang Islam. Mereka juga sering menipu orang-orang di kawasan pergunungan itu.

Setelah beberapa kali berulang alik ke suatu tempat yang disebut perteduhan ( yang dipercayai tempat Tukan Daud pernah bertapa dahulu) J pergi sendiri ke rumah Datin Biduanda dengan membawa Al Quran untuk menerangkan kepada Melur Putih tentang Islam. Setelah itu seluruh penghuni gunung telah memeluk agama Islam. Upacara memeluk agama Islam secara beramai-ramai itu dilakukan dimasjid pada suatu hari Jumaat. Sementara itu urusan peminangan ditangguhkan kerana dikhuatiri Melur putih dan J adalah sesuku berdasarkan keturunan nenek moyang mereka. Oleh sebab perkahwinan antara sesuku tidak dibenarkan, mereka akan menyiasat latar belakang keluarga Datuk Datin Biduanda dahulu secara terperinci.

BAHAGIAN 5 - PERBICARAAN BADAK

Perbicaraan ke atas Badak yang membakar kereta J dijalankan di rumah Nira Hitam. Jemaah hakim diketuai oleh Nira Hitam sendiri dan barisan hakim terdiri daripada setiap ketua suku. Bagi ketua suku yang menjadi pembela, tempat mereka sebagai hakim akan digantikan oleh anak mereka sendiri. Badak akan dibela oleh Datuk Suku Batu Hampar manakala J akan dibela Oleh Datuk Suku Batu Belang.

Nira Hitam menyarankan agar perbicaraan itu tidak berlanjutan, hanya mereka perlu menetapkan nilai kereta J yang terbakar itu sahaja. Menurutnya lagi, perkara ini perlu demi kesejahteraan penduduk kampung. J tidak berpuas hati dengan pendapat itu dan meminta perbicaraan itu diteruskan. Pendapat ini disokong oleh DS Batu Belang.

Setelah pertuduhan(aquisation) dibaca, Badak tidak mengaku salah dan dia membawa beberapa orang saksi termasuklah ibunya sendiri. Imam Kelawai juga menjadi saksi dengan mengatakan bahawa dia pulang bersama dengan Badak agak lewat pada malam kejadian dan tak mungkin Badak yang kelihatan sangat letih itu dapat melakukan pekerjaan yang terkutuk itu. Semua saksi menyampaikan keterangan mereka setelah bersumpah sambil meletakkan tangan di atas al Quran. Pihak penyokong yang berada di bawah riuh rendah dan saling menyindir pihak masing-masing sehingga suasana perbicaraan bertukar menjadi seperti sarkas.

Nira Hitam membuat keputusan J tidak ada kes untuk menuduh Badak kerana Badak dapat mengemukakan saksi alibinya. Namun keadaan dan suasana perbicaraan telah bertukar apabila J telah menunjukkan bukti foto yang diambilnya pada malam kejadian. Foto tersebut dengan jelas menunjukkan wajah Badak dari depan, sisi, dan belakang. Bahan bukti ini ditunjukkan kepada barisan hakim dan semua saksi berasa malu kerana rahsia mereka terbongkar. Penonton yang menyokong Badak sebelum itu juga berasa malu kerana saksi mereka telah mengangkat sumpah dengan menggunakan Al Quran.

J telah membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM 6 000.00. Ganti rugi itu dibayar oleh Badak dan kawan-kawannya melalui pinjaman daripada Nira Hitam. Keadaan ini telah menambah pecah belah penduduk antara suku, dan J tidak suka keadaan ini berlaku. Dia berasa bertaggungjawab ke atas apa yang telah berlaku. Keputusan itu juga telah menyebabkan Onton telah tidak tahan menanggung malu lalu mengamuk dengan parangnya. Beberapa orang telah cedera termasuklah seorang pengawal yang cedera parah kerana cuba menghalang. Namun begitu J telah dapat menenteramkan Onton (bapa Badak) secara pujukan dan psikologi. Pada hari itu juga Badak membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan percubaan mencuri itu bersama-sama dengan kawan-kawannya iaitu Kudung, Dokut, Bulo, dan Buduk. Mereka ditangkap ketika sedang minum arak di belakang kedai Sideeq.

BAHAGIAN 6 - TERMAKAN RACUN

Antara peristiwa penting dalam babak ini ialah rombongan peminangan J telah di rompak oleh Badak dan kawan-kawannya. Badak telah melarikan wang hantaran berjumlah seribu ringgit. Setelah hal ini diketahui oleh J, dia telah berpakat dan cuba memerangkap Badak dengan menyebarkan berita bahawa rombongan peminangan akan diteruskan.

 Setiap kali pihak rombongan gagal memenuhi janjinya, Datuk Datin Biduanda menuntut denda sebanyak 1 000 ringgit setelah beberapa hari ditangguhkan, jumlah tuntutan menjadi 5 000 ringgit dan rombongan empat orang itupun bergerak ke rumah DD Biduanda. Di petengahan jalan, mereka diserang lagi. Kali ini Badak terkena kerana mereka telah dikepung oleh beberapa orang yang bersembunyi bersama dengan J. Setelah diugut, Badak mengaku dia yang merompak wang seribu ringgit dahulu dan berjanji akan mengambilnya balik dari rumah Nira Hitam. Sementara itu kawan-kawannya yang lain ditambat dekat dengan sarang penyengat sebagai tebusan. Sekiranya dia tidak balik, kawan-kawannya akan disengat. Dengan itu Badak terus pergi dan pulang semula dengan wang seribu ringgit itu, dan kawan-kawannya dilepaskan. Rombongan peminangan diteruskan.

Rombongan itu disambut secara besar-besaran. Hanya pasangan DS Batu Belang dan isterinya sahaja dibenarkan naik. Tetamu yang lain akan dilayan oleh jiran. Seorang tetamu bagi setiap rumah. J bertamu di sebuah rumah di tepi hutan. J telah dijamu dengan tapai yang beracun. Setelah sedar dirinya diracun, J cepat-cepat pulang ke rumahnya dan mengubati dirinya sendiri. Dia makan pil membersihkan perut dari racun yang dibawa pulang dari Amerika. Setelah agak sembuh sedikit dia pergi ke rumah Daun Nadim dan dia pengsan di situ.

BAHAGIAN 7 - PEMBUKAAN RASMI

J masih menderita akibat termakan racun . Kebanyakan orang kampung dapat mengagak siapa yang melakukan kerja terkutuk itu namun tidak seorang pun yang berani bersuara tentang hal tersebut. Ada juga yang percaya J ditimpa malang kerana makhluk halus dari gunung tidak merestui pertunangan J dengan Melur Putih.

Sementara itu, kerja-kerja projek pembangunan diteruskan di Kampung Paya. Penduduk kampung dapat melihat sendiri bagaimana pokok getah dan pokok-pokok di dusun mereka tumbang akibat dirempuh jentolak. Pekerja projek lebuh raya pula mengalami masalah kerana terpaksa bekerja dalam hujan. Banyak juga pekerja yang jatuh sakit sehingga akhirnya mereka berhenti seorang demi seorang kecuali juruukur. Pekerja tempatan telah diambil bekerja menggantikan pekerja mahir yang telah berhenti itu namun tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan memuaskan. Namun begitu, projek lebuh raya itu siap juga setelah dibantu oleh 50 orang pekerja Korea yang membina empangan itu.

Hari pembukaan rasmi lebuh raya itu diadakan di pekan Rembau dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar negeri termasuk DE Bondorang dan isterinya. Lebuh raya yang siap itu telah dilengkapi dengan tiang-tiang lampu yang diimport dan berukiran cara barat pada zaman Victoria. Yang anehnya ialah bekalan elektrik masih belum wujud lagi di kampung itu dan penduduk di situ tidak banyak yang mempunyai kenderaan untuk memanfaatkan lebuh raya itu. Lagipun, pembinaan lebuh raya tersebut terhenti separuh jalan dan tidak dipanjangkan melalui kampung paya. Oleh itu lebuh raya tersebut kebanyakannya digunakan oleh lembu dan kerbau.

Pada malamnya Nira Hitam mengadakan mesyuarat dan dalam mesyuarat itu dia telah menghalau Daun Nadim dan semua penduduk dari suku Batu Belang dengan alasan perbincangan itu tidak memerlukan penduduk dari suku Batu Belang. Terdapat dua perkara penting yang dibincangkan malam itu. Yang pertama ialah penubuhan syarikat kerjasama yang akan menjalankan perniagaan menjual dan membaiki alat-alat elektrik.

Syarikat tersebut juga akan mengendalikan kenderaan awam (bas) yang akan berulang alik dari Kampung Paya ke Rembau. Nira Hitam akan memiliki 50% daripada saham syarikat itu manakala 50% lagi akan dijual kepada ahli-ahli. Yang kedua ialah tentang undang-undang. Dalam soal empangan ini, Nira Hitam memberitahu bahawa undang-undang adat yang diamalkan oleh penduduk kampung selama ini tidak boleh diaplikasikan. Sebaliknya mereka perlu akur dengan undang-undang biasa kerana mereka akan berhubung dengan orang-orang yang berada di luar kawasan tempat tinggal mereka. Oleh itu syarikat yang akan ditubuhkan itu akan membeli tanah-tanah mereka dan kemudian akan dijual semula dengan harga ansuran yang murah. Menurut Nira Hitam, mereka dianggap setinggan kerana tanah pusaka yang mereka duduki selama ini tidak mempunyai geran.
Nira Hitam menamakan syarikat itu Syarikat Kerjasama Kampung Paya (SKKP) dan dia telah menyediakan pejabat sementaranya di dalam sebuah ‘wagon’ dan orang kampung menggelarkan  pejabat itu pejabat beroda.
 

Peristiwa Daun Nadim dihalau itu telah menyebabkan berlaku keretakan dalam perhubungan antara Suku Batu Belang dengan suku-suku yang lain. Oleh sebab itu mereka tidak lagi bersembahyang di masjid di Kampung Paya sebaliknya mereka berjumaah di surau mereka sendiri. Nira Hitam mempelawa semua penduduk mengambil borang untuk memohon menjadi ahli. Daun Nadim bertanya sama ada Suku Batu Belang juga boleh menyertainya lalu Nira Hitam memberitahu sekali lagi bahawa semua penduduk Kampung Paya layak memohon tanpa mengira suku. Pertanyaan dari Daun Nadim itu rupa-rupanya telah sengaja disuruh oleh Nira Hitam terdahulu daripada itu.

J juga turut memohon atas desakan Daun Nadim walaupun dia mengesyaki suku Batu Belang tentu tidak akan berjaya kerana pada borang tersebut diminta menulis nama suku. Pada pendapat J, maklumat itu tentulah untuk memudahkan panel pemilih membuat pengasingan dan orang2 Batu Belang akan tertipu lagi. Panel pemilih adalah terdiri daripada ketua suku masing-masing. Apabila pengumuman dibuat, tidak seorang pun dari suku Batu Belang yang terpilih kecuali DS Batu Belang sekeluarga dan Daun Nadim sekeluarga. Alasannya ialah, ketika membuat pemilihan itu DS Batu Belang tidak hadir kerana pergi ke Genting Highland dengan Nira Hitam untuk ‘membincangkan hal-hal penting’.

Keputusan itu menyebabkan J rasa bersalah kerana dia seolah-olah menjadi penyebab orang-orang suku Batu Belang tidak dapat peluang itu. Keputusan itu juga bererti J akan bermusuhan dengan Daun Nadim kerana mulai saat itu Daun Nadim sudah menjadi ahli syarikat SKKP sedangkan dia tidak. J pulang kerumahnya walaupun keadaannya masih belum pulih betul. Selama ini dia berasa dia membebankan Daun Nadim kerana tinggal di rumahnya. J dapati rumahnya berselerak kena geledah. Setelah bangun dari tidur, J terasa sihat sedikit, dia berbasikal ke Rembau. Di Rembau, dia pergi ke pejabat tanah. Setelah menyemak beberapa fail. Dia dapati terdapat beberapa kawasan tanah di K.Paya itu telah mempunyai geran, termasuklah tanah pusaka miliknya sendiri. Tanah ketua suku dan Nira Hitam juga mempunyai geran. Tanah-tanah yang lain dikategorikan sebagai tanah rezab Melayu. Ini bermakna penduduk yang meneroka atau tinggal di situ memang berhak menuntut tanah itu walaupun tanpa penubuhan syarikat SKKP.
 

BAHAGIAN 8 - HIDUPAN LIAR TERANCAM

Ketika berehat di hadapan pejabat tanah, J ternampak Daun Nadim dengan anak-anaknya sedang melintas jalan. Daun Nadim berpusing balik kerana tidak mahu bertembung dengan J. Mereka seolah-olah menjadi musuh sejak Daun Nadim menjadi ahli syarikat SKKP. J tidak menyalahkan Daun Nadim kerana dia perlu membeli tanah pusaka nenek moyangnya dan caranya ialah dengan menjadi ahli syarikat itu. Pada pendapat J, sekiranya  Daun Nadim tidak mahu bertegur sapa dengannya, maka kehendak Daun Nadim itu akan dihormati. J juga terfikir, urusan pertunangannya yang sepatutnya diuruskan oleh Daun Nadim tentu terpaksa ditarik balik.

Ketika pulang dari Rembau hari itu, J ikut jalan lama. Dia melihat beberapa kejadian yang anih. J ternampak ikan yang berwarna warni melompat-lompat di dalam lubuk di tepi jalan. Terdapat ikan yang melompat ke atas tebing. Ikan itu mati apabila J pegang. J juga ternampak seekor ular sawa yang besar yang kemudiannya menjadi jambatan untuk beberapa ekor pelanduk melintasi sebatang anak sungai.
 

Kejadian yang anih itu disaksikan oleh J dan sepasang teruna dara yang sedang berdua-duaan tidak jauh dari situ. J menemani pasangan itu pulang. Dalam perjalanan, mereka menyaksikan pula berpuluh-puluh ekor gajah liar sedang mandi di dalam kubang. Apabila sampai di sebuah kampung mereka menyaksikan pelbagai haiwan yang sedang merayau-rayau. Orang-orang kampung lari dan menyembunyikan diri kerana takut kena serang tetapi binatang-binatang liar itu tidak mengganggu sesiapa. Apabila terdengar bunyi tempikan gajah-gajah liar, binatang-binatang itu keluar dari kampung itu. J juga melihat gajah-gajah liar itu balik semula ke gunung.

Hasil bekerjasama dengan Nira Hitam, Daun Nadim telah mendapat sebuah rumah baru, anaknya sulungnya dihantar melanjutkan pelajaran ke Amerika, Daun Nadim juga mendapat sebuah bengkel di Rembau untuk berniaga hasil rotan dan pertukangan tangan, dan dia memiliki sebuah kereta Honda Accord. Isteri Daun Nadim pula memarahi J kerana tidak hadir ketika mereka mengadakan kenduri sempena rumah mereka yang baru. J dituduh tidak mengenang budi. J memberikan alasan dia tidak pergi kerana dia bukan ahli syarikat SKKP.

J pergi lagi ke Pejabat Tanah. Dia membuat aduan bahawa SKKP cuba merampas tanah penduduk Suku Batu Belang kerana syarikat tersebut akan membeli tanah-tanah mereka dan mereka sendiri tidak dapat membeli tanah-tanah itu kerana mereka bukan ahli. Walaupun penduduk suku Batu Belang mempunyai hak untuk  membeli rumah-rumah teres yang akan didirikan, namun mereka tidak mampu berbuat demikian. Oleh itu J berpendapat, syarikat SKKP tidak seharusnya dibenarkan beroperasi. J juga meminta akan Pejabat Tanah memberikan geran kepada penduduk suku Batu Belang menurut undang-undang biasa. J juga meminta agar projek pembinaan empangan dihentikan untuk mengekalkan imbangan ekologi dan menyelamatkan habitat hidupan liar.

Pegawai dari Pejabat Tanah memberitahu J bahawa pihaknya tidak dapat menarik balik pendaftaran syarikat SKKP kerana pada dasarnya syarikat tersebut ditubuhkan secara sah. Dia juga berkata, syarikat tersebut ada juga mengambil penduduk suku Batu Belang menjadi ahli. Alasan syarikat itu menghalau suku Batu Belang juga tidak diterima kerana perkara itu hanya satu ancaman dan satu kemungkinan yang tidak berlaku lagi. Soal empangan pula katanya melibatkan projek yang besar dan adalah di luar bidang kuasanya untuk membuat keputusan. Seterusnya J mengutus surat kepada DE Bondorang dan memberitahunya bahawa projek empangan telah membuat ramai penduduk Kampung Paya menjadi pecah belah. J mencadangkan projek itu dihentikan segera. Kesan surat itu ialah larangan untuk menghampiri kawasan empangan telah ditarik balik.

J cuba menubuhkan sebuah syarikat untuk membantu orang-orang suku Batu Belang namun permohononnya ditolak 3 kali berturut-turut dengan alasan tanda tangannya tidak sama ketika mengisi borang-borang permohonan itu.

Sementara itu, Nira Hitam telah dimalukan dalam satu majlis penyerahan anak kunci. Hal ini berlaku kerana terdapat beberapa orang dari suku Batu Belang yang layak menerima rumah teres tetapi enggan keluar menerima anak kunci tersebut apabila nama mereka dipanggil. Datuk Suku Batu Belang telah keluar mewakili mereka. Dia tidak menerima anak kunci itu malah menyumbatkan anak-anak kunci itu kedalam saku Nira Hitam  dan berkata “Kau boleh mampus dengan rumah batu kau.”

Projek yang dijalankan oleh Nira Hitam juga melibatkan pembinaan masjid yang berharga 3 juta ringgit sebagai menggantikan masjid asal Kampung Paya yang dirobohkan oleh Tan Loi Sue apabila kerana mendapat upahan daripada Nira Hitam. Kebanyakan penduduk kampung kurang senang dengan tindakan ini lalu pergi ke rumah Nira Hitam untuk mendapatkan penjelasan. Mereka diberitahu bahawa masjid yang baru itu lebih sesuai untuk kampung mithali dan tarikan pelancong nanti. Penduduk kampung tidak dapat mendengar penjelasan Nira Hitam hingga selesai kerana hujan lebat dan pekat.

BAHAGIAN 9 - PERKAHWINAN J

Hari perkahwinan J telah ditetapkan. Penduduk suku Batu Belang turut bergembira dan J menerima pelbagai hadiah dari penduduk kampung seperti beras, lembu, kerbau, rusa, ayam, itik, bawang, lada, dan sebagainya untuk kenduri perkahwinan itu. J telah mengundang sendiri Nira Hitam dan Daun Nadim tetapi mereka tidak dapat datang kerana hendak pergi berkelah di empangan anjuran Nira Hitam.

Nira Hitam juga telah memecat pekerja dari suku Batu Belang yang bekerja dengannya kerana belot. Dia juga telah memberikan wang kepada pekerja yang diberhentikan itu sebanyak 50 ringgit supaya tidak dikatakan bertindak zalim.

Pada hari perkahwinan J ada juga beberapa orang yang membatalkan rancangan berkelah lalu pergi ke majlis perkahwinan J. Pada hari itu juga J menerima berita bahawa semua hadiah untuk kenduri perkahwinannya itu telah musnah. Beras ditebuk, dan haiwan untuk disembelih itu dibunuh secara kejam. Oleh sebab itu majlis kenduri di adakan di rumah pengantin perempuan sahaja. J kecewa kerana Daun Nadim tidak hadir bersama. Dengan bertemankan Hamzah dan Kadut, J pergi ke empangan tempat Daun Nadim dan orang-orang lain berkelah. J berasa hutang budinya akan terbayar sekiranya Daun Nadim dan keluarganya hadir di majlis perkahwinannya itu. Sekurang-kurangnya J ingin Daun Nadim melihat upacara dia diijab kabulkan dan bersanding. Ketika mengundang, Daun Nadim tidak menjawab salam J ,dan tidak menyambut tangan J malah dia berasa malu kalau dilihat oleh orang lain dia bercakap dengan J.

Di dalam masjid, sebelum mendirikan solat zuhur, Daun Nadim datang kononnya hendak menyampaikan satu pengumuman. Dia membawa borang untuk memohon mendapatkan geran bagi membuka tanah hutan di Kampung Sunyian. Orang-orang yang mendengar kata-kata Daun Nadim menganggap itu merupakan taktik untuk menghalau orang-orang Batu Belang dari lembah. Mereka dipelawa membuka tanah baru dan tanah mereka yang sedia ada di lembah akan dirampas. Mereka marah dan meneruskan sembahyang zuhur.

BAHAGIAN 10 - EMPANGAN ROBOH

Para jemaah yang bersembahyang zuhur pada hari itu tidak kusyuk kerana mengingatkan apa yang dikatakan oleh Daun Nadim. Selepas solat, J mengambil borang lalu dibaca. Dia terkejut kerana borang itu meminta penduduk memberitahu pihak Pejabat Daerah sempadan lama tanah mereka sama ada sempadan pokok atau batu tanda. Mereka juga diminta membuat lakaran tanah-tanah itu dan itu bererti sesiapa yang memiliki tanah tempat tinggal di Kampung Paya, dengan sendirinya diakui Oleh Pegawai Daerah. Daun Nadim mungkin tersilap menerima arahan. Tetapi dia telah dianggap sebagai pembohong, tidak bermaruah, serta mengkhianati suku kaumnya sendiri. Daun Nadim berasa takut lalu melarikan diri dengan terjun melalui tingkap masjid. J berasa dia mendapat satu kemenangan kerana Pegawai Daerah sudah bersetuju untuk merasmikan tanah pusaka milik penduduk di Kampung Paya.

J membuat rumusan bahawa Daun Nadim menjadi keliru kerana dia menerima 3 arahan dan tekanan. Pertama, daripada Pegawai Daerah yang memintanya menyelesaikan masalah tanah pusaka di Kampung Paya itu. Yang kedua, arahan daripada Nira Hitam supaya borang-borang itu ditangguhkan kepada suku Batu Belang dengan alasan borang sudah habis dan dalam proses dicetak semula. Ketiga arahan daripada isterinya supaya jangan diberi langsung borang itu kepada suku Batu Belang.

Sementara itu J sukar melafazkan ijab kabul kerana dikehendaki melafazkannya dalam bahasa Arab. J akhirnya membaca lafaz tersebut yang ditulis oleh jurunikah Haji Azman dalam tulisan khat. J masih belum berpuas hati kerana perkahwinannya tidak dapat disaksikan oleh Daun Nadim. Bagi J Daun Nadim seolah-olah telah menarik pengiktirafan perkahwinannya dan ini mungkin satu kemenangan bagi Daun Nadim. J berkonflik dengan dirinya sendiri kerana dia berasa tindakannya selama ini banyak mendatangkan keburukan terhadap orang kampung. Namun dia juga berasa tindakannya itu tidak salah kerana dia berniat baik. Dia tidak ingin melihat wajah kampungnya berubah buat selama-lamanya dan tidak indah lagi.

Majlis perkahwinan berjalan sederhana dengan bunyian muzik dan berbalas-balas pantun.

Dan menurut laporan, empangan yang dibina itu pecah dan mengakibatkan semua kampung yang berhampiran telah musnah kecuali Kampung Sunyian yang terletak di tempat tinggi.


    Sinopsis   Watak    Tema    Persoalan    Gambaran    Teknik    Plot    Soalan

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA