
Kampung Paya ialah sebuah desa yang terpencil yang terletak berhampiran dengan Pekan Rembau di Negeri Sembilan. Desa ini digambarkan sedang mengalami satu perubahan ke arah pembangunan yang mendadak dengan terlaksananya projek pembinaan empangan yang akan berfungsi sebagai penjana kuasa elektrik dan sebagai sebuah tasik untuk tarikan pelancong. Projek usahasama dengan sebuah syarikat dari Korea itu juga membawa masuk pembangunan infrastruktur yang lain iaitu pembinaan lebuh raya 4 lorong 2 hala yang menghubungkan Kampung Paya dengan pekan Rembau sepanjang 5 kilometer dan diberi nama Lebuh Raya Nira Hitam, sempena nama orang yang merancang projek tersebut.
Selain itu, kawasan yang terlibat juga mengalami perubahan dari segi penempatan dan perumahan. Sebahagian daripada penduduk telah menikmati tempat tinggal yang lebih selesa dengan terbinanya rumah-rumah teres dan banglo untuk menggantikan rumah tradisional mereka. Nira Hitam juga merancang untuk menjadikan Kampung Paya sebagai sebuah tempat tarikan para pelancong. Oleh itu dibina beberapa tempat penginapan pelancong seperti 'Holiday Resort' yang terletak berhampiran dengan tasik empangan. Untuk menarik pelancong juga, Nira Hitam telah merobohkan masjid yang lama untuk dan diganti dengan masjid yang berharga 3 juta ringgit. Terdapat juga rumah-rumah contoh yang dicat dengan cantik. Keluarga yang tinggal di rumah tersebut dibayar gaji untuk tinggal di situ sebagai tontonan pelancong. Dengan itu, pembangunan desa juga telah menaikkan taraf sosio ekonomi beberapa orang penduduk di kawasan yang terlibat sehingga ada yang mampu untuk membeli kereta dan motosikal yang baru. Walau bagaimanapun, pembangunan desa ini juga telah menimbulkan beberapa persoalan lain. Keadaan ini berlaku kerana di sebalik pembangunan yang mendadak itu, terdapat ciri-ciri penindasan, kepentingan peribadi, penipuan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, masalah kesukuan, dengki, pengkhianatan, dan pemusnahan alam sekitar. Tema ini dipaparkan secara jelas kerana segala permasalahan yang timbul dari awal plot hingga ke akhir peristiwa adalah berkaitan dengan pembangunan desa di Kampung Paya. Watak-watak utama dalam Empangan juga bergerak atas landasan pembangunan desa.
Watak J dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab untuk mempertahankan penindasan dan pemusnahan alam sekitar sehingga dia dianggap sebagai anti pembangunan. J cuba menggagalkan projek pembinaan empangan itu kerana pada pedapatnya projek itu tidak dirancang dengan sempurna memandangkan pembinaannya dijalankan secara tergesa-gesa. J dapati pekerja-pekerja Korea itu membancuh simen dalam cuaca hujan yang mengakibatkan benteng atau dinding empangan yang dibina itu tidak kukuh. Apa yang ditakuti itu akhirnya terjadi juga. Empangan tersebut pecah dan mengakibatkan berlaku banjir. Pembinaan lebuh raya juga merupakan satu projek yang tidak mendatangkan manfaat secara langsung kepada penduduk desa. Keadaan ini demikian kerana setelah lebuh raya itu dibuka secara rasmi, lebuh raya itu gelap pada waktu malam kerana tiada kuasa elektrik, dan hanya digunakan oleh lembu dan kerbau kerana penduduk desa kebanyakannya masih belum berkenderaan kecuali basikal dan motosikal. Sementara itu , watak Nira Hitam pula digambarkan sebagai orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas kelemahan penduduk desa dengan berselindung di sebalik tujuannya yang murni iaitu untuk membawa penduduk desa ke arah kemajuan agar tidak ketinggalan zaman.
Dari hasil perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa novel Empangan telah berjaya mengutarakan tema yang menarik dan sesuai dengan ekoran persoalan-persoalan sampingan yang dikemukakan untuk renungan pembaca. Secara tidak langsung, tema ini juga turut disesuaikan dengan mesej utamanya iaitu: pembangunan mendadak tanpa perancangan yang teliti akan mengakibatkan kemusnahan dan merugikan masyarakat sekeliling yang terbabit. Tema pembangunan desa yang dikemukakan juga dipaparkan secara seimbang dari segi kesan positif dan kesan negatifnya.
|
|
|
|
|