Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Novel -Empangan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

GAMBARAN MASYARAKAT

Taraf hidup (Ekonomi)
Secara umumnya, masyarakat di Kampung Paya boleh dikatakan masih lagi dibelenggu kemiskinan. Keadaan ini dapat kita lihat melalui keadaan sekeliling perkampungan mereka dan aktiviti ekonomi yang mereka jalankan. Keadaan sekeliling mereka tidak banyak berubah sejak J berada di luar negara kira-kira 10 tahun sebelum itu. Gambaran ini dapat kita lihat melalui keterangan J sendiri apabila dia mula menjejak kaki di kampungnya. Menurut J, keadaan jambatan di situ masih lagi tidak berpagar seperti dahulu dan lantainya dibuat daripada kayu bulat. J juga mendapati keadaan jalan yang masih lagi becak ketika musim hujan dan begitu juga rumah Daun Nadim dan surau yang sangat usang.semua gambaran yang diberikan itu menunjukkan taraf ekonomi masyarakat di Kampung Paya masih lagi dibelenggu kemiskinan.

Selain itu, kegiatan ekonomi penduduk di situ juga didapati masih tertumpu kepada pertanian secara tradisional iaitu bersawah, menoreh getah, berkebun sayur, kelapa sawit, dan berdusun. Hanya segelintir daripada penduduk di situ yang berniaga secara kecil-kecilan seperti membuka kedai runcit, barang-barang ‘hard ware’, dan kedai kopi. Daun Nadim sendiri bekerja sebagai tukang membuat perabot dan menoreh getah.

Penduduk-penduduk di situ juga kebanyakannya tidak memiliki kenderaan sendiri kecuali beberapa orang yang memiliki motosikal dan basikal.

Taraf pemikiran ( Pendidikan), sikap, dan kepercayaan.
Tahap pemikiran penduduk boleh dikatakan masih rendah kerana masih kurang pendedahan dari segi pendidikan dan keadaan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang terpencil daripada arus pembangunan. Dengan pemikiran seperti itu, kebanyakan daripada mereka akan menurut sahaja apa-apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka. Mereka menganggap semua orang jujur, dan tidak banyak bersikap melawan kerana menurut keterangan Nira Hitam ketika bertengkar dengan J, penduduk kampung harus menurut perintah pemimpin mereka tanpa soal jawab sekiranya tidak, itu dianggap sebagai menderhaka.(ms: 42) Menurut Nira Hitam lagi, mereka mengamalkan adat mereka menurut apa yang mereka tafsirkan daripada cerita warisan. Oleh sebab itu ketua kaum gunung iaitu Datin Biduanda didapati tidak melawan apabila diberkas oleh orang-orang suruhan Nira Hitam kerana dituduh menceroboh kawasan larangan walaupun dia diikat seperti haiwan dan kawasan yang dikatakan kawasan larangan itu ialah kawasan persekitaran tempat tinggal mereka. Dengan alasan yang sama juga Nira Hitam tidak perlu meminta sokongan daripada penduduk kampung untuk membina empangan kerana dia tahu penduduk kampung akan menurut sahaja apa yang difikirkan baik oleh pemimpin mereka tanpa bangkangan.

Ketika J memberikan penjelasan bahawa dia mengambil gambar di kawasan pembinaan empangan itu bertujuan untuk menulis buku bagi pengajiannya di peringkat ijazah kedoktoran, salah  seorang Datuk Lembaga ingin tahu apakah kaitannya gambar empangan dengan ilmu perubatan kerana keliru dengan perkataan kedoktoran itu. Ini menunjukkan tahap pemikiran yang rendah kerana kurang pendidikan. Tahap pemikiran seperti ini juga telah menyebabkan sesetengah daripada mereka melakukan tindakan yang melulu dan kurang bijak. Misalnya tindakan Badak membakar kereta J dan merompak rombongan peminangan J. Begitu juga dengan tindakan Onton (bapa Badak) mengamuk kerana marah anaknya didenda 6000 ringgit bagi kesalahan membakar kereta J.

Kepercayaan:
Sejak turun temurun penduduk Kampung Paya memegang teguh kepada cerita warisan. Cirita warisan dianggap satu-satunya bahan bukti yang dapat menentukan identiti seseorang penduduk di situ. Cerita warisan atau sejarah tidak formal juga meletakkan kuasa mutlak Datuk Endut Bondorang yang tidak dapat dipertikaikan. Cerita warisan juga telah menetapkan suku kaum dan keturunan penduduk di Kampung Paya.

kebanyakan penduduk juga didapati sudah kehilangan konsep peredaran masa sehingga ada yang meletakkan masa itu menurut waktu sembahyang(ms: 135) seperti berikut:
1. selepas subuh - bersedia untuk ke ladang atau ke sawah.
2. masuk waktu zuhur - masa untuk makan tengah hari.
4. masuk waktu asar - masa untuk berhenti bekerja
5. selepas isya’ - masa untuk kanak-kanak yang mengaji di surau pulang ke rumah.

Terdapat juga penduduk-penduduk yang tidak tahu menghargai masa mereka yang terluang. Mereka yang termasuk dalam golongan ini akan menghabiskan masa mereka dengan berborak-borak di kedai kopi Sidik atau bermain judi, membaca akhbar dan minum minuman keras. Ada juga penduduk yang tinggal di rumah untuk mendengar radio.
 

Perhubungan antara penduduk
Secara umumnya perhubungan antara sesama penduduk di Kampung Paya adalah baik sehinggalah terjadi perpecahan antara suku Batu Belang dengan suku-suku yang lain. Perhubungan yang baik ini dapat kita lihat dari segi permuafakatan mereka dalam kerja-kerja bergotong -royong seperti sewaktu hendak mengadakan kenduri J. dalam hal ini kita dapati kebanyakan penduduk ingin menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga dan benda seperti beras, daging lembu dan kerbau, ayam dan itik, sayur, dan sebagainya. Mereka juga digambarkan sebagai masyarakat yang suka bekerjasama dan bantu membantu. Namun begitu, akibat perpecahan yang tercetus sejak kepulangan J, penduduk suku-suku lain didapati tidak menegur penduduk suku Batu Belang dan Kampung Sunyian. Secara tidak langsung mereka seolah-olah berpecah menjadi kumpulang yang menyokong J, dan kumpulan yang menyokong Nira Hitam. Namun begitu ketika perkahwinan J, penduduk yang dipaksa pergi berkelah itu ada juga yang menukar fikiran dan turut sama memeriahkan majlis perkahwinan J dan melupakan perselisihan faham antara mereka.

Kebanyakan penduduk juga membuat sesuatu keputusan dengan bermesyuarat di surau dan mereka menjadikan surau seperti dewan perhimpunan orang ramai yang rasmi. Namun perpecahan yang berlaku telah menyebabkan mereka bersembahyang Jumaat di masjid yang berlainan dan perasaan perkauman antara suku yang berlainan semakin menebal. Keadaan ini jelas dilihat dalam peristiwa perbicaraan J dengan Badak. Keadaan menjadi huru-hara dan bising kerana penyokong sibuk menjeritkan nama Badak dan nama J. menurut gambaran pengarang, apa yang berlaku dalam peristiwa itu bukanlah perbicaraan untuk menegakkan kebenaran, tetapi perlawanan antara 2 suku.Dan demi menyelamatkan penduduk dari suku kaum yang sama, mereka sanggup mengemukakan saksi palsu seperti imam Kelawai.


    Sinopsis   Watak    Tema    Persoalan    Gambaran    Teknik    Plot    Soalan

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME