Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Novel -Empangan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

SOALAN

TEKNIK MENJAWAB SOALAN

 Soalan:
“Dalam keghairahan Nira Hitam berusaha untuk membangunkan Kampung Paya, J dianggap sebagai batu penghalang dan seorang yang bersikap anti pembangunan.” Berikan pendapat anda sejauh mana pernyataan tersebut benar.

1.Huraikan dengan fakta dan bukti untuk membenarkan pernyataan yang mengatakan bahawa Nira Hitam memang ghairah dan bercita-cita tinggi untuk membangunkan Kampung Paya dengan menjalankan projek-projek meganya. [10 markah]

2. Buktikan bahawa J cuba menghalang projek pembinaan empangan dengan memberikan kritik-kritik dan alasan atau rasional  yang konkrit bagi pihak J. Jelaskan juga mengapa J bertindak demikian untuk membuktikan bahawa dia BUKAN anti pembangunan sebaliknya J tidak bersependapat dengan cara Nira Hitam menjalankan aktivitinya kerana terdapat beberapa kelemahan. Nyatakan kelemahan-kelemahan itu.
[10 markah]

3. Buat rumusan anda bahawa kenyataan itu tidak benar. Berikan alasan anda sekali lagi dalam bentuk yang lebih ringkas. [5 markah]

Contoh jawapan:
Sekali pandang, Nira Hitam dapat dilihat sebagai agen perubahan bagi penduduk di Kampung Paya. Ini kerana keghairahannya menjalankan projek-projek mega untuk memajukan kampung tersebut seiring dengan kemajuan di bandar. Antara projek-projek yang dalam perancangannya ialah pembinaan empangan di Sungai Titian Terus, pembinaan lebuh raya untuk menghubungkan kampung tersebut dengan bandar Rembau, pembinaan hotel mewah, tasik, rumah contoh, Syarikat Koperasi, pembinaan taman perumahan, dan masjid yang besar. Namun begitu projek-projek tersebut didapati tidak sesuai dijalankan pada masa itu dan di sebalik projek-projek tersebut terdapat sesuatu yang tidak kena dan menimbulkan curiga bagi pihak J. Dalam usaha J menyiasat perkara itu dengan lebih mendalam, didapati Nira Hitam mempunyai kepentingan peribadi dan ada unsur unsur penipuan serta penindasan terhadap penduduk-penduduk tempatan. Dalam usaha J untuk menghalang niat jahat Nira Hitam itu dia dilihat oleh Nira Hitam sebagai penghalang atau anti pembangunan.

Namun begitu, J mempunyai alasan dan rasionalnya yang tersendiri untuk meletakkannya sebagai hero untuk menyelamatkan penduduk kampung daripada tertipu oleh muslihat Nira Hitam. Bagi J, Nira Hitam tidak membawa pembangunan di kampung itu malah membawa kemusnahan. Ini kerana J dapati Nira Hitam ghairah menjalankan projek-projeknya tanpa mengambil kira faktor penjagaan alam sekitar. Ini terbukti benar kerana terlalu banyak penebangan hutan yang telah dilakukan sehingga menjejaskan keindahan semula jadi Kampung Paya dan sekali gus menjejaskan habitat hidupan liar di situ. Nira Hitam juga didapati tidak mengambil kira faktor keselamatan penduduk kerana pembinaan empangan didapati telah menyebabkan berlaku banjir di hulu sungai dan keadaan di bahagian hilir sungai pula kering kontang. Ini juga bermakna penduduk di situ menanggung kerugian yang banyak dan menjejaskan pendapatan mereka. Di samping itu pembinaan empangan secara tergesa-gesa dalam musim hujan mengakibatkan simen yang digunakan tidak sempat kering dan empangan yang dibina akan runtuh. Hal ini ternyata benar pada akhir cerita.
 
 

Projek lebuh raya yang dijalankan pula didapati membazirkan wang kerana terbukti lebuh raya tersebut tidak digunakan oleh penduduk yang rata-rata tidak mempunyai kenderaan selain basikal. Di samping itu, pemasangan tiang-tiang lampu yang di import pula dirasakan sesuatu yang tidak perlu dan bersifat lewah juga. Teryata Nira Hitam tidak bijak dalam perbelanjaan. Keadaan menjadi lebih parah kerana Nira Hitam juga merancang untuk mendirikan sebuah hotel mewah dan akan membazirkan wang sekali lagi dengan pembinaan tasik buatan manusia yang wangi dan berwarna-warni. Rumah contoh yang didirikan juga merupakan mimpi Nira Hitam yang tidak akan menjadi kenyataan kerana tiada pelawat. Di samping itu Nira Hitam tidak mengambil kira nilai sejarah kampung itu apabila dia mengambil keputusan untuk meruntuhkan masjid asal kampung tersebut tanpa berbincang dengan penduduk kampung terlebih dahulu. Walaupun masjid tersebut akan diganti dengan yang baru, kemusnahan nilai sejarah tetap berlaku. Tindakan ini mendapat kritikan daripada pihak J sehingga dia dianggap penghalang kemajuan.

Nira Hitam juga tidak ikhlas dalam penubuhan Syarikat Koperasi Kampung Paya. Ini kerana terdapat unsur “pilih kasih” dan penipuan dalam perlaksanaannya. J telah berjaya menyedarkan segelintir masyarakat kampung tentang tindakan Nira Hitam yang tidak ikhlas itu sehingga berlakulah peristiwa Ketua Suku Batu Belang menolak pemilikan rumah yang diberikan kepadanya ketika majlis penyerahan anak kunci diadakan. Peristiwa itu telah memalukan Nira Hitam dan menunjukkan sudah ada “kebangkitan” di kalangan penduduk Kampung Paya. Nira Hitam juga telah menggunakan beberapa orang yang dipengaruhinya dengan wang ringgit dan pangkat serta harta benda sebagai sogokan untuk menghalang tindakan J. Dia juga cuba memburuk-burukkan imej J dan memberikan gambaran bahawa J adalah petualang yang cuba menghalang kemajuan yang dilaksanakan di kampung itu. Badak, bulo, imam Kelawai, dan Daun Nadim sendiri telah terpengaruh dengan sogokan dan ugutan Nira Hitam.

Pada hakikatnya, Nira Hitam tidak berniat baik dalam menjalankan tugasnya sebagai penghulu di Kampung Paya. Dia mempunyai kepentingan peribadi dan cuba mengaut keuntungan sebanyak mungkin dalam bentuk penindasan. J, sebagai golongan intelek, tidak dapat menerima tindakan Nira Hitam yang membawa kemusnahan lalu bertindak menghalang niat Nira Hitam. Jadi, kenyataan yang mengatakan J sebagai penghalang kemajuan di Kampung Paya adalah tidak benar kerana yang berlaku adalah di sebaliknya iaitu J cuba mengekalkan keamanan dan keharmonian di kampung itu dan secara tersirat turut bersetuju dengan niat Nira Hitam untuk memajukan kampungnya. Namun bagi J, cara untuk memajukan kampung itu biarlah dirancang dengan lebih teliti dan dilakukan dengan ikhlas tanpa sebarang penindasan dan kemusnahan alam sekitar.


    Sinopsis   Watak    Tema    Persoalan    Gambaran    Teknik    Plot    Soalan

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME