Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Sajak-Gamelan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS SAJAK -  GAMELAN

ASPEK MAKSUD

Rangkap pertama
Bunyi irama daripada ketukan alat yang dipanggil gamelan (gema gangsa) itu sungguh merdu dan pada masa ini dimainkan oleh orang-orang tua sahaja. Kemerduan lagu-lagu itu dianggap istimewa kerana alat muzik tersebut dimainkan melalui daya ingatan dan kreativiti yang tersendiri (tanpa notasi). Permainan muzik tradisional seperti itu sudah hampir dilupakan mungkin kerana generasi baru telah dipengaruhi oleh muzik dari negara barat.

Rangkap kedua
Permainan alat muzik tradisional ini melambangkan kebudayaan timuran yang halus dan bersopan santun kerana pemainya juga duduk bersila dengan tertib ketika memainkan alat tersebut. Kelembutan dan kehalusan budi pekerti masyarakat timur juga jelas melalui kelembutan tarian yang diiringi oleh muzik gamelan tersebut dan ditambah pula dengan paluan gendang yang menimbulkan keharmonian dalam lagu yang dimainkan.

Rangkap ketiga
Kita tidak mengetahui siapakah pencipta alat muzik ini namun kita sedia maklum permainan ini merupakan warisan budaya kita dan sering dimainkan sama ada di istana maupun untuk tontonan masyarakat umum. Ini menunjukkan bahawa muzik jenis ini satu ketika dahulu diminati oleh segenap lapisan masyarakat Melayu.

Rangkap keempat
Sebenarnya gamelan hanya merupakan salah satu daripada banyak lagi kesenian warisan bangsa kita yang hampir luput ditelan zaman. Oleh itu generasi muda harus menyambung warisan tersebut dengan mempelajari seni muzik warisan yang lain agar kesenian seperti ini tidak hilang lenyap ditelan zaman. Kita hendaklah menyambung warisan ini kerana ia merupakan sebahagian daripada identiti bangsa kita.

MESEJ

1.  Kita harus memelihara kesenian warisan kita agar tidak hilang begitu sahaja.

2.  Generasi muda haruslah mempelajari kesenian bangsa kita sendiri supaya dapat menyambung warisan kerana kebanyakan permainan muzik tradisional hanya dimainkan oleh golongan tua sahaja.

3.  Kita tidak seharusnya terpengaruh dengan hasil seni muzik dari negara lain sehingga melupakan seni muzik bangsa kita sendiri.

4.  Seni muzik tradisional merupakan seni yang turut melambangkan kehalusan dan kesopanan masyarakat timur.

5.  Muzik gamelan merupakan salah satu seni muzik tradisional yang hampir luput dan terdapat banyak lagi seni muzik yang lain yang perlu kita hidupkan semula melalui generasi muda yang ada sekarang.



Angin Waktu    Faramorgana    Gamelan    Hidup Mati    Ibunda    Kulupakan    Laut    Wang    Pulang    Siput     Tanah Ini     Tanjung    Tasik    Teberau    Warga Kota  

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME