Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

visit scout perak
state flag malaysia flag

Cerita "Kisah Hutan" diceritakan oleh Ookcu / Kumpulan 81 Kinta


"Bab 3"

               Apabila Kaa menyusur menghampiri Mowgli, Kaa menyangkakan budak itu akan melompat ketakutan. Tetapi sebaliknya Mowgli menoleh dan berkata, "pergi dari sini dan biarkan saya seorang diri!"
        Tetapi Kaa tidak mudah putus asa. Dia tahu bahawa dia mempunyai kebolehan memukau sesiapa sahaja, walaupun haiwan yang galak. Mereka akan khayal dan masuk ke alam mimpi. Kaa mula bergerak-gerak di hadapan Mowgli dan berbisik dengan nada yang lembut. Dengan tanpa kerelaannya, Mowgli mulai berasa mengantuk.
        "Yaaa, anak manusia," bisik Kaa. "Awak letih. Tttidurlah. Sila tttidur."
        Pada masa yang sama, Kaa membelitkan ekornya ke belakang Mowgli.
        Mowgli merasakan matanya semakin berat semasa dia melihat ular itu terbuai-buai di hadapannya. Dia cuba sedaya upaya untuk berjaga, tetapi kepalanya terasa berat seolah-olah sebuah sarang lebah yang penuh dengan madu.
        Apabila budak itu tidak berdaya lagi, ekor Kaa membelit seluruh badan Mowgli dan mula mencengkamnya dengan kuat.
        Mowgli masih berupaya menolehkan kepalanya ke arah Bagheera.
        "Oh, Bah...Bah...Bagheera! Tolong!" dia merayu.
    Akan tetapi, Bagheera tidak membuka matanya dan menyangka Mowgli masih merungut.
        "Sudahlah! Tidak guna awak membantah lagi. Pergi tidur sekarang dan jangan bercakap hingga pagi esok."
        Pada ketika itu, ular sawa tersebut telah membelit badan Mowgli sepenuhnya. Sebaik sahaja Bagheera selesai bercakap, Kaa ketawa dan berkata, "Ha...Ha...dia tidak akan ada lagi di sini pagi esok!"
        Mendengar kata-kata itu, mata Bagheera terbuka besar dan dia melihat ke sekelilingnya. Tanpa berfikir panjang, Bagheera menerkam dan menampar kepala Kaa dengan kakinya yang besar.
        Kepala Kaa terhantuk pada dahan pokok dan ular yang panjang itu mulai melucutkan belitannya pada badan Mowgli seperti getah yang kendur.
        "Aduhh," kata Kaa mengerang dan lupa segala-galanya tentang Mowgli. Dia mula menuju ke arah Bagheera. "Awak telah membuat satu kesssilapan besssar, sahabat."
        Walaupun Bagheera cukup berani, tetapi dia tahu tentang kuasa Kaa. Dia bimbang yang dia telah bertindak terburu-buru. Walau bagaimanapun, Bagheeratidak boleh membiarkan Mowgli diapa-apakan, walau apa pun akibatnya.
        Kaa semakin menghampiri Bagheera dan mengulangi kata-katanya, "Kesssalahan besssar..."
        "Nan...nan...nanti, Kaa, saya...," Bagheera mulai berkata-kata sambil menoleh ke kiri dan kanan untuk mencari peluang melarikan diri.
        Pandang mata saya apabila saya bercakap...!" Kaa memerintah. "Kedua-dua belah mata!"
        Bagheera tidak berdaya lagi untuk menggerakkan kepalanya. Kaa pula berada betul-betul di hadapannya. Dia tiada pilihan lagi melainkan membuat apa yang disuruh.
        Kaa terlalu sibuk memukau Bagheera sehingga terlupa akan Mowgli yang seedang menolak ekor panjangnya yang melingkar dari dahan.
        Semasa Kaa hampir membelit Bagheera, berat ekornya yang jatuh menariknya dari dahan pokok. Kaa menggelongsor ke bawah dengan kepalanya terhantuk pada sepanjang batang pokok itu.
        Akhirnya, Kaa jatuh berlonggok ke atas tanah dengan ekor yang tersimpul dan benjol pada kepalanya.
        Dengan mengerang kesakitan ular yang panjang itu menyusur payah ke dalam belukar dan menghilangkan diri.
        Mowgli ketawa dan pergi mendapatkan Bagheera.
        "Saya berjaya!" Mowgli menjerit. "saya telah selamatkan kita berdua."
        Tetapi Bagheera yang masih belum sedarkan diri memandang Mowgli dengan mata terbeliak.
        "Bangun, Bagheera! Bangun!" kejut Mowgli.
        "Ah...Eh, apa yang terjadi?" Bagheera akhirnya bertanya.
        "Kaa memukau awak dan saya menyelamatkan awak," Mowgli berkata. "Jika tidak kerana pertolongan saya, awak tentu sudah tiada lagi."
        Bagheera cuba mempertahankan martabatnya.
        "Hmmm!" Dia berdengus. "Benar, tapi jika tidak kerana pertolongan saya, awak sudah tentu tidak ada lagi di sini untuk memberitahu saya."
        Kemudian Bagheera memandang ke langit yang berbintang.
        "Mari kita berehat dahulu," katanya. "esok kita nak berjalan jauh.
        Beberapa jam kemudian, matahari kelihatan di kaki langit. Mowgli menggeliat dan membuka matanya. Bagheera masih tidur. Sebaik sahaja Mowgli hendak mengejutkannya, dia terdengar bunyi bising. Bunyi itu kedengaran seperti ribuan binatang berjalan di dalam rimba. Tanah di bawah pokok mereka bergegar.
        "Bangun, Bagheera! Bangun!" Mowgli menjerit. "Ada sesuatu yang datang!"
        Tiba-tiba dia terdengar satu suara garau menjerit, "Hup, dua , tiga, empat. Teruskan, dua, tiga, empat!"
        Mowgli merangkak di sepanjang dahan pokok dan mengintai ke dalam hutan yang rimbun itu. Dia tidak nampak apa-apa.
        Mowgli merangkak semula untuk mendapatkan Bagheera. "Walau apa pun benda itu, benda itu mungkin berbahaya." fikirnya.

Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | maklumat dikemaskini

 



Penyelenggaraan dilaksanakan oleh
Unit IT Rumah Pengakap Perak