Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

AHMAD AWANG

Kandungan


Perpustakaan, M.P.Pasir Panjang, K.Terengganu. Jld. 1 Bil 3, Mac 1998

Oleh:
Ahmad bin Hj. Awang
Pegawai Perpustakaan

Komunikasi Berkesan

Tajuk Buku: KOMUNIKASI BERKESAN
(Jilid 1 dan 2)
Pengarang: Sulaiman Masri
Penerbit: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tahun Terbit: 1997

Kehidupan melibatkan komunikasi. Komunikasi melibatkan perlakuan yang berbentuk isyarat, pertuturan, penulisan atau penyelidikan. Nilai komunikasi adalah bergantung kepada sejauhmana kita dapat menguasai bidang komunikasi ini. Untuk menjadikan komunikasi berkesan, buku hasil penulisan Dr. Sulaiman Masri ini perlu dibaca dan dimunafaatkan. Dr. Sulaiman Masri mendapat didikan dalam bidang linguistik, kewartawanan dan penerbitan. Pernah bertugas sebagai guru, pensyarah, perancang bahasa, dan editor. Beliau memimpin pelbagai kursus komunikasi untuk pelajar, mahasiswa dan pekerja.

Komunikasi ialah seni memindahkan maklumat, idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang. Komunikasi melibatkan pengirim, penerima, media, mesej, maklum balas dan kawalan.

Komunikasi manusia dapat diperbaiki menerusi beberapa cara, iaitu dengan pemerhatian, mendengar apa yang tersurat dan dengan maklum balas.

Komunikasi Berkesan Jilid I membicarakan tentang Penulisan Berita, Rencana dan Ulasan. Antara kandungan Komunikasi Berkesan Jilid I ialah:

1. Kita dan komunikasi

2. Penulisan kewartawanan

3. Merancang penulisan

4. Gaya dan tatabahasa

5. Pengurusan masa dan teknologi

6. Wartawan sumber maklumat

7. Penyelidikan pengukuh maklumat

8. Apakah berita?

9. Falsafah penulisan berita

10. Teknik penulisan berita surat khabar

11. Penulisan/peliputan berita daripada siaran akhbar

12. Penulisan berita daripada ucapan, sidang akhbar, mesyuarat

13. Penulisan berita daripada kemalangan, kebakaran, bencana alam

14. Penulisan berita daripada kematian

15. Penulisan berita jenayah dan mahkamah

16. Penulisan berita penyiasatan

17. Penulisan berita radio dan televisyen

18. Konsep penulisan rencana

19. Jenis rencana

20. Konsep penulisan yang baik

21. Unsur penulisan yang baik

22. Konsep dan penulisan ulasan

23. Penggunaan huruf besar

24. Penggunaan singkatan dan akronim

25. Penggunaan tanda baca

26. Penggunaan penomboran

Komunikasi Berkesan Jilid 2, membicarakan tentang Penulisan Memo, Surat, Iklan dan Laporan (Minit Mesyuarat). Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Prinsip Umum, Penggarapan dan Keseragaman Gaya. Antara perkara yang dibincangkan dalam Komunikasi Berkesan Jilid 2 ini ialah:

Bahagian I: Prinsip Umum

1. Kita dan komunikasi

2. Mengetahui apa? Siapa?

3. Struktur penulisan

4. Berfikir sebelum menulis

5. Gaya dan tatabahasa

6. Pengurusan masa dan teknologi

Bahagian II: Penggarapan

7. Penulisan memo

8. Penulisan surat

9. Penulisan laporan

10. Penulisan laporan (Minit Mesyuarat)

11. Penulisan Iklan

Bahagian III: Keseragaman Gaya

12. Penggunaan huruf besar

13. Pengunaan singkatan dan akronim

14. Penggunaan tanda baca

15. Penggunaan penomboran

Buku Komunikasi Berkesan Jilid I dapat membimbing pembaca meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bidang penulisan berita, rencana dan ulasan, manakala Komunikasi Berkesan Jilid II dapat membimbing pembaca meningkatkan kemahiran komunikasi penulisan memo, surat, laporan, minit mesyuarat, dan iklan.

Dr. Sulaiman Masri mengharapkan buku ini dapat menambah keberkesanan pembaca dalam kemahiran komunikasi penulisan menerusi perkembangan bahasa dan kemahiran sosial, dan mengembangkan kemahiran pembaca mengendalikan pelbagai maklumat supaya pembaca dapat menguasai, menilai dan mengatur maklumat tersebut bagi tujuan sendiri, dan kemudian menyampaikannnya dalam bentuk yang berkesan apabila dikehendaki dalam pekerjaan sehari-hari bagi faedah organisasi.

Buku ini perlu dimiliki dan dibaca oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya para pentadbir pendidikan, pensyarah, guru dan juga guru pelatih maktab/universiti. Dengan mengamalkan prinsip-prinsip komunikasi yang dikemukakan dalam buku ini, anda dapat meningkatkan kecekapan anda untuk berkomunikasi secara berkesan.

Ke Halaman Utama  


Bicara Buku


Perpustakaan, M.P.Pasir Panjang, K.Terengganu. Jilid 1, Bil. 4, Mac 1998

Nostalgia Padang

Oleh: Ahmad bin Hj. Awang
Pegawai Perpustakaan, MPPP.
Nama Buku: Nostalgia Padang
Pengarang: Dzul Karnain Ithnin
Penerbit:Utusan Publications & Distributors
Tahun Terbit: 1995
Harga: RM 15.90

Nostalgia Padang karya Dzul Karnain Ithnin adalah merupakan novel yang memenangi hadiah Kedua, 'Hadiah Novel Nasional' tajaan Utusan Melayu, Public Bank dan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. pada tahun 1992/94. Laporan Panel Hakim semasa mengadili sayumbara Hadiah Novel Nasional ini menyatakan, "Nostalgia Padang adalah sebuah novel dengan asas sejarah yang berbalut nostalgia".

Sebagai sebuah novel yang berasaskan sejarah, pengalaman penulis amat penting. Ternyata Dzul Karnain Ithnain menggunakan pengalamnya untuk mengambarkan watak-watak dalam Nostalgia Padang. Pengalaman sebagai guru memberi banyak peluang untuk melihat secara langsung gaya hidup yang dibicarakan dalam Nostalgia Padang. Dengan sensiviti yang tajam, pengarang mengtransformasi ke dalam bentuk realiti imaginasi ilusi yang indah.

Pengolahan novel ini berbentuk faction, iaitu satu gabungan antara fakta dan fiksyen. Pengolahan ini adalah yang pertama kali dilakukan dalam penulisan novel Melayu. Kemampuan Dzul Karnain Ithnain mencetuskan realisme sejarah dalam fiksyen adalah amat baik dan berkean.

Ilham Iskandar yang mengikuti rombongan sarjana, penulis dan wartawan ke Afrika Selatan telah bertemu dengan sebuah keluarga yang mempunyai kaitan dengan sebuah manuskrip Melayu lama bertulisan tangan karya Hamza Moustafa Djauzi. Ilham Iskandar mengkaji manuskrip tersebut, yang secara kebetulan beliau sedang mengkaji sejarah Padang.

Melalui Muhamad Mukti sebagai seorang pejuang yang menentang penjajah Belanda di Indonesia, pengarang mengambarkan rasa kekagumannya terhadap satu watak zaman silam yang menjadi pejuang kanan kepada Syeikh Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama Pangeran Deponegoro.

Novel ini berjaya menayangkan rahsia perjuangan rakyat Indonesia menentang Belanda. Muhamad Mukti telah melarikan diri seteelah gagal dalam pemberontokan di Desa Kaliwungu Hulu dan di Desa Tegalredju. Beliau melarikan diri ke Malaya setelah Pangeran Deponegoro tertangkap. Muhamad Mukti menyusun rancangan, tetapi kehilangan punca kerana tiada pengikut. Semasa di Malaya, Muhamad Mukti dapat menyaksikan betapa Inggeris berjaya memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

Kebangkitan Islam juga dikaitkan dengan tokoh pejuang terkenal Indonesia yang memerangi Belanda. Syeikh Abdul Rahim yang lebih dikenali dengan nama Pangeran Deponegoro adalah putra kepada Sultan Hamengkubuwono III, beliau telah berjaya meniup semangat jihad di kalangan pengikutnya. Demi cintakan Islam, Pangeran Deponegoro sanggup menolak tawaran menjadi Pangeran Adipati.

Ke Halaman Utama  

Pujangga Melayu

Oleh: Ahmad bin Hj. Awang
Pegawai Perpustakaan, MPPP.
Nama Buku: Pujangga Melayu
Pengarang: Mohd. Affandi Hassan
Penerbit:Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd
Tahun Terbit: 1997
Harga: RM 75.00
Muka Surat: 714

Novel Pujangga Melayu yang dibicarakan ini adalah merupakan sebuah quartet yang telah digabungkan, karya Mohd. Affandi Hassan. Novel ini adalah merupakan gabungan empat buah novel yang pernah dihasilkan oleh Mohd. Afendi Hassan. Novel-novel tersebut ialah Jejak Warisan, Citra Pujangga, Tampang Sasterawan dan Wajah Pendita.

Dalam novel ini Mohd. Affandi Hassan ingin mengembalikan martabat persuratan Melayu ke tempatnya yang sah sebagai pewaris sastera Islam. Novel ini membicarakan secara mendalam tentang takrif pengarang yang sebenarnya. Pengarang menghuraikan dengan jelas perbezaan konsep 'persuratan' dengan 'kesusasteraan'. Dari huraian yang diberikan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam novel ini, kita boleh menyatakan bahawa novel Pujangga Melayu bukanlah sebuah hasil kesesasteraan, tetapi Pujangga Melayu adalah hasil persuratan, atau sebuah novel persuratan, bukan novel kesusasteraan.

Novel ini adalah sebuah novel akademik yang berjaya dijalin dan ditenun dengan baik. Aspek-aspek intelektualisme, akademik, sejarah, dakwah, hikmah, seni, pengetahuan, falsafah, petua, nasihat, kisah dari Al Quran, maklumat dan semangat Islam sejati telah dijalin dan ditenun dengan baik dan berkesan. Hadis dan Al Quran menjadi sumber rujukan. Dialog-dialog yang terdapat dalam Pujangga Melayu adalah merupakan dialog-dialog akademik yang berdasarkan kepada ilmu bantu yang teguh dan kukuh. Dailog-dailog yang terdapat dalam Pujangga Melayu adalah merupakan wacana intelektual yang baik.

Tokoh-tokoh yang disebut dalam novel ini adalah tokoh-tokoh yang benar dari segi sejarah. Antara tokoh-tokoh yang disebutkan ialah seperti Ibn Sina, Imam Ghazali, Imam Shafie, Iman Nawawi, Imam Abu Hanifah, Ibn Malek, Ibn Taimiyyah, Pendeta Zaaba, Tok Kenali, Hamzah Fansuri, Sheikh Daud Fatani dan lain-lain tokoh.

Pujangga Melayu juga memperkenalkan pendekatan Tauhid dalam membincangkan sesuatu isu. Pujangga Melayu adalah merupakan novel pertama di Malaysia yang lebih menjurus kepada bidang akademik dan membicarakan persoalan yang besar dan benar, bukan imajinasi atau hayalan.

Pujangga Melayu adalah sebuah karya anti-sastera yang hebat. Boleh juga dinyatakan novel ini adalah merupakan sebuah novel kritikan. Novel berbentuk sebegini rupa belum lagi diterokai oleh pengarang-pengarang lain di Malaysia.

Tidak seperti kebanyakan novel lain, Mohd. Affandi Hassan membuat banyak rujukan dalam penulisan ini. Setiap sumber rujukan dinyatakan dengan jelas. Seperti penulisan akademik. Walau bagaimanapun aspek seni mengarang tidak dilupakan oleh pengarang. Dengan gaya pengarangannya yang baik, pembaca tidak merasa bosan untuk membaca terus novel ini.

Novel ini berkisar dalam kehidupan keluarga Melayu yang bernama Awang yang berusaha untuk menjadi pengarang besar. Awang adalah seorang doktor perubatan, tetapi lebih memberi tumpuan kepada bidang pengarang daripada bidang perubatan. Akhirnya Awang meletak jawatan sebagai doktor perubatan untuk memberi tumpuan kepada bidang pengarang. Awang adalah seorang Profesor dalam bidang yang dicita-citakan.

Peribadi Awang terhasil dengan didikan Islam yang jelas dari datuknya, Tok Ayah. Pengaruh Tok Ayah sungguh besar ke atas diri Awang. Didikan Tok Ayah memberi kesan yang mendalam kepada Awang dan seluruh keluarga Awang. Tok Ayah menjadi sumber rujukan kepada seluruh keluarganya. Tindakan watak-watak adalah dibayangi dan dipayungi oleh Tok Ayah. Seluruh keluarga Tok Ayah, sentiasa ingatkan pesanan Tok Ayah sebelum membuat sesuatu keputusan.

Profesor Dr. Awang Yusof, adalah seorang pensyarah universiti. Sedang berusaha menubuhkan Universiti Islam Darul Naim di Kelantan. Terlalu banyak cubaan dan dugaan yang dihadapi oleh Profesor Dr. Awang dalam usahanya untuk merealisasikan Universiti Islam Darul Naim, di Kelantan.

Marilah kita doakan penuhuhan Universiti Islam Darul Naim menjadi kenyataan di Kelantan.

Novel ini adalah merupakan sebuah 'novel besar' dekad ini. Novel ini perlu dibaca dan diteliti oleh seluruh rakyat Malaysia. Ahli politik, ahli akademik, peminat sastera, penuntut, ahli koprat dan seluruh warga Malaysia dan umat Melayu umumnya. Persoalan yang dikemukan adalah persoalan yang mencabar pemikiran dan perlu diambil tindakan

Ke Halaman Utama  

Sila Ke ...

Pusat Sumber MPPP
roseli
Universiti Putra Malaysia
Zulkafli Harun

Email: ahmadawang@hotmail.com