Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Binaan Makna

Oleh:

Ahmad bin Hj. Awang

Pegawai Perpustakaan, MPPP

Binaan Makna

Karya:Darwis Harahap

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 1994

Harga: RM12.00

Perkara yang penting dalam perbincangan tentang bahasa ialah binaan bunyi, binaan kata, binaan ayat dan binaan makna. Bidang binaan makna agak jarang diperkatakan secara khusus. Biasanya bidang binaan makna diperkatakan semasa membincangkan binaan bunyi, binaan kata dan binaan ayat. Pada kebiasaannya binaan makna hanya memperkatakan tentang makna luaran sahaja.

Bab Pertama dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Pengenalan, Latar Belakang Semantik dan Rangkuman. Membincangkan tentang bahasa, kita tidak terlepas daripada perkataan semantik, iaitu ilmu tentang erti atau perubahan erti sesuatu perkataan. Secara umumnya semantik ialah ilmu tentang erti atau perubahan erti sesuatu perkataan. Secara khusus pula semantik ialah kajian tentang lambang-lambang atau tanda yang menyatakan makna, hubungan antara satu makna dengan makna yang lain serta pengaruh makna terhadap masyarakat.

Bahagian latar belakang semantik, penulis telah membincangkan persoalan semantik bermula dari Zaman Yunani iaitu dari Socrates (469 - 399 SM) sehingga tahun 1980-an. Antara tokoh yang disenaraikan ialah de Saussure, Charles Moris, John Rupert Firth yang terkenal dengan Teori Semantik Kontekstual, Chomsky, J. McCawley, Mansoer Pateda, dan lain-lain lagi.

Chomsky dan McCawley mempunyai pengertian yang berbeza tentang semantik. Kesan daripada pertentangan itu maka timbullah semantik generatif yang dipelopori oleh McCawley dan semantik interpretif yang dipelopori oleh Chomsky.

Bab kedua membincangkan tentang Semantik dan Ilmu Lain. Bab ini membincangkan secara sepintas lalu tentang peranan makna dalam bidang disiplin ilmu yang lain seperti bidang falsafah, psikologi, antropologi dan sosiologi, susastera, sejarah, komputer dan linguistik.

Para ahli psikologi berpendapat bahawa makna timbul daripada rangsangan dan tindak balas sesuai dengan gambaran fikiran terhadap benda nyata dan tidak nyata dan juga hasil daripada proses pemelajaran seseorang. Sebaliknya daripada sudut susastera, makna terdiri daripada lapisan makna biasa (makna bersurat), makna yang tersirat, makna kreatif dan makna pribadi.

Ditinjau dari segi linguistik, banyak ahli bahasa menyatakan bahawa makna telah wujud semasa bahasa masih berada pada tahap struktur dalaman. Takrifan tersebut dapat dijelaskan dengan mengambil contoh bahasa Melayu yang mempunyai pembinaan kata dengan cara pengimbuhan, pengulangan, dan pemajmukan (pemaduan) yang bertujuan untuk memperluaskan makna.

Bab Ketiga memperkatakan tentang "Makna sebagai Sumber Perkataan". Beberapa teori diperkatakan di awal bab ini. Teori yang dikemukakan ialah teori tekanan sosial, teori anomatopia, teori interjeksi, teori seruan, teori ding-dong, teori permainan vokal, teori isyarat oral dan lain-lain.

Dalam "Takrifan Makna", penulis telah mengemukakan beberapa teori yang dikemukakan oleh ahli bahasa. Antara mereka termasuklah Ferdinand de Saussure, Bloomfield, Firth, dan Chomsky. Kesimpulannya, semantik ialah cabang linguistik yang mempelajari erti daripada kata, erti daripada ayat, erti daripada frasa, dan cara erti itu dibentuk. Daripada huraian yang dilakukan, penulis menyimpulkan bahawa bahasa tidak sahaja memperlihatkan cara berfikir seseorang tetapi bahasa juga dapat mengambarkan cara berfikir seseorang atau penutur yang menggunakan bahasa tersebut.

Bab Keempat bertudul "Perkataan dan Makna". Perkara-perkara yang dibincangkan ialah beberapa istilah yang amat erat hubungannya dengan kata dan makna. Istilah yang dimaksudkan itu ialah sinonim, antonim, homonim, homofon, hiponin dan emotif, luas dan sempit, gaya dan tekanan, laku dan situasi, taksa dan lojik. Berdasakan judul-judul tersebut penulis memberi huraian terhadap sesuatu kata, sama ada kata itu mempunyai makna yan sama atau berbeza, atau perkataan tersebut mempunyai bentuk yang sama tetapi berlainan makna dan berbagai-bagai lagi.

Bab Kelima bertajuk "Makna Gramatis". Makna gramatis ialah makna yang terrkandung dalam sesuatu imbuhan apabila digabungkan dengan kata dasar mahupun dengan perkataan yang telah mendapat pengimbuhan sebelumnya (kata terbitan). Makna gramatis dianggap suatu ciri yang istimewa dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu memiliki ciri pengembangan makna melalui pengimbuhan. Jika sesuatu kata dasar itu tidak cukup untuk mewakili makna yang dimaksudkan, maka kata dasar tersebut dapat dibina dengan imbuhan sehingga menimbulkan makna yang baru.

Bab Keenam bertajuk "Makna Leksikal". Makna leksikal ialah makna yang terdapat dalam kamus atau makna perkataan yang terlepas daripada hubungannya dengan perkataan lain dalam ayat. Perkara yang dibincangkan dalam bab ini ialah apakah yang dimaksudkan dengan kamus, bagaimana menggunakan kamus, kelompok kata dan kata paduan dan rangkuman.

Bab Ketujuh bertajuk "Makna Kata Tugas", iaitu perkataan yang bertugas memberi keterangan kepada kata inti. Hal-hal yang dibincangkan dalam bab ini ialah pengenalan, Kata Tugas untuk Kata Nama, Kata Tugas untuk Kata Kerja, Kata Tugas untuk Kata Sifat, Kata Tugas Memberikan Kata Karyaan, Kata Tugas untuk Ayat dan Rangkuman. Dari huraian yang diberikan, dapatlah dirangkumkan bahawa kata tugas tidak memiliki makna tetapi ia memberi keterangan sama ada pada kata nama, kata kerja, kata sifat, kata karyaan mahupun pada ayat. Walaupun kata tugas ini tidak memiliki makna, ternyata ia mempunyai tugas yang penting dalam pembinaan makna kerana jika penggunaannya salah mengakibatkan makna keseluruhan ayat tersebut tidak boleh diterima (tidak gramatis). Dengan demikian, penggunaan kata tugas sama pentingnya dengan penggunaan kata inti kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Bab Kelapan bertajuk "Makna Ayat". Hal-hal yang dibincangkan dalam bab ini ialah tentang makna tersurat, dan makna yang tersirat yang dibahagikan kepada makna kiasan, bidalan, pepatah, perbilangan, lidah pendeta, cogan kata atau moto, pemeo, dan ungkapan atau simpulan bahasa.

Menurut penulis, makna ayat dalam bahasa Melayu pada umumnya hanya membincangkan makna yang tersurat dan dapat menolong kita memahami makna yang tersurat dan tersirat. Apabila seseorang itu telah memahami kedua-dua makna tersebut baharulah ia akan mengetahui makna yang tersirat. Jadi untuk mempelajari sesuatu bahasa yang lengkap dan luas, maka seseorang itu amat perlu mempelajari bentuk atau ayat yang tersirat.

Bab Kesembilan adalah merupakan kesimpulan daripada perbincangan yang telah dilakukan oleh penulis. Satu sifat bahasa yang perlu disedari ialah sesuatu yang baharu atau yang asing pada mulanya tidak difahami tetapi jika ia sering diutarakan maka ia menjadi mudah difahami. Jadi, pada dasarnya pemahaman terhadap bahasa ialah keseringan atau keberulangan. Jika sesuatu perkataan itu sering diulang maka masyarakat pengguna akan mudah difahami.

Buku ini telah dapat menghuraikan konsep-konsep yang ada dalam bidang semantik dengan menggunakan bahasa yang mudah. Penggunaan contoh yang banyak memudahkan pembaca untuk memahami sesuatu konsep atau huraian. Penulis buku ini, Darwis Harahap adalah seorang pensyarah bahasa, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Beliau telah berjaya menulis dalam bidang kepakarannya. Semoga buku ini dapat memberi faedah kepada pengguna bahasa Melayu.


Ke Halaman Utama