Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Sintaksis Dialek Kelantan

Oleh:

Ahmad bin Hj. Awang

Pegawai Perpustakaan, MPPP

Sintaksis Dialek Kelantan

Karya: Abdul Hamid bin Mahmood

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 1994

Harga: RM15.00

Kajian tentang dialek Kelantan telah dilakukan sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Beberapa orang pegawai pentadbir British seperti C.C.Brown, A.J.Sturrock dan Berwik telah membuat kajian tentang dialek Kelantan. Kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pegawi pentadbir British tidaklah boleh dianggap ilmiah kerana tidak mengikut disiplin linguistik. Pada tahun-tahun 1960-an dan seterusnya, terdapat kajian-kajian saintifik dilakukan oleh pengkaji-pengkaji tempatan seperti Nik Safiah Karim (1965), Ismail Hussein (1973), Hashim Musa (1974) dan Abdul Hamid Mahmood (1971). Sejak awal tahun 1980-an banyak terdapat-dapat kajian-kajian tentang dialek dilakukan, terutamanya oleh mahasiswa-mahasiswa yang mengikuti Kursus Kajian Dialek di Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia. Kini Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian Pendidikan telah menjadi Fakulti Pengajian Bahasa Moden dan Universiti Pertanian Malaysia telah menjadi Universiti Putra Malaysia. Kertas-kertas ilmiah juga banyak dihasilkan tentang kajian-kajian dialek.

Buku Sintaksis Dialek Kelantan ini ditulis oleh seorang anak jati Kelantan. Beliau merupakan ahli bahasa dan linguistik Melayu. Beliau ialah Prof. Dr. Abdul Hamid bin Mahmood, seorang Profesor di Universiti Putra Malaysia. Buku Sintaksis Dialek Kelantan ini merupakan hasil kajiannya yang teliti dan mendalam terhadap dialek Kelantan. Dialek Kelantan dituturkan oleh penutur-penutur yang berasal dari negeri Kelantan.

Kajian ini adalah bertujuan untuk menghuraikan sintaksis dialek Kelantan dengan menggunakan kaedah yang telah digunakan oleh Prof. Dr. Asmah bt. Hj. Omar (1969) dalam "The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description". Kajian ini dibuat berdasarkan pertuturan pengarang dan keluarganya sendiri yang menuturkan dialek yang dikaji. Di samping data-data yang dikumpulkan daripada beberapa orang informan yang terdiri daripda pelbagai golongan dari pelbagai daerah di sekitar negeri Kelantan dan daerah-daerah sempadan.

Dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-saatu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain.

Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor-faktor geografis, politik, penjajahan, perdagangan, masa, dan seumpamanya. Misalnya, faktor politik telah membahagi-bahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil menjadikan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang menyebabkan timbulnya dialek tempatan.

Dialek-dialek tempatan di Semenanjung Malaysia sebenarnya adalah variasi daripada bahasa Melayu. Malah, dalam satu-satu dialek tempatan di Malaysia, terdapat pula ideolek-ideolek, iaitu kelainan pengucapan yang disebabkan oleh perbezaan individu, dan kelainan stilistik yang terjadi sebagai akibat prbezaan konteks. Semua kelainan ini disebut dialek, tetapi penutur-penuturnya masih saling bersefahaman antara satu sama lain. Fonemena seperti inilah yang telah menarik perhatian Abdul Hamid Mahmood untuk membuat kajian yang lebih mendalam terhadap salah satu dialek tersebut.

Dalam Bab 1 bahagian pendahuluan, Abdul Hamid Mahmood membincangkan tentang latar belakang dialek Kelantan. Apabila dibandingkan dialek Kelantan dengan bahasa Melayu, didapati bahawa terdapat beberapa perbezaan yang amat dominan terutamanya dalam domain yang berikut:

  1. Fonologi - dari segi pengucapan dan fonem.

  2. Morfologi - dari segi struktur morfem terikat, jenis dan jumlah morfem terikat, dan keseringan pemakaian morfem terikat.

  3. Ayat - dari segi susunan ayat pasir, susunan kata aspek dalam ayat dan susunan kata penguat dalam ayat.

  4. Leksikal - dari segi kata-kata seperti berikut:

Korpos perbincangan yang lebih mendalam bagi menjelaskan perbezaan-perbezaan tersebut dilakukan oleh pengarang dalam lima bab yang beikutnya.

Bab Kedua menghuraikan bidang morfologi. Bab ini menghuraikan proses pembentukan kata, morfem terikat kerja dan morfem terikat nama.

Morfem terikat dalam dialek Kelantan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu morfem terikat nama dan morfem terikat kerja. Terdapat 15 morfem terikat dalam dialek Kelantan, iaitu 8 morfem terikat kerja dan 7 morfem terikat nama. Morfem terikat kerja terdiri daripada 5 awalan, 1 akhiran, 1 imbuhan apitan, dan 1 suprafiksa kepanjangan konsonan. Manakala morfem terikat nama terdiri daripada 3 awalan, 1 akhiran, 2 imbuhan apitan, dan 1 suprafiksa. Bagi setiap morfem tersebut terdapat pula fungsi-fungsinya yang berbeza dalam konteks ayat yang berlainan.

Golongan kata yang dihuraikan dalam Bab ketiga merupakan lanjutan daripada bidang morfologi, kerana kata dalam dialek Kelantan dapat digolongkan kepada golongan-golongan tertentu dengan menggunakan kriteria morfologi dan sintaksis. Kriteria morfologi mengkaji struktur kata, umpamanya satu kata sempurna itu boleh terbentuk daripada satu morfem bebas dan morfem trikat. Kriteria sintaksis mengkaji penyebaran kata yang lain dalam satu-satu frasa atau ayat.

Kata dalam dialek Kelantan dapat juga dibahagikan kepada tiga golongan besar berdasarkan posisi yang dihadiri oleh kata dalam satu-satu struktur tertentu, hubungannya dengan kata-kata yang lain, kemungkinannya untuk berganti tempat dengan kata lain, dan fungsinya. Golongan-golongan kata tersebut terdiri daripada:

i. Kata nama

ii. Kata kerja, dan

iii. Kata tugas.

Bab Keempat membincangkan tentang frasa. Dalam tata tingkat nahu, frasa menduduki setingkat lebih tinggi daripada kata dan setingkat lebih rendah daripada klausa. Berdasarkan fungsinya, frasa ialah satu unsur daripada ayat. Dalam kajian ini, frasa itu boleh terdiri daripada satu kata sempurna, deretan kata sempurna, deretan partikel dan kata sempurna atau klausa.

Pengarang telah mengemukakan juga beberapa jenis frasa lain yang turut membentuk ayat-aya dalam dialek Kelantan seperti frasa selapis, frasa majmuk dan termasuk juga golongan frasa seperti frasa nama, frasa kerja, dan frasa adverda berserta contoh-contoh yang menarik.

Perbincangan dalam Bab Kelima mengandungi ayat tunggal dan jenis-jenisnya. Menurutnya, ayat tunggal atau ayat selapis ialah unit tatabahasa yang tertinggi jika dibandingkan dengan unit-unit tatabahasa yang lain. Ayat terbentuk daripada unit-unit lain yang lebih rendah, iaitu klausa, frasa, dan kata. Ayat tunggal ialah yang mengandung satu subjek dan satu predikat.

Dalam dialek Kelantan, unsur-unsur ayat terdiri daripada FN, FK dan Adv (Adverba) yang tersusun mengikut satu-satu struktur ayat. Berdasarkan intonasi, iaitu kontor nada suara, ayat dalam dialek Kelantan dapat dibahagikan kepada empat jenis seperti yang berikut:

i. Ayat Penyata - terdiri daripada tiga jenis iaitu; ayat aktif, ayat pasir (pasif jati dan pasir semu), dan ayat ekuasional.

ii. Ayat Tanya - terdiri daripada ayat tanya ya/tidak, dan ayat tanya bukan/ya/tidak.

iii. Ayat Perintah - terdiri daripada ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, ayat ajakan.

iv. Ayat Seru - Terdiri daripada ayat seru gembira, sedih, marah, terperanjat, dan sakit.

Bab Keenam membicarakan tentang ayat majmuk. Ayat majmuk ialah ayat yang mengandung lebih daripada satu subjek atau predikat. Ayat majmuk terbentuk daripada gabungan ayat-ayat bebas dan ayat tak bebas. Ayat bebas ialah ayat yang boleh berdiri sendiri yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Ayat tak bebas pula merupakan ayat yang tidak dapat berdiri sendiri, didahului oleh kata hubung tak setara seperti 'kalau', 'oleh sebab', 'bila', 'masa', 'ketika' dam lain-lain.

Buku ini amat sesuai dijadikan panduan dan rujukan oleh para penuntut, guru, pengkaji yang ingin mendalami pengtahuai mereka terhadap dialek ini. Setiap contoh yang dikemukakan dalam buku ini disertakan dengan transkripsi-transkripsi fonetik yang membentuk kata, frasa, dan ayat yang terdapat dalam dialek Kelantan di samping tulisan yang biasa. Hal ini membolehkan para pembaca yang bukan penutur dialek Kelantan menguasai sebutan atau pengucapannya dengan tepat dan jelas.


Halaman Utama