Undang-undang Jenayah Islam

Oleh:

Ahmad bin Hj. Awang

Pegawai Perpustakaan, MPPP

Undang-undang Jenayah Islam

Karya: Musa Fathullah Harun

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka dan UTM

Tahun Terbit: 1996

Harga: RM15.00

Buku Undang-undang Jenayah Islam membincangkan tentang undang-undang dan hukum-hukum ke atas penjenayah mengikut pandangan Islam berdasarkan Al-Quran, hadis, dan sunnah. Buku ini juga membincangkan tentang pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama empat mazhab dan ulama-ulama yang terkenal lain yang juga merujuk kepada Al-Quran, hadis, dan sunnah.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bab, iaitu:

Bab 1 : Jenayah ke atas jiwa (pembunuhan)

Bab 2 : Jenayah ke atas selain jiwa

Bab 3 : Jenayah ke atas jiwa yang belum sempurna (janin)

Jenayah ke atas jiwa bermaksud pembunuhan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa pembunuhan itu dibahagika nkepada tiga kategori iaitu pembunuhan yang disengajakan, pembunuhan menyerupai perbuatan disengajakan dan ketiga ialah pembunuhan yang tidak disengajakan.

Tidak semua pembunuhan yang disengajakan itu boleh dianggap sebagai jenayah. Dari segi rukun, ada pembunuhan yang wajib, pembunuhan yang sunat, pembunuhan yang makruh, pembunuhan yang mubah harus dan pembunuhan yang haram. Pembunuhan yang dianggap sebagai jenayah ialah pembunuhan yang haram atau yang diharamkan, iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja ke atas orang yang terpelihara darahnya tanpa kebenaran yang berdasarkan permusuhan.

Buku ini juga membincangkan tentang istilah yang digunakan seperti qisas, diat, serta jenis-jenis hukuman sampingan yang lain. Selain itu, dibincangkan juga kategori-katogeri pembunuhan yang mewajibkan qisas iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja oleh orang yang mukalaf, iaitu baligh dan berakal. Mangsa pembunuhan pula mestilah manusia yang terpelihara darahnya secara mutlak.

Perkara-perkara yang boleh membatalkan atau menggugurkan hukum qisas juga dibincangkan, misalnya kes di mana ahli keluarga mangsa telah memberi sulh (berdamai/kemaafan) kepada pembunuh. Hukuman diat (gantian) juga diperkatakan dalam buku ini. Hukuman-hukuman sampingan seperti qisas, diat juga mesti mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, syarat-syarat yang membolehkan diat, penentuan terhadap diat berat, dan ringan dan lain-lain.

Dalam Bab Kedua, penulis menghuraikan kategori jenayah yang bukan belibatkan jiwa. Jenayah ini merujuk kepada jenayah yang dilakukan terhadap jasad ataupun anggota badan seseorang yang tidak sampai ke tahap membunuh ataupun menyebabkan kematian. Jenayah jenis ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu perbuatan melukakan, perbuatan memotong atau memutuskan anggota badan dan perbuatan yang mengakibatkan hilangnya manfaat anggota badan tanpa melukakakan atau memotongnya. Bagi ketiga-tiga bahagian jenayah ini, hukuman asalnya ialah qisas. Syarat-syarat pelaksanaan hukum qisas hendaklah diambil kira terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu jenis hukuman. Jenis hukuman lain termasuklah diat atau arsy (ganti rugi).

Bab Ketiga ialah berkenaan dengan jenayah ke atas jiwa yang belum sempurna (janin). Dalam bab ini penulis menghuraikan pandangan-pandangan para ulama keempat-empat mazhab dan juga pandangan-pandangan ulama yang lain. Hukuman yang ditetapkan bagi jenayah ini adalah berbeza mengikut perbuatan yang dilakukan. Terdapat perbezaan pendapat tentang sifat janin yang mewajibkan penjenayah bertanggungjawab ke atasnya. Perbezaan yang dibincangkan berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih.

Kesimpulannya, penulis buku ini telah membicarakan ketiga-tiga jenis jenayah ini secara baik dan berkesan. Terdapat perbezaan-perbezaan yang menarik sebagai perbandingan antara undang-undang Islam dan undang-undang sivil dari segi pendekatan serta pelaksanaan hukuman terhadap penjenayah yang dilakukan. Buku ini sesuai dibaca oleh masyarakat umum yang ingin mengetahui secara lebih mendalam tentang undang-undang jenayah Islam. Bahasa yang digunakan juga agak mudah difahami dan sesuai pada peringkat pelbagai latar pendidikan.

Ke Halaman Utama


Email: ahmadawang@hotmail.com
Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!