Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
< Intro Istana | Hati Outro >
Artikel Menarik

24/08/2002
Elly Mazlein - Sebati dengan Gerak Khas

Semangat berani mencuba ternyata memberi peluang kepada penyanyi Elly Mazlein meneroka lebih jauh dunia seni yang diceburi beliau. Meskipun pada awalnya tidak yakin terhadap kemampuan dirinya sebagai pelakon, Elly memilih untuk menerima tawaran sebagai Detektif Mazlin dalam siri drama Gerak Khas. Bukan sahaja Elly yang kurang yakin, malah banyak pihak lain termasuk penonton yang pada mulanya agak ragu dan menganggap tawaran itu bertolak daripada populariti Elly sebagai penyanyi. Banyak yang seperti kurang percaya penyanyi bermata `kucing' ini berkemampuan mengembangkan bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan. Bagaimanapun itu kisah setengah tahun lalu. Hari ini Elly membuktikan bahawa memilih beliau untuk drama berkenaan adalah satu keputusan tepat dilakukan oleh penerbit Skop Production, Datuk Yusuf Haslam. Hasilnya kini Elly telah menjadi sebahagian daripada identiti Gerak Khas yang disiarkan setiap minggu di TV1. Beliau mempunyai peminat sama seperti pelakon lain dalam siri drama itu sama ada Abby Abadi atau AC Mizal. Elly menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam lakonan apabila menjadikan pengalamannya sebagai panduan dalam segala tindakan. Menurut Elly, keadaan hari ini semakin berubah dibandingkan dengan waktu awal kemunculannya sebagai pelakon. Tetapi disebabkan keyakinan boleh melakukan sesuatu setelah mencuba, Elly ternyata berjaya dengan prinsipnya. ``Ada yang kata saya berlakon macam kayu, kaku dan sebagainya. Saya sendiri tidak nafikan adakalanya malu melihat penampilan sendiri di kaca televisyen ketika mula-mula jadi pelakon. Tetapi setiap sesuatu ada prosesnya dan saya anggap itu perkara biasa,'' jelas Elly. Bagaimanapun Elly menerima semua kritikan mengenai penglibatan beliau dalam kerjaya seni ini daripada sudut yang positif. Jauh sekali untuk beliau berjauh hati atau merajuk dan tersinggung. Bagi Elly, kritikan yang tidak membina dan tidak benar akan dilupakan orang dan hanya kritikan yang membina saja akan dimanfaatkan sama ada oleh artis atau peminat. Elly juga mendapat banyak tawaran berlakon baik dalam drama mahupun filem selepas bakatnya semakin diperkatakan. Apabila ada pengarah lain yang yakin dengan kebolehannya, ini dianggap sebagai pengiktirafan kepada orang seni seperti Elly. ``Saya tidak mahu terlalu terburu-buru. Buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada Gerak Khas sebab saya saya bukan pelakon sepenuh masa,'' ujar Elly. ``Saya juga perlu terus memberi tumpuan kepada nyanyian yang merupakan sumber pendapatan saya yang utama,'' katanya. Semenjak menjadi pelakon, jadual harian artis remaja ini sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti. Jika tidak berlakon, Elly akan memenuhi undangan menyanyi, termasuk sesi fotografi dengan pihak media. ``Saya sentiasa sibuk hingga tidak ada masa bertemu dengan ibu bapanya dan hanya berbicara melalui telefon,'' kata Elly. Berpegang kepada prinsip untuk bekerja keras ketika usia masih muda, Elly menjelaskan, masa untuk beliau berada dalam dunia seni bukanlah terlalu lama. ``Dalam bidang ini terlalu banyak saingan. Artis datang dan pergi. Sebab itu ketika orang masih memerlukan, Elly bersedia memenuhi segala peluang yang diberikan,'' katanya lagi.


17/06/2002
Elly tidak kejar banyak tawaran

PENYANYI Elly Mazlein semakin yakin dengan lakonan setelah beberapa bulan membawakan watak anggota polis dalam siri Gerak Khas. Apatah lagi apabila diajar teknik memegang pistol dan beradu kekuatan oleh pengarah dan juru tunjuk lagak aksi dalam siri drama itu. Kemampuannya beraksi dalam drama itu menarik minat beberapa pihak lain untuk menawarkannya berlakon dalam filem. Namun dia belum bersedia membawakan watak lain kerana mahu serasi dengan watak lasak seorang pegawai polis terlebih dahulu. ``Saya tidak mahu terlalu mengejar peluang sehingga mengganggu tumpuan saya,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini. Apatah lagi dalam masa sama dia masih lagi aktif dengan nyanyian malah bakal muncul dengan album baru pada Ogos depan. ``Saya akui agak sibuk untuk memberi tumpuan kedua-dua bidang ini,'' katanya. Dia bernasib baik kerana pihak Skop Production yang menerbitkan drama tersebut membuat jadual lakonan mengikut jadualnya. ``Saya belum mahu digelar pelakon lagi,'' katanya yang ingin mengecapi lebih banyak kejayaan sebagai penyanyi. Dalam perkembangan lain, Elly akan muncul dalam Konsert Amal Afghanistan - Exists 2002 di Sarawak pada 14 Julai depan. ``Saya hanya penyanyi undangan kumpulan Exists,'' kata Elly yang memiliki personaliti yang semakin menarik sekarang. Malah penampilan yang semakin meyakinkan itu membuatkan dia dilamar oleh pengeluar produk penjagaan diri. ``Saya tidak boleh umumkan lagi kerana masih belum menandatangani kontrak,'' kata penyanyi itu. Dia harap perbincangan mengenainya akan berjalan lancar kerana kemunculan sebagai jurucakap produk juga membantu mempromosikan seseorang artis. Menyentuh mengenai album terbarunya, kata Elly dia sendiri akan berbincang dengan komposer sebelum memulakan rakaman. ``Dengan berbincang dan mengenali lagu-lagu dengan baik saya akan dapat menghayatinya,'' kata Elly lagi. Dia menyerahkan kepada syarikat rakaman untuk menentukan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dan sekiranya ada kesempatan dia sendiri akan menulis beberapa buah lirik. ``Saya akan menulis beberapa buah lirik untuk album terbaru nanti,'' katanya lagi. Album ketiganya yang memuatkan lagu Bungaku Bakawali terjual melebihi 20,000 unit, satu angka yang membanggakan sekarang.


022001
'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' kembali menaikkan nama Elly

Lagu 'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' kembali menaikkan nama Elly Mazlein setelah kecundang menerusi album pertamanya. Belajar dari kesilapan dan pengalaman, Elly Mazlein kini mencuba nasib dengan album ketiganya. Penyanyi yang baru berusia 20 tahun ini masih mengekalkan konsep pop komersil untuk album ketiga ini. Bagaimanapun untuk bergelar penyanyi popular, bukan sedikit pengorbanan yang diperuntukkan. Album ketiga adalah album penentu kejayaan Elly. Kalau sebelum ini album 'Satu Persatu' telah kembalikan Elly dalam arus hiburan, album terbarunya ini menjadi penentu apakah Elly akan terus kekal atau sebaliknya. "Elly mahu melakukan yang terbaik untuk album ini biarpun terpaksa berkorban," ujarnya sewaktu ditemui ketika menjalani rakaman untuk albumnya di studio NAR Records, Taman Tun Dr Ismail. "Hampir 60 peratus album ini sudah siap dan saya juga dalam proses untuk menukar imej demi untuk tampil lebih baik dari album terdahulu," jelas Elly. Menurut penyanyi ini, imej yang bakal dipaparkan akan lebih sesuai dengan usia dan majlis yang dihadirinya. "Sebelum ini banyak komen yang kata gaya Elly tak kena tempat dan sebagainya, tapi sekarang Elly sentiasa berbincang dengan perunding imej yang terdiri dari orang dalam NAR Records sendiri," tambahnya mesra. Elly Mazlein juga berkemungkinan besar terpaksa mengorbankan rambutnya bagi menimbulkan kelainan pada wajah dan penampilannya. "Sebelum in Elly banyak sanggul rambut atau ikat, jadi kali ini mereka mahu Elly tukar gaya rambut agar nampak lebih remaja," ujarnya yang juga terpaksa menahan makan untuk menurunkan berat badannya. Mengulas mengenai album terbarunya ini, Elly menjelaskan bahawa album ini turut mendapat sentuhan beberapa orang komposer terkenal negara, antaranya Azmeer, LY, Ajai, Is Wow, Eddie Hamid, Alfa Booty dan Sharom. "Elly lebih gemar bekerja dengan ramai komposer sebab kita akan mendapat sentuhan yang berbeza dari mereka. Mereka juga berfikiran terbuka dan Elly bebas buat pilihan atas lagu dan sebagainya," tambahnya yang menyerahkan penilaian album ketiga ini pada peminat. Selain dari itu, Elly Mazlein akan muncul di beberapa buah negeri dalam rangka promosinya apabila album ini siap selewatnya akhir Mac ini. Elly Mazlein kebudakan? Lumrah bergelar artis, Elly Mazlein tidak lepas menjadi bahan kontroversi. Baru-baru ini Elly dikatakan bersikap terlalu kebudak-budakkan hingga tidak menyenangkan sesetengah pihak. Elly yang pada mulanya terkejut diajukan soalan ini menjelaskan: "Elly tak akan melenting jika ada yang komen Elly begitu. Sebaliknya bila mereka komen maknanya mereka mengambil berat mengenai Elly dan Elly berterima kasih," ujarnya selamba. "Elly cuba mengubah perangai yang orang tak suka secara perlahan-lahan, tapi kita tak mampu buat semua orang gembira," tambahnya yang kesal sikap manjanya telah disalah ertikan sesetengah pihak. "Kalaupun Elly bersikap manja, tentunya pada ahli keluarga ataupun orang di syarikat rekod. Tidak semestinya dengan orang yang baru kenalpun nak tunjukkan sikap manja," jelasnya.


18/10/2000
Elly Mazlein rakam album baru

Bagi seorang penyanyi, antara yang paling mengguris perasaan mereka ialah apabila dikatakan cuba meniru atau terpengaruh dengan gaya penyanyi lain terutama penyanyi tempatan. Tetapi Elly sendiri enggan berbicara mengenai perkara itu sebaliknya mahu teruskan aktiviti nyanyian dengan cara tersendiri. "Saya tidak mahu lagi memberikan sebarang ulasan mengenai isu persamaan itu,'' kata Elly kepada Utusan. Dia berharap peminat dapat menilai sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang bakal dihasilkan dalam album terbaru yang kini dalam proses pembikinan. Album ketiga yang masih mengekalkan konsep pop komersial akan menampilkan komposer terkemuka seperti Azmeer, LY, Ajai dan banyak lagi. "Sekiranya tiada aral melintang album ketiga saya akan dipasarkan pada Januari depan,'' kata penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu. "Saya rahsiakan dulu apakah yang akan saya lakukan dalam album ketiga untuk memberi kejutan kepada peminat,'' kata Elly lagi. "Saya juga membuat persiapan awal untuk ke peringkat separuh akhir Juara Lagu 2000,'' katanya yang mempertaruhkan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan.


08/10/2000
Elly Mazlein mahu cipta sejarah

Lagu Janji Kekasih iaitu single keduanya dalam album tersebut, turut menambah kekuatan populariti artis ini. Walaupun ramai kalangan orang media yang menyatakan bahawa vokalnya hampir-hampir menyamai vokal Siti Nurhaliza, namun Elly menganggapnya sebagai satu kebetulan dan dia tidak pernah cuba 'menumpang' kepada populariti Siti. "Elly tetap bekerja keras untuk memastikan dua lagu itu diminati. Elly baiki vokal dan mutu persembahan setiap kali ada show,'' katanya. Bagaimanapun, Elly yang ditemui baru-baru ini menyatakan bahawa pada masa yang sama populariti yang dikecapinya sekarang ini turut meresahkan dirinya sendiri. Apa tidaknya, dia sekarang ini dalam proses merakam album ketiga dan album itu bakal berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. "Elly takut kalau album ketiga ini mengalami nasib seperti album pertama dulu, Sutera Kasih. "Perit rasanya. Pernah satu ketika Elly nak ambil keputusan nak berhenti menyanyi. Show waktu itu amat kurang. "Tapi Elly gagahkan juga merakam album kedua dan alhamdulillah ia dapat sambutan dan show sekarang ini boleh tahan,'' katanya. Ternyata dalam keresahan tersebut, Elly tetap berfikiran positif dan berusaha menampilkan yang lebih baik daripada album kedua. Dia mahu semua aspek iaitu vokal, mutu persembahan, lagu dan imej apabila album ketiga lebih baik lagi dari yang sebelum ini. Malahan, untuk album ketiga ini dia menyatakan ada sesuatu istimewa yang khas ditujukan bagi peminat setianya. Namun begitu, apakah keistimewaan itu dia enggan menyatakan dengan alasan bahawa ia masih terlalu awal. "Peminat perlulah tunggu bila album berada di pasaran. Lagipun tak grandlah kalau cakap awal-awal. "Kalau boleh Elly mahu mencipta sejarah yang tersendiri bagi album ketiga. Elly tak mahu kejayaan album ketiga dipengaruhi oleh album kedua. "Apa yang pasti album ini memang istimewa untuk semua peminat Elly,'' katanya. Selain daripada sibuk menyiapkan diri untuk album baru, Elly juga sibuk menguruskan badannya yang kini semakin membesar. Akui Elly sejak kebelakangan ini selera makannya semakin bertambah dan itu penyumbang kepada berat badannya yang semakin naik. "Tidak tahu kenapa, sejak kebelakangan ini selera baik betul rasa nak makan saja. Tetapi kini Elly terpaksa mengawalnya. "Jika tidak tentu malu untuk bersua dengan peminat kelak,'' kata Elly.


09/05/2000
Elly Mazlein...menunggu album baru

Pada masa ini, dia sedang mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album yang dijangka memulakan proses memasukkan vokal sekitar Jun depan. "Kami tidak mahu membuang masa, sebaliknya mahu mengambil kesempatan di kala peminat sedang menerima lagu-lagu saya,'' kata Elly semasa ditemui baru-baru ini. Tambahan pula, katanya, peminat telah mula menanyakan mengenai lagu-lagu terbaru daripadanya setelah mereka memiliki album lalu. "Kini peminat sentiasa mahukan lagu terbaru daripada sese-orang penyanyi,'' kata Elly semasa ditemui baru-baru ini. Kekerapan menghasilkan album juga membuatkan mereka tidak sepi daripada bahan berita untuk dihebahkan kepada pihak media. Dia juga tidak mempunyai masalah untuk kerap menghasilkan album kerana bernaung di bawah syarikat tempatan yang tidak mempunyai banyak artis. Dia juga berharap dapat lahir dengan album baru dengan segera untuk menghindari perbandingan dirinya dan Siti Nurhaliza. Lagu ciptaan Azmeer nyanyiannya sering dikaitkan dengan lenggok suara Siti Nurhaliza yang pernah menyanyikan lagu ciptaan pencipta itu. Elly memberitahu, dengan kehadiran album terbaru, peminat akan dapat menilai suaranya yang tersendiri sekali gus menghakis tanggapan mengenai persamaan antara mereka. Seseorang penyanyi tentunya tidak senang apabila suara mereka dikaitkan dengan penyanyi lain kerana mereka ingin memberikan persembahan yang tersendiri. Sementara itu, populariti lagu tersebut juga telah membawa namanya sebaris dengan penyanyi popular lain. Elly juga banyak menerima tawaran mengadakan persembahan pentas di seluruh negara sejak akhir-akhir ini. Dia juga terlibat dengan kempen Malaysia Boleh sempena Piala Thomas/ Uber, sejak tiga bulan lalu.


13/02/2000
Elly Mazlein mahu bina identiti sendiri

Album sulung itu sekadar pengenalan dan album itu dijadikan sebagai 'umpan' untuk memancing sejauh mana penerimaan peminat terhadap dirinya. Meskipun pulangan jualan album itu sekadar 'balik modal' sahaja, namun baik Elly mahupun syarikat rakaman NAR Records Sdn. Bhd., tidak pernah menyesal mahupun serik untuk menerbitkan album penyanyi itu. ''Itu adalah cabaran dan kerana berani menyahut cabaran syarikat rakaman NAR memberi kepercayaan untuk menghasilkan satu lagi album Elly yang berjudul Satu Persatu,'' ujar penyanyi itu memulakan bicara. Langkah dan perancangan yang diatur penuh yakin oleh Elly dan NAR pada awalnya diharapkan akan menafikan beberapa elemen yang lebih terjurus kepada pemerhatian negatif. Namun, mereka sekadar merancang dan takdir menentukan Elly berdepan dengan satu tugas berat iaitu apabila kemunculannya dikritik hebat. Vokalnya kala mendendangkan hampir kesemua lagu dalam album Satu Persatu dikatakan menyamai penyanyi popular Siti Nurhaliza. Lebih memedihkan telinganya apabila cara penyampaiannya ketika mendendangkan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan dikatakan cuba meniru gaya artis termasyhur tanah air itu. ''Terus terang Elly katakan semuanya berlaku secara kebetulan. Elly enggan untuk mengulas panjang, cuma apa yang dapat Elly katakan ialah Elly mahu membina identiti tersendiri,'' ujarnya yang jelas sedikit kecewa apabila berdepan dengan tekanan tersebut. Tanpa mahu mengulas panjang persoalan itu, Elly memberitahu, dia lebih selesa jika pihak media tidak terlalu menggembar-gemburkan perkara itu dan memberi fokus kepada album terbarunya. Kata Elly, keadaan ini bukan bermakna dia enggan memberikan kerjasama, tetapi dia tidak mahu nanti ada pihak yang terasa hati. ''Cukuplah rasanya jika tidak dibangkit lagi soal itu... kerana apa yang penting sekarang ialah banyak lagi tanggungjawab Elly yang harus ditunaikan,'' ujar Elly lagi sambil memandang Pegawai Perhubungan NAR Records, Amy yang menemaninya. Menyentuh tentang kemunculan Satu Persatu yang menampilkan ramai komposer hebat, Elly berkata, gabungan yang diperolehinya itu merupakan peluang yang sudah lama dinantikannya. Kata Elly, sebelum bergelar artis lagi dia sering berangan untuk bekerjasama dengan komposer yang termasyhur dan sekali gus menimba pengalaman yang berharga. ''Alhamdulillah, hasrat Elly tercapai dan pengalaman itu sesuatu yang cukup istimewa sepanjang pembabitan Elly dalam bidang seni,'' kata Elly yang turut diberi peluang menyuntik idea. Menurutnya, dia diberikan 'suara' untuk pembikinan album ini selain peluang untuk memilih lagu yang digemarinya dan cara lagu itu didendangkan. ''Terus terang saya katakan, album ini adalah yang istimewa dan saya akan jadikan ia sebagai bekalan di masa depan untuk memberikan hasil yang lebih baik,'' jelas Elly lagi.


24/06/1998
Elly Mazlein pilih lagu sesuai

Menyedari hal itu, Elly Mazlein sudah lama menyimpan cita-cita agar setiap album sesuai dengan cita-citanya itu. ''Berbohonglah kalau saya kata tidak ada penyanyi yang mahukan lagu-lagu yang bagus. Saya sedar ramai artis kita yang mampu menyanyi dengan baik cuma lagu mereka kadangkala agak kurang sesuai,'' jelasnya. Ketika ditanya apakah dia juga terhimpit dengan keadaan itu, Elly menafikan kerana kemunculan album pertamanya dianggap satu eksperimen dan pengenalan sahaja. Walaupun dia menyukai kesemua lagu-lagu daripada albumnya tetapi Elly tidak dapat mengagak dengan tepat cita rasa peminat. Namun begitu ujar Elly, dia bersyukur kerana ada dua tiga lagu daripada albumnya yang diminati ramai. Sebaliknya jika diberi pilihan kata Elly, dia mahukan semua lagu dalam album itu terbaik. ''Mungkin agak sukar saya mencapai tahap itu tapi saya terus berusaha. Sebagai orang baru, saya perlu mengkaji banyak aspek yang boleh membantu karier saya,'' jelasnya. Elly yang pernah diperkenalkan menerusi album Sutera Kasih kini semakin dikenali dengan lagu duet bersama Acong menerusi album Kompilasi Balada Cinta yang berjudul Disapu Awan. Keindahan melodi lagu tersebut ditambah dengan gandingan mereka berdua telah menaikkan lagi populariti lagu tersebut. ''Saya bersyukur kerana lagu tersebut dapat diterima. Itulah pertama kali berduet dengan Acong. Ada peminat yang sukakan gandingan kami,'' katanya lagi. Menyentuh tentang album keduanya kata Elly, dia berminat untuk mendapat khidmat komposer seperti Adnan Abu Hassan, Johari Teh dan Eddie Hamid.


17/06/2001
Elly Mazlein terkilan

HATI penyanyi Elly Mazlein tersentuh lagi. Elly agak sedih apabila ada pihak masih mempertikaikan penampilan album ketiganya Elly yang sudah berada di pasaran. ``Entah kenapa ada pihak terus-terusan mempersoalkan vokal Elly dan masih menyamakannya dengan penyanyi tertentu. ``Sedangkan Elly memang cuba melakukan yang terbaik untuk album tersebut,'' katanya. Menurut Elly, dia bersedia menerima sebarang kritikan selagi ia dapat membina semangatnya dan bukan menindas dirinya. ``Elly tidak tahu kenapa ada orang ingin berbuat demikian. Janganlah menindas artis yang mencuba sesuatu yang baru,'' katanya dalam nada sedih. Biar apa pun, kata Elly, semua itu tidak pernah menjatuhkan keazamannya. Dia percaya kepada niatnya. Bukan itu saja, dia juga mempercayai para peminat masih meminatinya. ``Elly berterima kasih kepada para peminat yang yakin Elly juga punya keistimewaan,'' kata Elly. Peminat masih segala-galanya dalam kerjayanya dan dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk mereka. Selain itu, Elly juga ingin menghargai mereka selagi ada peluang. Album ketiga Elly dilancarkan di hadapan para peminatnya di Seremban, Negeri Sembilan. Kata Elly, dia memilih untuk melancarkan album tersebut di sana kerana album keduanya meraih jualan kedua tertinggi di Seremban selepas Johor Bahru. ``Dulu album kedua Elly dilancarkan di Johor Bahru. Kini Elly memilih Seremban pula untuk memberi peluang kepada peminat di Seremban bertemu Elly,'' jelasnya. Album ketiga Elly menampilkan banyak lagu merdu termasuk Bungaku Bakawali, Demi Kasih Ku Turutkan dan Gerimis. Selain itu, album berkonsepkan pop komersial itu juga mempertaruhkan lagu pop tradisional iaitu irama keroncong kontemporari untuk lagu Ku Berkasih Pada Yang Tiada ciptaan Azmeer. ``Ada banyak perbezaan dalam menyanyikan lagu pop balada dan tradisional tetapi bagi Elly semuanya ada kelebihan masing-masing. ``Elly mengambil keputusan untuk merakamkan lagu pop tradisional kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. ``Elly cuba menyampaikan nyanyian yang terbaik untuk lagu itu bagi memastikan lenggoknya betul,'' tambahnya. Menurut Elly, dia juga menyimpan hasrat untuk menghasilkan album pop tradisional suatu hari kelak. Apabila album itu terbit, Elly berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan album itu. Elly kini sibuk mempromosikan album barunya Elly di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


21/05/2001
Elly Mazlein tampil suara tersendiri

Album Baru
Album: Elly MazleinJudul:Elly
Penerbit: Eddie Hamid, Azmeer, Azman Abu Hassan, Tapai, Is Wow dan Amin
Terbitan: Nar Records

Kalau ada yang bertanya mengapa vokal Elly Mazlein berlainan dalam album terbarunya kali ini. Jawapannya, lagu-lagu yang didendangkan oleh penyanyi itu tidak lagi menggunakan `teknik hidung' atau mirip suara yang keluar menerusi hidung ketika menyanyi. Untuk album ketiga ini, Elly diarahkan oleh komposer supaya menyanyi dengan `gaya lepas' tanpa terikat dengan tonasi hidung. Ini diakui sendiri oleh Elly yang kini tidak lagi gusar dengan komen-komen yang mengatakan suaranya mirip Siti Nurhaliza. Malahan Elly yang nama sebenarnya Sharifah Aida Malina Syed Hanafi, 21, mengakui untuk album ini dia banyak belajar teknik menyanyi daripada komposer. ``Sebab itu lagu-lagu dalam album ini berbeza dari dulu. Elly diberi peluang menyanyi lagu-lagu dengan gaya sendiri. Kalau ada persamaan dengan penyanyi lain memang tidak dapat dielakkan, tetapi dari masa ke masa Elly akan cuba mengatasinya,'' katanya terus terang. Jelas Elly, dia juga diberi kesempatan merakamkan lagu berentak pop keroncong menerusi lagu Ku Berkasih Pada Yang Tiada ciptaan Azmeer dan lirik oleh Lukhman S. Tambahnya, dia ingin mencuba sesuatu yang baru dan sebab itulah dia meminta Azmeer menciptakan lagu berentak pop keroncong. Ujar Elly, walaupun muzik keroncong belum dapat diterima sepenuhnya oleh golongan muda, tetapi dia yakin apabila irama itu digabung dengan pop, ia mampu memberi keserasian pada pendengar. ``Oleh kerana Elly belum pernah merakamkan lagu asli, mula-mula memang susah sikit, tetapi dengan tunjuk ajar Azmeer, Elly boleh buat,'' akuinya. Sebuah lagi lagu yang sukar untuk dia rakamkan ialah Cintaku Untuk Bahagia yang dicipta oleh Amin. Jelas Elly, lagu itu memerlukan dia menyanyi dengan sepenuh hati kerana nadanya yang tinggi. Album yang berentak balada, `dance music', pop dan pop etnik turut menampilkan sebuah lagu ciptaan komposer Eddie Hamid iaitu Bungaku Bakawali. Selain Elly yang mendendangkan lagu Bungaku Bakawali, penyanyi Siti Nordiana, Syura dan kumpulan New Boyz juga mempunyai judul yang hampir sama iaitu Bakawali. Bungaku Bakawali yang berentak pop dan lirik oleh Man Toba itu memang dicipta khas untuk Elly. Jelas Eddie, dia mengambil masa selama seminggu untuk menghasilkan lagu yang memuatkan elemen muzik moden ala Barat itu. Eddie yang sering diberi peluang menghasilkan sebuah lagu untuk setiap album Elly mengakui penyanyi itu mempunyai gaya tersendiri. Untuk lagu Bungaku Bakawali, Eddie memberitahu, dia terpaksa membiarkan Elly menyanyi dalam gelap selama empat jam untuk menjiwai lagu tersebut. ``Apa yang saya nampak Elly susah hendak menjiwainya mungkin sebab lagu itu berkisar mengenai cinta. Tapi dari segi vokal dia semakin bagus,'' ulas Eddie. Lagu lain yang dimuatkan di dalam album itu ialah Gerimis, Sejuta Rasa, Datang Dengan Janjiku (Iwan), Cinta Untuk Bahagia, Sekilas Pandang (Tapai), Inikah Balasanmu (Shahrom), Demi Kasihku Turutkan (Alfa).


15/04/2001
Seni menyatukan Ferhad & Elly Mazlein

SEBELUM merakamkan wajah terbaru Ferhad dan Elly Mazlein, saya tertanya-tanya sendiri apakah mereka mempunyai keserasian. Ini kerana Ferhad dan Elly memperjuangkan dua muzik dari aliran yang berbeza. Ferhad dengan irama r&b dan banyak menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Mengenali Elly pula, pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan saya bahawa pasaran muziknya lebih tertumpu kepada muzik pop. Berbeza bukan? Akan tetapi, sifat ketimuran orang Melayu yang terkenal kerana budi bahasa dan ramah bagaikan sukar dikikis dalam diri mereka. Biarpun datang daripada latar belakang yang berbeza, baik muzik mahupun keluarga, namun seni menyatukan dua anak muda ini. Ferhad, lelaki tampan kelahiran Kota Singa bukan seorang yang sukar didekati dan Elly pula dilihat begitu senang sekali berdampingan dengan penyanyi lelaki itu yang kini popular dengan lagu Kasih Berubah. ``Senang sekali berkawan dengannya. Dia kelakar dan suka menyakat,'' cerita Elly mengenai Ferhad. Benar apa yang dikatakan Elly. Sepanjang fotografi berlangsung, tidak sukar untuk menimbulkan mood ceria kerana Ferhad tidak ketandusan idea untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar. Memperkatakan mengenai Ferhad, dia digolongkan sebagai artis luar yang berjaya membina pengaruh dan populariti di negara ini. Dalam waktu yang singkat dia diterima dengan begitu meluas sehingga melayakkan dirinya bertanding pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 pada 28 April ini. ``Saya amat bersyukur dengan penerimaan peminat muzik di Malaysia terhadap bakat seni saya. Sangkaan saya ialah saya akan sukar untuk memancing perhatian peminat seni, rupa-rupanya silap,'' jawab Ferhad, artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Positive Tones Sdn. Bhd. Apa yang menarik mengenai jejaka yang berusia 27 tahun ini ialah kesempatan merakamkan album di Malaysia turut membuka peluang kepadanya untuk melebarkan empayar seni ke beberapa negara jiran lain. Paling membanggakan Ferhad atau nama sebenarnya Ferhad Iberhim ialah lagu yang dipetik daripada album sulungnya Debut, Higher Deeper sudah menjadi juara di beberapa carta radio di negara Indonesia. ``Itulah kejutan paling besar buat saya. Berikutan itu, kemungkinan besar saya akan ke Indonesia untuk mengadakan promosi di sana,'' jelas Ferhad yang dijangka berangkat ke republik itu pada hujung bulan Mei depan. Bagi Elly pula, pada masa ini dia paling berdebar menantikan reaksi peminat terhadap album solo ketiganya yang sudah berada di pasaran. ``Biarpun sudah mempunyai tiga album solo tetapi Elly memerlukan masa yang lebih panjang untuk mengukuhkan kedudukan Elly dalam industri muzik tanah air,'' akui Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 20. Untuk kemunculan terbarunya, Elly sekali lagi bekerjasama dengan beberapa komposer ternama seperti Azmeer, LY dan Eddie Hamid. Dia turut bekerja dengan komposer seperti Azman Abu Hassan dan Tapai. ``Secara peribadi Elly rasakan album kali ini banyak menampilkan perubahan khususnya pada vokal Elly serta pengisian lagu,'' kata artis syarikat rakaman NAR Records ini. Menjawab satu soalan lain, kedua-dua penyanyi ini mengakui mereka saling mengejar kejayaan yang lebih besar dalam karier seni. Namun begitu, Ferhad dan Elly tidak menafikan dalam mengharungi perjalanan seni, mereka tidak terlepas daripada cabaran. ``Justeru, kami akan kuatkan semangat untuk menempuhnya kerana bidang seni ini merupakan dunia yang cukup istimewa untuk diterokai,'' kata mereka mengakhiri perbualan.


25/03/2001
Elly Mazlein sedia terima kritikan

SETELAH melahirkan dua buah album, Elly Mazlein kini semakin yakin untuk mengorak langkah yang lebih jauh dalam bidang seni suara. Selepas album Sutera Kasih dan Satu Persatu, Elly meletakkan azam yang tinggi bagi menarik perhatian para peminatnya dengan persembahan vokal yang matang seiring dengan peningkatan umur. Dalam meniti usia 20 tahun, jelas tergambar kepuasan pada wajah gadis ini ketika diminta mengulas mengenai album ketiganya yang masih belum diberi judul. Dengan kelahiran album terbarunya Elly berharap dapat menepis kritikan yang dilemparkan kepadanya konon vokalnya mirip penyanyi Siti Nurhaliza. ``Vokal saya kali ini berbeza berbanding album yang lepas kerana suara saya kini lebih besar dan matang,'' katanya. Menurut Elly, dia banyak belajar memperbaiki mutu vokal. Malah jelasnya, dia turut diberi peluang dan kepercayaan oleh syarikat rakaman memilih lagu-lagu untuk album ketiganya itu. Ketika ditanya apakah kelainan pada album kali ini, Elly memberitahu, dia banyak menekankan aspek vokal bagi setiap lagu yang dinyanyikannya. ``Saya lebih mengutamakan kualiti suara dalam setiap penyampaian saya kerana ia penting bagi mendapatkan hasil yang terbaik,'' ujarnya. Elly masih mengekalkan konsep album pop komersial. Album ketiga Elly yang diedarkan oleh syarikat rakaman NAR Record akan berada di pasaran pada 26 Mac ini. Elly telah memulakan rakaman album ketiganya itu sejak bulan puasa tahun lepas. Pembikinan album terbaru Elly membabitkan ramai komposer antaranya Azmeer, Eddy Hamid, Ajai, LY, Azman Abu Hassan, Is Wow, Iwan dan Shahrom. Menurut Elly, lagu yang dijangka meletup ialah Bungaku Bakawali hasil ciptaan Eddy Hamid dan liriknya oleh Man Toba. Selepas beberapa minggu dikeluarkan di pasaran tempatan, albumnya itu akan dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Brunei. ``Maklum balas daripada peminat tempatan perlu dilihat terlebih dahulu sama ada album itu kemudian boleh dipasarkan ke negara jiran,'' jelasnya. Elly turut menyuarakan kesediaan untuk menerima apa sahaja kritikan bagi mengatasi kelemahan diri. Dia berharap kemunculannya kali ini dapat diterima oleh para peminat yang akan menghargai perubahan dirinya.


   Wajah Ayu