Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
eLLy . MaZLeiN
    Selamat Datang

Jom Kita Mulakan...

Laman ini khas ditujukan untuk Elly Mazlein. Memandangkan setakat ini masih tiada laman web yang direka khas untuk beliau. Maka inilah satu-satunya inisiatif oleh webmaster untuk memberi penghormatan kepada Elly Mazlein. Kehadirannya dalam persada seni hiburan Malaysia berjaya menyemarakkan lagi industri ini. Adalah satu keperluan untuk menghasilkan laman sebegini agar nama Elly Mazlein terus terpahat dan kekal dalam internet untuk dikenang mahupun diingati.

eLLY . MaZLeiN
Kenali Elly Mazlein

ihsan aerial_hunter

Nama: Sharifah Aida Mazlina Bt Syed Hanafi

Tarikh Lahir: 17/12/1980

Zodiak: Sagitarius

Tempat Lahir: Slim River, Perak.

Album:
1998 - SUTERA KASIH
1. SUTERA KASIH
2. SATU KEPASTIAN
3. BUKALAH MINDAMU
4. BAYANGAN RINDU
5. KENYATAAN
6. ANDAI KATA
7. TITIK BERMULA
8. JIWA REMAJA
9. HINGGA KE AKHIR NANTI
10.BIAR PILU ADA PENAWARNYA

2000 - SATU PERSATU
1. USAH DITAMBAH BARA YANG TERSIMPAN
2. SERIKAN KASIH KITA
3. PENGORBANANKU RACUN BAGIMU
4. HUJAN SANUBARI
5. TIDAK BERJAUH
6. GEMERSIK CINTAMU
7. LAYU TERLERAI
8. INDAHNYA PERSADA CINTA
9. RASA ADA CINTA
10 JANJI KEKASIH

2001 - ELLY
1. BUNGAKU BAKAWALI
2. CINTAKU UNTUK BAHAGIA
3. GERIMIS
4. DATANG DENGAN JANJIKU
5. SEJUTA RASA
6. INIKAH BALASANMU
7. BICARA BULAN BINTANG
8. SEKILAS PANDANG
9. DEMI KASIH KUTURUTKAN
10. KU BERKASIH PADA YANG TIADA

2001 - MTV KARAOKE ELLY MAZLEIN

2002 - BEST OF ELLY MAZLEIN
1. BICARA KASIH
2. INIKAH BALASANMU
3. USAH DITAMBAH BARA YANG TERSIMPAN
4. BUNGAKU BAKAWALI
5. TEGA
6. SEKILAS PANDANG
7. DATANG DENGAN JANJIKU
8. BIAR PILU ADA PENAWARNYA
9. JANJI KEKASIH
10. DEMI KASIH KUTURUTKAN
11. SUTERA KASIH
12. PENGORBANANKU RACUN BAGIMU
13. CINTAKU UNTUK BAHAGIA
14. HUJAN SANUBARI

2004 - ATAS NAMA CINTA
1.MERRY-GO-ROUND
2. PENDITA PENIPU
3. ISTANA DEPAN MATA
4. ATAS NAMA CINTA
5. CUKUPLAH SEKALI
6. TAKDIR KITA
7. KEPASTIAN
8. UCAPAN CINTA IRAMA SETIA
9. DIFINISI CINTA
10. HATI INI

(ekstra info: Lagu Lain Yang Tiada Dalam Album Elly - Disapu Awan duet bersama Achong Sweet Child)
sumber maklumat - Yus (Thanx)

Rahsia Kecantikan

Syampu: Elseve Nutri- Ceramide dari L`Oreal
Losen: Palmer's Cocoa Butter Formula, Nivea Whitening Body Lotion & Nivea Visage Mostuere Lotion.
Perfume: Versage, Annick Goutal, Guerlain, Polo Sport, Ralph Lauren, Estee Lauder, Miracle, Dazzling, Escada & Bvlgari.
Minuman: Jus oren Peel Fresh & minum susu HL ataupun Dutch Lady.
Mandian: Pure Touch & Dettol
Deodoran: Marks & Spencer Lili Anti Perspirant.
Penjagaan Wajah: Dermalogica, Essential Cleansing Solution, Clay Cleanser, Multi Active Toner, Active Moist & Gentle Soothing Booster.
Cuci Mekap: L`Oreal Plenitude Gentle Cleansing Milk.
Vitamin: Kordel's Garlic 3000, Blackmores Evening Primrose Oil + Fish Oil, Kordel's Nutri-Time Multivitamins + Mineral & Nutrilite Calcium Magnesium.


eLLY . MaZLeiN
Artikel Menarik

Januari 2005
Elly bukan jenis jaja cerita peribadi!

1- SEKADAR kepastian, apa sebenarnya status Elly dengan drama bersiri Gerak Khas? Sudah lama tidak nampak Elly muncul dalam drama berkenaan sedangkan watak Inspektor Mazlein cukup penting dulu?

Elly berehat selama beberapa bulan sebab terlampau sibuk dengan persembahan pentas. Sepanjang tempoh berehat itu, Elly juga mengikuti kelas vokal selama tiga bulan bersama Hazami. Kesibukan itu memerlukan Elly membuat pilihan dan alhamdulillah, Datuk Yusof Haslam memahami. Tetapi, sekarang sudah kembali penggambaran untuk telemovie raya, Gerak Khas dan berlanjutan untuk episod seterusnya. Jangan kata Elly sudah berhenti berlakon. Belum lagi kerana ketika ini, Elly sudah mampu untuk membahagikan masa. Sekarang pun album terbaru masih dalam proses praproduksi, jadi Elly masih ada masa untuk berlakon. Elly sangat bersyukur kerana mendapat kerjasama kedua-dua belah pihak.

2- SELEPAS filem Tangkai Jering dan Gerak Khas 3 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, Elly seperti menyepi daripada dunia lakonan. Tiada tawaran baru atau Elly sendiri sudah tidak berminat lagi untuk meneruskan bidang lakonan?

Tak timbul soal tidak ada tawaran, cuma tidak mahu terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan. Biar perlahan tapi hasilnya baik, kenapa perlu tergesa-gesa? Walaupun Elly menyepi, tetapi kebanyakan tawaran datang dalam bentuk drama berepisod. Elly pula jenis lebih senang keluar apabila ada cerita. Sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk dikongsi bersama peminat. Tak keluar selalu pun tidak apa, nanti peminat jemu. Biar peminat sentiasa menanti kerana Elly mahu bertahan lama dalam bidang ini. Elly kena bijak atur strategi promosi supaya masih kekal dalam industri.

3- SEHINGGA kini, adakah Elly masih keliru untuk memilih mana satu bidang yang diminati? Dalam dua bidang ini, Elly tidak gagal malah populariti Elly juga menarik pengeluar produk jagaan wajah, Safi.

Elly tidak keliru, sebaliknya sentiasa melihat untuk mempelbagaikan cabang seni. Tak salah untuk mencuba bukan? Lagipun, Elly tengok ramai penyanyi yang mempelbagaikan kebolehan dan cabang seni mereka seperti Siti Nurhaliza dan Erra Fazira. Elly rasa sekarang artis tidak lagi memberi tumpuan kepada satu bidang saja. Tak salah ambil kesempatan untuk kembangkan sayap seni untuk mencari rezeki yang lebih. Elly tak kisah kerana sudah nampak hasilnya. Tawaran datang kerana kepercayaan orang, bukan disebabkan saya tamak mengejar bayaran lumayan. Semua artis akan mencari peluang dan pendapatan lebih, jadi apabila sudah di depan mata, mengapa tidak mencuba? Bukan semua orang luar akan memberi kepercayaan dengan mudah. Elly percaya pada kelebihan bakat, walaupun hakikatnya populariti Elly tidak sehebat mana. Tawaran itu membuktikan Elly masih ada tempat di hati peminat. Alhamdulillah, kerjasama dengan Safi juga sudah menampakkan hasil. Elly mahu menaikkan lagi nama jenama ini kerana mahu pengambilan Elly meninggalkan sesuatu yang positif kepada pengeluar.

4- SELEPAS menghasilkan album keempat, Atas Nama Cinta, nama Elly seakan tenggelam. Kenapa biarkan populariti itu berlalu dan tidak mempertahankannya ketika masih ramai yang mengintai bakat Elly?

Elly sebenarnya lebih suka bersederhana. Setiap insan seni ada cara mereka untuk terus mengetengahkan bakat. Elly pula jenis apabila ada cerita, baru selesa hendak bertemu teman wartawan. Banyak strategi promosi dan perancangan yang perlu dibuat supaya nama Elly tidak terpinggir. Biar sederhana tidak mengapa kerana cara ini lebih selamat. Elly tidak mahu kerana terlalu mengejar publisiti, akhirnya diri tidak ke mana-mana. Bakat terus tenggelam dan tidak timbul-timbul langsung. Publisiti penting tapi biarlah berpada-pada. Buat apa keluar, kalau sekadar cerita peribadi. Semua peminat pun faham Elly bukan jenis yang menjaja cerita peribadi. Tetapi, Insya-Allah, November ini Elly akan kembali aktif kerana filem pertama menampilkan Elly sebagai pelakon iaitu Tangkai Jering akan menemui penonton. Berdebar juga kerana sudah lama Elly tidak turun padang bertemu peminat. Dulu pun Elly terlalu sibuk kerja tanpa henti.

5- ELLY begitu sinonim dengan lagu melankolik. Sampai bila ingin membawa imej begitu sedangkan pembabitan dalam dunia rakaman bukan setahun dua, malah sudah ingin masuk album kelima. Tak nak buat perubahan ke?

Insya-Allah akan kembali ke studio rakaman merakamkan album terakhir bersama NAR Records. Selepas itu, kontrak Elly akan berakhir. Sebenarnya, memang Elly mahukan pembaharuan. Tetapi, kalau dibuat terlalu drastik, peminat akan terkejut. Ia sekali gus menghilangkan trademark Elly yang sesuai dengan lagu sentimental dan membuai perasaan. Perubahan perlu tetapi Elly tak mahu perubahan yang membawa padah. Mungkin 50 peratus daripada konsep album akan dirombak semula. Dalam hal ini, Elly sebenarnya mengikut perancangan syarikat rakaman. Mereka tahu apa yang terbaik. Mereka lebih berpengalaman dan tahu apa yang terbaik untuk terus memperkenalkan Elly. Tetapi, Elly bertuah kerana mereka setiasa meminta pandangan dan memberi peluang kepada Elly untuk duduk berbincang.
artikel-UM



20/12/2004
Elly Mazlein - Tangkai Jering hadiah hari lahir

ELLY Mazlein adalah antara pelakon generasi baru yang sedang meningkat naik dalam industri perfileman tempatan. Walaupun masih baru tetapi bakat lakonannya mendapat kepercayaan beberapa produksi filem termasuk Metrowealth Movies Production (MMP) yang telah menawarkannya dalam filem Tangkai Jering di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Filem Tangkai Jering memberi makna yang besar terhadap pembabitan Elly Mazlein dalam bidang lakonan. Buat pertama kali, Elly diberi peranan melakonkan watak utama sebagai Syakila dalam filem itu. Malah tarikh tayangan Tangkai Jering pada Khamis ini pun memberi kesan nilai sentimental kepadanya. ``Elly baru menyambut ulang tahun yang ke-24 pada 17 Disember lalu. Tangkai Jering pula akan ditayangkan pada 23 Disember ini. Elly rasa filem ini bagaikan hadiah hari lahir Elly tahun ini,'' akui penyanyi yang kini bersinar masa depannya di layar perak.

Menceritakan pengalaman berlakon Tangkai Jering, kata Elly, dia seronok bergandingan dengan Yassin Yahya walaupun itu merupakan kali pertama mereka dipertemukan dalam filem. ``Yassin seorang yang kelakar. Ada satu ketika saya sampai terpaksa mengigit filem sebab tidak dapat menahan gelihati melihat telatah Yassin,'' kata Elly. Di sebalik keseronokan berada di lokasi, dugaan juga turut dilalui oleh Elly. Dia rasa tercabar, di saat pengarah memintanya melakukan adegan menangis, meraung dan menjerit dalam satu waktu. Mujur Elly sukakan cabaran. Lalu arahan itu diterimanya dengan hati terbuka walau ada debaran kuat di dadanya.

``Berlakon dan menyanyi sudah menjadi karier sepenuh masa Elly. Kerana itu, Elly akan terima apa sahaja watak yang diberikan, termasuk watak sampingan. Apa lagi tawaran berlakon yang Elly terima sejak kebelakangan ini umpama `hujan lebat'. Jadi Elly tidak boleh terlalu cerewet asalkan ia sesuai dengan diri Elly,'' ujarnya yang kini mula membuat persiapan untuk merakamkan albumnya yang kelima dengan NAR Records. ``Mungkin Mac tahun depan Elly masuk studio,'' katanya. Tangkai Jering adalah filem ketiga Elly selepas Janji Diana dan Gerak Khas The Movie.
artikel-UM



19/12/2004
Elly Mazlein kerja keras waktu muda

ELLY MazlEIn artis popular. Tetapi popularitinya bukan berada di papan lapis utama.Populariti bagi seorang yang bernama Elly Mazlein di mata peminatnya hanya biasa-biasa sahaja, jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Siti Sarah. Meskipun dia adalah artis yang lahir sedikit kemudian daripada Siti Nurhaliza, antara dua insan seni ini sangat jauh pencapaian dan kebolehannya. Bagaimanapun itu semua bukan sesuatu yang menggusarkan. Bagi si pemilik tubuh, dia masih mempunyai ruang dan peluang dalam dunia hiburan. Bukan sedikit peminat yang menyokong perjuangan seninya dan atas faktor itu dia terus bertahan. Itu yang diterjemahkan selama lebih enam tahun bergiat aktif dalam dunia hiburan.

``Benar, saya tidak sepopular Siti Nurhaliza. Tetapi saya bersyukur dengan segala rezeki dan kebolehan yang saya ada hari ini. ``Cukup makan pakai, sesekali membeli pakaian berjenama, berkenderaan sendiri dan boleh menolong keluarga, bukankah itu rezeki yang cukup besar untuk saya?'' kata Elly, jujur memberikan pendapat. Sebagai seorang wanita yang hanya tamat pembelajaran di peringkat sekolah menengah, kata Elly dia bersyukur dengan segala yang menjadi miliknya hari ini. Ketika ada wanita lain dengan latar pendidikan yang cuma mampu menyandang jawatan sebagai kerani atau pembantu pejabat, Elly memiliki lebih daripada itu semua. Bukan untuk membanding, tetapi sekadar sebagai peringatan kepada diri sendiri agar tidak mudah berasa kekurangan. ``Kelebihan dan kebolehan masing-masing tidak sama. Sebagai anak seni, Elly merasakan peluang untuk maju dalam kerjaya menjadi sangat pantas dengan bantuan pihak media. ``Sebab itu di mana saja Elly berada, sejauh mana kaki melangkah, Elly akan pastikan perasaan syukur dengan rezeki yang datang kukuh di dalam dada,'' kata si pemilik `mata kucing' ini.

* Iktibar daripada artis veteran

Pada usia yang terlalu muda, awal 16 tahun dia mendekati dunia hiburan. Bermula dari suka-suka atau sekadar hobi, hari ini kerjaya seni menjadi sumber pendapatan utama wanita cantik bernama Elly Mazlein ini. Hari ini, dia bukan sahaja berjaya sebagai penyanyi, tetapi juga pelakon. Selepas siri yang menjelmakannya sebagai detektif polis, Gerak Khas, Elly ghairah ke dunia filem melalui Janji Diana dan Gerak Khas 3. Banyak yang menyenangi kelibatnya dalam drama dan filem, dan Elly bukan berhenti setakat itu sahaja. ``Kejayaan yang lebih hebat ialah mengekalkan populariti dalam kedua-dua bidang. Untuk popular bukan senang tetapi untuk mengekalkan populariti itu yang lebih susah. ``Jadi, saya anggap diri saya belum benar-benar berjaya sehingga mencapai tahap tertentu,'' katanya. Berjaya? Mungkin bagi mata yang memandang dia sudah berjaya meraih apa yang diinginkan dalam hidup tetapi untuk tuan empunya tubuh, masih terlalu banyak yang belum tercapai.

Antaranya hasrat yang masih di awang-awangan ialah memiliki perniagaan sendiri. ``Sekian lama Elly menyimpan impian. Untuk membina perniagaan sendiri. Bagaimanapun sehingga kini ia masih belum digapai tangan. ``Justeru Elly meletakkan sasaran pada tahun 2005 sebagai tahun untuk Elly kerja keras bagi menceburi bidang perniagaan pula,'' katanya yang masih merahsiakan cabang perniagaan yang mahu dilibati. Bercakap banyak takut tidak menjadi. Jadi, Elly membuat keputusan untuk mengumumkan perniagaan berkenaan bila tiba masa yang lebih sesuai suatu hari nanti. Itulah tuahnya menjadi artis di zaman baru. Bijak merancang masa depan, tidak leka dengan populariti yang bertahan cuma seketika. Melihat nasib dan kepedihan yang dilalui oleh banyak artis daripada golongan veteran yang hidup dengan cara sederhana barangkali memutik keazaman dalam diri artis angkatan baru seperti mereka untuk sentiasa bersiap sedia demi masa depan. Elly satu di antara mereka. ``Orang kata selagi muda kena kerja keras dan Elly melakukannya. ``Tak kira apa orang kata, tamak ke, haloba ke, Elly akan mengambil segala peluang yang datang depan mata bila sudah yakin mampu melakukannya,'' katanya lagi. Sementelah usia masih muda, peluang sedia di depan mata dan banyak kemudahan yang mendatang. Dia pasti tidak akan lepaskan segala peluang dengan berusaha gigih dalam apa jua pekerjaan.

* Tidak peduli lagi dengan gosip

Bertanya tentang cabaran paling besar yang digalas di bahunya sepanjang menjadi orang ternama, sudah tentu dia meletakkan segala fitnah dan tohmahan di nombor utama. Ketika kisah peribadi dijaja oleh orang keliling, ditambah dengan pelbagai umpatan dan fitnah yang semberono, Elly menganggap ia sebagai sesuatu yang cukup menyakitkan. ``Tetapi sebagai artis saya sudah sedia dari awal. Mungkin beberapa tahun dulu saya akan marah, geram, sedih dan menangis berhari-hari mengenangkan kata-kata orang. ``Tetapi sekarang tidak lagi. Saya buat tidak peduli kerana akhirnya orang akan tahu sama ada saya di pihak benar atau tidak. ``Bagaimanapun Elly tidak akan senang duduk kalau sesuatu fitnah atau gosip menjejaskan nama baik keluarga.

``Elly cukup menjaga hati dan perasaan mereka dan cukup marah kalau ada yang berani menyentuh soal maruah keluarga Elly,'' terangnya. Jika begitu bicaranya, pastinya wanita yang secara zahirnya dikenali sebagai artis yang penuh kelembutan ini, sebenarnya seorang yang kuat semangatnya. Tegap pendiriannya. Jika tidak kuat dan mudah goyah, mana mungkin dia mampu bertahan sehingga kini. Bukan begitu? Satu lagi kontroversi yang hebat membuatkan hatinya tercalar ialah apabila banyak mengaitkan namanya dengan Siti Nurhaliza. Pada awal kemunculannya banyak yang kata Elly cuba menjadi `klon' Siti Nurhaliza dengan meniru lenggok penyanyi popular yang mendominasi industri semenjak tahun 1996 itu. ``Orang boleh kata saya tiru sesiapa saja. Tetapi kalau sudah memang Tuhan anugerahkan saya suara seperti itu, apalah daya saya sebagai manusia untuk menolak. ``Tetapi hari ini alhamdulillah. Saya rasa tidak banyak lagi peminat yang buat tanggapan serupa. Ada kelainan antara kami dan saya tidak mahu ingat lagi pengalaman yang menyedihkan itu,'' kata pengagum Siti Nurhaliza ini lagi.

* Rahsiakan kisah peribadi

Elly Mazlein di alam percintaan. Tetapi masalahnya dia bercinta dengan siapa? Tidak ada yang boleh memberikan jawapan. Sikap berahsia tentang hal peribadi sedari awal dia menjejakkan kaki ke dunia seni menjadikan banyak yang sudah faham dengan falsafah yang dipegang. ``Biarlah orang mahu kata apa, yang penting bagi Elly kisah peribadi adalah milik Elly seorang. Elly hanya berkongsi dengan keluarga. ``Lagipun malulah kalau keluar di majalah atau akhbar orang bercakap tentang kisah peribadi. Kerjaya entah ke mana. Elly tidak mahu,'' tegasnya. Sama ada dirinya sudah berpunya atau belum, sukar untuk mendapatkan sebarang jawapan kerana prinsip yang dipegang. ``Setakat kawan-kawan, ramai. Tetapi Elly belum memutuskan untuk serius bercinta. Biarlah pada usia yang masih muda ini, Elly tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja, bukan hal-hal peribadi. ``Masa untuk Elly tidak banyak sebab sekarang sudah masuk usia 24 tahun dan seboleh mungkin Elly cuba untuk tidak mengganggu diri sendiri dengan cerita-cerita sampingan yang akan memberi kesan kepada kerjaya Elly sendiri,'' katanya. Mungkin semua sudah maklum akan prinsipnya yang tidak mahu mencampurkan kisah peribadi dengan karier, Elly tetap disenangi oleh banyak orang. Berlabuhnya tirai 2004 hanya beberapa hari saja lagi, Elly juga menyimpan azam dan cita-cita besar untuk dirinya sebaik saja tabir 2005 terkuak. ``Elly mahu jadi anak yang lebih baik dan berjasa kepada keluarga,'' itu azam si jelita ini.
artikel-UM



18/11/2004
Elly Mazlein - Rezeki murah di Hari Raya

SEPERTI tahun-tahun lalu, raya kali ini pun Elly Mazlein sekeluarga pulang ke Sungai Behrang, Behrang, Perak. Selepas beraya di Perak, mereka berkunjung ke Pulau Pinang pula. Jelas Elly, peluang berkumpul bersama sanak saudara adalah saat yang paling menggembirakan. Tambahan pula, dia jarang bertemu mereka kerana sibuk dengan kerjaya. Kali ini Elly tidak dapat beraya lama dengan sanak saudara kerana pada Hari Raya ketiga dia mendapat undangan mengadakan persembahan untuk rumah terbuka seorang ahli korporat. ``Alhamdulillah, raya kali ini rezeki Elly murah. Elly dapat banyak undangan mengadakan persembahan sempena rumah terbuka. ``Untuk Elly sendiri memanglah tidak buat rumah terbuka secara rasmi melainkan untuk ahli keluarga sahaja, tapi kalau ada yang nak datang beraya ke rumah itu silakanlah,'' katanya yang berbelanja secara sederhana itu.

Raya kali ini juga Elly telah membantu kakaknya menjual biskut raya. Kata Elly, kakaknya membuat lapan jenis biskut raya, antaranya makmur, tat nenas, melati dan batang buruk. Kata Elly, membantu kakaknya menjual biskut raya merupakan permulaan untuknya berjinak-jinak dengan bidang perniagaan. Sekarang ini Elly sedang menyiapkan kertas kerja untuk perniagaan yang bakal dilancarkan pada Mac tahun depan. Setakat ini sudah 20 peratus perancangannya berjalan. Jelas pelakon drama bersiri Gerak Khas itu, minat untuk menceburi bidang perniagaan timbul kerana seronok melihat kejayaan saudara mara yang lain. Sehubungan itulah Elly mendapatkan khidmat nasihat daripada sanak saudaranya.

``Sudah sampai masa Elly ikut jejak langkah ahli keluarga yang lain. Elly tengok bidang perniagaan kalau kita buat dengan serius dapat memberi imbuhan,'' katanya penuh yakin. Sekarang ini Elly sibuk membuat perbandingan harga terhadap barangan yang bakal dijualnya nanti. Biarpun dia akan memulakan perniagaan pada tahun hadapan, di waktu yang sama Elly tetap akan meneruskan karier seni. Kata Elly, bermula Januari depan, dia akan sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Bara. Menerusi drama yang diadaptasi daripada filem arahan Datuk Yusof Haslam itu, Elly akan memegang watak yang pernah dibawa oleh Nasha Aziz. Cuma dalam drama bersiri ini watak Nasha dipecahkan kepada dua karakter.

Kata Elly, sekiranya dia sibuk di lokasi atau persembahan pentas, kakak dan abangnya akan membantu perniagaannya itu. Elly yang juga jurucakap untuk produk kecantikan Safi Balkis sejak April lalu berharap, pada tahun hadapan berpeluang merakam album baru setelah setahun tidak menghasilkan album. Pada pertengahan Disember ini juga peminat berpeluang menonton lakonan Elly dalam filem Tangkai Jering. ``Sedar-sedar banyak pula tanggungjawab Elly. Sebelum ini Elly hanya menyanyi sahaja. Sekarang ini selain menyanyi dan berlakon, Elly juga akan sibuk membuat promosi untuk filem dan produk,'' kata penyanyi berusia 23 tahun itu.
artikel-UM



Mei 2004
Luahan Hati Elly Mazlein

ELLY MAZLEIN khabarnya terkilan apabila ada yang mempertikaikan alasannya yang tidak dapat hadir di Parti Cit Cat Ulang Tahun Ke-5 (PCC5) pada 17 dan 18 April lalu di Royal Adelphi Seremban (RAS), Negeri Sembilan. Kebanyakan mereka kononnya sukar menerima alasan bahawa ibunya sakit dan terpaksa menarik diri di saat-saat akhir. Ia menjadi topik hangat di kalangan wartawan yang hadir apatah lagi segala promosi seperti poster dan buku cendera mata PCC5 sudah terpampang wajahnya. Pun begitu, semasa Elly sedang menjalani latihan program hiburan di RTM, malam Rabu lalu, Bintang Popular berkesempatan mencuri masanya, sekali gus menyelami perasaan Elly yang sedikit tercalar gara-gara tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya, baru-baru ini.

MASALAH Elly dengan Parti Cit Cat Ulang Tahun Ke-5 (PCC5) sudah pun selesai. Elly dah call dan cakap sendiri dengan Abang Azwan (Ali). Apabila Elly terangkan situasi Elly kepada Abang Azwan, dia faham... Mama (ibu) Elly sakit bukannya baru dua, tiga hari, tapi sejak Oktober tahun lalu sehinggalah sekarang. Sekejap ok, sekejap tak ok. Bukannya selepas berubat dua, tiga hari dia ok, sebaliknya selesai berurut, tidur, bangun tidur, penyakitnya datang semula. Sebagai seorang anak, mestilah Elly risaukan keadaan Mama kerana ini adalah kali pertama Mama sakit macam ni. Sebelum ini Elly tak ada pengalaman dan ini adalah pengalaman pertama, orang yang paling Elly sayang, sakit.

... mama terpaksa berjemur. Siapa yang tak sedih...

Tapi, apabila keluar cerita yang bukan-bukan mengenai Elly baru-baru ini, Elly rasa terkilan jugalah. Abang Azwan dah kata ok, dia seorang (pihak berkenaan) saja yang melemparkan tuduhan. Elly tak marah sebab itu mungkin salah satu kerja dia dan dia sendiri tak alami situasi yang sedang Elly hadapi. Apabila suatu hari nanti dia mengalami perkara yang sama, dia akan tahu. Kenapa dia orang tak berdepan dengan Elly dan bertanya? Tak apalah, Elly tak melenting kerana Elly faham tugas mereka. Lagipun PCC5 adalah pembabitan pertama Elly, takkanlah Elly tak nak pergi. Elly akui, sehari sebelum PCC5, abah Elly dari kampung call dan beritahu Mama sakit dan Mama menangis tengok anak-anak dia tak ada dengan dia. Masa tu Elly tak sempat nak call Abang Azwan sebab nak cepat balik kampung. Apabila Elly dah sampai balik ke Kuala Lumpur, barulah Elly berkesempatan call Abang Azwan dan menceritakan keadaan sebenar. Elly minta maaf dengan Abang Azwan sebab Elly gagal pergi majlis dia. Tapi, Elly tak nampak isu Elly tak pergi PCC5 perlu diperbesar-besarkan. Namun, di kesempatan ini juga Elly nak minta maaf kepada semua peminat di atas ketidakhadiran Elly semasa PCC5 walaupun Elly sedar, semua persiapan sudah diatur rapi oleh Abang Azwan termasuk poster dan buku cenderamata yang mempromosikan kehadiran Elly bersama barisan artis lain.

... kita kena ingat sakit pening ni kita tak boleh jangka...

Tapi, kita kena ingat, sakit pening ni kita tak boleh jangka. Bukannya apabila sebut saja PCC5, terus Mama Elly sakit. Sebelum PCC5 lagi Mama Elly dah sakit. Cuma orang yang terdekat dengan Elly saja tahu Mama Elly sakit. Elly pun takkan nak cerita dengan semua orang, Mama Elly sakit. Perkara peribadi macam ni biarlah keluarga saja yang tahu, tapi apabila berlaku kekeliruan semasa PCC5 tu, Elly terpaksa berkongsi dengan peminat perkara ini. Tapi, bukan tujuan Elly meraih simpati peminat dan sakit pening Mama Elly juga tak memerlukan publisiti besar-besaran. Kita ni manusia biasa, kadang-kadang kita tersentuh apabila berdepan dengan tuduhan melulu. Pun begitu, apa saja orang nak buat andaian terhadap Elly, terpulanglah kerana bagi Elly, Elly tak mampu nak tutup mulut mereka. Walaupun Mama Elly sedang sakit, Elly perlu tabahkan hati untuk meneruskan kerjaya Elly. Periuk nasi kena jaga... Lagipun Mama Elly dah ok sikit, taklah seteruk macam dulu. Dulu, apabila Mama bangun tidur, kepala dia senget sebelah kiri. Tangan dan tengkuk Mama pula tak boleh gerak. Seolah-olah macam strok. Tapi, minta-minta janganlah strok. Apabila Mama nak mengurangkan kesakitan pada badannya, dia urut sendiri, jadi Elly sedih tengok keadaan Mama. Dah lama-lama, baru Mama boleh berjalan. Itu pun dia terpaksa menahan sakit. Tapi, sekarang ni dah ok sikit terutama selepas Mama berurut di Perak. Kita orang taklah jumpa pawang atau bomoh, cuma berurut secara tradisional saja. Sekarang ni nak kata Mama Elly dah stabil, tak juga sebab kami belum tahu punca penyakitnya. Kami dah berjumpa dengan doktor, mereka pun belum menemui jawapannya dan masih mengkaji penyakit sebenar Mama Elly.

... periuk nasi kena jaga juga...

Mama Elly pula dah tak tahan sakit, justeru kami pergilah bawa Mama berurut untuk mengurangkan kesakitannya. Sebelum ni pun Elly kasihan tengok Mama, apabila Mama bangun pagi, dia terpaksa berjemur tengah panas, bersenam tengah panas. Anak mana yang tak sedih... Sebagai seorang anak, Elly hanya mampu berdoa dan berharap Mama Elly akan segera sembuh dari penyakitnya. Buat masa ni Mama dah berada di Kuala Lumpur dan Elly minta tolong kakak jaga Mama, sementara Elly meneruskan kerjaya nyanyian dan lakonan. Lagi sekali kepada Abang Azwan, terima kasih kerana memahami situasi Elly. Kepada peminat, Elly minta maaf sekali lagi kerana tak dapat datang PCC5 tempoh hari. Tapi, sekali lagi Elly nak tekankan di sini, perkara sakit pening ni, tak boleh dibuat main. Semua tu kerja Tuhan. Apabila dah terkena pada diri sendiri, mereka akan tahu...
artikel-BM



25/04/04
Elly Mazlein 'kencing' peminat?

POSTER dan buku cenderamata Parti Cit Cat Ulang Tahun Ke-5 (PCC5) memang menarik kerana memaparkan wajah popular artis dan selebriti sensasi yang sudah mengesahkan kehadiran mereka ke PCC5. Namun selepas diperhatikan satu persatu wajah berkenaan dan dipadankan dengan senarai penuh kehadiran artis PCC5 semasa Anugerah Malam Gala Gemilang PCC5, baru Zubir perasan, Elly Mazlein sampai ke tengah malam tak nampak muka, padahal muka dah terpampang di sana sini di Royal Adelphi Seremban (RAS). Risik punya risik, akhirnya ada seseorang dah pecah rahsia, pecah lubang.

"Zubir, Elly (Mazlein) cancel last minute. Lagi 24 jam sebelum bas bertolak, Elly call Azwan dan beritahu dia tak dapat join PCC5 sebab mak dia sakit. Dulu masa press conference PCC5 pun Elly cancel last minute dan bagi reason yang sama, mak dia sakit. "Tak tahulah Zubir, setiap kali ada function yang ada kena mengena dengan PCC, mesti 'kantoi', mesti mak dia sakit. Tapi, kau jangan tanya Azwan, nanti dia tak layan. Sekarang ni Azwan dah tak kisah, kalau ada artis yang tak datang, dia dah malas nak ambil pusing. Pun begitu, kasihan pada peminatlah yang ternanti-nanti kehadiran Elly," jelas sumber yang hanya mahu dikenali dengan nama Mama Bosan. Zubir difahamkan dalam ramai-ramai artis popular yang dah confirm nak join PCC5, semua tunaikan janji, cuma Elly seorang saja yang tak datang. Maknanya satu nisbah 100.

Zubir pun menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAR Records, Fatimah Abdul Rahman untuk mendapatkan penjelasannya. "Zubir, memang benar mak Elly sakit. Mak dia sekejap okey, lepas tu sakit balik. Saya difahamkan, ketika ini Elly dah bawa mak dia balik kampung untuk berubat secara tradisional. Saya pun dah pesan dengan Elly, apabila mak dia dah pulih sikit, cepat-cepat bawa dia balik ke Kuala Lumpur dan masukkan ke hospital pakar. "Justeru, apabila Elly beritahu yang dia tak dapat join PCC5 sebab mak dia sakit, dia bercakap benar. Kasihan Elly, sekarang ni setiap hari dia menangis sebab sakit maknya tak berkurangan. Apa yang saya harapkan, selepas ini jika Elly tak dapat memenuhi mana-mana permintaan, janganlah berprasangka buruk terhadapnya," terang Fatimah lagi. Ha, jangan main tuduh-tuduh okey. Sekarang ni dah jelas mak Elly sakit dan bukan dia sengaja buat cerita dongeng. Zubir doakan mak Elly akan segera sembuh dari penyakitnya.
artikel-BM



08/02/04
Elly Mazlein - Bercuti untuk menyanyi

BAGAI sudah menjadi satu kebiasaan bagi seseorang artis melibatkan diri dalam dua cabang seni dalam satu masa. Penglibatan penyanyi dalam dunia lakonan atau sebaliknya semakin diterima oleh masyarakat biarpun ada segelintir daripada artis-artis tempatan yang tidak mampu membahagikan masa dan tumpuan. Elly Mazlein antara artis wanita yang memilih nyanyian dan lakonan sebagai punca pendapatannya. Lima tahun dahulu, dia mencipta nama sebagai penyanyi. Rezeki menyebelahinya dan syarikat rakamannya, NAR Records tidak pernah mengabaikan komitmen mereka dengan memberi peluang Elly merakamkan satu demi satu album. Tidak lama selepas itu, populariti yang dibinanya hasil daripada penglibatannya dalam bidang nyanyian menarik perhatian penerbit dan pengarah drama bersiri Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam. Yusof mempertaruhkan bakat Elly sebagai meneruskan tradisinya `melahirkan' pelakon-pelakon popular dalam drama bercorak kepolisan itu.

Percaturan sama ada di pihak Yusof yang menawarkan peluang berkenaan buat artis berkenaan mahupun bagi Elly sendiri yang menerima tawaran berlakon ternyata tidak silap. Gerak Khas mengukuhkan nama dan kedudukan artis berusia 23 tahun itu di persada seni tanah air. Selepas dua tahun bersama-sama team produksi Gerak Khas, Pancaindera mendasari sanubari Elly. Pembabitannya dalam siri Gerak Khas dilihat oleh banyak pihak seakan-akan menafikan kemunculannya sebagai penyanyi. Pada satu soalan, Elly ditanya apakah pembabitannya dalam siri Gerak Khas tidak menjejaskan komitmennya dengan bidang nyanyian, Elly mengakui, semenjak bergelar pelakon, tumpuannya kepada bidang seni suara terjejas. ``Sedikit sebanyak Elly dapat merasakan bidang nyanyian Elly agak tertinggal kerana komitmen Elly terhadap siri Gerak Khas begitu tinggi sekali. Kini, selepas difikirkan dengan sebaik-baiknya, Elly memohon untuk berehat seketika daripada pihak Datuk Yusof selama dua bulan untuk memberi tumpuan kepada karier seni suara Elly,'' kata Elly pada pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini. Keputusan yang dibuatnya itu, bagaimanapun, ujar Elly tidak bermakna dia akan menarik diri daripada memegang watak detektif Mazlin yang sudah begitu sinonim dengannya.

Tempoh berehat selama dua bulan yang diberikan oleh Yusof kepadanya pada masa ini merupakan permulaan buat Elly untuk merancang kerjaya nyanyiannya. ``Elly sekadar memerlukan sedikit ruang untuk diberikan kepada bidang nyanyian kerana syarikat rakaman NAR Records juga sudah merangka pelbagai strategi untuk tahun ini dan Elly harus memenuhi kehendak mereka,'' ujar Elly menjelaskan situasi sebenar sebelum ia disalah tafsir. Pada pertemuan itu juga, Elly berkali-kali menegaskan, tidak pernah terlintas untuk dia menggores perasaan pengurusan Skop Productions khususnya Yusof. ``Sebaliknya, Elly bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk kerana begitu memahami dilema yang Elly hadapi, lalu tempoh dua bulan diberikan untuk Elly berehat dan memberi tumpuan kepada nyanyian,'' kata Elly yang amat berterima kasih kepada Skop Productions Sdn. Bhd. Selepas dua tahun serius melakukan dua kerja dalam satu masa, Elly tidak mampu untuk berbohong pada dirinya sendiri bahawa ada kalanya dia berasa letih dan tidak bermaya untuk memberi tumpuan kepada kedua-dua bidang yang diceburinya. ``Tipu kalau Elly katakan Elly tidak letih melakukan dua kerja dalam satu masa dan kerana itu pada masa ini, Elly berkorban kerjaya lakonan buat sementara dan memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

``Elly berharap, keputusan yang Elly buat pada ketika ini akan memberi manfaat pada diri Elly dan juga kepada pihak-pihak lain juga,'' katanya. Ditanya apakah Elly sudah bersedia menerima hakikat suatu hari nanti jodohnya dengan Gerak Khas akan berakhir, lama juga si manis ini mengambil masa sebelum menjawab. ``Terpulang kepada keadaan, seandainya jodoh saya dengan siri Gerak Khas tidak lama, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Bagaimanapun, pada masa ini saya begitu menyayangi peluang dan kedudukan saya dalam siri itu. ``Bahkan Datuk Yusof juga tidak pernah mengongkong Elly sebaliknya, sering memberi sokongan moral dan Elly mengharapkan jodoh Elly ini Gerak Khas berpanjangan,'' Elly menyuarakan doanya. Dua tahun membintangi drama bersiri Gerak Khas selain filem Janji Diana - filem sulung lakonannya di bawah arahan Yusof, Elly tidak mampu menyembunyikan keseronokannya.

Keseronokan yang paling utama sekali ialah Elly dapat menimba kepuasan sekiranya watak yang diberikan kepada Elly memuaskan hati pengarah. ``Selain daripada itu, peluang mendekati pelakon-pelakon lain dan krew penerbitan juga antara faktor yang amat Elly senangi ketika di lokasi,'' akuinya lagi. Pada pertemuan itu juga, Elly menaruh harapan tidak ada pihak yang akan memanipulasikan isu dia berehat seketika dari Gerak Khas. ``Elly tidak melihat isu ini harus diperbesarkan kerana keputusan ini adalah sesuatu yang lumrah dalam apa juga pekerjaan. Semoga penjelasan ini tidak akan disalah tafsir oleh mana-mana pihak,'' kata Elly penuh mengharap. Menjelas lanjut perancangan kerjaya nyanyiannya untuk tahun ini, Elly merancang untuk memastikan bidang nyanyiannya akan bersinar seiring dengan kerjaya lakonannya. Menurut Elly, selepas syarikat rakaman NAR Records menganugerahkan cakera emas ekoran jualan memberangsangkan album ketiganya, kejayaan itu memberi motivasi kepadanya untuk melipat gandakan usaha itu. ``Elly percaya harapan dan peluang untuk Elly meluaskan pasaran album Elly di dalam industri amat cerah, tetapi Elly harus berkorban banyak perkara,'' kata Elly penuh optimis. Janji dan perancangan yang diatur oleh NAR Records kepadanya untuk lebih bertungkus-lumus merancang strategi pemasaran yang baik amat mengharukannya.



20/10/2003
Elly Mazlein - Penuhi impian ibu

PEMBABITAN Elly Mazlein dalam bidang nyanyian banyak didorong oleh minatnya sendiri. Elly bertuah kerana mendapat restu daripada ibu bapa serta keluarganya. Malah masing-masing memberikan sokongan moral kepadanya. Namun, sebagai anak yang mendengar kata, Elly juga tidak mengetepikan keinginan ibu bapanya yang mahu dia menceburi bidang jahitan dan perekaan fesyen. ``Ibu bapa Elly tidak menghalang Elly menjadi penyanyi ataupun pelakon. Walau bagaimanapun, ibu Elly teringin melihat Elly menjadi pereka fesyen jika Elly sudah tidak terbabit dalam bidang seni lagi. ``Itu adalah impian ibu Elly,'' kata Elly Mazlein selepas mengadakan sesi fotografi dengan Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina, impian ibunya itu tidak dianggap sebagai beban sebaliknya ia adalah untuk kebaikannya juga.

``Sebenarnya, Elly sendiri minat dengan bidang perekaan fesyen dan jahitan. Jadi, Elly rasa cadangan ibu Elly itu adalah suatu idea yang bagus. ``Kalau boleh, Elly mahu menjalankan perniagaan dan mempunyai butik sendiri apabila Elly sudah tidak terbabit dalam bidang seni nanti. ``Untuk itu, Elly akan menyertai kursus perekaan fesyen dan jahitan tidak lama lagi. Elly harap satu hari nanti impian ibu Elly akan jadi kenyataan,'' ujar Elly. Cerita Elly lagi, bidang perniagaan bukanlah asing dalam keluarganya kerana kebanyakan sanak saudaranya terbabit dalam bidang tersebut. ``Ramai saudara mara Elly yang menjalankan perniagaan sendiri. Contohnya, mak cik Elly menjalankan perniagaan runcit, abang Elly pula bekerja dengan pak cik Elly menguruskan peniagaan dalam bidang perubatan.

``Ia sedikit sebanyak memberi sumber inspirasi kepada Elly untuk menceburi bidang perniagaan,'' kata Elly penuh yakin. Dalam usianya 22 tahun kini, Elly bukan sahaja sudah merangka kariernya di masa depan, tetapi dalam masa yang sama dia semakin ligat dengan aktiviti seninya. Tidak cukup dengan empat buah album yang telah dihasilkannya setakat ini, anak bongsu daripada tiga beradik ini baru sahaja habis menjalani penggambaran filem terbarunya berjudul Tangkai Jering terbitan Metrowealth Movies Sdn. Bhd. ``Tangkai Jering adalah filem kedua lakonan Elly. Kali ini Elly melakonkan watak Shakila bergandingan dengan Yassin. ``Selepas itu, Elly akan menjalani penggambaran siri Gerak Khas terbitan Skop Productions,'' kata Elly.

Ternyata peluang untuknya ke dunia lakonan terbuka luas apabila dia seterusnya dihujani dengan pelbagai tawaran berlakon filem yang lain pula. Bagaimanapun, kata Elly, dia harus bijak membahagikan masa. ``Buat masa ini, Elly banyak tumpukan masa untuk mempromosikan album keempat Elly berjudul Atas Nama Cinta yang berada di pasaran sejak September lalu,'' kata Elly lagi. Sebelum ini Elly pernah menghasilkan empat album iaitu Sutera Kasih (1998), Satu Persatu (2000), Elly (2001) dan The Best Of Elly Mazlein (2002).



210903
Soal hati milik Elly Mazlein

HAMPIR dua tahun Elly Mazlein menanti kelahiran album penuhnya, Atas Nama Cinta. Album itu hadir ketika anak kelahiran Behrang, Perak ini bergelut dengan masa. Antara nyanyian dan lakonan, Elly mencintai kedua-duanya.

TANYALAH Elly Mazlein apa saja mengenai kerjaya seni yang sudah enam tahun dibina. Memang tiada rahsia! Dan dia sentiasa bersedia dengan jawapan terbaiknya.

Namun, jangan ditanya soal pacaran atau berkaitan peribadi kerana Elly belum bersedia untuk berkongsi dengan peminat.

Soal hati, seperti yang sering ditegaskan, tetap menjadi rahsia peribadi milik dia dan keluarga. Itulah pegangan penyanyi yang mula meniti populariti dengan lagu Suratan Kasih. Pendirian itu masih belum berubah walaupun kini dia sudah meniti usia 22 tahun.

“Memadailah sekiranya Elly sekadar berkongsi perkara berkaitan kerjaya dengan peminat. Itu sudah mencukupi. Alhamdulillah, peminat mengerti suara hati Elly. Mereka tidak pernah mendesak,” tenang Elly membuka bicara yang membawa seribu pengertian.

Di sebalik raut wajah manis itu, sebenarnya terlindung satu kekuatan. Ketika insan sebayanya masih leka dengan keseronokan, Elly pula mengetepikan semua itu. Sebaliknya, sebahagian besar masanya dihabiskan dengan memburu impian.

Dia ingin menjadi anak seni berwibawa. Justeru, dia tidak terkilan walaupun terpaksa melakukan pengorbanan besar. Akui gadis bertubuh langsing, ada ketika dia tidak dapat membohongi hatinya.

“Memang ada masanya Elly terlalu sibuk. Letih dan badan pula lemah kerana terlalu kuat bekerja. Namun, kena ingat muda hanya sekali. Pada usia beginilah, Elly harus terus berusaha mencari rezeki sedaya yang boleh.

“Sesuatu yang sering Elly sematkan dalam fikiran, rezeki jangan ditolak. Bimbang kalau ditolak akan menimbulkan pandangan negatif pihak lain. Sedaya upaya Elly cuba untuk tidak menghampakan mereka.

“Tetapi tidaklah sampai membebankan diri. Elly sentiasa mengukur kemampuan diri. Tidak mahu terlalu memaksa badan kerana akhirnya nanti, Elly yang akan menerima kesannya,” katanya.

Kesungguhan itu kata Elly, bertitik tolak dari kepayahan lampau. Secara jujur, Elly memberitahu dia tidak dilahirkan dalam keluarga mewah. Untuk itu, Elly sentiasa berusaha keras membalas jasa ibu bapa yang berjasa membesarkannya.

“Mereka tidak pernah minta dibalas dengan kemewahan. Malah, Elly sendiri belum cukup mewah. Tidak pernah berharap yang lebih-lebih. Elly belajar bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan.

“Biarlah kekal sederhana begini, asalkan limpahan kasih sayang keluarga tidak berkurangan. Hanya itu yang Elly mahukan dari mereka,” katanya. Redup mata Elly sudah cukup menceritakan betapa dia kini bahagia dengan laluan yang dipilihnya.

Atas Nama Cinta, album terbarunya lahir membawa seribu pengertian. Penyanyi yang sudah memiliki empat album penuh itu cuba memberanikan diri untuk membawa pembawa pembaharuan atas kehendak peminat.

Kobar semangat Elly kian membara apabila dua lagu iaitu Hati Ini dan Pendita Penipu menerima perhatian positif peminat.

“Elly semakin yakin dengan album ini. Elly mahu bawa pendengar merasai perubahan, seiring dengan usia pembabitan Elly dalam dunia nyanyian. Lebih menggembirakan Elly apabila syarikat rakaman menampakkan kesungguhan dalam penerbitan album ini,” kata Elly riang.

Penyanyi bersuara manja ini juga dilihat semakin menyinar dalam bidang lakonan. Bermula dengan siri televisyen popular, Gerak Khas, bakat lakonan Elly melebar ke layar perak. Janji Diana arahan Datuk Yusof Haslam menjadi titik permulaan.

Tangkai Jering, filem kedua lakonannya menguji kemampuan Elly sebagai pelakon utama. Jujur dia mengakui, lakonan banyak menyokong namanya untuk terus bertahan dalam dunia seni.

“Sejak berlakon, semakin ramai yang mula kenal Elly Mazlein. Walaupun bukan semua mengenali siapa Elly, itu tak jadi masalah. Berada di hati mereka sudah cukup menggembirakan Elly.

“Impak dunia lakonan terhadap kerjaya seni Elly terlalu besar. Alhamdulillah, pilihan Elly untuk jadi pelakon tak salah. Apabila sudah mencuba bidang yang baru, dapat pula rezeki yang baik, Elly semakin bersyukur,” katanya.

Doa Elly, dua kerjaya yang sama-sama dicintainya itu dapat bergerak seiring. Jauh di sudut hati, dia akur perlu jujur dengan dirinya.

“Memang Elly terlalu sibuk ketika ini. Namun, Elly tidak pernah kisah kerana percaya usaha itu berbaloi. Susah payah, penat, ada ketika tiada masa untuk keluarga, namun Elly korbankan semuanya.

“Elly hanya mencari peluang yang ada. Penat menjadi perkara kedua. Biarlah Elly susah hari ini supaya di kemudian hari, tidak perlu bersusah payah begini. Elly tak nak jual mahal ketika diperlukan,” katanya, mengakui semakin selektif dengan tawaran yang diberikan.



180803
ELLY MAZLEIN - Rezeki semakin melimpah

ATAS Nama Cinta adalah pertaruhan Elly Mazlein dalam usahanya meletakkan diri sebagai penyanyi terkenal. Atau, sekurang-kurangnya album keempat ini memperlihatkan wibawa dirinya sebagai penyanyi yang mampu memikat peminat dengan kehadiran album baru. Album Atas Nama Cinta ini dianggap menarik bukan saja kerana judulnya, malah dua lagu yang dimuatkan juga hebat. Pendita Pendusta dan Merry Go Round ternyata mendapat tempat istimewa di stesen radio. Keistimewaan ini tentunya dipengaruhi oleh kelainan berbanding lagu-lagu dendangan Elly sebelum ini.

Ternyata Elly, 22, yang popular dengan watak Detektif Mazlein dalam siri Gerak Khas berpuas hati dengan pembikinan album terbarunya itu. ``Saya memilih rentak rancak kali ini atas permintaan peminat. Sebagai penyanyi, tidak salah bagi saya untuk memenuhi kehendak mereka. ``Alhamdulillah, lagu-lagu dalam album terbaru ini sesuai dengan kemampuan saya. Secara langsung, terhapuslah dakwaan yang mengatakan saya tidak boleh nyanyi lagu berentak rancak,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Perubahan ini menurut Elly wajar dilakukan bagi disesuaikan dengan gaya muzik masa kini. Mengekalkan konsep yang sama dalam tiga album terdahulu tentunya memberi impak yang berbeza. Justeru, pendekatan terhadap muzik rancak memberi kepelbagaian pilihan kepada peminatnya. Dalam masa yang sama, Elly masih mengekalkan identitinya yang tersendiri. Selain sibuk dengan promosi album baru, Elly juga semakin aktif mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan. Rezeki dalam bidang ini juga semakin membanjiri hidup Elly.

Setelah muncul dalam filem Janji Diana sebagai watak pembantu, kini beliau ditawarkan pula untuk memegang peranan utama dalam filem Tangkai Jering. Filem arahan Razak Mohaideen yang memulakan penggambaran sejak awal bulan ini cuba mencungkil bakat Elly sebagai Shakila. Elly digandingkan bersama Yassin, bekas kumpulan Senario. Walaupun Elly memegang peranan utama, babak yang melibatkan dirinya dirakam hanya 10 hari. Justeru, dalam waktu yang singkat itu beliau perlu memberikan komitmen di lokasi.

Ini kerana selain berlakon dan mempromosi album, Elly yang menjadi duta untuk Persatuan Bulan Sabit Merah itu juga sibuk menjalani penggambaran siri Gerak Khas. ``Alhamdulillah, rezeki saya murah ketika ini. Biar pun penat tetapi saya gembira kerana berpeluang melakukan pelbagai kerja. ``Inilah pengalaman yang paling bererti dalam hidup saya. Pengalaman ini akan menjadi catatan yang tidak mungkin dilupakan,'' katanya terus terang. Menyentuh mengenai gandingannya dengan Yassin dalam Tangkai Jering, Elly tertawa kerana mengenangkan sikap Yassin yang kuat mengusik. Beliau gembira kerana berpeluang berlakon di sisi pelawak terkenal itu.

Elly menganggap kemunculannya dalam filem tersebut dapat membuka ruang untuknya mencuba watak yang lebih mencabar. Bagi Elly, inilah masa yang paling sesuai mencari sesuatu yang berharga dalam industri seni. Justeru itu selagi mampu, beliau mencuba sesuatu bidang baru yang berkaitan seni, Elly akan teruskan.



060703
Elly Mazlein - Minta jangan difitnah

MENJADI anak seni tidak lekang daripada berhadapan dengan seribu satu dugaan. Bukan sedikit anak seni yang tersungkur apabila kerjaya seni mereka berdepan dengan kegagalan. Malah lebih malang lagi apabila ada cerita-cerita peribadi sesetengah daripada anak seni turut dibongkar sehingga tiada lagi istilah privacy kepada mereka. Bagaimanapun itulah harga yang harus dibayar oleh seseorang individu apabila memilih untuk berkongsi hidup mereka dengan masyarakat. Apa lagi bagi anak seni yang masih meniti usia remaja, pancaroba yang harus ditempuh mereka jauh lebih besar. ``Saya akui kerjaya seni sangat mencabar tetapi pada masa sama ia penuh dengan keseronokan,'' kata artis remaja popular, Elly Mazlein dalam satu pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini.

Pada usia 22 tahun, Elly tidak seperti remaja lain yang menikmati keseronokan hidup zaman remaja - zaman yang dianggap sebagai fragmen paling indah dalam hidup seseorang. Sebaliknya, pada usia sebegitu Elly sudah berdepan dengan pelbagai situasi yang penuh dengan ketegangan, sentiasa bergolak dan bergelora. Daripada air mukanya, apa yang dapat ditelah artis muda ini sudah tidak mampu untuk menyembunyikan kekecewaannya apabila kebahagiaan hidup sebagai artis telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Pada kesempatan mendasari jiwanya baru-baru ini, Elly mengakui, hatinya terguris dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang seakan-akan mahu membunuh kerjayanya. Ketika sedang menikmati musim-musim bahagia di samping keluarganya, Elly didatangi pelbagai cerita kurang enak yang diperkatakan oleh mereka yang kurang senang dengan kejayaannya.

Pancaindera sendiri sudah banyak kali mendengar cerita kononnya dia menikmati kebahagiaan dan kemewahan di atas air mata orang lain. Elly turut dikaitkan dalam skandal percintaan tiga segi. Semua ini mengganggu emosinya dan Elly tidak punya tempat untuk meluahkan segala dakwaan yang tidak berasas itu. ``Saya sendiri sudah banyak kali mendengar cerita kurang elok mengenai diri saya. Dari mana datangnya sumber itu saya sendiri tidak tahu kerana semua yang diperkatakan mereka tidak benar sama sekali,'' jelas Elly sambil menyeka air matanya. Elly sedar menjawab dakwaan sesetengah pihak mengenai kehidupan peribadinya kepada Pancaindera akan lebih membebankan. ``Saya sudah tidak mampu untuk membendungnya lagi. Tolonglah jangan sebarkan cerita tidak betul. Saya masih ada perasaan dan masih rasional untuk memikirkan baik dan buruk mengenai masa depan saya,'' kata Elly yang sudah tidak mampu menahan air matanya.

Kata Elly lagi, bergelumang dalam dunia hiburan tidak bermakna fikirannya cetek sehingga dia tidak mampu untuk mengenal yang mana jauhari, yang mana manikam. ``Memilih hidup sebagai anak seni menyebabkan saya terikat pada janji saya dengan keluarga iaitu saya tidak akan mengguris hati mereka. ``Komitmen saya pada kerjaya seni ialah mencari rezeki dan mahu berkongsi kegembiraan, kebahagiaan dan keselesaan hidup dengan mereka,'' jelas Elly lagi. Sebetulnya, pada masa ini, dia sedang berusaha untuk melupakan segala dakwaan tidak berasas yang dikaitkan dengan dirinya. ``Saya harap selepas ini saya tidak lagi dikaitkan dengan cerita-cerita karut yang boleh membinasakan kerjaya seni saya,'' pinta Elly berkali-kali. Kini, apa yang jauh lebih utama kata Elly ialah, dia mahu lebih fokus terhadap kerjaya seninya. Pertengahan bulan ini, album solo keempatnya akan berada di pasaran dan Elly harus memastikan album itu berjaya di pasaran.

``Sudah lebih setahun saya tiada album baru dan peminat sudah mula bertanya. Saya tidak mahu menghampakan mereka dan diri saya sendiri. Kerana itu album ini sesuatu yang amat penting dalam kerjaya saya sebagai penyanyi,'' kata Elly bercerita mengenai album terbarunya itu. Kali ini dia bekerjasama dengan ramai penerbit. Antaranya Aidit Alfian, Azlan Abu Hassan, Aiman, Azmeer, LY, Eddie Hamid dan lain-lain. Elly dan syarikat rakamannya, NAR Records juga mempertaruhkan lagu Merry Go Round sebagai single pertama. ``Tajuk lagu itu cukup catchy dan saya percaya ramai yang tertarik dengan penghasilan Aidit Alfian,'' kata Elly bercerita mengenai lagu ciptaan komposer muda berbakat besar itu. Cukuplah Sekali pula kata Elly, bakal menyusul sebagai single kedua. Dalam kegusaran menanti reaksi peminat terhadap album terbarunya, Elly juga turut berdepan dengan debaran berganda apabila filem sulung lakonannya, Janji Diana bakal ditayangkan 24 Julai ini.

Janji Diana merupakan pertaruhan besar masa depannya dalam bidang lakonan selepas kemunculannya dalam siri Gerak Khas disenangi ramai. Ketika membuat keputusan meneroka dunia lakonan lebih setahun yang lalu, mungkin banyak yang menganggap ia tidak lebih sekadar menurut trend seperti dilakukan banyak penyanyi popular lain. Tetapi ini berbeza dengan matlamat Elly. Dia lebih jujur untuk menjadi pelakon dengan hasrat mahu mencuba nasib dalam bidang lakonan. ``Pada masa itu saya tidak anggap ia sebagai sesuatu yang serius. Saya hanya mahu mencuba sesuatu yang baru,'' Elly menyambung perbualan. Bagaimanapun setelah secara langsung terlibat dalam lakonan dan menerima maklum balas positif daripada peminat, Elly menjelaskan beliau mengubah pendirian. ``Lakonan kini menjadi bidang kedua saya selepas nyanyian,'' katanya yang berazam untuk mempertingkatkan keupayaan dalam kedua-dua bidang berkenaan pada masa depan.

Bekerja keras dan merebut peluang pada usia muda menurut Elly, bukan sesuatu yang luar biasa pada masyarakat artis hari ini. ``Saya bekerja keras untuk memahat nama saya. Ada ketikanya masa untuk berehat juga saya lupakan kerana saya berpegang kepada prinsip untuk bekerja keras ketika usia masih muda. ``Itu adalah pengorbanan dan saya yakin orang lain turut melalui perkara yang serupa, yang berbeza hanyalah pengalaman mereka,'' ujarnya sambil merenung jauh masa depannya. Pada masa yang sama dia mengakui dalam dunia hiburan terlalu banyak saingan yang harus dihadapinya. Artis kata Elly, silih datang dan pergi. ``Sebab itu ketika orang masih memerlukan, Elly bersedia memenuhi segala peluang yang diberikan,'' katanya lagi. Sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanya Elly apa doanya setiap hari. ``Semoga rezeki berpihak kepada saya dan saya berdoa agar Allah memberikan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini,'' katanya seraya meminta izin mengundur diri.



18/04/03
Elly Mazlein - Jayakan Karnival TV3

SELEPAS Dataran Johor Bahru, Johor siri Karnival TV3 2003 - Sure Heboh menjelajah pula Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu dan Ahad ini dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari acara berlangsung. Bakal dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Farid Ridzuan, karnival itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada penonton luar Kuala Lumpur mendekati stesen sukaramai berkenaan.

Menambahkan lagi kemeriahan acara yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-19 stesen televisyen berkenan, beberapa siri persembahan mini konsert diadakan dengan barisan penyanyi popular semasa. ELLY MAZLEIN turut memberikan persembahan pada Karnival TV3 di Ayer Keroh, Melaka.

Antara penyanyi lain yang mengambil bahagian Ezlynn, Phyne Ballerz, Apacian, Chakra Sonic, Antz, Nora, Platinum, Sarah, Handy Black, Elyana, Siti Nordiana, Boboy, Ali (XPDC), Abot, Winnie Kok dan Mamat.



24/02/2003
Elly Mazlein - Teliti pilih lagu

KEBIASAANNYA apabila sesebuah album baru bakal dipasarkan penyanyi akan berasa senang kerana itu tandanya mereka masih mendapat kepercayaan syarikat rakaman. Pengedaran album baru juga sebagai tanda kelangsungan kepercayaan syarikat rakaman dan peminat. Apatah lagi ketika pasaran tidak menentu sekarang. Namun penyanyi Elly Mazlein semakin takut dan berdebar menanti kehadiran album solo keempatnya yang bakal dipasarkan penghujung Mac ini. Dia bimbang sekiranya album itu tidak menyerlah sebagaimana album-album terdahulu. ``Apabila memiliki empat buah album, kita sudah boleh digolongkan sebagai penyanyi lama dan itulah yang merunsingkan saya,'' kata Elly kepada Utusan Malaysia.

Kebimbangan itu membuatkan dia berhati-hati dan teliti memilih lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu. ``Saya sendiri turut terlibat dalam memilih lagu,'' katanya yang telah merakam lapan buah lagu setakat ditemui bara-baru ini. Antara lagu menarik yang dimuatkan berjudul Merry Go Round ciptaan komposer yang semakin mendapat perhatian ramai penyanyi, Aidit Alfian. Lagu itu sebuah lagu Melayu yang menggunakan judul bahasa Inggeris yang dianggap menarik.

``Apabila saya beritahu lagu saya berjudul Merry Go Round banyak yang tertarik dan ingin mendengar bagaimana bunyinya,'' kata Elly lagi. Elly sedar betapa sukarnya bagi seseorang penyanyi untuk mengekalkan tahap yang dimiliki sekarang. Apatah lagi banyak penyanyi baru yang muncul. ``Saya tentunya membuat persembahan terbaik untuk memastikan kehadiran saya masih mendapat tempat,'' kata Elly lagi. Dia tidak mahu terlepas peluang merakamkan lagu Aidit yang kini diperkatakan setelah menjuarai Anugerah Juara Lagu baru-baru ini.

``Saya turut memilih Aidit kerana lagu-lagunya mempunyai sentuhan berlainan dan tersendiri,'' kata Elly lagi. Walaupun Aidit mencipta lagu-lagu untuk banyak penyanyi terkini, namun lagu-lagu komposer itu pelbagai gaya, katanya. Komposer lain yang terlibat dalam album itu termasuk Azmeer, Zulkifli Majid, Eddie Hamid dan beberapa lagi. Dalam perkembangan lain Elly masih sibuk menjalani pengambaran drama Gerak Khas. Komitmen dalam dua bidang itu membuatkan dia tiada masa terluang.

``Saya ke lokasi penggambaran apabila tiada persembahan nyanyian,''kata Elly lagi. Pengarah drama kepolisan itu, Datuk Yusuf Haslam faham dan tidak membebankannya dengan terlalu banyak babak dalam setiap episod. Dia tidak terfikir untuk mengorbankan karier lakonan kerana merasa seronok dan sehingga kini masih mampu menumpukan perhatian kepada kedua-duanya.



17/12/2002
Elly Mazlein - Yakin dengan lakonan sendiri

PENAMPILAN penyanyi Elly Mazlein menerusi drama bersiri Gerak Khas akhir-akhir ini mendapat pujian ramai. Malahan penyanyi itu sendiri mengaku bahawa lakonannya dalam drama terbitan Skop Production itu semakin menyakinkan berbanding dulu. Elly yang diberi tanggung jawab membawa watak detektif Mazlin berkata, dirinya sudah serasi dengan watak yang dibawanya sejak setahun itu. Malahan, beliau juga sudah tidak kekok untuk melakukan adegan lasak. Sebaliknya, jika ada kesempatan Elly lebih senang melakukan adegan tersebut sendiri tanpa mendapat bantuan daripada pelakon ganti. ``Sekarang ini barulah Elly boleh rasa besar hati sikit sebab Elly sudah yakin dengan lakonan sendiri. ``Paling menggembirakan kerana banyak pihak yang sering memberi dorongan untuk Elly terus memperbaiki kelemahan diri,'' katanya yang banyak mendapat sokongan daripada peminat tercinta. Penyanyi dan pelakon manja ini merakamkan ucapan terima kasih kepada para pelakon dan krew produksi itu yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan teguran berguna kepadanya. Hasil daripada kerja keras sendiri dan bantuan rakan sekeliling, lakonannya semakin mantap. Malah, hasil daripada penampilan yang berkesan itu jugalah beliau mendapat tawaran daripada Datuk Yusof Haslam untuk muncul dalam filem Janji Diana. Di dalam filem yang yang menggandingkan Erra Fazira dan Rosyam Nor itu, Elly berlakon sebagai rakan baik kepada Erra.

Elly menyatakan kesyukurannya kerana mendapat kepercayaan pengarah dan sekali gus peluang itu memberi beliau tapak untuk melangkah lebih jauh lagi di dalam bidang seni. Selain itu beliau juga pernah mendapat tawaran berlakon drama daripada seorang pengarah wanita. Namun, tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana terikat dengan jadual lakonan Gerak Khas. ``Memanglah Elly rasa sedikit terkilan kerana tidak berpeluang berlakon drama yang menggunakan latar belakang 60-an itu. ``Elly terpaksa menolak kerana tidak mahu tergesa-gesa melakukan dua perkara dalam masa yang sama. Nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran,'' katanya terus terang. Pada masa akan datang jika jadual kerjayanya tidak bertindih beliau bercadang untuk terus berlakon filem atau drama lagi. Elly yang bercadang untuk mengimbangi kerjaya nyanyian dan lakonan itu, kini sibuk menjalani rakaman untuk album baru. Setakat ini Elly telah merakamkan lagu-lagu ciptaan Ly dan Eddie Hamid. Album terbarunya itu dijangka akan berada di pasaran pada bulan Februari tahun depan. Lain-lain komposer yang turut menyumbangkan lagu-lagu untuk albumnya itu ialah Aidit Alfian dan Azmeer. ``Album ini banyak perubahan yang pasti mengejutkan peminat-peminat Elly. Tunggulah kemunculannya nanti,'' katanya penuh rahsia.



22/09/2002
Elly Mazlein tidak sunyi tanpa kekasih

ARTIS muda tanah air, Elly Mazlein pernah dikaitkan sebagai klon penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Semenjak hari pertama dia melangkah kaki ke persada seni, dia cuba memperbaiki setiap kelemahannya sungguhpun pelbagai kritikan dilemparkan terhadapnya. Kini Elly semakin jauh berubah. Dia sungguh berbeza dengan kemunculannya dahulu. Dia semakin cantik dan berseri-seri. Elly juga bijak menjawab setiap pertanyaan wartawan. Baru-baru ini saya berpeluang berbual dengan artis muda ini yang begitu sibuk dengan jadual seninya.

MM: Hai Elly! Apa cerita baru yang boleh dikongsi bersama? ELLY: Elly kini agak sibuk dengan bidang lakonan. Terbaru, Elly akan membintangi filem Janji Diana arahan dan terbitan Datuk Yusof Haslam. Selain itu Elly juga mencuri-curi masa untuk merakamkan album solo keempat bersama NAR Records. Oktober depan pula Elly akan diumumkan secara rasmi sebagai Duta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Wilayah Persekutuan.

Ramai yang berkata, Elly kebelakangan ini mempunyai persamaan dengan Siti Nurhaliza lebih-lebih lagi dengan pelantikan terbaru PBSM itu. Apakah komen Elly? Kak Siti duta PBSM bagi peringkat nasional. Elly pula hanya untuk Wilayah Persekutuan.

Tetapi beberapa perkembangan lain Elly juga ada persamaan? Ye ke? Mungkin ia cuma kebetulan. Elly tidak menafikan tuah Kak Siti banyak mempengaruhi Elly. Bagaimanapun, Elly sendiri banyak berusaha untuk kejayaan diri Elly dan tidak ketinggalan rezeki Tuhan juga banyak menyebelahi Elly.

Berapakah beza usia Elly dan Siti? Elly 21 tahun dan Kak Siti sekarang 23 tahun. Dua tahun sahaja beza umur kami.

Elly meminati Siti Nurhaliza? Sudah tentu. Dia berbakat besar dan sudah menempa kejayaan. Elly amat berbangga dengan pencapaian Kak Siti.

Bagaimanakah dengan kehidupan Elly hari ini? Elly seronok sangat dengan apa yang Elly kecapi dalam hidup sekarang. Rezeki yang Tuhan berikan begitu murah dan apa yang perlu Elly lakukan sekarang ialah bekerja dengan lebih keras lagi untuk mencapai tahap yang Elly ingin capai.

Apakah tahap yang ingin Elly capai? Memadai kalau Elly berpeluang berada di tahap yang sederhana kerana sebelum ini Elly pernah kecewa.

Kecewa? Bila dan apakah yang menyebabkan Elly kecewa? Ya, kecewa. Sewaktu pelancaran album sulung Elly, Sutera Kasih. Album sulung itu langsung tidak mendapat sambutan sedangkan itu album sulung Elly. Bayangkan ketika itu sudah lebih dua tahun album Elly di pasaran, tetapi masyarakat masih belum mengenali Elly. Sedih sangat. Tetapi, sekarang semuanya sudah berubah dan perkembangan ini amat menyeronokkan Elly.

Elly sekarang juga dikenali sebagai Detektif Mazlin dalam siri Gerak Khas. Adakah watak tersebut mengubah kehidupan Elly? Tidak secara 100 peratus. Itu hanya lakonan semata-mata tetapi watak tersebut banyak memberi manfaat dan faedah kepada Elly. Ini kerana melalui lakonan itu bakat lakonan Elly mula dikesan oleh orang lain. Terima kasih Datuk Yusof kerana mempercayai Elly!

Elly kata jadual Elly agak sibuk, bilakah masanya Elly bercuti? Tak ada masa langsung untuk Elly bercuti. Minggu lalu Elly berpeluang untuk bercuti tiga hari. Itu pun sebab Elly demam panas dan abah Elly bawa kami sekeluarga pergi bercuti. Dapat juga Elly berehat.

Khabarnya Elly tidak menjamah nasi untuk kurus dan cantik seperti hari ini, betulkah? Ketika awal amalan diet dulu memang betul itulah petua yang Elly amalkan. Tetapi kini diet Elly sudah berubah. Elly sudah mula makan nasi dua hingga tiga kali seminggu. Elly perlu berhati-hati kerana berat badan Elly cepat naik kalau asyik makan nasi.

Bagaimanakah pula dengan kecantikan? Elly sekadar mengamalkan rawatan muka, rawatan badan, rambut dan kulit.

Apakah filem terakhir yang Elly tonton di pawagam? Filem So Close di Tanjung Golden Village, KLCC. Best sangat filem itu. Elly suka dengan lakonan ketiga-tiga pelakon wanita dalam filem berkenaan.

Ramai orang bertanya pada saya, Elly ini sudahkah berpunya? Belum lagi. Biarlah Elly tumpu pada kerjaya Elly dulu dan kukuhkan kedudukan Elly sebagai artis.

Tidak sunyikah tanpa teman lelaki? Kadang-kadang terasa juga. Tetapi, Elly tidak ada masalah kerana usia Elly masih muda.



24/08/2002
Elly Mazlein - Sebati dengan Gerak Khas

Semangat berani mencuba ternyata memberi peluang kepada penyanyi Elly Mazlein meneroka lebih jauh dunia seni yang diceburi beliau. Meskipun pada awalnya tidak yakin terhadap kemampuan dirinya sebagai pelakon, Elly memilih untuk menerima tawaran sebagai Detektif Mazlin dalam siri drama Gerak Khas. Bukan sahaja Elly yang kurang yakin, malah banyak pihak lain termasuk penonton yang pada mulanya agak ragu dan menganggap tawaran itu bertolak daripada populariti Elly sebagai penyanyi. Banyak yang seperti kurang percaya penyanyi bermata `kucing' ini berkemampuan mengembangkan bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan. Bagaimanapun itu kisah setengah tahun lalu. Hari ini Elly membuktikan bahawa memilih beliau untuk drama berkenaan adalah satu keputusan tepat dilakukan oleh penerbit Skop Production, Datuk Yusuf Haslam. Hasilnya kini Elly telah menjadi sebahagian daripada identiti Gerak Khas yang disiarkan setiap minggu di TV1. Beliau mempunyai peminat sama seperti pelakon lain dalam siri drama itu sama ada Abby Abadi atau AC Mizal. Elly menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam lakonan apabila menjadikan pengalamannya sebagai panduan dalam segala tindakan. Menurut Elly, keadaan hari ini semakin berubah dibandingkan dengan waktu awal kemunculannya sebagai pelakon. Tetapi disebabkan keyakinan boleh melakukan sesuatu setelah mencuba, Elly ternyata berjaya dengan prinsipnya. ``Ada yang kata saya berlakon macam kayu, kaku dan sebagainya. Saya sendiri tidak nafikan adakalanya malu melihat penampilan sendiri di kaca televisyen ketika mula-mula jadi pelakon. Tetapi setiap sesuatu ada prosesnya dan saya anggap itu perkara biasa,'' jelas Elly. Bagaimanapun Elly menerima semua kritikan mengenai penglibatan beliau dalam kerjaya seni ini daripada sudut yang positif. Jauh sekali untuk beliau berjauh hati atau merajuk dan tersinggung. Bagi Elly, kritikan yang tidak membina dan tidak benar akan dilupakan orang dan hanya kritikan yang membina saja akan dimanfaatkan sama ada oleh artis atau peminat. Elly juga mendapat banyak tawaran berlakon baik dalam drama mahupun filem selepas bakatnya semakin diperkatakan. Apabila ada pengarah lain yang yakin dengan kebolehannya, ini dianggap sebagai pengiktirafan kepada orang seni seperti Elly. ``Saya tidak mahu terlalu terburu-buru. Buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada Gerak Khas sebab saya saya bukan pelakon sepenuh masa,'' ujar Elly. ``Saya juga perlu terus memberi tumpuan kepada nyanyian yang merupakan sumber pendapatan saya yang utama,'' katanya. Semenjak menjadi pelakon, jadual harian artis remaja ini sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti. Jika tidak berlakon, Elly akan memenuhi undangan menyanyi, termasuk sesi fotografi dengan pihak media. ``Saya sentiasa sibuk hingga tidak ada masa bertemu dengan ibu bapanya dan hanya berbicara melalui telefon,'' kata Elly. Berpegang kepada prinsip untuk bekerja keras ketika usia masih muda, Elly menjelaskan, masa untuk beliau berada dalam dunia seni bukanlah terlalu lama. ``Dalam bidang ini terlalu banyak saingan. Artis datang dan pergi. Sebab itu ketika orang masih memerlukan, Elly bersedia memenuhi segala peluang yang diberikan,'' katanya lagi.


17/06/2002
Elly tidak kejar banyak tawaran

PENYANYI Elly Mazlein semakin yakin dengan lakonan setelah beberapa bulan membawakan watak anggota polis dalam siri Gerak Khas. Apatah lagi apabila diajar teknik memegang pistol dan beradu kekuatan oleh pengarah dan juru tunjuk lagak aksi dalam siri drama itu. Kemampuannya beraksi dalam drama itu menarik minat beberapa pihak lain untuk menawarkannya berlakon dalam filem. Namun dia belum bersedia membawakan watak lain kerana mahu serasi dengan watak lasak seorang pegawai polis terlebih dahulu. ``Saya tidak mahu terlalu mengejar peluang sehingga mengganggu tumpuan saya,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini. Apatah lagi dalam masa sama dia masih lagi aktif dengan nyanyian malah bakal muncul dengan album baru pada Ogos depan. ``Saya akui agak sibuk untuk memberi tumpuan kedua-dua bidang ini,'' katanya. Dia bernasib baik kerana pihak Skop Production yang menerbitkan drama tersebut membuat jadual lakonan mengikut jadualnya. ``Saya belum mahu digelar pelakon lagi,'' katanya yang ingin mengecapi lebih banyak kejayaan sebagai penyanyi. Dalam perkembangan lain, Elly akan muncul dalam Konsert Amal Afghanistan - Exists 2002 di Sarawak pada 14 Julai depan. ``Saya hanya penyanyi undangan kumpulan Exists,'' kata Elly yang memiliki personaliti yang semakin menarik sekarang. Malah penampilan yang semakin meyakinkan itu membuatkan dia dilamar oleh pengeluar produk penjagaan diri. ``Saya tidak boleh umumkan lagi kerana masih belum menandatangani kontrak,'' kata penyanyi itu. Dia harap perbincangan mengenainya akan berjalan lancar kerana kemunculan sebagai jurucakap produk juga membantu mempromosikan seseorang artis. Menyentuh mengenai album terbarunya, kata Elly dia sendiri akan berbincang dengan komposer sebelum memulakan rakaman. ``Dengan berbincang dan mengenali lagu-lagu dengan baik saya akan dapat menghayatinya,'' kata Elly lagi. Dia menyerahkan kepada syarikat rakaman untuk menentukan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dan sekiranya ada kesempatan dia sendiri akan menulis beberapa buah lirik. ``Saya akan menulis beberapa buah lirik untuk album terbaru nanti,'' katanya lagi. Album ketiganya yang memuatkan lagu Bungaku Bakawali terjual melebihi 20,000 unit, satu angka yang membanggakan sekarang.


022001
'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' kembali menaikkan nama Elly

Lagu 'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' kembali menaikkan nama Elly Mazlein setelah kecundang menerusi album pertamanya. Belajar dari kesilapan dan pengalaman, Elly Mazlein kini mencuba nasib dengan album ketiganya. Penyanyi yang baru berusia 20 tahun ini masih mengekalkan konsep pop komersil untuk album ketiga ini. Bagaimanapun untuk bergelar penyanyi popular, bukan sedikit pengorbanan yang diperuntukkan. Album ketiga adalah album penentu kejayaan Elly. Kalau sebelum ini album 'Satu Persatu' telah kembalikan Elly dalam arus hiburan, album terbarunya ini menjadi penentu apakah Elly akan terus kekal atau sebaliknya. "Elly mahu melakukan yang terbaik untuk album ini biarpun terpaksa berkorban," ujarnya sewaktu ditemui ketika menjalani rakaman untuk albumnya di studio NAR Records, Taman Tun Dr Ismail. "Hampir 60 peratus album ini sudah siap dan saya juga dalam proses untuk menukar imej demi untuk tampil lebih baik dari album terdahulu," jelas Elly. Menurut penyanyi ini, imej yang bakal dipaparkan akan lebih sesuai dengan usia dan majlis yang dihadirinya. "Sebelum ini banyak komen yang kata gaya Elly tak kena tempat dan sebagainya, tapi sekarang Elly sentiasa berbincang dengan perunding imej yang terdiri dari orang dalam NAR Records sendiri," tambahnya mesra. Elly Mazlein juga berkemungkinan besar terpaksa mengorbankan rambutnya bagi menimbulkan kelainan pada wajah dan penampilannya. "Sebelum in Elly banyak sanggul rambut atau ikat, jadi kali ini mereka mahu Elly tukar gaya rambut agar nampak lebih remaja," ujarnya yang juga terpaksa menahan makan untuk menurunkan berat badannya. Mengulas mengenai album terbarunya ini, Elly menjelaskan bahawa album ini turut mendapat sentuhan beberapa orang komposer terkenal negara, antaranya Azmeer, LY, Ajai, Is Wow, Eddie Hamid, Alfa Booty dan Sharom. "Elly lebih gemar bekerja dengan ramai komposer sebab kita akan mendapat sentuhan yang berbeza dari mereka. Mereka juga berfikiran terbuka dan Elly bebas buat pilihan atas lagu dan sebagainya," tambahnya yang menyerahkan penilaian album ketiga ini pada peminat. Selain dari itu, Elly Mazlein akan muncul di beberapa buah negeri dalam rangka promosinya apabila album ini siap selewatnya akhir Mac ini. Elly Mazlein kebudakan? Lumrah bergelar artis, Elly Mazlein tidak lepas menjadi bahan kontroversi. Baru-baru ini Elly dikatakan bersikap terlalu kebudak-budakkan hingga tidak menyenangkan sesetengah pihak. Elly yang pada mulanya terkejut diajukan soalan ini menjelaskan: "Elly tak akan melenting jika ada yang komen Elly begitu. Sebaliknya bila mereka komen maknanya mereka mengambil berat mengenai Elly dan Elly berterima kasih," ujarnya selamba. "Elly cuba mengubah perangai yang orang tak suka secara perlahan-lahan, tapi kita tak mampu buat semua orang gembira," tambahnya yang kesal sikap manjanya telah disalah ertikan sesetengah pihak. "Kalaupun Elly bersikap manja, tentunya pada ahli keluarga ataupun orang di syarikat rekod. Tidak semestinya dengan orang yang baru kenalpun nak tunjukkan sikap manja," jelasnya.


18/10/2000
Elly Mazlein rakam album baru

Bagi seorang penyanyi, antara yang paling mengguris perasaan mereka ialah apabila dikatakan cuba meniru atau terpengaruh dengan gaya penyanyi lain terutama penyanyi tempatan. Tetapi Elly sendiri enggan berbicara mengenai perkara itu sebaliknya mahu teruskan aktiviti nyanyian dengan cara tersendiri. "Saya tidak mahu lagi memberikan sebarang ulasan mengenai isu persamaan itu,'' kata Elly kepada Utusan. Dia berharap peminat dapat menilai sendiri apabila mendengar lagu-lagu yang bakal dihasilkan dalam album terbaru yang kini dalam proses pembikinan. Album ketiga yang masih mengekalkan konsep pop komersial akan menampilkan komposer terkemuka seperti Azmeer, LY, Ajai dan banyak lagi. "Sekiranya tiada aral melintang album ketiga saya akan dipasarkan pada Januari depan,'' kata penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu. "Saya rahsiakan dulu apakah yang akan saya lakukan dalam album ketiga untuk memberi kejutan kepada peminat,'' kata Elly lagi. "Saya juga membuat persiapan awal untuk ke peringkat separuh akhir Juara Lagu 2000,'' katanya yang mempertaruhkan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan.


08/10/2000
Elly Mazlein mahu cipta sejarah

Lagu Janji Kekasih iaitu single keduanya dalam album tersebut, turut menambah kekuatan populariti artis ini. Walaupun ramai kalangan orang media yang menyatakan bahawa vokalnya hampir-hampir menyamai vokal Siti Nurhaliza, namun Elly menganggapnya sebagai satu kebetulan dan dia tidak pernah cuba 'menumpang' kepada populariti Siti. "Elly tetap bekerja keras untuk memastikan dua lagu itu diminati. Elly baiki vokal dan mutu persembahan setiap kali ada show,'' katanya. Bagaimanapun, Elly yang ditemui baru-baru ini menyatakan bahawa pada masa yang sama populariti yang dikecapinya sekarang ini turut meresahkan dirinya sendiri. Apa tidaknya, dia sekarang ini dalam proses merakam album ketiga dan album itu bakal berada di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. "Elly takut kalau album ketiga ini mengalami nasib seperti album pertama dulu, Sutera Kasih. "Perit rasanya. Pernah satu ketika Elly nak ambil keputusan nak berhenti menyanyi. Show waktu itu amat kurang. "Tapi Elly gagahkan juga merakam album kedua dan alhamdulillah ia dapat sambutan dan show sekarang ini boleh tahan,'' katanya. Ternyata dalam keresahan tersebut, Elly tetap berfikiran positif dan berusaha menampilkan yang lebih baik daripada album kedua. Dia mahu semua aspek iaitu vokal, mutu persembahan, lagu dan imej apabila album ketiga lebih baik lagi dari yang sebelum ini. Malahan, untuk album ketiga ini dia menyatakan ada sesuatu istimewa yang khas ditujukan bagi peminat setianya. Namun begitu, apakah keistimewaan itu dia enggan menyatakan dengan alasan bahawa ia masih terlalu awal. "Peminat perlulah tunggu bila album berada di pasaran. Lagipun tak grandlah kalau cakap awal-awal. "Kalau boleh Elly mahu mencipta sejarah yang tersendiri bagi album ketiga. Elly tak mahu kejayaan album ketiga dipengaruhi oleh album kedua. "Apa yang pasti album ini memang istimewa untuk semua peminat Elly,'' katanya. Selain daripada sibuk menyiapkan diri untuk album baru, Elly juga sibuk menguruskan badannya yang kini semakin membesar. Akui Elly sejak kebelakangan ini selera makannya semakin bertambah dan itu penyumbang kepada berat badannya yang semakin naik. "Tidak tahu kenapa, sejak kebelakangan ini selera baik betul rasa nak makan saja. Tetapi kini Elly terpaksa mengawalnya. "Jika tidak tentu malu untuk bersua dengan peminat kelak,'' kata Elly.


09/05/2000
Elly Mazlein...menunggu album baru

Pada masa ini, dia sedang mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album yang dijangka memulakan proses memasukkan vokal sekitar Jun depan. "Kami tidak mahu membuang masa, sebaliknya mahu mengambil kesempatan di kala peminat sedang menerima lagu-lagu saya,'' kata Elly semasa ditemui baru-baru ini. Tambahan pula, katanya, peminat telah mula menanyakan mengenai lagu-lagu terbaru daripadanya setelah mereka memiliki album lalu. "Kini peminat sentiasa mahukan lagu terbaru daripada sese-orang penyanyi,'' kata Elly semasa ditemui baru-baru ini. Kekerapan menghasilkan album juga membuatkan mereka tidak sepi daripada bahan berita untuk dihebahkan kepada pihak media. Dia juga tidak mempunyai masalah untuk kerap menghasilkan album kerana bernaung di bawah syarikat tempatan yang tidak mempunyai banyak artis. Dia juga berharap dapat lahir dengan album baru dengan segera untuk menghindari perbandingan dirinya dan Siti Nurhaliza. Lagu ciptaan Azmeer nyanyiannya sering dikaitkan dengan lenggok suara Siti Nurhaliza yang pernah menyanyikan lagu ciptaan pencipta itu. Elly memberitahu, dengan kehadiran album terbaru, peminat akan dapat menilai suaranya yang tersendiri sekali gus menghakis tanggapan mengenai persamaan antara mereka. Seseorang penyanyi tentunya tidak senang apabila suara mereka dikaitkan dengan penyanyi lain kerana mereka ingin memberikan persembahan yang tersendiri. Sementara itu, populariti lagu tersebut juga telah membawa namanya sebaris dengan penyanyi popular lain. Elly juga banyak menerima tawaran mengadakan persembahan pentas di seluruh negara sejak akhir-akhir ini. Dia juga terlibat dengan kempen Malaysia Boleh sempena Piala Thomas/ Uber, sejak tiga bulan lalu.


13/02/2000
Elly Mazlein mahu bina identiti sendiri

Album sulung itu sekadar pengenalan dan album itu dijadikan sebagai 'umpan' untuk memancing sejauh mana penerimaan peminat terhadap dirinya. Meskipun pulangan jualan album itu sekadar 'balik modal' sahaja, namun baik Elly mahupun syarikat rakaman NAR Records Sdn. Bhd., tidak pernah menyesal mahupun serik untuk menerbitkan album penyanyi itu. ''Itu adalah cabaran dan kerana berani menyahut cabaran syarikat rakaman NAR memberi kepercayaan untuk menghasilkan satu lagi album Elly yang berjudul Satu Persatu,'' ujar penyanyi itu memulakan bicara. Langkah dan perancangan yang diatur penuh yakin oleh Elly dan NAR pada awalnya diharapkan akan menafikan beberapa elemen yang lebih terjurus kepada pemerhatian negatif. Namun, mereka sekadar merancang dan takdir menentukan Elly berdepan dengan satu tugas berat iaitu apabila kemunculannya dikritik hebat. Vokalnya kala mendendangkan hampir kesemua lagu dalam album Satu Persatu dikatakan menyamai penyanyi popular Siti Nurhaliza. Lebih memedihkan telinganya apabila cara penyampaiannya ketika mendendangkan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan dikatakan cuba meniru gaya artis termasyhur tanah air itu. ''Terus terang Elly katakan semuanya berlaku secara kebetulan. Elly enggan untuk mengulas panjang, cuma apa yang dapat Elly katakan ialah Elly mahu membina identiti tersendiri,'' ujarnya yang jelas sedikit kecewa apabila berdepan dengan tekanan tersebut. Tanpa mahu mengulas panjang persoalan itu, Elly memberitahu, dia lebih selesa jika pihak media tidak terlalu menggembar-gemburkan perkara itu dan memberi fokus kepada album terbarunya. Kata Elly, keadaan ini bukan bermakna dia enggan memberikan kerjasama, tetapi dia tidak mahu nanti ada pihak yang terasa hati. ''Cukuplah rasanya jika tidak dibangkit lagi soal itu... kerana apa yang penting sekarang ialah banyak lagi tanggungjawab Elly yang harus ditunaikan,'' ujar Elly lagi sambil memandang Pegawai Perhubungan NAR Records, Amy yang menemaninya. Menyentuh tentang kemunculan Satu Persatu yang menampilkan ramai komposer hebat, Elly berkata, gabungan yang diperolehinya itu merupakan peluang yang sudah lama dinantikannya. Kata Elly, sebelum bergelar artis lagi dia sering berangan untuk bekerjasama dengan komposer yang termasyhur dan sekali gus menimba pengalaman yang berharga. ''Alhamdulillah, hasrat Elly tercapai dan pengalaman itu sesuatu yang cukup istimewa sepanjang pembabitan Elly dalam bidang seni,'' kata Elly yang turut diberi peluang menyuntik idea. Menurutnya, dia diberikan 'suara' untuk pembikinan album ini selain peluang untuk memilih lagu yang digemarinya dan cara lagu itu didendangkan. ''Terus terang saya katakan, album ini adalah yang istimewa dan saya akan jadikan ia sebagai bekalan di masa depan untuk memberikan hasil yang lebih baik,'' jelas Elly lagi.


24/06/1998
Elly Mazlein pilih lagu sesuai

Menyedari hal itu, Elly Mazlein sudah lama menyimpan cita-cita agar setiap album sesuai dengan cita-citanya itu. ''Berbohonglah kalau saya kata tidak ada penyanyi yang mahukan lagu-lagu yang bagus. Saya sedar ramai artis kita yang mampu menyanyi dengan baik cuma lagu mereka kadangkala agak kurang sesuai,'' jelasnya. Ketika ditanya apakah dia juga terhimpit dengan keadaan itu, Elly menafikan kerana kemunculan album pertamanya dianggap satu eksperimen dan pengenalan sahaja. Walaupun dia menyukai kesemua lagu-lagu daripada albumnya tetapi Elly tidak dapat mengagak dengan tepat cita rasa peminat. Namun begitu ujar Elly, dia bersyukur kerana ada dua tiga lagu daripada albumnya yang diminati ramai. Sebaliknya jika diberi pilihan kata Elly, dia mahukan semua lagu dalam album itu terbaik. ''Mungkin agak sukar saya mencapai tahap itu tapi saya terus berusaha. Sebagai orang baru, saya perlu mengkaji banyak aspek yang boleh membantu karier saya,'' jelasnya. Elly yang pernah diperkenalkan menerusi album Sutera Kasih kini semakin dikenali dengan lagu duet bersama Acong menerusi album Kompilasi Balada Cinta yang berjudul Disapu Awan. Keindahan melodi lagu tersebut ditambah dengan gandingan mereka berdua telah menaikkan lagi populariti lagu tersebut. ''Saya bersyukur kerana lagu tersebut dapat diterima. Itulah pertama kali berduet dengan Acong. Ada peminat yang sukakan gandingan kami,'' katanya lagi. Menyentuh tentang album keduanya kata Elly, dia berminat untuk mendapat khidmat komposer seperti Adnan Abu Hassan, Johari Teh dan Eddie Hamid.


17/06/2001
Elly Mazlein terkilan

HATI penyanyi Elly Mazlein tersentuh lagi. Elly agak sedih apabila ada pihak masih mempertikaikan penampilan album ketiganya Elly yang sudah berada di pasaran. ``Entah kenapa ada pihak terus-terusan mempersoalkan vokal Elly dan masih menyamakannya dengan penyanyi tertentu. ``Sedangkan Elly memang cuba melakukan yang terbaik untuk album tersebut,'' katanya. Menurut Elly, dia bersedia menerima sebarang kritikan selagi ia dapat membina semangatnya dan bukan menindas dirinya. ``Elly tidak tahu kenapa ada orang ingin berbuat demikian. Janganlah menindas artis yang mencuba sesuatu yang baru,'' katanya dalam nada sedih. Biar apa pun, kata Elly, semua itu tidak pernah menjatuhkan keazamannya. Dia percaya kepada niatnya. Bukan itu saja, dia juga mempercayai para peminat masih meminatinya. ``Elly berterima kasih kepada para peminat yang yakin Elly juga punya keistimewaan,'' kata Elly. Peminat masih segala-galanya dalam kerjayanya dan dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk mereka. Selain itu, Elly juga ingin menghargai mereka selagi ada peluang. Album ketiga Elly dilancarkan di hadapan para peminatnya di Seremban, Negeri Sembilan. Kata Elly, dia memilih untuk melancarkan album tersebut di sana kerana album keduanya meraih jualan kedua tertinggi di Seremban selepas Johor Bahru. ``Dulu album kedua Elly dilancarkan di Johor Bahru. Kini Elly memilih Seremban pula untuk memberi peluang kepada peminat di Seremban bertemu Elly,'' jelasnya. Album ketiga Elly menampilkan banyak lagu merdu termasuk Bungaku Bakawali, Demi Kasih Ku Turutkan dan Gerimis. Selain itu, album berkonsepkan pop komersial itu juga mempertaruhkan lagu pop tradisional iaitu irama keroncong kontemporari untuk lagu Ku Berkasih Pada Yang Tiada ciptaan Azmeer. ``Ada banyak perbezaan dalam menyanyikan lagu pop balada dan tradisional tetapi bagi Elly semuanya ada kelebihan masing-masing. ``Elly mengambil keputusan untuk merakamkan lagu pop tradisional kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. ``Elly cuba menyampaikan nyanyian yang terbaik untuk lagu itu bagi memastikan lenggoknya betul,'' tambahnya. Menurut Elly, dia juga menyimpan hasrat untuk menghasilkan album pop tradisional suatu hari kelak. Apabila album itu terbit, Elly berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan album itu. Elly kini sibuk mempromosikan album barunya Elly di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


21/05/2001
Elly Mazlein tampil suara tersendiri

Album Baru
Album: Elly MazleinJudul:Elly
Penerbit: Eddie Hamid, Azmeer, Azman Abu Hassan, Tapai, Is Wow dan Amin
Terbitan: Nar Records

Kalau ada yang bertanya mengapa vokal Elly Mazlein berlainan dalam album terbarunya kali ini. Jawapannya, lagu-lagu yang didendangkan oleh penyanyi itu tidak lagi menggunakan `teknik hidung' atau mirip suara yang keluar menerusi hidung ketika menyanyi. Untuk album ketiga ini, Elly diarahkan oleh komposer supaya menyanyi dengan `gaya lepas' tanpa terikat dengan tonasi hidung. Ini diakui sendiri oleh Elly yang kini tidak lagi gusar dengan komen-komen yang mengatakan suaranya mirip Siti Nurhaliza. Malahan Elly yang nama sebenarnya Sharifah Aida Malina Syed Hanafi, 21, mengakui untuk album ini dia banyak belajar teknik menyanyi daripada komposer. ``Sebab itu lagu-lagu dalam album ini berbeza dari dulu. Elly diberi peluang menyanyi lagu-lagu dengan gaya sendiri. Kalau ada persamaan dengan penyanyi lain memang tidak dapat dielakkan, tetapi dari masa ke masa Elly akan cuba mengatasinya,'' katanya terus terang. Jelas Elly, dia juga diberi kesempatan merakamkan lagu berentak pop keroncong menerusi lagu Ku Berkasih Pada Yang Tiada ciptaan Azmeer dan lirik oleh Lukhman S. Tambahnya, dia ingin mencuba sesuatu yang baru dan sebab itulah dia meminta Azmeer menciptakan lagu berentak pop keroncong. Ujar Elly, walaupun muzik keroncong belum dapat diterima sepenuhnya oleh golongan muda, tetapi dia yakin apabila irama itu digabung dengan pop, ia mampu memberi keserasian pada pendengar. ``Oleh kerana Elly belum pernah merakamkan lagu asli, mula-mula memang susah sikit, tetapi dengan tunjuk ajar Azmeer, Elly boleh buat,'' akuinya. Sebuah lagi lagu yang sukar untuk dia rakamkan ialah Cintaku Untuk Bahagia yang dicipta oleh Amin. Jelas Elly, lagu itu memerlukan dia menyanyi dengan sepenuh hati kerana nadanya yang tinggi. Album yang berentak balada, `dance music', pop dan pop etnik turut menampilkan sebuah lagu ciptaan komposer Eddie Hamid iaitu Bungaku Bakawali. Selain Elly yang mendendangkan lagu Bungaku Bakawali, penyanyi Siti Nordiana, Syura dan kumpulan New Boyz juga mempunyai judul yang hampir sama iaitu Bakawali. Bungaku Bakawali yang berentak pop dan lirik oleh Man Toba itu memang dicipta khas untuk Elly. Jelas Eddie, dia mengambil masa selama seminggu untuk menghasilkan lagu yang memuatkan elemen muzik moden ala Barat itu. Eddie yang sering diberi peluang menghasilkan sebuah lagu untuk setiap album Elly mengakui penyanyi itu mempunyai gaya tersendiri. Untuk lagu Bungaku Bakawali, Eddie memberitahu, dia terpaksa membiarkan Elly menyanyi dalam gelap selama empat jam untuk menjiwai lagu tersebut. ``Apa yang saya nampak Elly susah hendak menjiwainya mungkin sebab lagu itu berkisar mengenai cinta. Tapi dari segi vokal dia semakin bagus,'' ulas Eddie. Lagu lain yang dimuatkan di dalam album itu ialah Gerimis, Sejuta Rasa, Datang Dengan Janjiku (Iwan), Cinta Untuk Bahagia, Sekilas Pandang (Tapai), Inikah Balasanmu (Shahrom), Demi Kasihku Turutkan (Alfa).


15/04/2001
Seni menyatukan Ferhad & Elly Mazlein

SEBELUM merakamkan wajah terbaru Ferhad dan Elly Mazlein, saya tertanya-tanya sendiri apakah mereka mempunyai keserasian. Ini kerana Ferhad dan Elly memperjuangkan dua muzik dari aliran yang berbeza. Ferhad dengan irama r&b dan banyak menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Mengenali Elly pula, pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan saya bahawa pasaran muziknya lebih tertumpu kepada muzik pop. Berbeza bukan? Akan tetapi, sifat ketimuran orang Melayu yang terkenal kerana budi bahasa dan ramah bagaikan sukar dikikis dalam diri mereka. Biarpun datang daripada latar belakang yang berbeza, baik muzik mahupun keluarga, namun seni menyatukan dua anak muda ini. Ferhad, lelaki tampan kelahiran Kota Singa bukan seorang yang sukar didekati dan Elly pula dilihat begitu senang sekali berdampingan dengan penyanyi lelaki itu yang kini popular dengan lagu Kasih Berubah. ``Senang sekali berkawan dengannya. Dia kelakar dan suka menyakat,'' cerita Elly mengenai Ferhad. Benar apa yang dikatakan Elly. Sepanjang fotografi berlangsung, tidak sukar untuk menimbulkan mood ceria kerana Ferhad tidak ketandusan idea untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar. Memperkatakan mengenai Ferhad, dia digolongkan sebagai artis luar yang berjaya membina pengaruh dan populariti di negara ini. Dalam waktu yang singkat dia diterima dengan begitu meluas sehingga melayakkan dirinya bertanding pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 pada 28 April ini. ``Saya amat bersyukur dengan penerimaan peminat muzik di Malaysia terhadap bakat seni saya. Sangkaan saya ialah saya akan sukar untuk memancing perhatian peminat seni, rupa-rupanya silap,'' jawab Ferhad, artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Positive Tones Sdn. Bhd. Apa yang menarik mengenai jejaka yang berusia 27 tahun ini ialah kesempatan merakamkan album di Malaysia turut membuka peluang kepadanya untuk melebarkan empayar seni ke beberapa negara jiran lain. Paling membanggakan Ferhad atau nama sebenarnya Ferhad Iberhim ialah lagu yang dipetik daripada album sulungnya Debut, Higher Deeper sudah menjadi juara di beberapa carta radio di negara Indonesia. ``Itulah kejutan paling besar buat saya. Berikutan itu, kemungkinan besar saya akan ke Indonesia untuk mengadakan promosi di sana,'' jelas Ferhad yang dijangka berangkat ke republik itu pada hujung bulan Mei depan. Bagi Elly pula, pada masa ini dia paling berdebar menantikan reaksi peminat terhadap album solo ketiganya yang sudah berada di pasaran. ``Biarpun sudah mempunyai tiga album solo tetapi Elly memerlukan masa yang lebih panjang untuk mengukuhkan kedudukan Elly dalam industri muzik tanah air,'' akui Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 20. Untuk kemunculan terbarunya, Elly sekali lagi bekerjasama dengan beberapa komposer ternama seperti Azmeer, LY dan Eddie Hamid. Dia turut bekerja dengan komposer seperti Azman Abu Hassan dan Tapai. ``Secara peribadi Elly rasakan album kali ini banyak menampilkan perubahan khususnya pada vokal Elly serta pengisian lagu,'' kata artis syarikat rakaman NAR Records ini. Menjawab satu soalan lain, kedua-dua penyanyi ini mengakui mereka saling mengejar kejayaan yang lebih besar dalam karier seni. Namun begitu, Ferhad dan Elly tidak menafikan dalam mengharungi perjalanan seni, mereka tidak terlepas daripada cabaran. ``Justeru, kami akan kuatkan semangat untuk menempuhnya kerana bidang seni ini merupakan dunia yang cukup istimewa untuk diterokai,'' kata mereka mengakhiri perbualan.


25/03/2001
Elly Mazlein sedia terima kritikan

SETELAH melahirkan dua buah album, Elly Mazlein kini semakin yakin untuk mengorak langkah yang lebih jauh dalam bidang seni suara. Selepas album Sutera Kasih dan Satu Persatu, Elly meletakkan azam yang tinggi bagi menarik perhatian para peminatnya dengan persembahan vokal yang matang seiring dengan peningkatan umur. Dalam meniti usia 20 tahun, jelas tergambar kepuasan pada wajah gadis ini ketika diminta mengulas mengenai album ketiganya yang masih belum diberi judul. Dengan kelahiran album terbarunya Elly berharap dapat menepis kritikan yang dilemparkan kepadanya konon vokalnya mirip penyanyi Siti Nurhaliza. ``Vokal saya kali ini berbeza berbanding album yang lepas kerana suara saya kini lebih besar dan matang,'' katanya. Menurut Elly, dia banyak belajar memperbaiki mutu vokal. Malah jelasnya, dia turut diberi peluang dan kepercayaan oleh syarikat rakaman memilih lagu-lagu untuk album ketiganya itu. Ketika ditanya apakah kelainan pada album kali ini, Elly memberitahu, dia banyak menekankan aspek vokal bagi setiap lagu yang dinyanyikannya. ``Saya lebih mengutamakan kualiti suara dalam setiap penyampaian saya kerana ia penting bagi mendapatkan hasil yang terbaik,'' ujarnya. Elly masih mengekalkan konsep album pop komersial. Album ketiga Elly yang diedarkan oleh syarikat rakaman NAR Record akan berada di pasaran pada 26 Mac ini. Elly telah memulakan rakaman album ketiganya itu sejak bulan puasa tahun lepas. Pembikinan album terbaru Elly membabitkan ramai komposer antaranya Azmeer, Eddy Hamid, Ajai, LY, Azman Abu Hassan, Is Wow, Iwan dan Shahrom. Menurut Elly, lagu yang dijangka meletup ialah Bungaku Bakawali hasil ciptaan Eddy Hamid dan liriknya oleh Man Toba. Selepas beberapa minggu dikeluarkan di pasaran tempatan, albumnya itu akan dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Brunei. ``Maklum balas daripada peminat tempatan perlu dilihat terlebih dahulu sama ada album itu kemudian boleh dipasarkan ke negara jiran,'' jelasnya. Elly turut menyuarakan kesediaan untuk menerima apa sahaja kritikan bagi mengatasi kelemahan diri. Dia berharap kemunculannya kali ini dapat diterima oleh para peminat yang akan menghargai perubahan dirinya.


   Wajah Ayu
eLLY . MaZLeiN
Album

Tajuk Album: Atas Nama Cinta (2003)

Lagu-lagu Hits: Atas Nama Cinta, Cukuplah Sekali, Ucapan Cinta, Definisi Cinta, Pendita Penipu.

Lagu-lagu Lain: -tiada maklumat selanjutnya-



Tajuk Album: Elly

Lagu-lagu Hits: Bungaku Bakawali, Cintaku Untuk Bahagia, Gerimis, Datang Dengan Janjiku & Sejuta Rasa.

Lagu-lagu Lain: Inikah Balasanmu, Bicara Bulan Bintang, Sekilas Pandang, Demi Kasih Ku Turutkan & Ku Berkasih Pada Yang Tiada.


eLLY . MaZLeiN
Oppsss... Jangan Lupa Ukirkan Namamu Di Sini...

eLLY . MaZLeiN
    Terima Kasih

Dannn... Jangan Lupa Datang Lagi Ya...

Sekianlah sahaja buat waktu ini. Mungkin jika diizinkan Tuhan, Istana ini pasti akan bergemerlapan dengan paparan yang lebih menarik di masa depan. semoga anda sudi ke sini lagi di lain masa. Semoga haruman segar Elly Mazlein akan sering menyelubungimu. Seandainya anda ada idea dan info bernas hulurkanlah ke buku tamu. Babaiii....