Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 23. 03. 2000 / 17 Zulhijjah 1420)
SAMBUTAN KE ATAS LIMPAH 
KURNIA ALLAH 1
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

 Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang diterjemahkan oleh  Tok Pulau Manis. selanjutnya
 
Jangan merasa gembira atas perbuatan taat(bakti) kerana engkau merasa telah dapat melaksanakannya.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Tiada menyukakan akan dikau taat kerana keadaan taat itu zhohir ia daripadamu,  kerana yang demikian itu mewarisi akan dikau 'Ajib dan takbur dalamnya meninggalkan syukur dan demikian itu daripada tentera nafsu dan syaitan.

Keterangan Suluk

Menurut keterangan guru suluk,  manusia di atas suka atau gembira itu terbahagi kepada tiga golongan iaitu;

Dengan memahami pembahagiaan golongan-golongan tersebut,  maka dapatlah kita fahami bahawa isyarat kalam hikmah di atas adalah ditujukan kepada golongan yang pertama dan yang kedua iaitu hal orang yang ahli  "Iyyaa kana'budu" (Akan Dikau kami sembah) dan  hal orang yang ahli "Waiyya kanas ta'iin" (Akan Dikau kami minta tolong).  Ini adalah kerana kalam "Tiada menyukakan akan dikau taat kerana keadaan taat itu zhohir ia daripadamu bermaksud sebagai memberi peringatan kepada hamba yang mengerjakan taat agar tidak terlalu suka dan gembira dengan menilik-nilik dan memandang taat yang dikerjakannya.

Apa yang perlu dilakukan oleh mereka ialah mengikuti jejak langkah golongan yang ketiga ahli "La haulawala quwwatailla biLlah" sebagaimana yang terdapat dalam isyarat berikutnya.....;
 

tetapi sukakanlah(bergembiralah) atas perbuatan taat itu,  kerana ia zhohir daripada Allah kepadamu.

kerana bahawasanya demikian itu mewajibkan syukur kepada Tuhanmu;  dan dalamnya(taat) mendirikan pada Haq Ubudiyah pada hal rujuk kepada sifatmu yang aib yang lazim bagi sifat itu dalam sekelian ahwal.

Keterangan Suluk

Kalam hikmah dan terjemahannya oleh Tok Pulau Manis di atas adalah ingin menunjukkan dan mengajar kita kepada cara dan adab sambutan sebagaimana yang dihayati oleh   golongan ahli "La haulawala quwwatailla biLlah"  dalam menerima anugerah kurnia Allah Taala.  Golongan ini bergembira dengan Allah,  menyabitkan wujud sesuatu itu kepada Allah,  menyerahkan tadbir dan ikhtiarnya kepada Allah;   bukan dengan taat yang dikerjakannya,  jauh sekali untuk bergembira dengan usaha dan ikhtiar mereka.

Hanya dengan cara ini sahajalah,  mereka akan dapat menjejaki hakikat syukur kepada Tuhan.  sebagaimana pernah diucapkan oleh seorang ArifbiLlah;

"Hakikat Syukur itu ialah memandang kepada Yang Memberi,  bukannya kepada "apa yang diberikan"

Di samping itu,  dengan memandang kepada Yang Memberi itu(Allah),  dengan sendirinya,  akan meletakkan seorang hamba itu pada kedudukan hal orang yang mendirikan pada Haq Ubudiyah   .  Ini dimaksudkan hamba yang sentiasa memandang dirinya seorang yang lemah,  hina,  dhoif,  fakir,  hakir,  dan banyak aib dalam setiap hal-ahwalnya(samada dalam taat atau maksiat).

Untuk menjelaskan lagi hal ini,  kita ikuti pula keterangan yang dikemukakan oleh Tok Pulau Manis sebagaimana berikut;

Bermula suka taat itu atas dua perkara;

Pertama;  suka dengan dia daripada sekira-kira memandang dia daripada Allah Taala yang mengurnia nikmat dan fadhol.  Maka inilah suka yang dipuji iaitu yang dituntut daripada hamba.  Dan demikian yang dikehendaki syukur akan taat.

Dan kedua;  suka dengan dia daripada sekira-kira zhohirnya daripada hamba dengan ikhtiarnya dan iradat(kehendak)nya dan haul(keupayaan)nya dan kuat(kekuatan)nya.  Maka inilah suka yang dicela;  yang ditegahkan daripadanya "Kufur Al-Nikmat".  Dan setengah daripada 'Ajib yang membinasakan pada amal.

Keterangan Suluk

Dengan keterangan Tok Pulau Manis di atas  jelaslah;   hanya mereka yang suka dengan memandang sesuatu itu daripada limpah kurnia Allah Taala sahaja menjadi tuntutan Allah dan yang mendapat pujian daripadaNya.  Ini adalah kerana mereka itu adalah ahli pada Maqam Syukur.  Orang Maqam Syukur ialah mereka  yang sentiasa mendapat limpah kurniaan yang berganda-ganda daripada Allah sebagaimana maksud firman Allah Taala

"Dan apabila kamu bersyukurlah,  pasti kami akan menambah nikmat bagimu".

Berbeza dengan mereka yang sentiasa menyandarkan sesuatu taat itu kepada ikhtiarnya,  kehendak dan tujan mereka serta keupayaan mereka.  Mereka ini adalah golongan yang tercela.  Tercelanya kerana mereka tidak tahu adab dalam berkhidmat.  Malah yang lebih dasyatnya mereka ikut tersenarai dari kalangan mereka yang derhaka kepada Allah dengan mengkufuri nikmat Allah..  Kata guru suluk;

Fikirkanlah wahai diriku,  di manakah kau halakan pandanganmu semasa beribadat dan semasa berkhidmat kepada Allah.  Fikirkanlah........ Fikirkanlah dan jauhkan dirimu itu dari hama 'Ajib yang merosakkan amal taatmu.
Jauhkan dirimu daripada sifat-sifat takbur(sombong)seperti kebanyakan mereka yang suka mendakwa; Berhati-hatilah dengan musuh licikmu yang tersembunyi itu.  Inilah sebahagian darupada perihal mazmumah yang dipanggil 'AJIB yang menerbitkan bersamanya peribadi takkabur dan sombong.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku,  dengan penjelasan dan kefahaman di atas,  maka dapatlah dirumuskan bahawa punca yang menyebab wujud dan berkembangnya penyakit 'Ajib(hairan dengan diri sendiri) dan takbur  ialah kerana tidak memandang sesuatu taat itu anugerah limpah kurnia daripada Allah.  Ini adalah kerana seorang yang tidak melihat Allah,  maka sudah tentu akan melihat dirinya.  Bila melihat akan dirinya yang melakukan taat,  maka timbullah kehairanan pada dirinya yakni 'Ajib.  Bila timbul kehairanan,  maka menetaslah sifat-sifat takbur dan lain-lainnya.

Dengan kerana itu,  hama penyakit yang tersembunyi ini hanya akan dapat dijauhkan dan dihindari dengan semata-mata menjejaki maksud "Hakikat Syukur" sebagaimana yang difahami dan dihayati oleh orang-orang yang Arif dengan Allah.yakni;

"Melihat kepada Yang Memberi sehingga terlupa kepada apa yang diberi"

Maka,  sewajarnyalah sebagai seorang hamba yang ingin beradab dengan TuhanNya,  yang ingin meniti jalan yang lurus dan benar,  yang ingin berlindung dari jalan yang disesati dan yang dimurkai;   ikutilah jalan orang-orang Arif yang menjadi Warisatul Ambiya' itu.  Contohilah keluhuran peribadi mereka yang punya makrifat yang membukakan sesuatu hakikat.  Teladanilah kehalusan adab-adab mereka sebagaimana;

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adalah orang Arif itu iaitu [mereka]  yang melihat ia akan taat dan ibadat daripada anugerah Allah Taala dan RahmatNya dan Taufiq dan 'InayahNya bahkan tiada melihat baginya wujud di dalamnya kerana bahawasanya ia(Arif) dan taat itu daripada fadhol Allah dan KaramNya[seperti] firman Allah Taala;

"Kata olehmu dengan anugerah Allah dan dengan RahmatNya.  Maka dengan demikian itu,  maka dengan demikian hendaklah mereka bergembira.  Ia itu terlebih baik daripada barang(harta-benda/pangkat/kedudukan) yang dihimpunkan mereka itu"(Yunus:58)

Dan dikata hingga daripada segala Ilmu dan Amal dan Iradat dan Ahwal mereka itu.

Keterangan Suluk

Melalui keterangan dan Nas yang disandarkan seperti di atas,  maka fahamilah kita  bagaimana orang-orang Arif mendekati sesuatu makna dan menghayati maksud sesuatu ayat Al-Qur'an.  Mereka bukanlah sekadar memahaminya sekadar maksud zhohirnya sahaja.  Mereka tidak hanya ghairah mengutip lahirnya sahaja,  malah terjun ke dalam batinnya melepasi Isyari'nya yang menghimpunkan hikmah dan pengertian pada batin sesuatu firman Allah.

Limpah kurnia,  anugerah dan Rahmat Allah bukanlah sekadar difahami sebagai anugerah yang berbentuk kebendaan,  kedudukan dan kemuliaan,  tetapi terlebih jauh dari itu iaitu  "tiada melihat baginya wujud di dalamnya kerana bahawasanya ia(Arif) dan taat itu daripada fadhol Allah dan KaramNya dengan maksud sebenar-benar Rahmat dan  anugerah di sisi mereka ialah dapat bermusyahadah dengan Allah dalam setiap hal-ahwalnya hingga melenyapkan dan melalaikan tilikan kepada diri sendiri.  Mereka bukan sekadar memperihalkan tentang Tauhid,  tetapi memahaminya dengan penghayatan yang terjelma pada setiap ahwalnya.

Inilah yang terlebih dikehendaki dan disukai oleh mereka.   Melebihi keinginan dan kesukaan kebanyakan orang kepada harta benda,  pangkat,  kedudukan dan kemuliaan,  ketinggian sebagaimana isyarat "Dan dikata hingga daripada segala Ilmu dan Amal dan Iradat dan Ahwal mereka itu. hinggakan dimaklumi bahawa;

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan hanya sanya tiada disuruh hamba itu dengan meninggalkan suka pada sekeliannya kerana bahawasanya demikian itu daripada dhoruroh Al-Basyariyah yang tiada boleh menghilangkan dia,  tetapi sayugianya memerintahkan dia bagi perkara yang patut padanya.

Keterangan Suluk

Bersambung pada pengajian berikutnya SAMBUTAN KE ATAS LIMPAH KURNIA ALLAH 2

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar