Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 02. 03. 2000 / 25 Zulka'edah 1420)
NUR YANG MEMBUKAKAN HAKIKAT
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

 Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang diterjemahkan oleh  Tok Pulau Manis. selanjutnya
 
Bermula Nur itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara dan mata hati itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya  daripada yang baik atau yang jahat.

 Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Dan  hati itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira yang dibukakan  baginya oleh mata hati itu.  Maka apabila ketiadaan Nur dan ketiadaan mata hati,  maka jadilah hati itu berjalan seperti berjalan orang yang buta.  Maka melihatnya akan pekerjaan itu atas bukan perkaranya dan didatangkan padanya pada bukan tempatnya.

Keterangan Suluk

Frasa Kalam hikmah di atas adalah merupakan bait yang terakhir dari Kalam Hikmah yang berkaitan dengan Nur seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.  Jika kita susun semula maksud dan pengertian Nur dari awal Kalam Hikmah ini,  maka ia akan berupa  sebagaimana berikut;

Yang dimaksudkan dengan Nur itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara  ialah bila wujud/ada Nur atau Warid Ilahiyah ini dikurniakan dan dilimpahkan ke atas hati seorang hamba,  maka  dengan Nur ini,  hakikat sesuatu perkara yang sebelum ini tersembunyi/terselindung akan terbuka dengan jelas pada pandangan mata hatinya.   Bandingan Nur ini ialah seperti anak kunci yang membolehkan seorang hamba  membukakan(mengerti dan memahami akan) hakikat sesuatu.  Umpamanya; Dalam hal ini,  mengikut guru suluk,  bukanlah Nur ini (yang boleh membezakan antara yang haq dengan yang batil) dimaksudkan tertentu kepada mereka yang alim dan punya ilmu yang banyak sahaja; kerana  kebanyakan orang alim sekarang ini pun ada yang tidak punya Nur yang boleh membezakan antara yang hak dengan yang batil.  Mereka adalah alim ulama dunia yang mencari dunia dengan ilmu akhirat mereka.  Nampak pada pakaian,  latar belakang pengajian dan jawatan memanglah alim,  tetapi mereka sebenarnya  menggunakan nafsu dan kepentingan lain dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan umum.  Sebagai contohnya, Manusia yang bodoh-bodoh dan jahil pun akan akur dan ikut fatwa mereka ini,  sedangkan mereka berhukum dengan sesuatu yang menyalahi hukum asal demi kepentingan sesuatu pihak.  Jadilah manusia awam yang jahil dengan agama itu bertambah jahil lagi dengan melaksanakan sesuatu bukan mengikut garisan syarak yang telah termaktub.  Walau apa sekali alasan dan helahnya,  untuk kepentingan politik ke,  atau untuk maslahat umum ke,  atau untuk mengeratkan muhibbah,  yang haram itu tetap haram dan yang halal itu tetap halal.  Agama itu mesti didahulukan dan perlu mentadbir setiap bidang kehidupan.  Sesekali bukan kepentingan politik,  ekonomi atau sosial yang boleh diletakkan di hadapan dengan membelakangkan hukum syarak Allah.

Hasan Al-Basri  pernah berkata;

"Pernahkah kamu melihat seorang ulama fakeh(ulama fekah),  orang fakeh itu ialah orang yang zuhud dengan dunia,  dan ingin benar-benar ke akhirat;    yang ingat selalu kepada dosa-dosanya;    yang tetap melakukan ibadat kepada Tuhan.  Jika para ulama telah sibuk mengumpulkan dunia yang halal,  maka orang-orang awam akan memakan yang syubhat;   dan bila ulama telah makan syubhat,  maka orang awam akan makan yang haram;  dan apabila ulama telah makan yang haram,  maka orang awam akan menjadi KAFIR".

Demikian juga Rasulullah pernah bersabda;

"Jika seorang ulama telah rosak akhlaknya,  maka rosaklah alam sekitarnya" (Petikan dari Kitab Tambihil Ghafilin; hal 662)

Dengan demikian ulama yang mengamalkan(menyatakan) sesuatu yang tidak hak,  maka mereka adalah golongan alim ulama yang sekadar punya sijil dan ijazah tetapi tidak punya Nur Yang Membukakan Hakikat,  malah mereka adalah hamba-hamba  dari tentera nafsu dan syaitan yang rosak lagi merosakkan.

Orang yang memiliki Nur Yang Membukakan Hakikat ini adalah orang yang apabila berhukum pada sesuatu perkara,  mereka akan berhukum dengan sesuatu yang hak dan nyata.  Jika amalan itu salah,  maka salahlah katanya di samping dengan segera akan menjauhkannya.  Jika perbuatan itu benar,  maka akan dibenarkan tanpa sebarang kepentingan dan keraguan.  Ini adalah kerana mereka memiliki satu kunci yang boleh membezakan antara yang hak dengan yang salah,  walaupun tanpa ilmu pengetahuan yang tinggi.  Inilah yang cuba dimaksudkan oleh Tok Pulau Manis melalui keterangannya mata hati itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya  daripada yang baik atau yang jahat. iaitu mata hati yang kaya dengan limpahan  Nur ini akan nyata dan terang baginya mana yang benar dan yang salah.

Dan  hati itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira yang dibukakan  baginya oleh mata hati itu.

Dengan itu jika ianya sesuatu yang baik dan benar,  maka segeralah hati itu berhadap kepadanya dengan mengerjakan dan mengamalkannya.  Sebaliknya jika salah dan jahat di hadapannya,  maka segeralah ia berpaling darinya.  Kadar terbukanya yang salah dan yang benar ini adalah mengikut kadar yang mampu dilihat oleh mata hati itu.  Dengan sebab itu,  kebanyakan ahli-ahli tasauf telah mengkatogerikan hal ahwal manusia yang beribadat kepada Allah itu kepada tiga kategori yang besar seperti;

kadang-kadang dikelaskan sebagai; Kelas atau kumpulan manusia ini adalah sebagai ingin menyatakan perbezaan  tahap amalan,  tahap pendirian mereka dalam beramal dan tahap maqam di sisi Allah atau tahap pengertian mereka dalam memahami sesuatu yang hak dengan batil.

Perhatikan  satu contoh untuk mudah difahami akan perbezaan pendirian dan pemahaman golongan-golongan ini;

Demikian juga dalam masalah nafi dan isbat dalam Kalimah Syahadat LA  ILAHA ILLALLAH; Inilah sebahagian maksud dari keterangan Tok Pulau Manis Dan  hati itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira yang dibukakan  baginya oleh mata hati itu. Seterusnya diperlanjutkan lagi keterangannya berkenaan dengan mereka yang langsung tidak ada limpahan Nur dan yang buta mata hati sebagaimana berikut;

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka apabila ketiadaan Nur dan ketiadaan mata hati,  maka jadilah hati itu berjalan seperti berjalan orang yang buta.  Maka melihatnya akan pekerjaan itu atas bukan perkaranya dan didatangkan padanya pada bukan tempatnya.

Keterangan Suluk

Sekiranya seorang hamba yang langsung tidak dikurniakan Nur atau terbuka mata hati untuk melihat atau membezakan mana yang benar dengan yang salah,  maka jadilah hati itu seumpama berjalannya seorang yang buta. Bila sudah buta,

Inilah yang dimaksudkan dengan Maka melihatnya akan pekerjaan itu atas bukan perkaranya dan didatangkan padanya pada bukan tempatnya.

Ya, Allah  lindungilah hambaMu yang lemah dan dhoif itu dari kejahilan dan kebutaan manusia yang sesat lagi menyesatkan ini.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka adalah Nur itu memberi faedah akan membukakan bagi segala Ma'ani yang ghaib hingga nyata dan terpandang;  dan mata hati itu memberi faedah akan hukum dengan sah yang dipandang dengan tiada syak;  dan hati itu baginya berhadap dan membelakangkan daripada amal pada yang dikehendaki yang dilihat oleh mata hati akan dia.  Maka apabila dihukumkan atasnya dengan kebajikan,  maka berhadap hati itu atas demikian kebajikan itu atau kejahatan,  maka membelakangkan daripadanya yakni ditinggalkan.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas cuba mewajahkan kepada kita akan hasil dan faedah yang dapat diberikan oleh
Nur,  Mata Hati,  dan  Hati.  Jika kita atur semula keterangan di atas,  maka mudahlah bagi kita untuk memahami bahawa;


 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka apabila berhadap taat atasmu hai orang yang berhadap atas TuhanNya dengan wasitah yang dikurniakan akan dikau padanya daripada Nur Taufiq dan Hidayah,  maka didapatnya suka kerana keadaan taat [itu adalah) rezeki daripada Allah Taala didatangkan atasmu daripada Alam Al-Hidayah dan menolong ia akan dikau atas mendirikan daripada fadholNya daripada tiada haul(daya) daripadamu dan tiada wujud.

Dan makna inilah kata Muaalif

Keterangan Suluk

Sebagai mengakhiri bicara dan kupasan mengenai Warid atau Nur,   Tok Pulau Manis sekali lagi menegaskan bahawa sesungguhnya sesuatu ketaatan dan amalan baik yang boleh membawa seseorang itu kepada Allah Taala adalah dengan wasitah(pengantara) limpahan kurnia Nur Taufik dan Hidayah sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.  Tanpa Nur Taufiq dan Hidayah ini,  tidak mungkin seorang hamba akan mampu dan berupaya untuk mengerjakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah Taala.

Dengan kerana itulah,  biasanya seseorang hamba itu akan merasa suka dan gembira bila dapat dan mampu untuk mengerjakan amal ibadat taat yang banyak kerana sememangnya ia adalah sebagai satu anugerah rezeki yang besar dari Allah Taala.  Dan adalah ia  yang didatangkan daripada Alam Al-Hidayah dan menolong ia akan dikau atas mendirikan daripada fadholNya (limpah kurniaNya)daripada tiada haul(daya) daripadamu dan tiada wujud.  Dengan sebab ianya adalah semata-mata limpah kurnia Taala dan bukannya daripada keupayaan dan kekuatan hamba maka selanjutnya Tok Pulau Manis mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya sebagaimana berikut;

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang berikutnya;
 

Jangan merasa gembira atas perbuatan taat(bakti) kerana engkau merasa telah dapat melaksanakannya.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Tiada menyukakan akan dikau taat kerana keadaan taat itu zhohir ia daripadamu,  kerana yang demikian itu mewarisi akan dikau 'Ajib dan takbur dalamnya meninggalkan syukur dan demikian itu daripada tentera nafsu dan syaitan.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk Sambutan Ke Atas Limpah Kurnia Allah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar