Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 30. 03. 2000 / 24 Zulhijjah 1420)
SAMBUTAN KE ATAS LIMPAH 
KURNIA ALLAH 2
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan hanya sanya tiada disuruh hamba itu dengan meninggalkan suka pada sekeliannya kerana bahawasanya demikian itu daripada dhoruroh Al-Basyariyah yang tiada boleh menghilangkan dia,  tetapi sayugianya memerintahkan dia bagi perkara yang patut padanya.

Keterangan Suluk

Keterangan dan perbincangan sebelum ini bukanlah bermaksud dan bertujuan untuk mengajak seorang hamba itu  memutuskan terus semua bentuk kesukaan dan nikmat yang yang dianugerahkan dari Allah Taala kepadanya dengan meninggalkan/membuangnya dari kehidupan normalnya.  Bukanlah begitu maksudnya,  kerana adalah difahami bahawa  kecendererungan untuk bersuka-suka dengan sesuatu nikmat itu adalah daripada Dhoruroh Al-Basyariyah  yang bermaksud tabiat semulajadi kemanusiaan yang ada pada setiap hamba.  Amatlah tidak adil jika sesuatu kesukaan yang baik dan mulia itu dibuang terus dari kehidupan seseorang hamba.  Tentulah ianya adalah sesuatu yang payah atau sukar untuk menghilangkannya.  Apa yang disarankan,  sebaiknya biarlah seorang hamba itu tahu cara dan adab-adab untuk mentadbir dan menggunakan nikmat yang ada padanya mengikut perkara-perkara yang sepatutnya dan sesuai dengan hal-ahwal nikmat itu.

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Imam Razi r.a;

Adalah makna ayat itu sayugianya bahawa disuka kamu itu akan anugerah Allah Taala atas kamu;  tiada pada segala amal kamu.  Dan inilah mazhab Ahli Sunnah berkata mereka itu;  Bermula hamba itu jikalau taat ia kepada TuhanNya dengan sebenar-benar taat daripada awal jadi alam hingga kepada hari kiamat,  maka tiada masuk ia akan masuk ia akan syurga melainkan dengan fadholNya dan RahmatNya.

Keterangan Suluk

Tok Pulau Manis telah mendatangkan pandangan seorang Ulama Sufi Imam Razi r.a dalam memahami maksud dan isyarat firman Allah Taala;

"Kata olehmu dengan anugerah Allah dan dengan RahmatNya.  Maka dengan demikian itu,  maka dengan demikian hendaklah mereka bergembira.  Ia itu terlebih baik daripada barang(harta-benda/pangkat/kedudukan) yang dihimpunkan mereka itu"(Surah Yunus:58)

Menurut Imam Razi apa yang perlu difahami oleh seorang hamba dalam ayat di atas ialah supaya mereka suka dan bergembira dengan anugerah Allah  bukannya suka dengan menilik-nilik pada amal yang banyak yang dikerjakannya.  Bilangan ratusan ribu wirid dan zikir,  harta-benda yang bertimbun-timbun,  pangkat kedudukan yang tinggi dan mulia malah keramat atau kewalian tidaklah sebaik dan setinggi pandangan seorang ahli makrifat yang dapat menghayati anugerah Allah dalam setiap nikmat yang diperolehinya.

Inilah pegangan dan pandangan serta penghayatan dari mereka yang tergolong dalam Ahli Sunnah Wal Jama'ah.  Mengikut pegangan mereka sekiranya seorang hamba itu mengerjakan taat dan ibadat dari permulaan dunia ini hinggalah ke hari kiamat(ada pendapat mengatakan jangkamasanya ialah 70, 0000 Tahun),  sesekali tidak cukup dan tidak memadai amalan tersebut untuk melayakkan mereka memasuki syurga Allah.  Jika dapat masuk sekali pun,  itu hanyalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah jua.  Ya,  hanya dengan limpah kurnia dan Rahmat Allah jua.

Jadi apa hak kita yang;

Apa yang patut difahami dan disedari ialah semua amal,  ibadat dan kebajikan yang telah dilakukan,  sedang dilakukan dan akan dilakukan sedikitpun tidak berupaya untuk membawa seorang hamba ke mana-mana.  Tidak akan melayakkannya untuk menerima sesuatu ganjaran dan balasan kebaikan atau kemuliaan dari Allah Taala.  Hanya dengan limpah kurnia dan Rahmat Allah jualah yang sepatutnya disukai oleh seorang hamba. Dan sememangnya dengan kerana Rahmat dan limpah kurnianya jua.  Bukan kerana itu,  bukan kerana ini. Bukan kerana sipulan atau kerana si anu.  Tidak ada sesuatu melainkan dengan fadholNya dan RahmatNya.

Dengan keterangan di atas,  maka selesailah sudah keterangan dan pengajaran yang terdapat di sebalik kalam hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang berbunyi;

Jangan merasa gembira atas perbuatan taat(bakti) kerana engkau merasa telah dapat melaksanakannya. tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu,  kerana ia zhohir daripada Allah kepadamu.

Semoga dapat memberi peringatan dan pengajaran yang boleh untuk diterjemahkan dalam penghayatan kehidupan lebih-lebih lagi pada mereka yang ingin menuju kehampiran dengan Allah Taala.

Selanjutlah marilah pula kita kongsikan bersama hasil ketinggian Makrifat  Sheikh Ibnu Athoillah dan syarahan Sheikh Abdul Malek bin Abdullah(Tok Pulau Manis) dengan mengikuti Pengajian Kitab Hikam yang seterusnya di bawah tajuk Ahli Maqam Musyahadah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar