Latar Belakang Diri Saya

Saya
dilahirkan pada 24 November 1946, di Kampong Tanjung Belengu, Mukim Lebak di
dalam daerah Temerloh, negeri Pahang Darul Makmur. Tetapi ibu saya
memberitahu tarikh lahir saya yang sebenarnya ialah pada 24 haribulan
Oktober, 1946. Kesilapan memberikan tarikh lahir pada
masa dahulu adalah perkara biasa lebih-lebih lagi pada masa itu
'butiran-butiran' yang penting seperti ini tidak menjadi perkara yang
dianggap mustahak oleh kebanyakan orang. Saya percaya akan kata-kata ibu
saya itu kerana beliaulah yang melahirkan saya. Dan secara kebetulan tarikh
lahir saya ini bersamaan dengan tarikh keputeraan DYMM Sultan Pahang, Tuanku
Sultan Haji Ahmad Shah sekarang.
Pendidikan:
Menerima pendidikan awal di SK Lebak kemudian berpindah ke SK Bandar
Temerloh (1955). Pendidikan menengah di
SM Abu Bakar dari tahun 1961 -1965. Setelah lulus
SPM tahun 1965, saya kemudian diterima menjalani kursus perguruan
melalui Pusat Latihan Daerah (Regional Training Centre) pada tahun
1967 di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu Kelantan. Tahun berikutnya
program PLD (RTC) dimansuhkan dan saya sambung kursus di Maktab
Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bharu dalam tahun 1968. Lulus
HSC (Higher School Certificate)
sebagai calon persendirian dalam tahun 1971 selepas saya keluar dari maktab
perguruan.
Perkhidmatan:
Mula berkhidmat sebagai guru terlatih latihan maktab pada tahun 1969 di
SMK Pulau Tawar, Jerantut, Pahang Darul Makmur, sehingga tahun 1973.
Kemudian saya berpindah sekolah ke SM Jerantut pada tahun 1974 hingga
1976. Tahun 1977 saya berpindah balik ke Temerloh dan ditempatkan mengajar
di SM Jalan Bahagia, Temerloh. Tahun 1978 saya diterima mengikuti
Kursus Khas Satu Tahun Muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras,
Kuala Lumpur. Saya dilantik menjadi Guru Besar (sekarang Pengetua) di SMK
Kuala Krau, Mentakab, Pahang mulai 1 Jun 1978 sehingga 1979. Kemudian
berpindah ke SMK Kampong Awah (Felda) mulai 1980 hingga 1983. Saya
bertukar lagi ke SMK Jengka 18 mulai tahun 1984 hinggalah saya
berpindah ke sekolah rendah, SRK Jalan Bahagia, Temerloh mulai 1
Oktober 1991. Pada 1993 saya dipindahkan pula ke SK Paya Pulai,
Temerloh. Kemudian saya dipindahkan lagi ke SK Keratong 8, Mu'adzam
Shah, Rompin mulai awal Tahun 1996 hingga Jun 1997. Sekolah terakhir saya
berkhidmat hingga sekarang ialah di SK Jengka 17, Bandar Jengka,
Pahang mulai 16 Jun 1997. Pengalaman bekerja saya sebagai guru
penolong ialah selama sepuluh tahun dan kemudian sebagai Pengetua dan Guru
Besar pula selama dua puluh tiga tahun (tiga sekolah menengah dan empat
sekolah rendah). Menerima Anugerah Khidmat Cemerlang
dalam tahun 1999. Dianugerahkan
Tokoh Guru Kelompok Jengka dalam tahun 2007, dan sebagai
Tokoh Guru Daerah Maran tahun 2008.
Minat dan Hobi:
Saya meminati seni lukis, muzik, membaca buku dan menulis di samping
hobi memancing. Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang muzik saya
terdorong belajar sendiri muzik menerusi buku dan secara self-taught
saya berjaya lulus peperiksaan ABRSM (London) Gred 5 Teori. Kemudian
saya belajar keyboard dan lulus Rank 12 Hammond Organ. Waktu itu saya
sudah pun berjawatan Pengetua. Saya juga aktif dalam band MKSAK
Jerantut (Pemain gitar utama); kemudian pemain keyboard dalam Kombo
Temerloh Music Centre. Pernah bergiat (walau pun tidak lama)
dalam Kumpulan Muzik Asli di bawah Majlis Kebudayaan Daerah
Temerloh dalam tahun 1995. Dalam bidang penulisan pula saya pernah
menulis dan artikel saya pernah terbit dalam akhbar
Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita
Minggu, dan majalah Mastika.(Lihat
halaman Artikel)
Sumbangan:
Antara jawatan dan tugas-tugas yang pernah saya pegang di peringkat sekolah
kelompok, dan daerah adalah seperti Bendahari Majlis Guru Besar Temerloh
(1994-1995), Ketua Kelompok
(Zon Temerloh) 1994-1995, Pengurus Band PSKPP(1993),
Ketua Kumpulan Muzik Asli MKD
(Majlis Kebudayaan Daerah Temerloh) tahun 1995; di samping
menganggotai pelbagai jawatankuasa kecil peringkat daerah dan negeri.
Di peringkat kelompok saya dilantik menjadi Ketua Kelompok Bandar Jengka B sejak tahun 1998,
sehingga persaraan saya dalam tahun 2002.
Keluarga:
Berkahwin dalam tahun 1969, isteri suri rumah penuh masa dan dikurniakan
enam orang anak, empat lelaki dan
dua orang perempuan, dan lima orang cucu. Tiga orang berkelulusan ijazah, dan dua
berkelulusan diploma. Anak lelaki sulung berkelulusan
Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa, Kuala
Lumpur; anak lelaki kedua berkelulusan ijazah perubatan daripada Trinity
College of Dublin, Ireland; manakala anak lelaki ketiga berkelulusan
Sarjana Muda Teknologi Bioperubatan
daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Anak perempuan
(ketiga) berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dan Perkomputeran;
manakala anak lelaki (kelima) berkelulusan Diploma Sains Komputer,
Aktiviti
selepas Bersara: Sejak 2003 saya memulakan
satu program mengajar membaca dalam bahasa Inggeris yang dinamakan
Special English Reading Class bertempat di Kampong
Tengah, Temerloh dan di rumah saya sendiri. Objektif utama mengapa saya
mengadakan kelas membaca dalam bahasa Inggeris ini kerena ingin membantu
murid-murid (terutama di peringkat sekolah rendah) menguasai kemahiran
membaca (bahasa Inggeris) yang didapati masih lemah dan tidak memuaskan dari
segi sebutan (pronunciation), ejaan (spelling), vocabulary (kosa
kata), comprehension (kefahaman), dan kelancaran (fluency).
Bahkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah pun ada yang saya
dapati sebutan (pronunciation) mereka amatlah lemah dan buruk
sekali. Dalam pada itu saya juga menerima beberapa orang pelajar calon UPSR
dan juga calon PMR dalam slot English Tuition.
Saya juga
amat berminat dalam mempelajari ilmu tajwid dalam pembacaan Al-Quran, dan
dengan itu menyertai kelas-kelas Tajwid & Tarannum yang diadakan di Masjid
Nurul Iman, Sungai Gau; di Masjid Tanjung Besar; dan di Surau Darul 'Izzah,
Paya Pulai. Guru-guru yang mengajar Tajwid dan Tarannum ini terdiri daripada
Ustaz Hj. Shapie b. Lebai Hanafi. Beliau merupakan Johan Tilawah Al-Quran
Peringkat Kebangsaan 2006; dan juga menduduki tempat ketiga dalam ujian
Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2006. Ustaz Haji Hamid pula mengajar
kelas Tajwid & Tarannum di Masjid Tanjung Besar. Guru Al-Quran dan Tajwid di
Darul 'Izzah pula ialah Ustaz Hj. Ahmad Badawi b. Abdullah, seorang bekas
pensyarah di Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi.




Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed