Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam 12.00 PM  pada Hari Khamis ( 29.12.1999 / 20 Ramadhan 1420 )
HAKIKAT NIKMAT DAN SIKSA/BALA

Petikan keterangan dari Kalam Hikmah yang lalu;

Dengan doa dan harapan yang dianjurkan oleh Arifbillah di atas,  maka selesailah keterangan dan perbincangan mengenai Kalam Hikmah yang berkaitan dengan tanda atau bukti orang-orang yang telah sampai kepada Allah.

Sebagai memperlanjutkan lagi Pengajian Kitab Hikam(Himpunan Hikmah-hikmah) Ibnu Athoillah,  kita lanjutkan pula kepada Kalam Hikmah  seterusnya yang memperincikan maksud "pandangan" atau Musyhadah serta kesan yang hasil darinya.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Syeikh r.a(Sheikh Ibnu Athoillah r.a);
 

Nikmat itu meskipun beraneka bentuk rupanya hanya disebabkan oleh kerana Syuhud dan dekat kepada Allah.  Demikian pula siksa,  walau bagaimanapun aneka macamnya hanya kerana terhijabnya dari Musyahdah akan Allah Taala.

Terjemahan dan keterangan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Bermula nikmat itu dan jikalau berbagai-bagai segala tempat nyatanya sekalipun,  hanya sanya ia nikmat kerana pandangnya (syuhud) dan hampirnya(dengan Allah).  Bermula tiap-tiap nikmat yang tiada memandang kekasih (Allah) itu hukumnya tiada (seperti tiada nikmat) dan tiap-tiap afiat (sihat) yang tiada hampirnya itu adalah hukumnya sakit.

Keterangan Suluk

Nikmat mengikut pengertian kebanyakan orang ialah suka,  seronok, gembira dan senang dalam menerima sesuatu yang dihajati oleh dirinya dan juga mungkin orang lain.

Inilah antara beberapa contoh   dari kepelbagaian nikmat yang dianggap dan disangkakan nikmat-nikmat kebahagiaan hidup mereka di dunia dan di akhirat nanti oleh kebanyakan orang.  Tidak hairanlah tiap-tiap kumpulan/golongan  membentuk takrif masing-masing mengikut keperluan,  kecenderungan,  selera   dan cita rasa masing-masing.  Dengan ini banyaklah dan bermacam-macamlah jenis nikmat yang ada sebanyak pandangan yang ada pada kebanyakan orang-orang awam.

Berlainan dengan pandangan beberapa orang yang khusus yang digelarkan sebagai Ahli Makrifat. Nikmat di sisi Ahli Makrifat ialah apabila mereka dapat bermusyahadah dengan Allah dan mendapat "kehampiran dengan Allah".Bermula tiap-tiap nikmat yang tiada memandang kekasih (yakni Allah) itu hukumnya tiada (seperti tiada nikmat) dan tiap-tiap afiat (sihat) yang tiada [membawa kepada] hampirnya itu adalah hukumnya sakit.  Ini membawa maksud nikmat yang mencurah-curah datang,  rezeki yang melimpah-ruah dan  taat yang berganda-ganda,  pangkat dan kuasa yang tinggi bukanlah dapat dikatakan sebagai nikmat malah bukanlah sebenarnya nikmat di sisi mereka jika mereka tidak dapat menilik dan memandang Allah dalam perkara tersebut.  Malahan semua perkara-perkara tersebut akan menjadi sia-sia dan sebaliknya boleh bertukar menjadi bala musibah pula pada seorang hamba dengan sebab lupa atau jahil untuk meletakkannya pada tempat yang haq..   Kesihatan dan gagahnya tubuh badan akan menjadi sia-sia malah ianya seperti orang yang sakit tenat jika kesihatan itu tidak dapat membawa seorang hamba kepada amal kebajikan yang boleh menghampirkan diri dengan Allah.   Inilah pengertian nikmat mengikut pandangan Hakikat.  Bergantung kepada tempat syuhud sesorang hamba itu.

Apa yang penting di sisi ahli Hakikat  ialah Musyahadah dan Kehampiran dengan Allah.  Semata-mata dapat bermusyahadah dengan Allah sahajalah menjadi  keutamaan mereka dalam menilai sesuatu.  Itu sahaja yang dicari dan diburu,  syuhud dan tenggelam dalam lautan musyhadah dengan Allah Taala.  Terputus satu saat Musyhadah dengan Allah adalah siksa dan bala mereka walaupun pandangan zhohir melihat bahwa beliau berada dalam gedung yang mewah,  siap dengan makanan dan minuman yang lazat bertemankan dengan puteri-puteri yang jelita.  Tidak ada lain,  kecuali Musyahdah dengan Allah sahaja yang menjadi buruan mereka.  Benarlah apa yang diucapkan oleh Aulia Allah Abu Hassan Al-Kharkhoni ini;

"Aku berasa lebih senang bermalam di bawah pokok yang kering di dunia ini sambil "mengenang Allah",  daripada duduk di bawah pokok Syurga yang nyaman dan menunaikan apa yang dipinta tetapi lupa kepada Allah"

Bala,  musibah,  kesakitan dan penderitaan yang ditanggung sekiranya dimusyahadahkan dari Allah dan boleh membawa keinsafan,  kesedaran dan kehampiran dengan Allah,  maka adalah merupakan sebenar-benarnya nikmat di sisi Ahli Makrifat.  Jadi hakikat nikmat dan bala di sisi mereka ialah bergantung kepada wujud(sedar) atau tidak wujudnya(terhijab)  Musyahadah pada seseorang hamba.  Nikmat boleh bertukar menjadi bala dan sebaliknya bala menjadi nikmat.   Dan ianya semata-mata bergantung kepada cara Musyhadahnya dan pembawaan seorang hamba itu dalam menerima sesuatu.

Terjemahan dan keterangan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Dan siksa itu jikalau berbagai segala tempat nyata sekalipun,  hanya sanya ia dihukumkan siksa dengan sebab diperoleh dindingnya dan jikalau tiada yang demikian itu,  nescaya adalah ia nikmat kerana memandang yang elok itu melupakan ia mihnah (bala) dan ingat akan wujud nikmat dan memandang bekas serta diketahui pada jalanNya dan KamalNya itu melupakan ia barang yang ia dalamnya daripada siksa.

Keterangan Suluk

Sebagaimana juga rupa nikmat yang dianggap berbeza-beza dan berbagai-bagai itu,  siksapun demikian juga; ada beraneka jenis dan dapat dilihat dalam bermacam-macam seginya oleh kebanyakan orang awam yang jahil dengan hakikat.

Inilah antara beberapa contoh siksa atau kesusahan yang dianggap oleh kebanyakan manusia.  Berhempas-pulaslah mereka mentadbir kehidupan ini untuk lari dari kesiksaan ini dengan berbagai-bagai cara.  Ada yang sakit pergi jumpa doktor-doktor pakar,  ada yang sanggup menemui bomoh-bomoh yang handal dan ada pula yang mendapat gangguan jiwa terpaksa dirawat oleh kaunselor-kaunselor yang ternama.   Namun banyak juga yang mendapat siksa dan susah dan kadang-kadang lepas dari siksa itu,  menyusul pula siksa dan susah yang lain.

Pendek kata kesiksaan hidup di dunia ini tidak akan habis-habis;  begitu juga pelarian ke mana-mana sudut dunia demi untuk mencari nikmat ketenangan tidak akan mendatangkan apa-apa faedah  selagi seorang hamba itu masih terdinding dan terlindung daripada memandang keelokkan Allah sama ada melalui penzhohiran Af'aalNya,  AsmaNya,  atau SifatNya.  Sekali pandang alangkah bodohnya manusia yang jahil dengan agama dan Tuhan mereka.  Mencari dan menilik kepada sesuatu yang tidak sepatutnya sedangkan punca kesusahan dan siksa itu ada dari dirinya sendiri dan demikian juga pada diri mereka telahpun dikurniakan petunjuk-petunjuk untuk mencapai kesejahteraan dan keselamatan mereka.  Kata guruku,  sebenarnya mereka tidak nampak tadbir Allah kerana lemah pada Tauhid Uluhiyah(Keesaan Allah dalam Ketuhanan) dan Tauhid Rububiyah(Keesaan dalam Pemerintahan Allah).  Malanglah mereka ini disebabkan kejahilan diri sendiri,  kejahilan dengan Allah dan jahil tentang hakikat kehidupan ini.  Amat malang sekali wahai diri yang tidak sedar!!!.

jikalau tiada yang demikian itu,  nescaya adalah ia nikmat kerana memandang yang elok itu melupakan ia mihnah (bala) dan ingat akan wujud nikmat dan memandang bekas serta diketahui pada jalalNya dan KamalNya itu melupakan ia barang yang ia dalamnya daripada siksa.  bermaksud jikalau lah mereka tidak lemah dalam Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah dan jika mereka tidak terdinding daripada melihat Kehendak(Iradat) dan Perbuatan(Qudrat) Allah Taala di atas setiap apa yang berlaku,  nescaya sakit,  susah,  bala,  yang dikatakan derita itu adalah sebenarnya satu nikmat.  Ia dikatakan nikmat kerana dengan memandang yang elok(kesempurnaan dan keesaan Allah) itu akan melupakan bala, atau sakit, atau susah itu;   di mana hati yang dapat bermusyahadah dengan Allah adalah hati yang akan dapat melihat dan merasai limpahan nikmat yang besar dari Allah di sebalik bala atau musibah tersebut malah kadang-kadang meluputkan sensitiviti derianya kepada yang lain.  Sebagai contohnya seperti apa yang terjadi kepada tetamu-tetamu Zukaikha apabila melihat wajah Nabi Yusof.  Itu baru kecantikan makhluknya,  hingga tidak rasa sakit jari dan tangan mereka yang terhiris.  Maka kecantikan dan Kesempurnaan Allah,  lebih-lebih lagilah kerana IaNya Maha Suci daripada perbandingan dan perumpamaan.  Memamglah susah untuk memiliki musyahadah ini tetapi ini sahajalah punca dari kesempurnaan nikmat dan ketenangan yang Allah sediakan untuk hambaNya.  Di sinilah dasar perjuangan kaum sufiah dan Arifbillah dalam ilmu dan amal mereka.

Dalam Musyhadahnya,  terpandanglah melalui syuhudnya akan bekas-bekas dan kesan-kesan Keesaan Allah dan penzhohiran PemerintahanNya Yang Maha Agung(Jalal) dan Maha Sempurna(Kamal) pada setiap sesuatu kejadian.  Dengan pandangan dan perasaan yang sebegini maka terlupalah ia akan kesakitan atau kesusahan atau kesiksaan yang dialami malah bertukarlah zhohir bala atau siksa itu kepada nikmat kerana tenggelam dalam lautan Musyahadah dengan Allah Taala.

Sambungan Kalam Hikmah di atas;
 

Maka [adalah] sebab siksa itu kerana adanya Hijab,  dan kesempurnaan nikmat itu ialah menilik Wajah Allah Yang Maha Mulia.

Terjemahan dan keterangan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Kata Syeikh r.a. (Sheikh Ibnu Athoillah)  maka sebab siksa itu diperolehi hijab dan kesempurnaan nikmat itu dengan menilik kepada wajah Allah yang amat Mulia atas wajah yang layak pada kebesarannya dalam negeri akhirat.

Maka jikalau tiada hijab nescaya tiada sah(tidak akan ada) siksa dan tiada sempurna nikmat(dunia dan akhirat) melainkan dengan melihat Yang Memberi Nikmat.

Dan kata Sharih dan zhohir kalamnya itu bahawasanya hijab itu syarat bagi wujud siksa dan bahawasanya Melihat Yang Memberi Nikmat itu kesempurnaan syarat(tetapi) tiada wujudnya(tidak nampak nikmat kerana syuhudkan Allah).

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas adalah sebagai ingin merumuskan daripada hakikat nikmat dan siksa mengikut pandangan Ahli Sufi.  Dari perbincangan di atas kita telah faham bahawa sebab-sebab yang membawa kepada siksa atau rasa terkena musibah atau bala adalah kerana hijab yang terdinding daripada dapat  melihat  tadbir Allah kerana berpunca dari lemah pada Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah.  Manakala kesempurnaan nikmat itu pula ialah dengan menilik kepada wajah Allah yang amat Mulia atas wajah yang layak pada kebesarannya dalam negeri akhirat  yakni hati yang sentiasa tenggelam dalam lautan Musyhadah dengan Allah

Dengan sebab itulah jika tabir atau hijab Keagungan Fi'li(Perbuatan) Allah disingkapkan,  maka nescaya tiada sah siksa yakni sudah tentu  tidak ada apa-apa siksa dengan sebab sentiasa syuhud pada perbuatan Allah (Wahdah Fil Af'aal).  Dan kesempurnaan nikmat itu pula ialah sama ada di dunia ini atau akhirat ialah dengan  dengan melihat Yang Memberi Nikmat. yakni jika di dunia ianya dengan nikmat Musyhadah dengan Mata Hati dan di dalam akhirat nanti ialah dengan kesempurnaan nikmat memandang Zat Allah di dalam Syurga nanti.

Sebagai kesimpulannya,  zhohir kalam itu seakan menunjukkan bahawa hijab itu menjadi syarat atau sebab kepada mendapat siksa.   Demikian juga dengan memandang Allah itu seakan-akan menjadi sebab atau syarat kepada kesempurnaan nikmat tetapi sebenarnya perkara-perkara tersebut bukanlah begitu kerana apabila sesorang  mendapat syuhud dengan Allah,  akan hilanglah atau hapuslah segala sesuatu yang lain dan fanalah ia dengan TuhanNya tanpa sebab atau apa-apa syarat-syarat.  Allahu A'lam.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata setengah Ulama;  bermula hikmah dalam bahawasanya Allah Taala tiada dilihat dalam negeri dunia[ialah] sepuluh perkara.

Pertama;  bahawasanya Allah Taala menjadikan dunia itu negeri segala seteruNya dan syurga orang kafir.  Maksud seterunya ialah orang-orang yang lupa dan lalai kepada Allah dari kalangan Ahli dunia yang berebut-rebut mengejar dunia tanpa memperhitungkan halal haram;   jua lupa pada amal ibadat untuk bekalan di akhirat nanti.  Kenapa pula nak jealous atau meniru cara hidup orang kafir kerana sememangnya dunia yang hina ini adalh "Syurga" mereka.

Kedua;  Bahawasanya dunia itu membaiki segala hamba kerana jikalau zhohir Ia(Allah) bagi kafir,  nescaya batallah kelebihan mukmin;  dan jikalau dilihat oleh segala mukmin,  nescaya berkata(menjadi helah/hujah bagi) kafir jikalau aku melihat akan Dia(yakni jikau aku lihat akan Allah seperti yang diperlihatkan kepada mukmin)nescaya menyembah aku akan Dia(Allah);  dan jikalau melihat sekelian itu(yakni mukmin dan kafir)nescaya tiada ada bagi salah satu daripada keduanya(mukmin dan kafir) beza atas yang satu.

Ketiga;  bahawasanta kasih atas yang ghaib(yakni Allah) itu tiada sempurna seperti kasih atau yang nyata. Ini adalah kerana orang yang yakin mempercayai dan menyayangi sesuatu yang dia tidak  nampak membuktikan akan kesempurnaan kasihnya daripada orang yang kasih kerana nampak dengan mata kasarnya.

Keempat;  bahawasanya dunia itu terlebih sangat jahat tempat dan melihat Allah itu tersangat Mulia.  Maka tiadalah munasabah.  Ini bermaksud tidaklah munasabah sesuatu yang Tinggi lagi Mulia dapat dilihat di tempat yang hina lagi jahat.

Kelima;   bahawasanya dunia itu tempat kehidupan dan jikalau melihat makhluk itu akan Dia(Allah),  nescaya tiadalah istighol(berbimbang) mereka itu daripada kehidupan mereka.  Maka sunyilah kehidupan mereka. Ini adalah kerana masing-masing tidak lagi menghiraukan dunia ini kerana asyik dan masyuk dengan memandang Allah.

Keenam;  bahawasanya dijadikan akan Dia dengan mata hati dan tiada dijadikan dengan mata kepala supaya dilihat malaikat akan heningnya segala hati mukmin.  Ini membawa maksud Allah menjadikan hati manusia itu tempat untuk mereka melihat Allah dan hati yang dapat musyahadahkan Allah itu kelihatan cerah bercahaya dan hening jika dilihat oleh malaikat.

Ketujuh;  supaya lebih segala amal dan zhohirlah segala kadar(darjat/martabat) hamba kerena bahawasanya orang yang berkhadam(berkhidmat) atas ghaib itu tiada seperti yang berkhadam atas yang nyata.

Kelapan;  Supaya mulia kadar akhirat [atas dunia] kerana tiap-tiap yang ditegahkan itu mulia.

Kesembilan;  beroleh lazat dan suka dengan Dia(Allah) atas kadar ghaib itu adalah ia(mukmin) suka kembali.  Bermaksud keinginan dan kerinduan untuk menemui Allah dan memandang Zatnya di syurga nanti telahpun menjadi satu nikmat di dunia ini lagi.  Rindu itu adalah satu nikmat.

Kesepuluh;  hanya sanya ditegahkan Dia(melihat Allah) kerana rahmat pada segala hambaNya.

Bersambung Insya Allah dalam Pengajian berikutnya 

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH