Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam 12.00 PM  pada Hari Khamis ( 23.12.1999 / 14 Ramadhan 1420 )
TANDA DAN BUKTI BELUM WASIL ILALLAH

Petikan keterangan dari Kalam Hikmah yang lalu;

Satu lagi alamat atau tanda-tandanya yang istimewa;  ialah seorang yang mendapat Rahsia Warid itu akan menjadi seorang yang mencapai "kehampiran dengan Allah" di mana mereka tidak lagi menilik,  memandang dan bersandar kepada makhluk Allah,  malah mereka adalah golongan hamba yang "Kayalah dengan Allah"  dengan maksud semata-mata berpegang (I'timad) kepada Allah.

Sambungan Pengajian Kalam Hikmah yang seterusnya;

Maka apabila tetap itu (yakni Kaya dengan Allah);   Tok Manis mendatangkan Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah seterusnya yang bermaksud lebih kurang seperti berikut;
 

Keinginanmu untuk tetapnya sesuatu selain Allah itu sebagai bukti bahawa kau belum bertemu pada Allah

Terjemahan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Maka adalah ingatmu kepada kekal segala yang lain daripadaNya itu menunjukkan atas ketiadaan pendapatnya (bertemu dan makrifat) bagiNya; kerana jikalau engkau dapat akan Dia(Allah) nescaya adalah engkau memadai akan Dia(Allah) daripada lainnya.

Keterangan Suluk

Jika dari pengertian Kalam Hikmah sebelum ini,  kita diingatkan supaya tidak menggantungkan harapan yang tinggi kepada keistimewaan sesuatu Warid yang datang,  malah sebaliknya hendaklah sentiasa bergantung dan merasai Kaya(cukup memadai) semata-mata dengan Allah,  maka Kalam Hikmah berikutnya adalah memperihalkan akan satu petunjuk atau dalil-dalil orang yang Kaya dengan Allah(semata-mata berpegang dengan Allah)  atas lebih tegasnya orang yang Sampai kepada Allah(Wasil ilaLlah) atau pun sebaliknya.

Antara tanda dan bukti nyata yang menunjukkan seorang hamba itu masih terhijab dan belum sampai kepada Allah ialah;

Inilah antara cubaan-cubaan besar yang merupakan hijab atau diinding yang menghalang seorang Salik  untuk sampai ke puncak perjalanannya iaitu "Menemui Allah".

Berharap(walaupun sebesar biji sawi sekalipun) supaya kekalnya Warid itu,  akan menunjukkan atau membuktikan bahawa ia belum  bertemu pada Allah  yang menjadi matlamat akhirnya perjalanannya.  Mereka itu masih terhijab dengan hijab yang bangsa cahaya "Nuruliyyah" dan dengan ini mereka masih lagi tidak ada kesempurnaan Makrifat dalam Mengenali Allah.

Inilah pandangan Arifbillah yang Tahqiq Makrifatnya.  Segala sesuatu selain Allah,  adalah merupakan Hijab bagi mereka.  Kesempurnaan amalan,  ketinggian dan kehalusan Ilmu, Keramat-keramat yang mencarik adat,  jika sentiasa ditilik dan mengharapkan kekekalannya;  termasuklah dalam hijab-hijab untuk Washil ilaLlah.  Dan tilikan dan harapanmu kepada perkara-perkara tersebut adalah bukti bahawa bahawa kau belum bertemu pada Allah.

Sebagai menjelaskan lagi keterangan, Tok Pulau Manis memetik kata-kata seorang Arifbillah sebagaimana berikut;

Dan sesungguhnya telah ditanyai Abu Sulaiman Addaroni r.a. daripada apakah yang terlebih hampir daripada yang terlebih hampir daripada Allah Taala?  Maka katanya;

"Yang terlebih hampir daripada yang dihampirkan kepada Allah Taala itu ialah nyatakan Allah (mengetahui dan sentiasa ingat serta syuhudkan Allah) atas hatimu padahalnya tiada berkehendak ia kepada lainnya daripada dunia dan akhirat".

Keterangan Suluk

Dunia pun tak mahu,  syurga pun tidak berkehendak.  Allah sahaja yang dihajati dan diingini!!!.  Demikianlah satu penegasan yang mudah untuk  disebut tetapi sukar untuk disedari dan payah untuk diamalkan..  Sebagai menjelaskan jawapan di atas,  sukalah dipetik kata-kata Aulia Allah Abu Hassan Al-Kharkhoni agar dapat membantu kefahaman kita;

"Aku berasa lebih senang bermalam di bawah pokok yang kering di dunia ini sambil "mengenang Allah",  daripada duduk di bawah pokok Syurga yang nyaman dan menunaikan apa yang dipinta tetapi lupa kepada Allah"

Jauhlah bezanya pandangan ArifbiLlah di atas berbanding dengan orang awam seperti kita yang masih banyak menilik pada kepentingan diri dan dunia yang sedikit ini.  Jauh....jauh.....dan  teramat jauh sekali bezanya.!!!

Sedarlah wahai diriku yang sering sombong.  Berpalinglah kepada jalan-jalan yang berpetunjuk ini.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka kata Muaalif(Sheikh Ibnu Athoillah)dengan terjemahan yang lebih kurangnya;
 

Risaumu kerana kehilangan sesuatu selain Allah itu sebagai bukti tidak adanya hubunganmu dengan Allah.

Terjemahan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Liarmu (bimbang atau risau) dengan sebab ketiadaan yang lain daripadanya itu menunjukkan atas ketiadaan sampaimu kepada Allah.  Dan jikalau engkau sampai kepada Nya nescaya memadailah akan dikau jinak (tamkin/tetap hati) kepadaNya daripada liar daripada lainNya;  kerana bahawasanya hamba yang jinak padaNya(Allah) itu tiada liar ia dengan wujud sesuatu dan dengan ketiadaan sesuatu kerana ia ditolak pada tiap-tiap sesuatu kepadaNya.  Maka I'timad ia dalam tiap-tiap sesuatu atasnya Allah.

Keterangan Suluk

Liar hati atau risau dan berbimbang hati kerana kehilangan sesuatu yang ada pada seseorang adalah merupakan satu hal sifat-sifat hati yang menjadi bukti bahawa ia belum sampai kepada Allah; Wasil ilaLlah.  Termasuklah dalam pengertian liar hati ini ialah;

Banyaklah contoh-contoh yang boleh dibuat bagi menjelaskan maksud hamba yang tidak ada hubungan(sampai) dengan Allah ini.  Antaranya, Contoh-contoh di atas adalah menunjukkan seorang hamba yang masih jauh dengan Allah. Bagaimana pula jika seorang yang banyak amalnya???!!!!.  Inipun tidak dikira dan tidak boleh dijadikan dalil bahawa ia telah sampai kepada Allah.  Walaupun ia sering berpuasa di siang hari dan tidak tidur malam kerana beribadat dengan Allah,  membuat banyak kebajikan kepada manusia,  namun jika hatinya masih liar dengan sesuatu yang "ditarik" darinya;  hamba itu masih jauh malah tidak dikira sebagai orang yang ada hubungan dengan Allah.  Hatinya masih liar dengan berbagai-bagai ketakutan dan kebimbangan.

Apa yang dikehendaki ialah memadailah akan dikau jinak (tamkin/tetap hati) kepadaNya yakni sentiasa tetap berjinak hati dengan sentiasa memandang kepada perbuatan Allah(Wahdahtul Af'al) dalam apa jua situasi atau keadaan yang menimpa diri,  keluarga,  orang lain  atau sesuatu fenomena alam yang berlaku.  Tidaklah patut bala seperti gempa bumi,  banjir besar,  kemarau berpanjangan dikatakan sebagai satu "bencana alam"  yang tidak ada kaitan dengan Allah.  Fahaman ini bukan sahaja tidak patut,  malah tidak beradab dan boleh membawa kekufuran.  Nyata sekali ialah perkataan orang-orang yang bodoh lagi jahil dengan agama.

Ini adalah kerana mengikut pandangan Ahli Hakikat dan Ahli Makrifat,  segala sesuatu yang sudah terjadi,  sedang berlaku dan yang akan berlaku adalah mengikut Kekuasaan Allah Yang Maha Menghendaki hatta sehelai daun kering yang gugur ke bumi pun,  tidak terlepas dari KehendakNya jua.  Cukuplah dengan firman Allah ini sebagai bukti bahawa di atas segala sesuatu itu Allah Maha Meliputinya;

"Dan bermula Allah itulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuatkan" (Surah As-Shofat: 96).

"Dan tiada engkau melempar ya Muhammad tatkala engkau melempar tetapi Allah Taala jua yg melempar"(Surah Al Anfal: 17)

Seorang hamba yang sudah Mengenal Allah akan sentiasa musyahadah(memandang) Allah dalam tiap-tiap sesuatu kerana bahawasanya hamba yang jinak padaNya itu tiada liar ia dengan wujud sesuatu dan (tidak liar) dengan ketiadaan sesuatu kerana ia ditolak pada tiap-tiap sesuatu kepadaNya.  Maka I'timad ia dalam tiap-tiap sesuatu atasnya Allah. dengan maksud bahawa hati yang jinak dengan Allah itu akan membawa(menolak) sesuatu pandangan zhohir ini menembusi kepada pandangan hakikat dengan musyahadah bahawasanya itulah sebahagian daripada penzhohiran Keesaan Allah.  Dengan tolakkan pandangan dari zhohir menembusi batin hakikatnya,  maka sentiasalah hamba itu bergantung dan bersandar(I'timad) atas Allah Taala dengan tidak mengambil kira dan peduli kepada bentuk-bentuk yang zhohir itu.  Tidak ada pergantungan kepada amal-ibadatnya.  Tidak ada pergantungan kepada Warid.  Jauh sekali bersandar dan mengharapkan makhluk.  Sama sahaja pada mereka,  antara susah dan senang,  sakit atau sihat,  bala atau nikmat.  Semata-mata syuhud kepada Allah dengan menghilangkan jenis-jenis rasa yang pelbagai tadi.

Inilah tanda-tanda dan hal-ahwal mereka yang mencapai kebahagian yang hakiki iaitu Wasil ilaLlah atau sampai kepada Allah sebagaimana yang diisyaratkan melalui keterangan yang berikutnya;

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan hasilnya (perkataan) itu bahawasanya manakala dapat (tetap dengan Allah) hamba itu akan TuhanNya dan kepadaNya sampai,  maka sanya berbahagialah ia(hamba) pada barang yang dikehendakiNya dan atasnya (hamba) hasil iaitu kesudah-sudahan kehendak kerana wujud hamba bagi Tuhannya (bukan wujud bagi amal) dan sampainya (hamba) kepadaNya (Allah) iaitu kesudah-sudahan yang dituntutnya dan yang diangan-angannya.

Keterangan Suluk

Keterangan di atas menjelaskan lagi maksud dan kehendak seseorang hamba itu dijadikan ialah untuk menjadi hamba bagi TuhanNya bukan hamba kepada amalnya atau bukan seorang hamba itu dijadikan semata-mata untuk melihat dan menghitung-hitung amal-ibadatnya tetapi sebaliknya menilik dan memandang(Musyahadah) Allah dalam tiap-tiap sesuatu.  Fahamilah wahai diriku yang jahil!!! Ambillah maksud pengajaran yang sebenar ini untuk diamalkan wahai diriku yang selalu tidak sedar!!!.  Inilah isyarat-isyarat yang ditujukan kepada Syuhudul Wahdah Fil Kasrah atau Syuhudul Kasrah Fil Wahdah yang akan memperkembangkan dan memperkayakan pengalaman keruhanian hambaNya,  yang akan memperolekkan dan menghiasi jiwa dan diri mereka dengan berbagai-bagai sifat-sifat terpuji dan mulia.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan sanya telah dikata orang(Arifbillah);   bermula sampai itu iaitu di atas angan-angan(dengan doa dan harapan);

Hai Tuhanku.... jinakkan olehMu akan kami dengan hampirMu dan penuh(kanlah) olehMu akan hati kami dengan kasihMu dan jangan engkau serahkan kami kepada lainMu ya Robbal 'alamin.

Keterangan Suluk

Dengan doa dan harapan  mendapat kehampiran dan Kasih Allah Taala seperti yang dianjurkan oleh Arifbillah di atas,  maka selesailah keterangan dan perbincangan mengenai Kalam Hikmah yang berkaitan dengan tanda atau bukti orang-orang yang telah sampai kepada Allah.  Diharap kita semua akan dapat menjadikan butir-butir pengajaran ini sebagai satu kefahaman yang membawa kepada "kesedaran".

Sebagai memperlanjutkan lagi Pengajian Kitab Hikam(Himpunan Hikmah-hikmah) Ibnu Athoillah,  kita lanjutkan pula kepada Kalam Hikmah  seterusnya yang memperincikan maksud "pandangan"
atau Musyhadah.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Syeikh r.a(Sheikh Ibnu Athoillah r.a);
 

Nikmat itu meskipun beraneka bentuk rupanya hanya disebabkan oleh kerana Syuhud dan dekat kepada Allah

Terjemahan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;

Bermula nikmat itu dan jikalau berbagai-bagai segala tempat nyatanya sekalipun,  hanya sanya ia nikmat kerana pandangnya (syuhud) dan hampirnya.  Bermula tiap-tiap nikmat yang tiada memandang kekasih (Allah) itu hukumnya tiada (seperti tiada nikmat) dan tiap-tiap afiat (sihat) yang tiada hampirnya itu adalah hukumnya sakit.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya di bawah tajuk Takrif  Nikmat dan Siksa/Bala

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH