Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 31. 08. 2000 / 02Jamadil Akhir 1421)
KADAR UNTUK 
SEORANG HAMBA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Yazid r.a.;

Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala kekasihNya.  Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi menanggung Makrifat,  maka disyughulkan mereka dengan ibadat.

Keterangan Suluk

Hati seorang yang menjadi Kekasih Allah adalah yang terpilih.  Ia adalah yang suci dan bersih daripada gangguan Agyar dan Akdar.  Hati yang asyik mak'syuk dengan Allah ini sememang sentiasa mendapat KemurahanNya untuk menerima Tajali atau kenyataan sesuatu hakikat dari Allah Taala.  Tajali yang dilimpahkan  ke atas hati kekasihNya ini datang secara tiba-tiba dan tanpa disangka-sangka.  Pun demikian,  tidak semua yang mampu menanggung kesan dari simbahan MakrifatuLlah ini

Dengan itu adalah menjadi satu ketetapan Allah hanya yang kuat dan bersedia sahaja yang mampu menanggung Rahsia-rahsia Ketuhanan dari pancaran Makrifat.  Dan setengah daripada hamba-hambaNya yang lain pula akan disyughulkan(dibimbangkan) diri untuk sentiasa taat beribadat kepadaNya dengan berbagai-bagai khidmat.  Walaupun mereka kurang tahu dan merasai berkenaan dengan Makrifat dan Rahsia-Rahsia Ketuhanan,  tetapi adalah golongan yang dipuji dan dimuliakan oleh Allah dengan nikmat-nikmat yang berkekalan kerana adanya persalinan Al-Khidmat itu.

Keterangan di atas tidak jauh bezanya dengan pandangan yang diberikan oleh......

Dan kata Abu Al-Abbas Al-Diinuri r.a;

Bahawasanya bagi Allah itu hamba tiada dipatutkan mereka itu bagi MakfiratNya.  Maka disyughulkan mereka itu dengan khidmatnya;  dan baginya hamba tiada dipatutkan mereka itu bagi khidmatNya,  maka diahlikan mereka itu bagi MakrifatNya.

Keterangan Suluk

Yang berbezanya dari keterangan di atas ialah ditegaskan berkenaan dengan perbezaan keupayaan dan kemampuan seorang hamba.  Semunya telah diqada dan diqadarkan sedari azali lagi.  Menjadi kehendak dan ketetapan Allah yang Mutlak bahawa ada setengah daripada mereka ditegah daripada mendapat pancaran MakrifatuLlah.  Mereka hanya layak untuk berbimbang dan menumpukan perhatian dengan taat dan ibadat semata-mata.  Mereka mendapat bahagian keredhoaan Allah dengan KemuliaanNya Yang Sempurna.

Sungguhpun begitu,  ada juga kedapatan seorang hamba yang tidak dipatutkan;  dan tidak sesuai sebagai seorang yang ahli taat dan ibadat semata-mata(Ahli Khidmat) semata-mata,  tetapi bahkan apa yang patut dan selayaknya untuk mereka;   ialah menjadi kekasihNya yang dikurniakan Makrifat.  Maka hamba yang sebegini diahlikan sebagai golongan Ahli Makrifat yang mengenal TuhanNya dengan sebenar-benar kenal.

Kita amat bersimpati dengan beberapa saudara kita,  Ilmu Kesufian(Perjalanan Keruhanian) yang terlalu ghairah dengan halnya sehingga secara tidak sengaja(mungkin) mendakwa dan berlagak sebagai Ahli Makrifat sedangkan dalam masa yang sama sering sahaja meletakkan sesuatu itu bukan pada tempat yang haq.  Kita harus ingat dan punya kesedaran yang tinggi;  biasanya Ahli Makrifat tulen ialah seseorang yang telah pun arif tentang mana yang batil(tidak sebenar) dan mana pula yang haq(sebenar).

Sesungguhnya  di sisi orang yang Ahli Makrifat ini,  tidak akan ada kekeliruan malahan jauh sekali bersifat terburu-buru  sehinga sanggup membeza-bezakan sesuatu  Semuanya sama taraf sebagai seorang hamba.  Dipandang dirinya dan semua makhluk yang lain hatta seorang anjing kurap pun tidak berbeza tarafnya sebagai seorang hamba di sisi TuhanNya.  Jika ada nampak lebih pun....itu adalah limpahan dan kemuharan Zat itu.  Sendiri Ia(Allah) mengatur dan mengqadarkan sesuatu mengikut ZatNya Yang Qadim.

"Allah melebihkan rezeki antara seorang kamu dengan yang lain" (Surah An-Nahl:71)

Berhati-hatilah "diriku" kerana Takrif Tasauf itu ialah;

"Menghilangkan dakwa" dan "menyembunyikan Maani"(rahsia)

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Mahabbah itu terlebih tinggi Maqam;  dan daripada alamatnya itu Fana daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Yang DiKasih(Allah).

Keterangan Suluk

Lagi sekali ditegaskan bahawa Maqam Mahabbah itu terlebih tinggi daripada Maqam-maqam yang lain.  Antaranya Maqam Khauf,  Maqam Redho,  Maqam Zuhud,  Maqam Tawakkal dan lain-lain lagi.

Orang Mahabbah ini ada tanda-tanda dan alamatnya untuk dikenali.  Apabila mereka telah Fana daripada tiap-tiap sesuatu dengan kerana tenggelam dalam Lautan Musyahadah Allah,  pandangan mereka tersyuhud semata-mata kepada Allah sehingga

Dan barangsiapa Fana daripada tiap-tiap yang lain,  nescaya adalah diAnugerahi seperti firman Allah Taala atas lisan Nabi Muhammad 'alaihissalamtu wassalam;

"Sentiasa hamba itu menghampirkan ia akan Daku dengan Nawafil hingga Kasih Aku akan dia.  Apabila Kasih Aku akan dia,  maka adalah Aku pendengaran yang mendengari ia dengan Dia;  dan penglihatan yang melihat ia dengan Dia;  dan lisannya yang berkata ia dengan Dia;  dan tangannya yang memalu ia dengan Dia".

Keterangan Suluk

Hasil dari fananya seseorang yang Mahabbah ini,  maka mereka akan dianugerahkan pula dengan  limpah kurnia daripada Allah Taala sebagaimana firmanNya dari Hadis Qudsi  Rasululllah SAW seperti di atas.

Tafsir dan hurian Hadis Qudsi ini boleh diambil kefahaman daripada pelbagai sudut.  Antaranya ialah sebagaimana yang terdapat di bawah bicara Allah dan Manusia

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Sekelian mereka itu syuhud mereka itu dengan Qalbun dan Nazhor(tilik) mereka itu dengan Basyirah(mata hati) dan sama' mereka itu dengan kashaf dan Natqun(bertutur) mereka itu dengan hikam(hikmah);  dan sekelian mereka itu datang atas hati mereka itu segala Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Keterangan Suluk

Adalah hal-ahwal orang Mahabbah yang telah fana ini ialah

Dan apa yang dipelajari dari Kalam-Kalam Hikmah Kitab "Hikam" Ibnu Atoillah contoh yang paling dekat menjelaskan berkenaan Natqun atau ucapan berhikmah dari Ilmu mereka(Laduni).  Dan yang meyakinkan kita lagi ialah kerana ia disyarahkan oleh yang juga seorang Aulia Allah.

Dengan sebab itu,  tumpuan kefahaman hendaklah ditujukan kepada Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau sebagaimana yang "diboldkan".  Fakir Suluk hanya sekadar cuba berusaha untuk memudahkan aturan kefahaman pembaca dengan contoh-contoh semasa yang agak relevan.  Tidak lebih dari itu,  apa yang lebihnya ialah bersama-sama berusaha untuk mendapat sedikit pengertian dan kefahaman di sebalik isyarat-isyarat yang dipancarkan oleh dua orang Kekasih Allah ini,  bukannya kepada keterangan Suluk..

Tidak hairanlah sedemikian rupa hal-ahwalnya kerana sememangnya sekelian Ahli Mahabbah yang fana ini didatangi atas Hati Mereka itu segala  Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Berkenaan dengan dua perkara inilah,  menjadi kandungan syarah Tok Pulau Manis yang selanjutnya sebagaimana berikut

Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)
 

Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut,  kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Insya Allah.....jika direzekikan lagi

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar