Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 27.12.1999 / 21 Syawal 1420 )
Warid Makrifat Rabbaniyah
Bahagian Kedua
Pembebasan Dari Penjara Wujudmu!!!

Petikan Dari Pengajian Yang Lalu
Jika kalam hikmah sebelum ini,  mengutarakan tujuan kedatangan Warid itu adalah untuk memimpin dan membawa seorang hamba itu kepada Allah,  maka lanjutan kalam hikmah yang seterusnya pula adalah untuk; Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka barangsiapa zhohirlah bagi hatinya segala Anwar,  nescaya lepaslah ia daripada diperhambakan oleh Agyar dan tiadalah diam kepadanya;  sebab lepas daripada dua tangan.  Maka jadilah ia merdeka daripadanya dan jadilah segala Agyar itu mengikat(akan barangsiapa) tiada diikat.  Dan dihukumkan(atas Agyar) tiada menghukumkan dan dengan itu hasillah kesenangan selama-lamanya.

Keterangan Suluk

Apabila telah nyata di dalam hati seorang hamba segala Nur Tauhid yang meyakini akan Keesaan Allah sehingga dipandangnya Allah itu Yang Meliputi di atas segala sesuatu penzhohiran ini;  dan apabila telah bercahayanya Nur Makrifat yang boleh mengenali akan hinanya dunia dan lemahnya makhluk yang tidak boleh dijadikan tempat untuk bergantung dan bersandar harap,   maka pada ketika bebaslah ia daripada diperhambakan oleh Agyar.  Agyar yang dimaksudkan ialah apa sahaja yang bersifat makhluk dan keinginan nafsu syahwatnya.  Dengan itu terlepaslah dia daripada bertindak mengikut nafsu syahwat dan pengaruh dunia dan makhluk.

Ini adalah kerana tiadalah diam kepadanya(Agyar/makhluk/sesuatu selain Allah) sebab lepas daripada dua tangan.  yakni tiadalah hatinya tersangkut dan cenderung kepada Agyar dengan sebab telah bebas dan lepas dari cengkaman atau tarikan nafsu syhawat dan keduniaan.

Maka jadilah ia merdeka daripadanya dan jadilah segala Agyar itu mengikat(akan barangsiapa) tiada diikat.  bermaksud jadilah merdeka seorang hamba itu daripada penjara makhluk dan nafsunya malah setiap makhluk dan nafsunya itu akan menjadi budak suruhan atau kuda tunggangannya.  Dengan kata lain;

Maka dengan demikian  itu hasillah kesenangan selama-lamanya. dengan maksud hamba tersebut akan mendapat kesenangan jiwa dan ruhnya daripada belenggu yang memenjarakannya untuk bersedap dan bersenang-lenang memandang(syuhud) dengan TuhanNya.  Tiada lagi istilah "tension" di sini atat "susah hati",  bimbang,  takut,  syak dan waham kerana jiwa itu telah mencapai perkembaliannya kepada Lautan Ketenangan dan Kebahgiaan yang hakiki.  Inilah destini yang diburu oleh kebanyakan manusia,  tetapi jarang yang mendapatkannya,  walaupun dengan mengeluarkan berbagai-bagai teori dan "isme-isme".

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan barangsiapa tiada kembali ia kembaliNya (Allah) dengan segala Warid Lathoif Wal-Jamal,  maka didatangkan atasnya daripada JalalNya dan 'AzimNya.  Barangsiapa menakut akan dia hingga dikeluarkannya daripada segala amalnya yang mu'tadah dan jadikannya daripada orang yang Ahli Sa'adah,  nyatalah diketahui bahawasnya tiada hasil peliharanya daripada diperhambakan oleh segala Asar itu melainkan dengan 'Inayah Al-Qahar supaya sejahteralah engkau daripada tangannya Agyar.

Keterangan Suluk

Keterangan Sheikh Abdul Malek(Tok Pulau Manis) di atas merupakan sebagai satu peringatan yang besar.  Ini adalah isyarat kepada kedatangan bala atau musibah seperti sakit,  papa dan kehinaan jika seseorang hamba itu tidak mengubahkan peribadinya  semasa kedatangan nikmat yang dikurniakan semasa nikmat seperti sihat,  kaya dan sanjungan manusia.  Jika ia masih lupa dan lalai untuk bertawajuh dan mencapai kehampiran diri dengan Allah semasa dalam nikmat Warid Lathoif Wal-Jamal, ,  maka didatangkan pula kekerasan dan kebesaranNya JalalNya dan 'AzimNya melalui sakit, atau kehilangan harta benda,  kematian anak dan lain-lain bala atas musibah

Dan mungkin dengan cara kekerasan ini sahajalah dapat menarik kembali hamba yang tersasar dan lalai itu kepada jalan yang benar.  Dengan sakit atau musibah-musibah lainnya itu akan menginsafkannya dan menyedarkan dirinya untuk melepaskan segala adat dan tabiatnya yang buruk kepada bersifat dengan sifat-sifat dan adab yang terpuji seterusnya menjadi seorang yang bertuah mencapai kebaikan dan kebahagiaan.

Umpamanya seorang yang sakit;  semasa sihat beliau amat susah untuk meninggalkan kesukaannya untuk makan makanan yang lazat-lazat dan banyak;  tetapi apabila beliau sakit,  maka doktor menasihatinya agar banyak berpantang dalam makanan jika ingin kembali sihat.  Gula tak boleh makan,  daging tidak boleh makan,  susu tidak boleh makan,  ini tidak boleh dan itu tidak boleh;  yang boleh hanya nasi air dan air suam sahaja.  Maka dengan cara tak langsungnya,  dapatlah ia membebaskan dirinya daripada menjadi hamba kepada perutnya sebelum ini,  sekaligus dapat mensucikan pula hatinya untuk menerima cahaya-cahaya kebaikan daripada Allah Taala.  Jika seorang ahli suluk bermujahadah dengan berpuasa dan berlapar tetapi bagi beliau dengan cara diberi sakit dan musibah.  Inilah antara cara Allah membimbing dan mempimpin hamba piihannya kepadaNya.  Dengan kata lain,  jika dengan cara nikmat tak dapat,  maka ditariknya dengan jalan sakit atau bala musibah.

Sungguhpun demikian  tiadalah berhasil kedua-dua jalan tersebut melainkan dengan limpah kurniaNya dan kekuatanNya Yang Maha Perkasa semata-mata sebagaimana maksud keterangan di atas bahawasnya tiada hasil peliharanya daripada diperhambakan oleh segala Asar itu melainkan dengan 'Inayah Al-Qahar supaya sejahteralah engkau daripada tangannya Agyar.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka barangsiapa sejahtera daripada tangan Agyar dan terpelihara daripada diperhambakan oleh segala Asar,  nescaya tiada ada bagi makhluk dalamnya(asar) bahagiannya dan tiadalah sekutu dan adalah ia sejahtera bagi Allah 'Azzawajalla

Keterangan Suluk

Sebagai kesimpulannya,  sesiapa yang selamat dan bebas daripada cengkaman dan pengaruh Agyar  serta terlindung daripada diperhambakan oleh makhluk dan dunia,  sebagaimana yang dibincangkan di atas,  maka tiadalah perkiraan dan tilikannya kepada dirinya dan dunia serta makhluk yang lain melainkan tiadalah dia memiliki sesuatu untuk sesuatu kepntingan dan habuan diri malah semata-mata sejahtera daripada sebarang syirik yakni bertauhidkan bagi Allah Taala semata-mata.  Dari Allah,  Dengan Allah,  Kerana Allah dan Kepada Allah.  Semata-mata sejahtera daripada sebarang sekutu dalam Musyahadahnya.

Kata Mualif  (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a.); yang diterjemahkan oleh Sheikh Abdul Malek bin Abdullah(Tok Pulau Manis)
 

Telah mendatangkan oleh Haq Taala atasmu Warid supaya dikeluarkannya akan dikau daripada penjara wujudmu kepada padang syuhudmu.

Terjemahan dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
.
Bermula penjara wujudmu itu iaitu(ialah) syuhudmu bagi dirimu. Tiada yang terlebih besar daripadanya iaitu nafsumu yang syahwaniyah yang dipertempatan bagimu dengan pertambatan perangai yang jahat.  Dan padang syuhudmu itu iaitu ghaib engkau daripada demikian itu dengan memandang  'Azomah Allah Taala dan JalalNya dan melihat berdiri segala gerakmu dan diammu.

Keterangan Suluk

Bait terakhir kalam hikmah di atas adalah merupakan isyarat kepada puncak tujuan kedatangan Warid ke atas hati seseorang hamba.  Dari tujuan asalnya untuk mendekatkan hamba kepada TuhanNya kepada tujuan keduanua untuk pelepasan daripada perhambaan Asar hinggalah kepada puncak terakhirnya kepada pembebasan wujud dirinya dalam Musyahadahnya(pandangan Keesaan Tuhan).  Inilah juga isyarat yang diberikan oleh guru suluk sebagai Wisholun(lihat pengajian sebelum ini) yang menjadi milik orang-orang yang Wasil ilaLlah(sampai kepada Allah).

Ini ada kerana melihat dan menilik kepada wujudnya diri sendiri itu adalah pandangan yang akan memenjarakannya dengan kewujudan yang tidak hakiki.  Dalam melihat akan wujudnya diri itu seorang hamba akan terperangkap dan terhijab untuk syuhud akan TuhanNya Yang  Esa.  Dan yang besar bahayanya pada mereka yang berada dipuncak ini ialah dengan menilik diri sendiri itu,  maka terpengaruhlah ia akan nafsunya yang syahwaniyah(seperti mahukan karamah dan terbuka yang ghaib-ghaib) yang akan menambatkan dirinya dengan sifat-sifat syirik-syirik yang tersembunyi yang nampaknya baik tetapi sebaliknya berperangai jahat.

Dan padang syuhudmu itu iaitu ghaib engkau daripada demikian itu dengan memandang  'Azomah Allah Taala dan JalalNya dan melihat berdiri segala gerakmu dan diammu.
bermaksud ruang medan syuhud seorang yang Wasil itu ialah hilang dan hapus dirinya(fana) dengan semata-mata memandang akan Kebesaran Allah dan KeagunganNya di mana disaksikan oleh hamba akan dirinya adalah sebahagian daripada penzhohiran dan kenyataan akan Wujudnya Zat Yang Hakiki itu.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Abu Al-Qasim Al-Nashrobadi r.a;

Bermula penjaramu itu nafsumu.  Apabila telah keluar engkau daripadanya ,  maka jatuhlah engkau dalam kesenangan selama-lamanya.

Dan kata orang bagi setengah mereka itu dengan apa lepas hamba itu daripada nafsunya.  Maka katanya dengan TuhanNya.

Bersambung dalam pengajian yang berikutnya dengan Kalam Hikmah berikutnya;  berkaitan dengan Nur; Kenderaan Segala Hati.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH