Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 22.12.1999 / 15 Syawal 1420 )
Warid Makrifat Rabbaniyah
Bahagian Pertama

Petikan dari  Pengajian  Hikmah Sebelum Ini.

Maka sayugianya(wajib) bagi hamba itu apabila mengerjakan sesuatu amal,  maka adalah ia(beramal) kepadaNya(Allah) lupa dengan tiada ingat mengerjakan amal.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan hanya sungguhnya diperoleh hamba itu atas menyerahkan pada sekelian pekerjaannya datang segala Warid atas hatinya.  Maka kerana demikian itu kata Mualif  (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a.); yang diterjemahkan oleh Sheikh Abdul Malek bin Abdullah(Tok Pulau Manis)
 

Hanya sanya mendatangkan Haq Taala atasmu Warid daripada segala Makrifat Rabbaniyah supaya ada engkau membawa dengan Waridiyah atas TuhanNya.

Terjemahan dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Bermula Warid itu iaitu ibarat yang datang atas hati daripada segala Ma'arif Rabaniyah dan segala Lathooifi Ruhaniyah kerana mensucikan [karat] hati;   dengan demikian itu dan membaikkan dia hingga patut ia(hati) demikian itu bagi datang atasnya  dan masuk kepada HadiratNya(Allah);  kerana bahwasanya HadiratNya  itu Maha Suci daripada tiap-tiap hati yang keruh dengan segala asar(bekas) ibarat daripada sekelian makhluk dan yang berlumur dengan segala Agyar;  dan barangsiapa tiada Warid baginya ,  maka tiada Zauk baginya  dan tiada tahqiq(dalam taat dan amalnya).

Keterangan Suluk

Warid dalam keterangan di atas ialah sesuatu yang berupa bentuk limpah kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang hamba dengan berbagai-bagai perasaan seperti;

Inilah antara contoh-contoh rupa Warid yang jatuh ke atas hati seorang hamba yang dikehendaki Allah.  Banyak lagi contoh-contoh lain mengenai Warid ini yang boleh anda dapati di bawah tajuk ini dalam Kitab Al-Risalatul lil Duniyyah

Di samping kedatangan Warid dengan limpah kurnia Allah seperti contoh-contoh di atas,  ada juga Warid yang datang mengikut jalan kebiasaan iaitu sesuatu yang terhasil kerana Mengamalkan Ilmu tentang cara-cara beribadat sebagaimana Isyarat yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Barangsiapa mengamalkan/mengerjakan apa-apa ilmu yang diketahuinya nescaya akan dipesakakan akan dia oleh Allah akan Ilmu yang tidak diketahuinya".

Mengikut pengertian yang diberikan oleh guru suluk ialah beliau telah membahagikannya kepada tiga jenis iaitu;

Pertama;  Intibaa'un yang bermaksud Nur yang mengeluarkan seseorang dari gelap kejahilan kepada Nur Jaga yakni bergerak kepada Allah Taala yakni untuk mengenali dan beribadat kepadaNya.  Warid ini diberikan kepada Ahli Bidayah iaitu mereka yang dalam permulaan jalan menuju kepada Allah.  Antara kesan dari kehadiran Warid ini ialah terasa diri banyak jahil dan terbuka jalan untuk suka dan cinta kepada menuntut Ilmu Akhirat.

Kedua;  Ikbal yang bermaksud Nur yang dicampakkan dalam hati dan menggerakkannya bagi berzikir kepada Allah Taala.  Warid ini biasanya untuk golongan Mutawasit(pertengahan).  Kesannya ialah dengan menjadikan seseorang itu suka dan kasih kepada amal ibadat dan zikir yang banyak yang boleh membawa mereka ghaib(tidak terpengaruh) daripada masyiwaLlah(sesuatu yang selain daripada Allah).

Ketiga;  Wisholun yang bermaksud Nur yang memerintah akan hati hamba sama ada zhohir atau batin.  Nur yang kuat ini akan mengeluarkan seorang hamba daripada kurungan penjara nafsu syahwatnya.  Ini adalah Warid untuk golongan yang Wasil ilaLlah(sampai kepada Allah) di mana segala kehendak dan kudratnya berjalan mengikut tuntunan Warid yang kuat memerintah hatinya;  tidak lagi dengan ikhtiar dan tadbir kehendaknya.

Dengan huraian pengertian dan jenis-jenis Warid di atas,  maka mudahlah bagi kita untuk memahami maksud keterangan Tok Pulau Manis;  Bermula Warid itu iaitu ibarat yang datang atas hati daripada segala Ma'arif Rabaniyah dan segala Lathooifi Ruhaniyah kerana mensucikan [karat] hati; di mana ianya membawa maksud bahawa anugerah limpahan Warid ini adalah ke atas hati seorang hamba dari segala Nur Pengenalan/Makrifat bangsa Ketuhanan (Ma'arif Rabaniyah) dengan menerbitkan sifat-sifat hati yang lemah lembut bangsa kemalaikatan seperti hati yang sabar,  redho zuhud dan sebagainya (Lathooifi Ruhaniyah).  Tujuaan kedatangan atau limpahan Warid ini adalah untuk membersihkan hati dan jiwa seorang hamba daripada karat-karat kejahilan dan dosa maksiat yang sekian lama menutup kejernihan hati.

Dengan hati yang jernih bersih ini,  maka layak dan patutlah baginya untuk mendapat anugerah limpahan Warid yang lain yang boleh membawanya masuk ke Hadirat Allah.  Ini adalah kerana Hadirat Allah itu adalah tempat yang Maha Suci dan hanya boleh dimasuki oleh hati yang telah sempurna bersih daripada sebarang pengaruh keduniaan yang melalaikan.  Jika hati seorang hamba masih keruh dengan menilik kepada bekas-bekas makhluk(asar) dan berlumur dengan perkara-perkara yang melalaikan(Agyar),  maka jangan haraplah untuk memasuki ke Hadirat Allah Yang Maha Suci in;.  walaupun amalnya banyak,  sedekahnya berbukit,  kebajikan yang ditebarkan bertimbun-timbun.

dan barangsiapa tiada Warid baginya ,  maka tiada Zauk baginya  dan tiada tahqiq(dalam taat dan amalnya)
membawa maksud jika seorang tidak mendapat anugerah limpahan Warid Ma'arif Rabaniyah ini,  maka setiap amal ibadat dan pekerjaannya tidaklah dapat dilakukan dengan Zauq dan tahqiq.  Maksud tiada Zauk dan tiada tahqiq dalam amal ialah ketiadaan rasa manis dan lazat serta berjelira semasa mengerjakannya malah dikerjakan dengan rasa susah,  pahit,  berat dan atau sekadar melepaskan tuntutannya sahaja.  Tidak mendapat rahsia yang tersembunyi di sebalik setiap amalan seumpama seorang yang sakit yang tidak dapat menikmati keenakkan sesuatu makanan yang lazat kerana "pahit mulutnya".  Buah-buahan yang manis,  makanan yang lazat berzat dirasai pahit kerana berubah deria rasanya.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan hikmat datangnya(Warid) atas orang Salik dan orang yang Wasil itu supaya keluar kedua orang itu pada segala sifat jahat dan diperoleh tahqiq pada maqam merdeka.  Maka hasil datang atas TuhanNya dengan tiada 'ilat(sesuatu sebab/kerana) dan keluar daripada Ubudiyah akuan(makhluk) dan daripada penjara nafsu.

Keterangan Suluk

Keterangan seterusnya adalah berkaitan dengan tujuan atau hikmat kedatangan Warid itu.

Kepada orang  yang Salik(dalam perjalanan hati menuju kepada Allah) hikmahnya adalah supaya mereka itu bebas dan terkeluar daripada sifat-sifat mazmumah yang bangsa nafsu yang rendah supaya teguh mereka pada maqam-maqam tertentu seperti Wara',  Zuhud,  Sabar,  Redho,  Tawakkal,  Ikhlas,  dan sebagainya.

Kepada orang yang Wasil(telah sampai kepada Allah) hikmahnya adalah supaya mereka bebas daripada jahat adab dengan menilik diri dan menilik kepada makhluk dan teguh musyahadah(pandangan) mereka semata-mata kepada Allah Taala dalam tiap-tiap sesuatu.

Hasilnya nanti mereka ini ini akan mensucikan perjalanan mereka ini daripada sesuatu ilat(sebab atau tujuan lain) yang boleh memesongkan perjalanan mereka ke Hadirat TuhanNya.  Bebas dan merdeka daripada diperhambakan oleh tujuan keduniaan seperti untuk mendapat Karamat atau mendapat kemuliaan dan keberkatan dari amalan.  Mereka juga akan dibebaskan oleh tujuan-tujuan akhirat seperti mendapat syurga.  Dengan demikian mereka akan keluar daripada Ubudiyah akuan(makhluk) dan daripada penjara nafsu.  yang tersembunyi untuk tahqiq Ubudiyahnya hanya kepada Allah Taala semata-mata.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kerana inilah kata Mu'alif; Mualif  (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a.);
 

Telah mendatangkan kepadamu Warid itu semata-mata untuk menyelamatkan engkau daripada cengkaman Agyar dan membebaskan daripada diperbudakkan oleh 'Asar(makhluk)

Terjemahan dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Telah mendatangkan Haq Taala atasmu akan Warid supaya mensejahterakan akan ia akan dikau daripada tangan Agyar yang menghukumkan kepadamu iaitu segala syahwat Nafsaniyah dan 'adat Radiyah dengan sekira-kira tiada tinggal bagimu dalamnya dan tiada kepadanya bersandar jihat(pihak) dan tiada atasnya berpegang bahkan adalah engkau bagi Tuhanmu pada hal sendirian dengan tiada 'ilat dan supaya merdeka engkau dengan sebab demikian itu daripada diperhambakan oleh segala 'asar yang diperhambakannya bagimu dengan sebab kasihmu baginya dan diam kepadanya dan berpegang atasnya.

Keterangan Suluk

Jika kalam hikmah sebelum ini,  mengutarakan tujuan kedatangan Warid itu adalah untuk memimpin dan membawa seorang hamba itu kepada Allah,  maka lanjutan kalam hikmah yang seterusnya pula adalah untuk;

Isyarat menyelamatkan hamba daripada cengkaman Agyar seperti yang dijelaskan oleh Tok Pulau Manis;  supaya mensejahterakan akan ia akan dikau daripada tangan(cengkaman) Agyar yang menghukumkan kepadamu iaitu segala syahwat Nafsaniyah dan 'adat Radiyah dengan sekira-kira tiada tinggal bagimu dalamnya dan tiada kepadanya bersandar jihat(pihak) dan tiada atasnya berpegang bahkan adalah engkau bagi Tuhanmu pada hal sendirian dengan tiada 'ilat   bermaksud  kepada pembebasan kepada nafsu syahwat badaniyah seperti inginkan keselesaan hidup,  kekayaan dunia seperti harta benda yang melebihi keperluan,  makanan yang enak dan sebagainya.  Di samping itu pembebasan dari  'adat Radiyah  bermaksud ialah keluar dari adat dan sifat-sifat yang keji dan lekeh/rendah seperti tamak haloba dan  rakus untuk mendapatkan sesuatu keperluan diri.  Hasilnya kedua-dua pembebasan dari cengkaman Agyar ini ialah sekira-kira tidak lagi berpengaruh keinginan dan adat kebiasaan yang rendah itu dalam dirinya dengan tidak lagi berpegang dan bersandar daripada mana-mana pihak sama ada untuk kepentingan diri,  untuk keselesaan diri,  menjaga status atau kedudukan diri,  mencari pengaruh,  mendapat habuan keduniaan dalam amal akhirat dan sebagainya lagi.  Inilah pembebasan total(keseluruhan) daripada sebarang "kerana-kerana" atau ilat dalam perjalanannya menuju kehampiran dengan Allah Taala..

Maksud  pembebasan daripada diperhambakan oleh makhluk. ialah sepertimana melalui keterangan supaya merdeka engkau dengan sebab demikian itu daripada diperhambakan oleh segala 'asar yang diperhambakannya bagimu dengan sebab kasihmu baginya dan diam kepadanya dan berpegang atasnya  yang membawa maksud kehadiran warid itu adalah bertujuan untuk membebaskan hamba dari belenggu perhambaan kepada makhluk dengan sebab kasihkan dan sayangkan dan bergantung harap kepada sesama makluk.  Contohnya seorang yang mendapat Warid itu tidak akan membiarkan dirinya terpengaruh dengan kedudukannya,  pangkat dan jawatannya atau manusia lain.  Tidak ada istilah takutkan dan berharapkan sesuatu dari boss atau majikan,  ahli politik yang berpengaruh,  mengharapkan habuan dunia dalam kerja-kerja kebajikan atau kerja ugama.

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya...
Warid Makrifat Rabbaniyah(Bahagian Kedua)..Insya Allah.



Sementara itu bolehlah saudara-saudara ikuti bicara-bicara terdahulu yang berkaitan dengan WARID ini.

1.  Warid Ilahiyah
2.  Buah dan Faedah Warid
3.  Kecederaan Dalam Ikhlas Al-Tauhid

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH