Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 24. 05. 2001 / 30 Rabiul Awal 1422)
QASAD AMALAN YANG SIDIQ 
QASAD ORANG YANG MENGERJAKAN IBADAT
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka orang yang Muhaqiq itu iaitu orang yang menyembah akan Dia kerana malu dan ta'zim

Keterangan Suluk

Yang dimaksudkan dengan Orang yang Muhaqiq ialah mereka yang teguh dan tetap keyakinannya pada Keesaan dan KeAgungan Tuhan.  Keyakinan mereka yang mantap ini adalah dari simbahan cahaya makrifat yang sentiasa mengarahkan tilikan dan pandangan hati mereka kepada Allah Taala.  Di mana sahaja mereka mengadap di situlah tertumpah pandangan mereka kepada Allah;  menjadikan mereka seorang yang sentiasa "hampir" dengan Allah Taala;  seumpama seorang yang sentiasa berhadapan.

Tidak hairanlah orang yang hampir ini akan melakukan sesuatu di hadapan Raja Yang Maha Mulia dari kerana malu dan dari kerana ingin membesarkan dan mengagungkanNya.  Yang kenal dirinya dan yang kenal TuhanNya ini sesekali tidak menyembah TuhanNya kerana sesuatu faedah untuk dirinya sama ada untuk dunianya mahupun untuk akhiratnya.  Pada mereka tidak layak dan tidak patut sekali seorang hamba yang dimuliakan oleh Sang Raja Yang Maha Mulia itu mengharapkan sesuatu itu dan sesuatu ini.  Pada mereka;

Hanya yang buta dan yang jahil sahaja akan meminta ini dan mengharapkan itu di atas sesuatu amal taat yang dikerjakan.  Mereka tidak malu dan jauh sekali dari melaksanakan adab-adab dalam membesarkan TuhanNya.

Sebaliknya di sisi mereka yang telah tahqiq keimanan dan yang sudah mantap makrifatnya,  mereka sentiasa berada dalam keadaan malu dan ta'zim dengan Allah.  Sholat,  puasa,  haji dan lain-lainnya dikerjakan dengan perasaan yang malu dan kerana membesarkan Allah.  Memakan rezeki Allah,  mencari nafkah hidup,  berjuang dan berjihad kepada jalan Allah dengan penuh rasa malu dan ta'zim.

Pun begitu ada lagi yang lebih baik keterangan berkenaan dengan malu ini.  Untuk mengetahui hal-ahwal orang Muhaqiq yang malu ini,  marilah kita jelujuri...........................

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Hazim ra.;

Bahawasanya adalah

Dan tetapi menyembah aku akan Dia kerana kasih bagiNya.

Keterangan Suluk

Seorang yang berkasih apabila berbuat sesuatu perkara,  maka akan dikerjakan sesuatu itu demi untuk membahagiakan kekasihnya.  Biarlah dirinya menderita dan terpaksa mengorbankan banyak kepentingan dirinya,  asalkan sang kekasih yang dicintai itu gembira dan bahgia selalu.  Mereka tidak mengharapkan apa-apa dari sang kekasihnya,  bahkan sebaliknya sentiasa melakukan apa sahaja yang disukai,  yang disenangi dan yang diredhoi oleh kekasihnya.

Demikian jualah seorang hamba yang kasihkan Allah Taala.  Bukan kerana takutkan neraka dan bukan kerana inginkan nikmat syurga,  bahkan mereka hanya akan sentiasa melakukan apa sahaja perkara asalkan ianya diredhoi oleh Allah Taala.  Apakah ada lagi sesuatu yang diinginkan oleh seorang kekasih melainkan keredhoaan dari Sang Kekasih.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sheikh Abu Tholib [Al-Makki ra;]

Telah diceritera akan kami daripada Rasulullah SAW.  bahawasanya sabdanya "Jangan ada seorang daripada kamu seperti hamba yang jahat;  jikalau takut ia maka dikerjakannya;  dan jangan ada seperti orang yang mengambil upah yang jahat,  jikalau tiada diberi upah,  maka tiada diperbuatnya dan sebaik-baik hamba itu Shuhaib;  seperti tiada takut ia akan Allah;  tiada derhaka ia akan Allah yakni tiada ia mengerjakan ibadat kerana takutnya tetapi mengerjakan ibadat kerana kasihnya jua.

Keterangan Suluk

Yang menarik dari keterangan di atas ialah perihal berkenaan dengan sebahagian daripada maksud derhaka kepada Allah.  Orang yang menyembah Allah kerana takut adalah terdiri dari kalangan mereka yang derhaka kepada Allah.  Betapa tidak derhaka,  jika tidak takut kepada Allah,  maka tidalah akan disembah Allah itu.  Demikian jua betapa jahat dan derhakanya seorang yang ingin mengambil upah balasan di atas amal taat yang dikerjakan.  Betapa tidak jahat dan derhakanya,  jika tiada gaji,  maka tiada kerja.  Apa dia ingat,  banyak sangatkah amalan yang mereka kerjakan?

Apa yang diharapkan ialah agar seorang hamba itu dalam mendirikan amal taat dan kebajikan yang disebarkan ialah kerana semata-mata kerana kasihnya kepada Allah 'Azzawajalla.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata setengah orang yang arif;

Bahawasanya tiada beza antara orang yang menyembah berhala dan orang yang menyembah Allah kerana ghorab(tujuan) yang fasid.  Maka bahawasanya berhala yang maknawi itu seperti hissi jua kerana bahawasanya tiap-tiap daripada segala orang yang menyembah itu menjadikan ia lain daripada Allah iaitu yang tiada dikeredhoi baginya;  dan mereka itu atas beberapa martabat;

Keterangan Suluk

Apa yang ingin disampaikan ialah tiada bezanya antara berhala hissi(patung-patung) dengan berhala maknawi(sesuatu tujuan selain dari Allah).  Ini adalah pandangan sebahagian orang arif,  bukannya mengikut perkiraan yang awam.  Di sisi mereka yang arif,  tidak sekali-kali mereka tidak akan menyekutukan amal dan ibadat mereka dengan sesuatu tujuan selain daripada mendapat keredhoaan dari Allah 'Azzawajalla.  Apa sahaja yang menduakan Allah dalam tujuan mereka adalah fasid dan jahat.

malah apa sahaja tujuan yang selain daripada Allah,  adalah semata-mata syirik kerana menyembah sesuatu selain daripada Allah.  Penyembah berhala maknawi ini tidak akan mendapat keredhoaan dari Allah kerana masih bersekutu tujuan ibadatnya walaupun dalam apa jua wajah kebaikan-kebaikan.

Berkenaan tujuan hati seorang hamba ini,  terdapat beberapa martabat yang membezakan hal-ahwal dan kedudukan mereka dalam menghayati ruh ibadat mereka.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang qosadkan dengan ilmunya dan amalnya dan barang diperbuatnya daripada kebajikan ditempatkannya dalam hati manusia,  dan menuntut  kebesaran dan ketinggian.

Keterangan Suluk

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ..........Martabat Ibadat Seorang Hamba.... Insya Allah

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar