Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Pendahuluan

Puji-pujian bagi Allah yang melimpahkan keluar Nur (cahaya) yang memberi penglihatan, dan dari rahsia yang Maha tinggi menyingkap hijab (tabir) malam.

Selawat dan salam kepada Muhammad SAW.; cahaya bagi segala cahaya; penghulu orang-orang yang sholeh,  kekasih Allah;  guru kepada mereka yang diberi keampunan;  kepadanya diberi kesejahteraan;  tangan yang melawan dan memukul kepada orang-orang yang berdosa dan kepada orang-orang kafir.

Saudaraku!'

Semoga Allah memberi saudara kebahagiaan yang maha tinggi yang ingin dicari oleh manusia;  menjadikan saudara sebagai oorang yang dipilihNya untuk naik ke darjah yang paling tinggi dan memenuhi pandangan saudara dengan cahaya hakikat,  dan membuang dari batin saudara apa yang bukan hakiki.  Saudara meminta saya menyampaikan rahsia-rahsia cahaya ketuhanan beserta dengan Qiyas-qiyas atau perumpaan yang ada di sebalik maksud-maksud lahir ayat al-Quran dan hadis yang tertentu terutama;

"Allah cahaya langit dan bumi.  Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat;  di dalamnya ada lampu.  Lampu itu di dalam sebuah kaca.  Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan tidak barat.  Hampir sahaya minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya". (Surah An-Nur: 35)

"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu.  Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".

Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau Qiyas antara cahaya dan Misykaat(ceruk) , dan kaca, dan lampu, dan minyak, dan pokok itu?.

Dan perhatikan hadis ini;

"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan kelam.  Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka KeagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan".

Demikianlah permintaan suadara.  Tetapi dengan permintaan itu saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang tinggi yang sukar didaki.  Tinggi sekali, hingga tidaklah tergamak oleh manusia biasa.  Suadara telah mengetuk pintu yang terkunci yang hanya akan dibuka kepada mereka yang mengetahui dan mengenal dengan sebenarnya dan tetap keyakinannya.  Tambahan pula, bukan setiap rahsia itu akan dibentang atau dipamirkan kerena;

"Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat".

atau sebagaimana kata orang Arif;

"Membuka rahsia Ketuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan".

atau sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.;

"Ada satu ilmu seperti keadaan benda yang tersembunyi,  tidak siapa yang tahu kecuali mereka yang tahu dan kenal kepada Allah".

Jika rahsia itu dikeluarkan,  hanya orang-orang yang jahil sahaja akan menafikannya.  Walau bagaimanapun,  ramai orang-orang jahil itu,  rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan dinodai oleh orang-orang yang berdusta.

Tetapi saya percaya,  hati saudara telah dibuka oleh cahaya itu dan kesedaran saudara telah bersih dari gelap kejahilan.  Oleh itu,  saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu dari orang-orang yang menghendakinya adalah sama seperti kesalahan mengeluarkan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya, seperti kata penyair;

"Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh akan hilanglah ilmu itu; orang yang yang manahan ilmu dari orang yang memerlukannya, adalah membuat dosa'.

Saudara hendaklah berpuas hati dengan penerangan yang ringkas berkenaan perkara ini.  Jika hendak diceritakan sepenuhnya,  maka terpaksalah dihuraikan pokok-pokok dan ranting cabangnya.  Untuk itu, pada masa ini saya tidak mempunyai cukup masa dan fikiran serta daya upaya saya pun tidak bebas untuk itu.  Kunci kepada semua hati adalah di tangan Allah.  Dia membuka hati itu apabila dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa sahaja yang dikehendakiNya.  Pada masa ini, cukuplah dibukakan kepada saudara tiga bab atau bahagian.  Yang pertama adalah seperti berikut.

"Cahaya, dan berbagai cahaya: Kajian Awal
1. "Cahaya" sebagai cahaya biasa; sebagai mata, sebagai "Aqal"
 
 

Index Masykaatul Anwar