Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 22. 03. 2001 / 26 ZulHIJJAH
1421)
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Petikan
dari Keterangan Pengajian Terdahulu;
Terkadang
dianugerahi Allah akan dikau, maka ditegahkan akan dikau; dan
terkadang
ditegahkan dikau, maka dianugerahiNya akan dikau.
Manakala
dibukakan Allah bagimu pintu faham dalam tertegah yang tersebut itu,
nescaya kembali tegah itu iaitu anugerah yang amat besar. |
Keterangan
Suluk
Terkadang
bermaksud
"bukan selalunya" atau "bukan semestinya begitu". Dalam sesuatu masa
yang tertentu mungkin sesuatu itu akan berlaku, tetapi tidak semestinya
ia selalunya begitu.
Menurut hukum kebiasaan atau yang teradat, apabila Allah ingin
memberikan sesuatu Kurnia, maka Dia akan melimpahkan pemberianNya
mengikut apa yang dihajati atau yang dipohon atau yang didoakan atau
mengikut keinginan seseorang hamba.
Tetapi kadang-kadangnya, anugerah yang ingin diberikan boleh menjelma
dalam bentuk tegahan. Dengan kata yang lain, jika Allah ingin
memberi, maka ditegahkan hamba dari memiliki sesuatu yang lain.
Jika Allah ingin memberi ketinggian akhirat
kepada hambaNya, maka ditegahNya dari memiliki dunia
-
DitegahNya daripada menjawat pangkat yang penting dan tinggi dalam kedudukan
masyarakat sebaliknya menjadi orang kebanyakan;
-
DitegahNya daripada mendapat habuan harta dan wang ringgit yang banyak
sebaliknya menjadikan hambanya fakir dan miskin;
-
DitegahNya daripada mendapat sanjungan dan perhatian manusia dengan menjadikan
mereka hina dan tersisih daripada ahli dunia.
Jika Allah ingin memberikan ketinggian makrifat
kepada hambaNya, maka ditegahNya daripada memperolehi keistimewaan
diri dan keramat yang mencarik adat;
-
DitegahNya seorang hamba daripada dapat melihat pembukaan di alam ghaib;
-
DitegahNya daripada berbuat sesuatu yang pelik dan ganjil seperti berjalan
di atas air, melipat bumi, atau terbang di udara.
-
DitegahNya hamba yang berilmu daripada berbicara dan bersembang berkenaan
sesuatu rahsia ilmu sehingga mereka tidak dikenali oleh kebanyakan orang
melainkan oleh beberapa orang yang diizinkan.
Seakan segala sesuatu yang diingini dan dicita-citakan oleh seorang hamba,
akan disekat, ditahan dan tidak diberikan seperti apa yang dimiliki
oleh beberapa golongan hamba-hambaNya yang lain.
Nak ini tak dapat, nak itu pun tak dapat dan apa sahaja yang
diingini semuanya tidak dapat.
Maka adalah segala tegahan Allah ini menunjukkan sebagai satu Kurnia
Allah Yang Pemurah dan Lemah Lembut. Itu pun hanya boleh ditanggapi
oleh mereka yang dibukakan pintu faham oleh Allah Taala. Jika tidak,
maka mereka akan tetap menganggap tegahan itu semata-mata sebagai satu
keadaan yang menyakit dan menyedihkan.
Sebaliknya di satu pihak yang pula, jika Allah ingin menegahkan
sesuatu kepada hambaNya, maka terkadangnya akan diKurniakan apa sahaja
yang diingini oleh hambaNya.
Jika Allah ingin menegahkan hambaNya daripada
memiliki Ketinggian di akhirat nanti, maka akan dianugerahkan barang
sesuatu apa dunia yang diingini oleh hamba;
-
Diberikan kedudukan dan jawatan yang tinggi dalam masyarakat sehingga mereka
menjadi sombong, riya dan takbur serta lain-lain sifat-sifat yang
tercela;
-
Diberikan habuan harta dan wang ringgit dengan segala usaha "menjadi" dan
mudah sehingga merasakan dirinya memang bijak dan pintar dalam bidang pekerjaan
atau perniagaannya;
-
Mendapat sanjungan dan pujian daripada kebanyakkan orang sehingga menenggelamkan
diri mereka dengan pelbagai syirik-syirik yang tersembunyi.
Jika Allah ingin menegahkan hambaNya daripada
memiliki ketinggian Makrifat, maka diberikan pelbagai keistimewaan
dan keramat;
-
Dapat berjalan di atas air,
-
Dapat melipat bumi;
-
Dapat berjalan di atas air;
-
Dapat berhubung dengan makhluk-makhluk di alam ghaib
Dan pelbagai keistimewaan serta keramat yang mencarik adat sebagaimana
yang dibanggai oleh Ahli Al-Hijab; yang mereka jadikan nilaian dekat
dan jauhnya seseorang itu dengan Allah. Lantas tertipulah mereka
dengan kegembiraan dan keseronokan mendapat sedikit nikmat yang akan binasa;
tetapi tertegah dan terhalang daripada mendapat ketinggian dan kesempurnaan
nikmat yang sebenar-benarnya.
Kadang-kadang pada si jahil pula akan mudah ditipu oleh mereka yang
Ahli Zindiq yang berupaya melakukan sesuatu yang mencarik adat di hadapan
mereka sebagai bukti bahawa merekalah guru mursyid yang telah sampai dan
boleh membimbing mereka kepada Allah dengan mudah dan cepat. Tidakkah
mereka pernah terfikir, sami budha dan sami hindu juga boleh melakukan
sesuatu yang hebat-hebat, tetapi keistimewaan itu adalah sebenarnya
Istidraj yang membinasakan diri mereka???
Kenapa boleh jadi begini rupanya anugerah dan tegahan Allah itu?
Kenapa Allah apabila ingin memberikan sesuatu kurnia, maka diluluskan
melalui tegahan?
Dan kenapa pula tegahan itu dijelmakan melalui anugerah?
Seakan ia berlawanan dengan jalan kebiasaan yang teradat.
Inilah apa yang cuba diisyaratkan pada frasa Manakala
dibukakan Allah bagimu pintu faham dalam tertegah yang tersebut itu,
nescaya kembali tegah itu iaitu anugerah yang amat besar
di mana hanya mereka "yang faham" sahaja yang dapat mengerti dan
memahami bahawasanya Anugerah Allah yang amat besar ialah apabila ditegahnya
mereka daripada mendapat nikmat kedunian atau keistimewaan diri.
Penjelasan berkenaannya boleh diperolehi dari.................................
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Bermula
tegah Allah Taala akan hambaNya daripada diperoleh segala syahwatnya dan
lazatnya, maka iaitu anugerah yang amat besar kerana adalah tegah
itu memuliakan dan anugerah itu menghinakan.
Keterangan
Suluk
Melalui keterangan di atas, dinyatakan bahawa hakikat sebenar
sesuatu tegahan itu adalah sebenarnya merupakan sesuatu yang akan memuliakan
kedudukan seseorang hamba sebaliknya anugerah itu adalah sesuatu
yang menghinakan mereka.
-
Betapa tidak
tegahan itu menjadi satu anugerah yang besar dan mulia kerana jika
diberikan dunia dan harta benda yang banyak kepada seorang hamba yang lemah,
mungkin akan menjerumuskan mereka kepada perhambaan kepada segala nafsu
syahwat yang sememangnya selalu tagihkan kesenangan, keselesaan,
kenikmatan hidup, bergaya dan berstatus yang tinggi
-
Betapa tidak
tidak tegahan itu menjadi satu anugerah yang besar dan mulia sedangkan
ianya boleh mengelakkan seorang hamba daripada bersifat tamak, sombong
dan takkabur dan lain-lain maksiat yang terzhohir pada kebanyakan orang
yang berharta dan berjawatan serta berkedudukan tinggi dalam masyarakat.
-
Betapa tidak
tidak tegahan itu menjadi satu anugerah yang besar dan mulia
sedangkan, kerana dengan tiadanya dunia, akan menjadikan mereka
orang yang bebas merdeka daripada sebarang bentuk perhambaan;
-
Merdeka daripada
menjadi hamba kepada nafsu syahwat
-
Merdeka daripada
menjadi hamba kepada dunia
-
Merdeka daripada
menjadi hamba kepada harta benda
-
Hamba kepada
kedudukan dan ketinggian
-
Merdeka daripada
menjadi hamba kepada keramat dan keistimewaan diri.
-
Tidakkah tegahan
itu menjadi suatu kurnia yang besar lagi mulia kerana dengan tiadanya sangkutan
sesuatu dari dunia ini akan menjadikan mereka golongan hamba yang sentiasa
berharap, merujuk pada Allah dan menghadapkan diri kepadaNya?
-
Tidakkah tegahan
itu akan menjadi satu kurnia yang besar lagi mulia kerana dengan kosong
tangan mereka dari sesuatu akan menyinarkan(menghidupkan) mata hati mereka;
menjadikan ianya bersih dan murni sehingga layak untuk menjadi
tadahan hujan laduni dari Allah Taala. Ini adalah kerana hanya hati
yang kosong dari lintasan gambar-gambar dunia sahaja yang akan dapat
diisi dengan ilham dari Allah Taala. Menjadikan mereka tidak perlu
banyak berusaha dalam menimba ilmu pengetahuan, kerana telahpun diperolehi
Ilmu Yang Terus Dari Allah.
Dan betapa pula tidak menghinakan seorang yang diberikan segala bentuk
dunia dan masyiwaLlah itu, sedangkan mereka sentiasa terpenjara dengan
kurungan nafsu syahwatnya yang tiada kehinggaan itu. Terhijab dan
menghijab dari cahaya hakikat dan makrifat.
-
Waspadalah..... wahai mereka yang terpukau dengan kehebatan pembukaan alam
ghaib,
-
berhati-hatilah wahai mereka yang punya keistimewaan yang terkhusus,
dan
-
amat-amatilah wahai mereka yang punya perhatian dari kebanyakan manusia.
Waspadalah, berhati-hatilah dan amat-amatilah pada anugerah
yang telah diterima sekian lama itu atau yang akan diterima nanti!!!!!!!!
Adakah ianya semata-mata sebagai satu limpah Kurnia
dari
Allah Taala????, atau
semata-mata sebagai satu satu TEGAHAN
dari Allah daripada menjejaki kesempurnaan
nikmatNya dan kesempurnaan MakrifatNya yang sebenar.
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Kata
Sheikh Muhyidin Al-Arabi ra.;
Apabila
ditegahkan engkau maka demikian itu anugerahNya; dan apabila dikurniai
engkau, maka demikian itu dtegahNya. Maka pilih olehmu akan
meninggalkan atas mengambil. Maka yang wajib atas hamba itu bahawa
meninggalkan tadbir dan ikhtiar.
Keterangan
Suluk
Menurut Sheikh di atas ini pula, dalam memahami "tegah" dan "anugerah"
ini maka hendaklah dipilih akan
meninggalkan atas mengambil yakni menjauhkan
diri dari mengambil anugerah yang datang dalam bentuk keduniaan itu.
Bukan setakat itu sahaja bahkan WAJIB kepada mereka yang ingin mendapat
sebenar-benar anugerah yang besar ialah meninggalkan tadbir dan ikhtiar;
-
Tidak berbimbang dengan paras kedudukan
kewangan keluarga dengan semata-mata bertawakkal pada Allah Taala yang
telah menjamin kadar rezekinnya untuk semua makhluknya;
-
Tidak berpenat dan lelah dalam mencari
bahagian yang lebih dari sekadar keperluan tanggungjawab harian dan untuk
ibadat semata-mata
-
Menyerahkan bulat-bulat kepada segala
Kehendak dan Kekuasaan Allah dalam menentukan dan mengkadarkan sesuatu
untuknya sebagaimana yang dituntut dalam La Haulawala Quwwataillah.
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata
Abu Hubaib Liyadawiyyu bagi Sufian At-Thauri ra.;
Hai Sufian,
bahawa sanya menegah Allah akan dikau itu KurniaNya bagimu. Dan demikian
itu tiada menegahkan ia akan dikau daripada bakhil dan tiada daripada ketiadaan.
Hanya sungguhnya menegahkan Ia akan dikau dengan nazhor daripadaNya kepadamu.
Keterangan
Suluk
Keterangan Sufi di atas pula menjelaskan lagi berkenaan dengan "memahami"
di sebalik tegah itu sebenarnya adalah sebagai satu Kurnia Allah yang terkhusus
untuk seseorang;
-
Bukanlah kerana Allah Taala itu kedekut atau bakhil atau berkira dengan
hambaNya;
-
Bukanlah kerana Allah Taala itu miskin dan kehabisan peruntukan anugerah
buat hambaNya;
Tetapi bahkan tegahan daripada mendapat habuan keduniaan itu adalah menunjukkan
adanya tilikan dan perhatian Allah kepada seseorang hamba. Bukanlah
mudah bagi seorang hamba untuk mendapat perhatian yang khusus dari Allah
dan tidaklah sedikit Anugerah Allah itu bila mereka berada dalam tilikanNya.
Tidakkah semua ini membuktikan bahawa di sebalik tegahan itu ada anugerah,
di sebalik kesusahan itu ada kesenangan sebagaimana firman Taala (Asy Syar-h:5,6);
Oleh
itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran
disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya
tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Keterangan
dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata
Abu Al-Abbas ra.;
Tiap-tiap
jahat adab dan berbuat ia adab, maka iaitu adab.
Katanya
pula;
Tiada
yang mengetahui anugerah dalam tegah itu melainkan yang sidiq.
Keterangan
Suluk
Sebagai rumusan keterangan berkenaan dengan memahami tegah dan kurnia
Allah Taala maka didatangkan kata-kata di atas yang bermaksud;
-
Tiap-tiap jahat adab seperti merungut-rungut
pada kesakitan dan kepicitan hidup dan kembali merujuk kepada Allah dengan
sabar dan redho pada Kehendak dan KekuasaanNya adalah merupakan adab;
-
Demikian juga setiap kali terjerumus
ke dalam dosa yang zhohir atau batin, maka bersegera kembali bertaubat
kepada Allah adalah juga merupakan sebagai satu adab;
-
Lupa untuk bersyukur kerana tidak
melihat anugerah Allah dalam tegahanNya dengan segera bersyukur kepadaNya
apabila mula menyedari bahawa di sebalik kesusahan dan tegahan daripada
menikmati habuan keduniaan, maka itu adalah adab juga.
Dan sesungguhnya tidaklah akan mengetahui rahsia anugerah dalam tegahan
itu melainkan orang-orang yang Siddiq yakni
-
benar dengan niatnya
-
benar dengan tujuan hatinya kepada Allah semata-mata;
-
benar dengan kaifiat amalannya
-
benar dengan halnya
-
benar pada jalannya;
-
benar dengan kehambaannya dan
-
benar dengan KetuhananNya.
Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya di bawah
Tajuk Dunia
Dari Pihak Zhohir dan Batinnya
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|